Sunday, October 11, 2009

AL-QURAN MENDIDIK UMMAH (Siri 1)

TAKRIF AL-QURAN

Kitab suci al-Quran adalah Kalam Allah Subhanahuwata’ala yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam, dipindahkan daripada baginda Sallallahu’alaihiwasallam dengan riway­at yang mutawatir dan ditulis dalam beberapa naskhah mashaf. Membacanya merupakan satu ibadah. Inilah ta'rif al-Quran yang dipersetujui para ulama' Usul Fiqh dan baha­sa.

HUBUNGAN AL QURAN DAN AS-SUNNAH

Kebanyakkan hukum yang diterangkan dalam al-Quran bercorak kulli (tidak secara detail atau terperinci). Peranan as-Sunnah yang merangkumi keperibadian, perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memperincikan hukum-hukum al-Quran. Apabila seseo­rang berpegang dan beramal dengan as-Sunnah bererti dia berpegang dan beramal dengan al-Quran.

Al-Imam al-Auza'i telah meriwayatkan daripada Hassan Ibnu 'Atiy­yah, katanya: "Ketika wahyu turun kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, malaikat Jibril membawa as-Sunnah yang mentafsirkan wahyu tersebut. Maka setiap perkara yang lahir daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam samada dalam bentuk perkataan, perbuatan mahupun pengakuan berasal daripada wahyu Allah Subhanahuwata’ala jua.

Allah Subhanahuwata’ala telah berfirman yang bermaksud:
"Tidaklah (Rasul itu) berkata-kata mengikut hawa nafsunya melain­kan apa yang telah diwahyukan kepadanya."
(Surah an-Najm: ayat 3-4 ).

Kehidupan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah penterjemahan realistik al-Quran al-Karim. Sayyidatina 'Aisyah Radhiallahu ‘anha pernah ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, maka dijawabnya: "Bahawa akhlaknya (Rasulullah SAW) adalah al-Quran. "

SUMBER PEMBENTUKAN UMMAH

Sumber pembentukan ummah Islamiyyah ialah al-Quran al-Karim manakala hadith atau sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah terbitan dari­pada al-Quran al-Karim.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah model yang praktikal bagi didikan Islam. Baginda adalah pentafsir kepada sistem tarbiyyah al-Quran samada dengan amalan, budi pekerti atau pun arahan-arahan.

DIDIKAN AL QURAN SERTA NATIJAHNYA

Sistem didikan al-Quran adalah unik. Sistem ini tidak meniru mana-mana sistem yang ada di bumi. Kesan atau natijahnya yang pernah lahir juga unik, iaitu satu generasi yang sungguh mengka­gumkan dan tiada bandingan dalam sejarah. Generasi yang asal hidup bersengketa dan berperangan sesama sendiri, bersatu padu, membangun dan menegakkan nilai-nilai Rabbani (nilai yang diturun­kan Allah Subhanahuwata’ala) dalam kehidupan. Mereka menjadi model bagi manusia dan mereka telah mendapat pujian daripada Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:

"Kamu adalah sebaik-baik ummah yang diutuskan kepada manusia, kamu menyeru kepada ma'ruf dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, maka tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq "
(Surah 'Ali Imran: ayat 110 )

No comments:

Post a Comment