Sunday, May 23, 2010

Pengajaran dari Surah An Nas

سُوۡرَةُ النَّاس
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ (١) مَلِكِ ٱلنَّاسِ (٢)إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ (٣) مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ (٤) ٱلَّذِى يُوَسۡوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ (٥) مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ (٦)
Firman Allah dalam Surah An Nas yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku mohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara manusia. Yang menguasai manusia. Tuhan yang disembah manusia. Dari kejahatan (syaitan) pembisik yang datang dan menghilang. Yang membisik (kejahatan) di dalam manusia. Iaitu dari (syaitan) jin dan manusia.”

Allah adalah Tuhan Pemelihara dan Pelindung segala makhluk. Pemerintah segala makhluk dan Penguasa segala makhluk, tetapi di sini Allah disebut khusus sebagai Pemelihara dan Pelindung manusia, Pemerintah Manusia dan Tuhan yang disembah manusia supaya manusia merasa begitu hampir kepadaNya dalam detik-detik mencari perlindungan dan naungan.

Allah telah mengarahkan RasulNya s.a.w. dan sekelian umatnya, supaya mencari perlindungan dan naungan padaNya dengan menghadirkan pengertian dari sifat-sifat tersebut (Pemelihara dan Pelindung manusia, Pemerintah Manusia dan Tuhan yang disembah manusia). Ini adalah kerana kejahatan yang sangat halus itu menyerang mereka tanpa disedari, dari arah yang tidak disangka dan tidak dapat menolaknya melainkan dengan pertolongan Allah Pemerintah dan Penguasa Yang Maha Agung.

Kita sedar bahawa pertarungan di antara Adam dan Iblis adalah satu pertarungan yang amat lama. Kita sedar bahawa syaitan telah mengisytiharkan perang berterusan iaitu satu pengisytiharan yang lahir dari tabiat jahat yang ada di dalam dirinya, dan lahir dari sifat-sifat angkuh, hasad dengki dan dendam kesumatnya terhadap manusia.

Kita sedar syaitan telah meminta kebenaran dari Allah untuk memerangi manusia , dan permintaan itu telah diluluskan Allah kerana suatu hikmah yang diketahuiNya. Walau bagaimanapun, Allah tidak membiarkan manusia mengharungi perjuangan itu tanpa senjata, malah ia menjadikan keimanan sebagai perisai untuk mereka, zikir sebagai kelengkapan perang dan doa memohon perlindungan sebagai senjata. Andainya manusia melupakan perisai, kelengkapan dan alat senjatanya, maka dialah sahaja yang patut disalahkan.

Dari Ibn Abbas r.a. katanya: Sabda Rasulullah s.a.w.: “Syaitan itu duduk mencangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut nama Allah ia akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai ia akan membisikkan kejahatan.”
Kita tahu bahawa di antara hasutan dan bisikan manusia itu ada yang lebih buruk dari hasutan dan bisikan syaitan. Mereka terdiri dari:

i. Teman-teman menaburkan kejahatan ke dalam hati dan akal kawannya tanpa disedari dan diawasi olehnya kerana ia teman yang dipercayai.
ii. Pegawai-pegawai atau orang dalam pemerintahan yang mengelilingi para pemerintah yang membisikkan fikiran-fikiran yang jahat kepada mereka sehingga mereka bertindak ganas dan zalim terhadap rakyat jelata.
iii. Tukang umpat yang menabur fitnah, yang pandai bermadah dengan kata-kata yang indah dan licin hingga apa yang dikatakannya itu kelihatan seolah-olah amat benar dan tidak dapat dipertikaikan lagi.
iv. Penjual-penjual nafsu/ penggoda / penghibur yang masuk dari pintu-pintu naluri dengan gaya yang amat menarik yang tidak dapat ditolak melainkan dengan kesedaran hati nurani dan pertolongan dari Allah.

Di sana terdapat berpuluh-puluh jenis manusia pembisik kejahatan yang datang dan menghilang , yang membuat perangkap-perangkap kejahatan dan menyeludupkannya ke dalam hati manusia. Mereka adalah lebih jahat daripada syaitan-syaitan yang tidak nampak dan lebih halus dari jejak langkahnya.

Manusia memang tidak dapat berupaya untuk menolak bisikan-bisikan kejahatan yang halus, kerana itu Allah menunjukkan perisai dan alat-alat senjata kepada mereka supaya mereka dapat menempuh pertarungan yang dahsyat itu.

Syaitan pembisik itu telah disifatkan dengan kelakuan “datang dan menghilang”. Ini adalah satu isyarat yang mengandungi tujuan, kerana dari satu segi sifat itu menunjukkan bahawa kelakuan syaitan itu lebih suka bersembunyi menunggu peluang. Andaikata terbuka ia akan meresap masuk perlahan-lahan membisikkan kejahatan-kejahatannya dan dari satu segi yang lain pula, menunjukkan satu kelemahan syaitan apabila berdepan dengan mereka yang sedar dan siap siaga mengawal pintu hatinya.

Oleh kerana itu semua pembisik-pembisik kejahatan, samada dari syaitan yang tidak nampak atau dari syaitan-syaitan manusia apabila dilawan, mereka akan berundur menyembunyikan diri sebagaimana digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. “Apabila menusia menyebut nama Allah, ia akan mengundurkan dirinya dan apabila manusia lalai, ia akan membisikkan kejahatan.”

Pertarungan dengan syaitan merupakan satu pertarungan yang tidak akan tamat. Syaitan selama-lamanya akan menunggu peluang untuk menyerang manusia disaat-saat kelalaian dan pertarungan itu akan terus meletus, sekali kalah dan sekali menang sehingga ke hari kiamat. Allah berfirman kepada syaitan yang bermaksud:
“Sesungguhnya engkau tidak mempunyai kuasa untuk menguasai hamba-hamba kesayanganku dan cukuplah Tuhanmu itu menjadi penjaga.” (Surah Al Isra’ ayat 65).

Walaupun Allah membenarkan iblis melancarkan peperangan menentang manusia, tetapi Ia tetap menguasai iblis itu. Ia hanya membiarkan syaitan itu menakluk orang-orang yang lalai dari Allah sahaja. Manakala orang yang mengingati Allah akan terselamat dari kejahatan dan bisikan syaitan yang halus.

Kebaikan itu harus bersandar kepada kekuatan Allah yang Maha Pemelihara. Manakala kejahatan itu hanya bersandar kepada bisikan iblis yang datang dan menghilang. Lemah bila ditentang. Mundur ke belakang apabila ditempur dan tewas di hadapan perlindungan dan naungan Allah.

Rujukan:

Asy Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, Tafsir Fi Zilalil Quran – Di Bawah Bayangan Al Quran, terjemahan Yusoff Zaky Haji Yacob, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 2002

Friday, May 21, 2010

Peranan Bapa (siri 2)

Bapa merupakan individu yang penting dalam pembangunan umat. Dalam sebuah keluarga, kedudukan bapa adalah salah satu batu bata yang mengukuhkan bangunan umat Islam. Jika para bapa berjaya menunaikan tanggungjawab dalam keluarga, akan kukuhlah bangunan umat Islam dipelbagai bidang kehidupan. Sebaliknya, sikap abai & tidak bertanggungjawab para bapa menyebabkan lemah dan rapuhnya bangunan umat ini.

Ada banyak peranan bapa dalam Islam yang harus ditunaikan sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w, “Setiap kamu adalah pemimpin yang bertanggungjawab atas yang dipimpinnya. Seorang amir (pemerintah) adalah pemimpin atas rakyatnya dan bertanggungjawab atas yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan ia bertanggungjawab atas yang dipimpinnya. Seorang perempuan adalah pemimpin di rumah suaminya dan anaknya, dan ia bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang hamba sahaya adalah pemimpin atas harta tuannya dan ia bertanggungjawab atas yang dipimpinnya. Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas yang dipimpinnya. (HR Bukhari).

Bapa yang menunaikan kewajipan, bererti ia telah terbebas dari tanggungjawabnya di hadapan Allah di hari kiamat. Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman lindungilah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Di sana ada malaikat yang kasar dan keras, tidak melanggar perintah Allah kepada mereka dan mereka melakukan apa yang diperintahkan (QS At Tahrim : 6)

Hassan Al Banna seorang pemimpin dan pembina umat, sekaligus sebagai seorang bapa dalam keluarga pernah berkata: “Aku ingin sekali menyampaikan dakwah ini sampai kepada janin yang ada dalam perut ibu mereka.”

Keluarga al Banna telah dibina atas dasar keimanan kepada Allah di mana Hassan Al Banna telah mempamirkan contoh teladan yang unik dalam menjalankan peranan beliau sebagai bapa terhadap pendidikan anak-anaknya. Keenam-enam anaknya menjadi individu yang berjaya yang terdiri daripada 3 orang doktor, seorang jurutera, seorang peguam dan seorang isteri kepada ulamak terkenal Said Ramadhan.

Pendidikan anak bermula dengan pemilihan isteri yang solehah di mana Hassan Al Banna memilih seorang wanita yang pandai dalam masalah feqah serta merdu dalam membaca Al Quran. Wanita ini berasal dari keluarga yang dermawan dan baik hati.

Suasana keluarga yang penuh kasih sayang, penuh perhatian dan mengambil berat (prihatin) akan menyebabkan anggota keluarga saling hormat dan menghargai.

Perilaku Hassan Al Banna di rumah, yang berinteraksi dengan isterinya, hubungannya dengan anak-anaknya, mewakili lingkungan yang baik dan subur untuk menghidupkan generasi yang soleh.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan izin Allah; dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.“ (QS Al A’raf).

Rujukan:
Muhammad Lili Nur Aulia, Cinta Di Rumah Hassan Al Banna, Jakarta; Pustaka Da’watuna, 2007.