Thursday, October 29, 2009

HUBUNGAN DENGAN ALLAH

Satu perkara paling utama, yang sentiasa diperingatkan oleh para anbiya’, khulafa ar-Rashidin dan orang-orang yang soleh dalam semua keadaan ialah supaya pengikut-pengikut mereka beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala. Menyemarakkan hati sanubari mereka dengan kecintaan dan taqarrub kepada-Nya dengan melakukan ketaatan dan ibadah kepada-Nya. Tidak syak lagi, inilah perkara yang mesti diutamakan daripada perkara-perkara yang lain.
Beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala adalah persoalan yang paling pokok dalam aqidah. Berhubung dengan Allah Subhanahuwata’ala dan bertaqarrub dengan-Nya mendahului persoalan-persoalan yang lain dalam ibadah. Takut kepada Allah Subhanahuwata’ala apabila bersendirian di tempat sunyi dan juga ketika di khalayak ramai mendahului perkara lain dalam akhlak, muamalat dan amalan. Segala usaha kita tidak mungkin berhasil kecuali setelah kita mengembalikan hubungan kita dengan Allah Subhanahuwata’ala. Kuat atau lemahnya kita adalah bergantung kepada sejauh mana hubungan kita dengan Allah Subhanahuwata’ala. Kita menjadi kuat apabila hubungan kita dengan Allah Subhanahuwata’ala kuat, dan kita lemah apabila hubungan kita dengan-Nya lemah.

Makna Hubungan Dengan Allah

Hubungan manusia dengan Allah Subhanahuwata’ala, mengikut keterangan Al-Quran Al-Karim bermaksud supaya manusia menjadikan hidup, mati, solah dan segala ibadah semata-mata untuk-Nya. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Katakanlah: Sesungguhnya solahku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku bagi Allah, Tuhan sekalian alam.”
[Al-An’am: 162]

Hendaklah seseorang itu menyembah Allah Subhanahuwata’ala dengan penuh keikhlasan. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah berulang kali menerangkan pengertian hubungan hamba dengan Rabbnya sehingga tiada setitik debupun yang menutupi pengertian ini. Jadi, mengertilah kita akan hakikat hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala iaitu. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (antara lain) yang bermaksud:
“Takut akan Allah di tempat sunyi dan tempat yang terang.” [Hadith]
“Hendaklah engkau yakini bahawa yang ditangan Allah itu lebih terjamin daripada apa yang ada di tangan engkau.”
[Hadith]
“Hendaklah engkau menuntut keredhaan Allah dengan kemarahan manusia.”
[Hadith]

Kita tidak pula mencari keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah Subhanahuwata’ala. Setelah terjalin rapi hubungan ini, kecintaan seseorang, perseteruan, pemberian dan tegahannya semuanya demi Allah Subhanahuwata’ala semata-mata tanpa dicemari oleh tujuan-tujuan lain. Inilah pengertian kesempurnaan hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (antara lain) yang bermaksud:
“Sesiapa yang cintakan Allah, memberi kerana Allah dan mencegah kerana Allah, sesungguhnya telah sempurnalah imannya.”
[Hadith]

Kemudian hendaklah saudara memperbaharui do’a saudara pada tiap-tiap malam dalam rakaat terakhir solah witir saudara. Tidakkah saudara sering ucapkan:
“Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami minta pertolongan daripada Engkau, minta hidayat daripada Engkau, beristighfar kepada Engkau, beriman kepada Engkau dan bertawakkal kepada Engkau. Kami memuji kepada Engkau atas kebaikan, kami berterima kasih dan tidak kufur kepada Engkau, kami menyingkir dan menjauhkan sesiapa yang derhakakan Engkau. Ya Allah, Dikaulah yang kami sembah dan akan Dikaulah kami sembahyang dan sujud, kepada Engkaulah kami berusaha dan maju. Kami mengharapkan rahmat Engkau, kami takut akan azab Engkau. Sesungguhnya azab Engkau tetap menimpa orang-orang kafir.”

Hendaklah saudara merenungi maksud do’a ini. Apakah setiap daripada malam-malam saudara membenarkan dan mempersetujui ikatan saudara dengan Allah Subhanahuwata’ala? Sudah terukir gambaran hubungan ini dalam doa yang dilafazkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam apabila baginda bangun mengerjakan sembahyang di tengah malam, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sentiasa menyebut doa berikut ini, bermunajat dengan Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Tinggi:
“Ya Allah, Ya Tuhanku, kepada Engkaulah aku berserah, dengan Engkaulah aku beriman, di atas Engkaulah aku bertaubat, kepada Engkaulah aku kembali, bersama Engkaulah aku bermusuh dan kehadapan Engkaulah aku berbicara.”

Jalan Memperkuatkan Hubungan Dengan Allah

Tidak terdapat jalan lain untuk menimbulkan hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala melainkan satu sahaja. Seseorang insan hendaklah beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala yang Esa sebagai Rab dan Ilah bagi dirinya dan untuk sekelian makhluk di langit dan di bumi serta mengimani sifat-sifat UluhiyyahNya. Tuntutan dan kelayakannya tidak boleh diberi kepada selain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Hendaklah saudara membersihkan hati daripada segala kekaratan syirik. Apabila manusia dapat menyempurnakan semuanya ini mengikut cara yang dituntut, akan terikatlah jalinan hubungan antaranya dengan Allah Subhanahuwata’ala. Adapun untuk mempererat dan menyuburkan hubungan ini tertakluk kepada dua jalan:-

1) Jalan kefahaman dan berfikir
2) Jalan bekerja

Kaedah menyuburkan hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala melalui jalan kefahaman dan tadabbur ialah dengan cara saudara mempelajari Al-Quran dan Hadith Nabi Sallallahu’alaihiwasallam yang sahih dan sedaya upaya mengamatinya berulang-ulang kali dan seterusnya cuba memahaminya agar benar-benar faham. Langkah seterusnya ialah dengan mencuba sedaya upaya untuk mengamalkannya di dalam kehidupan. Apakah sudah terjalin hubungan di antara saudara dengan Allah Subhanahuwata’ala dalam kenyataan hidup sehingga setelah saudara ketahui sudut-sudut ini, saudara akan cuba bentangkan dan bandingkan dengan hal keadaan saudara. Maka bertambah eratlah hubungan saudara dengan Allah Subhanahuwata’ala. Maka untuk itu, hendaklah saudara memperhatikan segenap sudut. Sampai ke tahap manakah telah saudara laksanakan tuntutan-tuntutanNya? Apakah pula kekurangan-kekurangan pada diri saudara di dalam perkara ini? Sekadar mana dapat diperkuatkan perasaan ini di dalam diri saudara maka sekadar itulah hubungan saudara dengan Allah Subhanahuwata’ala.

Dalam konteks pertalian dengan Allah Subhanahuwata’ala, saudara adalah hamba manakalah Allah Subhanahuwata’ala adalah Tuhan (Rabb). Saudara dijadikan sebagai khalifahNya di bumi. Kemudian, daripada Allah Subhanahuwata’ala dipindahkan nikmat-nikmat dan pemberianNya yang tidak terkira kepada saudara. Bertolak daripada sini, setelah saudara beriman maka Allah Subhanahuwata’ala telah membeli jiwa dan harta saudara dengan syurga. Lalu daripada semua itu, saudara bertanggungjawab di hadapanNya. Allah Subhanahuwata’ala tidak menghisab amal-amal itu daripada segi zahir pekerjaan saudara sahaja, tetapi juga dicatat bersama-sama dengan perbuatan zahir itu gerak-geri, diam, niat dan kehendak saudara. Inilah antara banyak contoh-contoh pertalian yang telah sedia ada di antara saudara dengan Allah Subhanahuwata’ala. Berdasarkan kepada kefahaman ini, menjiwainya dan melaksanakan tuntutannya akan menentukan darjat hubungan dan taqarrub saudara denganNya. Sejauhmana saudara melalaikannya dan tidak memikirkan untuk menunaikan tuntutan-tuntutannya maka sekadar itulah saudara telah menjauhi Allah dan merenggangi hubungan denganNya. Semakin kuat saudara berjaga-jaga, berusaha untuk memelihara dan mengambil berat terhadap urusanNya, maka semakin teguh dan mendalamlah hubungan saudara dengan Allah Subhanahuwata’ala.

Namun, jalan berfikir ini tidak akan mendatangkan buahnya bahkan tidak mungkin kekal dalam jangka masa yang panjang sekiranya saudara tidak sandarkan kepada jalan amal iaitu ketaatan yang ikhlas terhadap hukum Ilahi serta membelanjakan jiwa dan harta kepada sebarang jalan yang obleh membawa mardhatillah Subhanahuwata’ala. Makna ketaatan kepada hukum Ilahi ialah melakukan segala apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala dengan penuh kerelaan jiwa di waktu senang dan susah, sunyi dan terang tanpa menghiraukan keuntungan dunia, malah hanya menghitung keredhaan Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Ketaatan kepada hukum-hukum Ilahi juga bererti meninggalkan sesuatu yang dibenci oleh Allah Subhanahuwata’ala di waktu sunyi dan terang dengan penuh rasa kebencian terhadap larangan itu. Jangan saudara jadikan desakan duniawi sebagai motif untuk meninggalkan larangan Allah Subhanahuwata’ala. Saudara tinggalkan setiap larangan itu adalah semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala. Inilah jalan yang mempertingkatkan darjat ketaqwaan saudara kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Dalam hal yang akan meningkatkan saudara ke darjat ihsan selepas darjat taqwa ialah dengan cara saudara berusaha mempertingkatkan setiap amal-amal keutamaan (fadhilat-fadhilat) yang dicintai oleh Allah Subhanahuwata’ala dan RasulNya. Menjauhi perkara yang tercela lagi dibenci oleh Allah Subhanahuwata’ala dan RasulNya. Janganlah saudara memandang ringan dan remeh di dalam hal membelanjakan apa yang dimiliki oleh saudara seperti jiwa, harta, masa, usaha, kekuatan fikiran dan kekuatan hati. Di samping itu, sentiasalah di dalam keadaan beringat, penuh keinsafan supaya tidak tumbuh di dalam hati saudara rasa sombong serta ujub dengan amal dan pengorbanan yang telah saudara lakukan sehingga melupai diri sendiri lalu terlintas di dalam hati perasaan seolah-oleh saudara telah berbakti dan berbudi kepada orang. Sebaliknya mestilah saudara rasai bahawa saudara terlalu sedikit dan terlalu kurang di dalam melaksanakan semua yang diwajibkan Allah Subhanahuwata’ala.

Rujukan:

Beberapa Peringatan Untuk Para Da’ie, S.Abul A’la Maududi.

No comments:

Post a Comment