Thursday, October 29, 2009

IMAN KEPADA ALLAH

HUBUNGAN YANG PERTAMA:
IMAN KEPADA ALLAH SUBHANAHUWATA’ALA

Allah Subhanahuwata’ala telah meletakkan amanah Iman, iaitu tanggungjawab yang paling besar ke atas kita supaya kita sentiasa menghubungkan diri dengan Yang Maha Esa, Allah Subhanahuwata’ala, tempat bergantung dan menyerah diri dan segala sesuatu datangnya daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, adalah milik Allah Subhanahuwata’ala. Inilah hubungan yang pertama yang mesti lahir di dalam jiwa kita. Hubungan yang besar dan luas, seluas alam semesta ini. Ikatan perhubungan di antara yang dicipta ( makhluq ) dengan Yang Maha Pencipta ( Khaliq), Allah Subhanahuwata’ala. Hakikat keimanan ini perlulah meresapi , menjiwai sehingga ianya sebati dalam lubuk hati. Inilah hakikat hubungan yang pertama yang dituntut oleh Allah Subhanahuwata’ala sehinggalah perhubungan ini dapat melahirkan keberkesanannya di dalam kenyataan hdup kita. Ia juga merupakan titik permulaan hidup manusia. Ini bererti setiap perkembangan hidup kita itu mestilah terpancar daripada asas perhubungan yang bersih ini.

Sejarah hubungan ini telah bermula sejak terciptaya manusia yang pertama di muka bumi iaitu Nabi Adam ‘Alaihissalam dan dari saat itulah bermulanya sejarah hidup manusia itu sendiri. Sejarah hidup manusia ini mestilah selaras dengan hakikat penciptaan manusia dan alam ini sepertimana yang dikehendaki oleh Allah Subhanahuwata’ala Yang Maha Pencipta danMaha Pengatur segala sesuatu. Allah Subhanahuwata’ala Yang Maha Mengetahui untuk sampai kepada satu tahap kefahaman dan kesedaran yang sebenarnya tentang hakikat kejadian manusia dan pencipta alam ini. Maka perlunya manusia itu kepada taufik dan hidayah daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Manusia diciptakan oleh Allah Subhanahuwata’ala dalam serba kekurangan dan kelemahan itu tidak akan mampu untuk menyelami rahsia dirinya sendiri dan rashia di sebalik alam ini. Apa lagi untuk mengetahui sesuatu yang ghaib atau yang tersembunyi.

Dengan rahmat dan nikmat kurniaan Allah Subhanahuwata’ala maka kita dipermudahkan untuk dapat berhubung dengan kebenaran yang hakiki, dengan Yang Maha Esa. Maka dengan itu diutuskan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sebagai pembawa berita gembira dan peringatan. Allah Subhanahuwata’ala telah mengutuskan rangkaian para Nabi dan Rasul dari sejak terciptanya manusia yang pertama sehinggalah kepada Rasul yang terakhir Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam, adalah luntuk menyelamatkan manusia dari kegelapan ( kesesatan ) kepada keterangan ( kebenaran ). Setiap risalah yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul adalah untuk menjelaskan hakikat kewujudan manusia di atas muka bumi ini iaitu untuk menegakkan kedaulatan ( kekuasaan ) Allah Subhanahuwata’ala di muka bumi ini sehinggalah terlaksananya perintah Allah Subhanahuwata’ala dan ajaran-Nya.

Di dalam al Quran banyak sekali diperjelaskan kenyataan ini. Bahkan Allah Subhanahuwata’ala tidak segan atau jemu mengulanginya di setiap masa dan ketika terutama pada ayat-ayat yang diturunkan di Makkah. Inilah intisari yang terkandung di dalam al Quran al Karim. Ini merupakan persoalan pokok atau dasar di dalam Manhaj Tarbiyyah al Quran al Karim. Sekarang marilah kita dekati dengan beberapa ayat dari kitab suci tersebut. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Apakah mereka diciptakan tanpa sesuatupun ataukah mereka yang menciptakan ( diri mereka sendiri )?. Ataukah mereka telah menciptakan langit dan bumi itu , sebenarnya mereka tidak meyakini ( apa yang mereka katakan ). “
( Surah ath Thuur : 35-36 )

“Hai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertaqwa. Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air ( hujan ) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui “
( Surah al Baqarah : 21-22 )

“Allahlah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu beristirehat padanya; dan menjadikan siang terang benderang. Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia yang dilimpahkan atas manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. Yang demikian itu adalah Allah, Tuhan mu, Pencipta segala sesuatu. Tiada Tuhan ( yang berhak disembah ) melainkan Dia; maka bagaimanakah kamu dapat dipalingkan ? Seperti demikianlah dipalingkan orang-orang yang selalu mengingkari ayat-ayat Allah. “
( Surah al Mu’min : 61-63 )

“ Allah lah yang menjadikan bumi bagi kamu tempat menetap dan langit sebagai atap, dan membentuk kamu lalu membaguskan rupamu serta memberi kamu rezeki dengan sebahagian yang sebaik-baik, Yang demikian itu adalah Allah Tuhan mu, Maha Agung Allah, Tuhan semesta alam. Dialah Yang Hidup kekal, tiada Tuhan ( yang berhak disembah ) melainkan Dia; maka sembahlah Dia dengan memurnikan ibadah kepada Nya. Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. “
( Surah al Mu’min : 64-65 )

Inilah hakikat seruan dan laungan setiap para Nabi dan Rasul yang datang silih berganti itu, kepada umat-umat mereka. Beginilah Allah Subhanahuwata’ala dengan limpah kurnianya meyakinkan kita akan hubungan kita dengan Nya adalah sesuatu yang sangat dihajati ( dharuri ). Tanpa terjalin hubungan ini hidup kita kosong, sesat , rugi semata-mata. Begitulah berhajatnya kita kepada Allah Subhanahuwata’ala

Menyedari akan hakikat ini, maka kita telah membuat pilihan untuk menerima keseluruhan apa yang telah disarankan oleh Allah Subhanahuwata’ala kepada kita agar hubungan hati, pemikiran dan tingkah laku kita sentiasa lahir daripada hubungan yang fitrah ini. Inilah yang akan kita semaikan dan tanam di segenap ruang hati dan sanubari kita, supaya perhubungan ini sentiasa jelas dan rapat akan bertambah dekat (yakin ) dari masa ke semasa.

Allah Subhanahuwata’ala menjadikan tanggungjawab ini sebagai tanggungjawab bersama. Ia merupakan matlamat hidup bagi setiap orang yang beriman. Hubungan kita dengan Allah Subhanahuwata’ala itu perlulah sentiasa terjalin rapat sehingga rasa hati kita sebati dengan kehendak-kehendak Allah Subhanahuwata’ala. Kita perlu selaraskan rasa hati kita dengan kehendak syara’. Yang baik ialah yang dikatakan baik oleh syara’, yang buruk ialah apa yang dikatakan buruk oleh syara’.

Oleh itu kita perlu mendidik dan melatih diri kita untuk mengasihi kepada apa yang disuruh kasihkan dan membenci kepada apa yang disuruh bencikan. Kita membiasakan hati kita untuk suka dan menggemari apa yang disukai oleh Allah Subhanahuwata’ala serta membenci dan menolak apa yang dimurkai oleh Allah Subhanahuwata’ala. Setiap apa yang dikatakan mungkar itu hendaklah kita menolaknya kerana itu adalah kemungkaran dan yang makruf itu kita terima kerana itu adalah kemakrufan.

Inilah hakikat yang nyata bagi kita bahawa setiap kebenaran itu datangnya dari Allah Subhanahuwata’ala dan janganlah hati dan jiwa kita meraguinya. Di mana sahaja kita perlu merasakan perhubungan dengan Yang Maha Esa, yang mengatur semua urusan hidup.

Kita merasa bertanggungjawab pada diri kita dan saudara kita yang sedar dan insaf untuk mengujudkan suasana-suasana yang sentiasa memudahkan kita untuk mendekatkan hati kita kepada Allah Subhanahuwata’ala Suasana yang dimaksudkan di sini ialah suasana yang Islamik, yang holeh sentiasa membantu kita untuk sedar dan insaf serta sentiasa bersedia mengambil Allah Subhanahuwata’ala sebagai Ilah dan Rabb bagi kita. Allah Subhanahuwata’ala tempat bergantung, tempat menyerah dan tempat mengharapkan sesuatu.

Kita perlu mengujudkan suasana yang menunjukkan keagungan Allah Subhanahuwata’ala, ke Esaan Allah Subhanahuwata’ala yang berkesan kepada hati kita untuk bertaqwa kepada Nya dan sentiasa berpegang kepada nilai yang telah ditentukan Nya.

Kita ingin melatih dan mendidik diri kita kepada melengkapi syarat-syarat keIslaman seperti yang dikehendaki oleh Allah Subhanahuwata’ala atau dengan lain perkataan, syarat-syarat sebagai hamba Allah Subhanahuwata’ala dalam ertikata yang sebenarnya, yang mampu melaksanakan tuntutan ‘Ubudiyyah tersebut.

Ini bererti kita perlu memiliki persediaan hati untuk memampukan kita melakukan setiap apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala serta menjauhi segala laranganNya. Hakikat perhambaan atau pengabdian ini hanya dapat lahir apabila jelas hubungan hati kita dengan Allah Subhanahuwata’ala sepertimana yang dapat kita lihat pada diri para Nabi dan para Rasul serta pengikut-pengikut ( umat-umat ) mereka yang setia itu. Setiap nilai hidup hendaklah kita hubungkan dengan syarat-syarat keIslaman ini hingga ianya menjadi sebati di dalam hati dan lahir pula dalam tingkahlaku di segenap bidang.

Kita perlu duduk bersama dengan saudara-saudara kita yang ikhlas hatinya, yang ada persediaan hati dan jiwa yang dikosongkan untuk menjalani didikan yang boleh membawa kita kepada matlamat yang suci murni ini iaitu untuk menerima kedaulatan Allah Subhanahuwata’ala Yang Maha Esa tanpa berbelah bagi atau menyekutukan Allah Subhanahuwata’ala dengan yang lain. Inilah tugas yang besar yang dipikulkan ke atas setiap dari kita. Kekuatan hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala sahajalah yang menjadi tenaga untuk menggerakkan hati dan rasa , pemikiran dan tingkah laku sejajar dengan syarat-syarat keIslaman ataupun hakikat perhambaan yang sebenarnya.

Inilah tenaga penggerak yang akan mencorak dengan corakan Allah Subhanahuwata’ala (Sibghah Allah Subhanahuwata’ala) walaupun di tempat yang sunyi ataupun di khalayak ramai, gelap atau terang, susah atau senang. Bahkan di mana sahaja atau di setiap masa. Dalam keadaan apa sekalipun. Ini jelas kita dapati apabila kita dekati dengan sirah perjalanan hidup Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat yang murni itu walaupun dalam suasana mereka terpaksa menghadapi berbagai ujian dan rintangan.

Proses pendidikan seperti inilah yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ke atas diri para sahabat yang dikenali sebagai Generasi al Quran tersebut, sehingga lahirlah satu golongan yang beriman yang diiktiraf oleh Allah Subhanahuwata’ala sendiri. Mereka adalah menjadi ikutan kita semua. Contoh dari ikutan itu ialah keimanan mereka, tentang bagaimana mereka berhubung dengan Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul Nya, tentang keyakinan mereka, cara berfikir dan contoh tingkah laku mereka . Ini semua menjadi contoh kepada kita. Kita perlu yakin dan jelas akan hakikat ini sekiranya kita ingin mengikuti jejak langkah mereka.

Jika mereka telah mendekati dengan proses yang pertama tadi sebagai titik tolak dalam melaksanakan ‘Ubudiyyah kepada Allah Subhanahuwata’ala, maka kita juga menerima hakikat ini sebagai suatu yang prinsip dan yang utama.

Kita perlu mendekati dengan didikan al Quran sepertimana mereka mendekati, perlu merasai sebagaimana yang mereka rasai, yakin sebagaimana yang mereka yakin. Sehingga segala pemikiran dan tingkah laku kita selaras dengan kehendak Allah Subhanahuwata’ala Selaras dengan contoh kita yang unggul tersebut. Itulah Generasi al Quran Yang Unik.

Wallahu ‘alam.

No comments:

Post a Comment