Wednesday, October 28, 2009

RACUN-RACUN DALAM PERGAULAN

Semua maksiat dikira racun kepada hati manusia. Maksiat akan menyebabkan hati manusia sakit. Apabila hati manusia diracuni maka dia akan menjadi keras.

Abdullah Al Mubarak berpesan: “Aku dapati dosa itu mematikan hati.”

Seseorang itu akan mewarisi kehinaan sekiranya dia ketagih mem­buat dosa. Tinggalkan dosa akan menghidupkan hati. Oleh itu adalah sangat baik bagi diri kamu untuk mendurhakai dosa. Bukan­nya mendurhakai Allah Subhanahuwata’ala. Siapa yang hendakkan hatinya selamat maka hendaklah dia bersihkan daripada racun-racun.

Antara racun-racun itu ialah racun dalam percakapan, racun dalam penglihatan, racun dalam makanan dan racun dalam pergaulan.

Kali ini Insya Allah kita akan melihat racun dalam pergaulan. Pergaulan yang beracun

Ada pergaulan yang menjadi penawar dan ada juga yang menjadi racun. Untuk mengawasi pergaulan kita maka kita perlu mengenal­pasti manusia atau masyarakat.

Terdapat 4 jenis manusia dalam konteks pergaulan:

1. Manusia yang apabila bergaul dengan mereka umpama makanan yang berzat. Pergaulan dengan mereka seperti mengambil makanan daripa­da pergaulan itu.

Mereka itu orang-orang yang bersih. Orang-orang yang mengambil berat tentang maslahat manusia. Mereka juga orang yang alim dan tahu tentang din, mengenali penyakit hati, mengerti tentang musuh, mengenali ubat hati dan sentiasa nasihat menasihati. Orang-orang yang seperti inilah diibaratkan seperti makanan yang berzat. Orang-orang yang seperti ini perlu dijadikan kawan dan digauli.

Golongan seperti ini perlu dicari untuk menjaga keselesaan roha­ni. Mereka memberi makanan kepada rohani. Mereka sentiasa menjadi panduan. Sebahgian anggota masyarakat kini tidak suka kepada orang yang seperti ini. Akibatnya, racun akan terus menyerap masuk ke dalam diri mereka.

2. Manusia yang apabila bergaul dengan mereka ibarat seperti ubat. Umpama doktor, kita perlu terhadapnya sewaktu sakit. Pada masa tertantu (apabila sakit) kita perlu berjumpanya untuk menda­patkan ubat.
Ini berkaitan dengan maslahat hidup kita seharian. Apabila kita menghadapi masalah atau kebuntuan maka kita boleh pergi berjumpa orang seperti ini.
3. Manusia yang apabila bergaul dengan mereka akan membawa berba­gai-bagai penyakit. Terdapat penyakit yang berperingkat-pering­kat.

Mereka adalah orang-orang yang berbuat bid’ah dan orang-orang yang berbuat dosa. Apabila kita berjumpa orang yang seperti ini maka kita perlulah berhati-hati. Perlu bijaksana menjaga diri supaya tidak dijangkiti. Sebaliknya, kita perlu menjadi seperti doktor yang membawa ubat pula kepada mereka.

Mereka tidak akan memberi keuntungan kepada kita samada untuk diri, dunia mahu pun akhirat sehingga mereka sembuh daripada penyakit itu.

Kita, apabila mendekati mereka perlulah bersikap seperti doktor yang cuba mengubati.

Termasuk dalam golongan ini:
a. Mereka yang bercakap, tetapi percakapan itu tidak ada faedah.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ada menjelaskan:
“Sesiapa yang beriman pada Allah dan Hari Akhirat hendaklah bercakap yang baik atau duduk diam sahaja.

b. Orang yang mendengar tetapi tidak dapat atau tidak mahu men­gambil faedah daripada pendengarannya. Dia datang sebagai penden­gar tetapi tidak mengambil faedah. Ini dikira kuman yang perlu diubati (misalnya tidur semata-mata, membuang masa dan membuang tenaga).

c. Orang yang tidak mengenal diri. Apabila berada dalam masyara­kat maka dia tidak mengenal dirinya. Dia tidak tahu meletakkan diri di tempat yang betul. Lalu dia larut dalam masyarakat.

d. Orang yang memberi nasihat tetapi tidak tahu adab-adab memberi nasihat. Dia tertipu dengan percakapannya sendiri.

4. Manusia yang apabila bergaul maka mereka merosakkan sama sekali. Pergaulan dengan mereka ibarat memakan racun. Pergaulan dengan mereka akan membinasakan diri. Golongan seperti ini memang banyak terdapat dalam masyarakat kini. Kita memohon kepada Allah supaya tidak dirosakkan oleh manusia atau golongan ini.

Mereka termasuklah:
a. Ahli bid’ah yang menyesatkan manusia.
b. Orang yang menyekat sinar din Allah Subhanahuwata’ala.
c. Orang yang mengajak menentang kebenaran atau sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.
d. Orang yang menganggap sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam itu bid’ah.

Golongan seperti ini tidak boleh sama sekali dijadikan kawan pergaulan. Sekiranya kita bergaul juga dengan mereka maka jiwa kita perlu mempunyai benteng yang kukuh. Jika tidak mereka akan boleh membawa penyakit, jiwa akan mati dan akan berlaku kemudha­ratan yang besar.

Oleh: Abu Muhammad

No comments:

Post a Comment