Saturday, October 31, 2009

ERTI MENERIMA ISLAM

Ragam manusia hari ini menerima Islam

Ramai orang telah berpuas hati dengan mengakui menganut Islam. Persoalan yang kita perlu fikirkan, apakah telah memadai dengan pengakuan sahaja? Jawapannya, apabila kita menganut din Islam tidaklah memadai dengan pengakuan sahaja tanpa memenuhi tuntutan-tuntutannya.

Ramai juga orang yang menganggap bahawa apabila ibubapa mereka Islam maka mereka pun terus menjadi Islam sebenar walau pun tidak melaksanakan hak-haknya. Sesungguhnya, Islam itu bukanlah suatu warisan. Juga, Al-Quran bukanlah suatu warisan daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam semata-mata. Al Qur’an merupakan kitab Allah Subhanahuwata’ala yang diturunkan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam untuk difahami dan dijadikan panduan hidup ummat manusia.

Ramai juga orang yang memeluk Islam seperti suatu hobi atau suatu fesyen yang mempamerkan diri secara zahir sahaja melalui pakaian atau beberapa amal ibadah seperti solah.

Erti menerima Islam

Islam adalah din (peraturan hidup) yang ditentukan Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala yang menjaga kepentingan Islam. Manusia yang menerima Islam bererti mengambil Allah Subhanahuwata’ala sebagai Ilah dan Rabb. Dia tidak mempunyai pilihan lain melainkan mesti melahirkan Islam dalam praktik kehidupan meliputi semua lapangan hidup

Manusia yang menolak Islam bererti menolak Allah Subhanahuwata’ala sebagai Ilah. Bermakna, dia telah memindahkan Ilahnya daripada Allah Subhanahuwata’ala kepada yang lain, berkemungkinan hawa nafsu atau pemikiran atau perasaan atau syaitan serta kuncu-kuncunya.

Sesungguhnya apabila seseorang memeluk Islam, dia mestilah menganut Islam sepenuhnya, iaitu dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Apa sahaja yang dilakukannya samada berfikir, bercakap dan bertindak mestilah mengikut cara Islam. Begitu juga, daripada urusan peribadi hinggalah urusan pemerintahan mestilah mengikut cara Islam. Dengan kata lain, semua tingkahlakunya hendaklah tidak terkeluar daripada Islam. Apabila seseorang memeluk Islam, dia mestilah berpegang teguh dengannya dalam apa keadaan sekali pun. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah menggambarkan bahawa di akhir zaman seorang muslim mesti berpegang dengan sunnah baginda walau pun hingga terpaksa menggigitnya dengan geraham sampai mati.

Kita perlu memenangkan Islam dalam setiap masa dan tindakan. Kita perlu berkeyakinan penuh bahawa Islam mempunyai masa depan yang cemerlang. Masa depan adalah untuk Islam, bukan untuk sistem hidup yang lain.

Sesuaikan diri dengan Islam

Manusia yang menerima Islam mestilah menyesuaikan diri dengan Islam. Adalah suatu kesilapan bagi orang yang menyesuaikan Islam dengan kehendak dirinya. Atau dia mengambil Islam sebagai tempelan-tempelan sahaja dan tidak mengambil Islam sebagai suatu cara hidup yang syamil dan kamil.

Islam adalah din yang lengkap dan menyeluruh yang ditentu dan diturunkan Allah Subhanahuwata’ala. Islam mencakupi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia. Manusia yang menerima Islam mestilah menyesuaikan dirinya dengan kehendak Islam dalam semua urusan kehidupan.

Hati yang cemas

Din Islam tidak lahir dalam praktik hidup masyarakat kini. Hati yang beriman perlu merasa cemas apabila melihat sistem Islam tidak wujud di muka bumi. Hati yang cemas tidak akan berdiam diri daripada bertindak untuk menyelamatkan manusia yang berada dalam keadaan sedemikian. Sesungguhnya hati yang beriman hendaklah mengambil Islam sebagai sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Pada masa yang sama mengenepikan sistem-sistem hidup yang lain secara keseluruhannya. Islam tidak mungkin dapat mengisi suatu tempat yang masih terisi sistem jahiliyyah kecuali tempat itu dikosongkan dahulu.

Hati-hati akan berkumpul

Hati yang sedar dan insaf mula mencari hati-hati yang turut merasai hakikat yang sama. Mereka akan berhubung dan berkumpul untuk membentuk suatu kehidupan yang diredhai Allah Subhanahuwata’ala. Inilah tindakan hati-hati yang beriman. Allah Subhanahuwata’ala mengetahui segala rahsia hati. Mereka berkumpul semata-mata untuk mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Mereka gugurkan segala tujuan yang lain.

Wajib mengikuti jalan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam

Islam tidak akan lahir semula melainkan dengan mengikuti jalan yang asal. Jalan yang asal ialah jalan yang telah dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang dibimbing oleh Allah Subhanahuwata’ala. Kita mesti faham dan yakin kepada jalan Rabbani ini. Ia dirancang oleh Pencipta Din itu sendiri. Kita tidak berhak untuk membuat sebarang pindaan terhadap cara (uslub)nya. Kita hanya wajib untuk mematuhi dan mengikut jalan-jalan yang telah dianjurkan itu.

Kita mestilah bermula dengan langkah yang telah di mulakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Jalan tarbiyyah yang kita perlu ikuti ialah jalan tarbiyyah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Tarbiyyah Islamiyyah memerlukan hati-hati yang menyerah sepenuhnya untuk dididik. Hati-hati yang tidak diserahkan sepenuhnya kepada tarbiyyah Islamiyyah tidak akan berkesan dengan sempurna. Ini kerana hati-hati itu sedang mengalami penyakit-penyakit hati seperti sombong, takabbur, riya’ dan sebagainya.

Begitu juga, Islam sebagai din bukanlah boleh diwujudkan dalam praktik hidup secara kebetulan tetapi ia adalah satu natijah (hasilan) daripada tarbiyyah (pendidikan). Tarbiyyah yang dirancang, direncana dan disusun dengan rapi serta berhati-hati dan melalui ransangan-ransangan serta bimbingan-bimbingan yang bertujuan untuk melahirkan manusia yang Islam dalam pemikiran, aqidah, akhlaq, jiwanya dan segala tindakan.

Islam perlukan pejuang

Sesungguhnya setiap sistem memerlukan rijal-rijal (pejuang-pejuang). Marilah kita menyahut panggilan untuk menjadi pejuang-pejuang Din Islam, bukan pejuang-pejuang taghut. Allah Subhanahuwata’ala akan membantu orang yang membantu Din-Nya.

ISLAM PILIHAN KITA

Islam merupakan din yang kita akui sebagai ikutan kita. Kita diperintahkah supaya hidup dengan din ini. Hanya dengan Islamlah kita mendapat kehidupan yang hakiki, sedangkan selainnya adalah kepalsuan dan kebatilan.

Ta’rif Islam, sebagaimana yang dijelaskan oleh Doktor Abdul Karim Zaidan, bermaksud patuh dan menyerah kepada perintahan Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Patuh, tunduk dan menyerah ini perlu lahir daripada jiwa yang sedar dan insaf, iaitu jiwa yang memahami ilmu-ilmu Islam yang benar dan sahih.

Dua pilihan

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensuciakn jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.”
-Surah asy-Syams: ayat 8-10.

Manusia diberikan aqal untuk membuat pilihan. Bebas untuk memilih satu daripada dua jalan yang disediakan. Natijah daripada pemilihan itu akan menentukan hakikat kehidupan di akhirat kelak. Di sinilah kita perlu berfikir panjang.

Mereka yang memilih Islam bererti memilih kehidupan yang bahagia di akhirat kelak dengan izin Allah Subhanahuwata’ala. Memilih Islam bermaksud ciri-ciri Islam tertegak dalam tingkah laku, peribadi, percakapan dan sebagainya. Juga seluruh kehidupan mempunyai hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala, iaitu melalui hubungan dengan syara’ atau hubungan dengan ajaran Islam. Maknanya perbuatan seseorang muslim mewakili keperibadian Islam sepertimana yang Allah Subhanahuwata’ala kehendaki. Sekiranya pilihan mereka tidak betul, iaitu tidak memilih Islam bahkan memilih jalan lain, hasilnya mereka akan mendapat pembalasan dan penderitaan yang hebat daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Terpulanglah kepada kita untuk memilih satu daripada dua jalan itu. Allah Subhanahuwata’ala telah menjelaskan dua tempat khas akibat daripada pemilihan itu. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan saleh, maka bagi mereka syurga tempat kediaman sebagai pahala terhadap apa yang mereka kerjakan. Dan adapun orang-orang yang fasiq maka tempat mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak keluar daripadanya mereka dikembalikan lagi ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka: Rasakanlah siksaan neraka yang dahulu kamu dustakan.”
-Surah as-Sajadah: ayat 19-20.

Pemilihan secara sedar

Kembali kepada ta’rif Islam, iaitu tunduk, patuh dan menyerah kepada Allah secara sedar dan insaf, maka seseorang yang memilih Islam sebagai jalan hidup, sebenarnya telah berkorban untuk mengenepikan jalan-jalan lain secara sedar dan insaf juga. Atas pengorbanan inilah Allah Subhanahuwata’ala menyediakan balasan syurga. Balasan ini diberi berdasarkan pengorbanan yang betul dan pemilihan yang betul.

Berbeza dengan makhluk Allah Subhanahuwata’ala yang lain seperti air, pokok, dan api yang sememangnya telah sedia patuh, tunduk dan taat kepada sistem Allah Subhanahuwata’ala secara terpaksa. Ini tidak menimbulkan apa-apa balasan buruk atau baik.

Bagi manusia Allah Subhanahuwata’ala telah kurniakan iradah, akal, hati dan perasaan yang boleh dipertanggungjawabkan untuk membuat pilihan. Kita diberikan peluang untuk memilih jalan yang disediakan, samada untuk tunduk, patuh dan taat atau sebaliknya. Pemilihan manusia berdasarkan kesedaran dan keinsafan yang bertitik tolak daripada hatinya sendiri. Allah Subhanahuwata’ala telah membentangkan garis panduan yang jelas melalui Al Qur’an dan As Sunnah NabiNya. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam jiwa mereka.”
-Surah ar-Ra’d: ayat 11.

Demikianlah, manusia hanya ada dua pilihan dalam kehidupan dunia ini samada memilih jalan hidup yang berdasarkan peraturan yang Allah Subhanahuwata’ala tetapkan atau memilih jalan hidup yang berdasarkan peraturan al-Hawa’ (peraturan yang disusun oleh hawa nafsu manusia).

Menghayati pemilihan

Apabila seseorang itu memilih Islam sebagai dinnya maka dalam praktik hidupnya dia harus memperjelaskan, mengiklankan dan mempersaksikan amal perbuatan Islam walau di mana sahaja dia berada. Tidak kira samada di pejabat, di sawah, di sekolah, di padang, di bilik air atau seumpamanya. Tidak kira apa profesionnya samasa sebagai pelajar, pensyarah, petani, juru rawat, doktor, menteri atau seumpamanya. Dia mestilah sentiasa berada di atas dasar keperibadian Islam yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Dia mesti melahirkan sifat-sifat kepatuhan, ketundukan, ketaatan dan penyerahan kepada peraturan Islam yang telah Allah Subhanahuwata’ala gariskan.

Kepatuhan, ketundukan, ketaatan dan penyerahan itu mestilah pula dalam bentuk yang menyeluruh meliputi setiap urusan hidup. Kepatuhan kepada sebahagian sahaja daripada sistem Islam tidak dikira sebagai hakikat kepatuhan yang sebenarnya. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Barangsiapa yang mencari selain Islam sebagai cara hidupnya, maka sesekali tidak diterima daripadanya (tindakan tersebut) dan di akhirat kelak dia termasuk ke dalam orang-orang yang rugi.”
-Surah Ali ‘Imran: ayat 85.

Orang yang menyerah diri sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwata’ala itulah yang sebenarnya telah menerima hakikat pemilihan Islam. Memilih Islam dalam cara hidup dan penghayatan, barulah dikatakan sebagai pemilihan yang tepat dan betul.

Kesimpulan

Pemilihan yang tepat adalah dengan penyerahan seluruh jiwa dan anggota kepada Allah Subhanahuwata’ala. Bila berlaku penyerahan sedemikian, InsyaAllah akan lahirlah corak kehidupan yang dikehendaki Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala akan Memimpin, Mengatur, Memandu dan Menunjuki kepada corak kehidupan Islam yang sebenar.

AR-RASUL QUDWATUNA (RASUL IKUTAN KITA)

MUQADDIMAH

Tugas para Rasul ialah menyeru, menyedar dan membentuk manusia agar beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala. Atau, dengan kata lain, mengajak dan membentuk keperibadian manusia agar tunduk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Tugas atau peranan ini dilaksanakan oleh para rasul terhadap umat masing-masing. Muhammad Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pula melaksanakannya terhadap seluruh manusia. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyeru) : Sembahlah Allah (sahaja) , dan jauhilah taghut itu. Manakala di antara umat itu ada orang-orang yang diberikan petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi ini dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakakan (rasul-rasul)"
(Surah An Nahl ayat 36)

Al-Quran telah mengarahkan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam supaya mendidik hati, fikiran, perasaan, tingkahlaku dan akhlak manusia ke paras yang lebih tinggi dan mulia. Seterusnya, membentuk ummah dan membina daulah. Itulah hakikat Rasul diutuskan. Itulah contoh yang terbesar.

Hasilnya, dengan kurniaan Allah Subhanahuwata’ala jua, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah berjaya mengubah corak hidup manusia yang serba pincang kepada corak hidup yang sempurna, aman, damai, bahagia dan bercahaya di bawah sistem yang ditanzilkan Allah Subhanahuwata’ala. Akhlak dan keperibadian Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memainkan peranan utama dalam perlaksanaan tanggungjawabnya. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Adalah pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagi sesiapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah dan Hari Akhirat, dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya".
(Surah Al Ahzab ayat : 21)

PERANAN KITA KINI

Dalam rangka mencontohi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, peranan kita kini ialah melaksanakan da'wah kepada Allah Subhanahuwata’ala kemudian berusaha membentuk ummah.

Setiap individu muslim wajib melaksanakan tugas ini mengikut kemampuan dan keahlian masing-masing. Al Qur'an sangat menuntut kita agar melaksanakan kewajipan tersebut. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan setengahnya mereka menjadi pembantu kepada setengah yang lain, mereka bersama-sama menyuruh ke arah kebaikan dan melarang daripada kemungkaran, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana ."
(Surah At-Taubah ayat : 71)

Kewajipan itu tidak akan gugur ke atas setiap muslim selagi mana sistem ilahi tidak terlaksana di bumi. Selagi mana kemungkaran menodai syari'at Allah Subhanahuwata’ala sewenang-wenangnya dan selagi mana bumi Allah Subhanahuwata’ala tidak dapat dimakmurkan dengan amalan-amalan soleh maka selagi itulah kewajipan itu mesti dilaksanakan.

UMAT ISLAM KEHILANGAN CONTOH YANG AGUNG DARI RASULULLAH SALLALLAHU’ALAIHIWASALLAM

Umat Islam kini diselubungi jahiliyyah sebagaimana berlaku di zaman permulaan da'wah Islamiyyah dahulu. Jahiliyyah sudah menyerap ke dalam hati nurani, fikiran, perasaan, tindakan dan akhlak orang-orang Islam sendiri. Ini menyebabkan seolah-olah orang-orang Islam telah kembali ke zaman Jahiliyyah.

Mujahid terkenal zaman ini, Sa'id Hawwa, dalam bukunya Jundullah Thaqafatan Wa Akhlaqan, menerangkan tentang fenomena (irtidad) kembali ke zaman jahiliyyah telah berlaku di kalangan orang-orang Islam sendiri.

Asy-Syahid Sayyid Qutb pula menegaskan bahawa di zaman ini terdapat kalangan mereka yang mengakui keagungan Allah Subhanahuwata’ala, sekaligus mengakui pula kekuasaan dan kemampuan manusia seolah-olah Allah Subhanahuwata’ala dan manusia bersaing hebat berlumba-lumba mencapai kebebasan di alam ini.

Inilah antara ciri-ciri jahiliyyah yang telah meresapi jiwa, perasaan, pemikiran dan perilaku orang-orang Islam. Hal ini akan berlanjutan kiranya kita tidak berusaha untuk mengembalikan hakikat yang hilang daripada kita dan orang-orang Islam. Antara kehilangan yang besar pada hari ini ialah kehilangan contoh tauladan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam Contoh yang agung, lengkap dan merangkumi semua ruang lingkup kehidupan.

USLUB YANG MENCONTOHI RASULULLAH SALLALLAHU’ALAIHIWASALLAM

Di kalangan umat Islam terdapat mereka yang menyedari akan hakikat jahiliyyah yang menguasai dunia. Justeru itu, samada di dunia Islam atau di dunia bukan Islam, telah timbul berbagai-bagai gerakan Islam. Kebangkitan ini lahir daripada kesedaran bahawa umat Islam mesti berperanan dalam kepimpinan untuk menegakkan penyelesaian yang adil bagi menghadapi permasalahan atau krisis hidup manusia yang kian meruncing akibat ketidaksempurnaan sistem ciptaan manusia.

Kebangkitan gerakan-gerakan Islam itu amat membanggakan. Namun apa yang menjadi tanda tanya ialah tentang uslub yang digunakan. Adakah gerakan-gerakan itu berpandukan kepada uslub yang telah dilalui Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda Radhillahu’anhum? Uslub ini telah membawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda Radhiallahu’anhum mencapai kejayaan yang paling besar di sisi Allah Subhanahuwata’ala

Mujahid Fathi Yakan menjelaskan bahawa uslub gerakan Islam adalah suatu yang susah ialah wujudnya berbagai-bagai aliran, khususnya, aliran-aliran yang menekankan aspek tertentu (yang juz'i) tanpa menekan sifat-sifat takamul (kesyumulan Islam) yang sebanarnya. Penekanan secara juz'i cepat sekali berkembang. Sebenarnya amal juz'i adalah amal yang senang dan cepat berkembang, tetapi cepat pula gagal apabila menempuh suasana yang menekan. 'Amal Kulli, 'Amal Islam yang Kamil, 'Amal yang Mutawazin dan menyeluruh berlandaskan contoh kepimpinan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam merupakan 'amal yang agak lambat berkembang dan sukar mendapat sambutan yang besar. Ini kerana ia melalui proses yang terperinci berserta matlamat yang besar untuk mengubah secara keseluruhan, bukan untuk menampung mana-mana yang bocor dan berlubang.

NATIJAH KEPIMPINAN DAN CONTOH RASULULLAH SALLALLAHU’ALAIHIWASALLAM

Kepimpinan dan contoh yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah memperlihatkan 'Amal Kulli dan Mutawazin. Amal yang merangkumi semua aspek kehidupan baik dari sudut fikri mahu pun dari sudut siasi.Natijahnya, lahirlah satu ummah yang terpimpin dengan roh al-Quran. Al Qur'an sentiasa mengalir di dalam jiwa-jiwa mereka dan memimpin hati-hati mereka hingga tunduk dan patuh kepada Allah Subhanahuwata’ala dan rasulNya sahaja. Natijahnya juga, mereka tidak memilih nilai-nilai yang lain selain daripada nilai yang telah diajar oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Mereka telah mempersaksikan keperibadian yang agung dan tinggi hingga keperibadian itu tidak terjejas apabila bertembung dengan berbagai-bagai suasana. Mereka tetap beradab dengan Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya samada sewaktu senang atau susah, aman atau damai, bahkan dalam suasana perang dan genting. Contohnya dalam satu peperangan Allah Subhanahuwata’ala menceritakan keadaan mereka:
Terjemahannya:
"Tiada do'a mereka selain daripada ucapan: Ya Rabb kami ampunilah akan dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan yang berlebih-lebihan, tetaplah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir."
(Surah Ali Imran ayat : 147)

Betapa tinggi adab mereka dengan Allah Subhanahuwata’ala . Mereka tidak meminta sedikit pun nikmat kesenangan pahala dan balasan dunia. Mereka hanya meminta supaya Allah Subhanahuwata’ala mengampunkan dosa-dosa mereka dan menetapkan pendirian mereka serta memberi pertolongan ke atas meraka terhadap orang-orang kafir. Tindakan mereka itu menterjemahkan keyakinan mereka kepada pimpinan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam Mereka mengambil Rasul sebagai contoh untuk membentuk keperibadian mereka sendiri.

TUNTUTAN BERIMAN KEPADA RASULULLAH SALLALLAHU’ALAIHIWASALLAM

Apabila kita beriman kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam , wajiblah kita tunduk dan patuh kepada apa yang dibawanya dan menjauhi apa yang dilarangnya tanpa merasa tertekan, malu, segan, berat atau susah. Juga tanpa mempertimbangkan samada sesuai atau pun tidak sesuai. Jika kita ragu, membantah dan melaksanakan sebahagian sahaja suruhan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maka keadaan ini sudah tentu berlawanan dengan keimanan, ikrar, janji dan bai'ah kita kepadanya. Sesungguhnya keimanan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menuntut kita taat, patuh dan mencontohi contoh teladannya yang mulia. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan taatilah Allah dan Rasul agar kamu diberi rahmat."
(Surah Ali 'Imran ayat : 132)

"Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampun dosa-dosa kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
( Surah Ali 'Imran ayat : 31)

Jalan untuk mencintai Allah Subhanahuwata’ala ialah mengikuti Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dengan penuh rela dan patuh seikhlas hati. Juga mencintai Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam lebih daripada diri sendiri, anak-anak, harta benda dan manusia seluruhnya.

Kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mestilah diterjemahkan dalam setiap gerak geri dan tingkah laku yang mengikuti apa yang disukai Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan menjauhi apa yang tidak disukainya.

GENERASI ISLAM PERTAMA (CONTOH KITA)

Generasi Islam pertama juga merupakan contoh kita. Mereka telah dididik dan dipimpin oleh baginda yang melalui proses tarbiyyah yang tersusun rapi. Pada diri mereka telah lahir contoh yang sempurna dalam segala bidang kehidupan, baik dari segi fikri mahu pun dari segi siasi. Contoh yang syumul jelas nampak dalam hidup mereka.

Mereka yakin kepada pimpinan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan bercontohkan keperibadian baginda sepenuhnya. Mereka hidup dalam suasana aman, damai, berbahagia dan mendapat `nur' yang terpancar dari sinar al-Quran yang menjadi dustur hidup mereka.

Pendekatan mereka kepada al-Qur'an bukanlah semata-mata untuk mempelajari, membaca dan menggali rahsia-rahsianya tanpa menyedari tuntutan sebenar iaitu menghayatinya dalam kehidupan dan memikul amanah Allah Subhanahuwata’ala yang besar di bumi.

Al-Qur'an membimbing dan melengkapkan hidup mereka dengan akhlak yang mulia. Seluruh pemikiran dan tindakan dibimbing supaya tidak melewati batas-batas Allah Subhanahuwata’ala

PENUTUP

Tuntutan kefahaman terhadap kerasulan Muhammad S.A.W. dan keimanan kepadanya ialah mencontohi dan mengikuti kepemimpinannya. Seandainya umat Islam tidak kembali kepada hakikat ini, umat Islam akan terus menjadi seperti buih di permukaan air. Umat Islam tidak akan menjadi arus yang kuat untuk menumpaskan jahiliyyah.

Oleh: Ustaz Ahmad Rejab.

Thursday, October 29, 2009

JALAN MENUJU TAQWA (Siri 2 - Akhir)

Keempat: Mu'aqobah (Menghukum )

Asas bagi mu'aqobah adalah firman Allah Azza Wa Jalla:
"Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa."
[Al-Baqarah: 178]
Hukuman yang dimaksudkan sebagaimana yang diisyaratkan oleh ayat tersebut adalah -
Apabila seorang Mukmin melakukan kesalahan, maka tidak wajar baginya membiarkannya. Sebab membiarkan sesuatu kesalahan berlalu tanpa melakukan apa-apa akan mempermudah terlanggarnya kesalahan-kesalahan yang lain dan akan menjadikan sukar untuk ditinggalkan.
Sepatutnya dia memberikan hukuman kepada dirinya dengan hukuman yang mubah (harus) sebagaimana memberikan hukuman atas isteri dan anak-anaknya. Ini adalah agar ia menjadi peringatan bagi dirinya agar tidak menyalahi ikrar, disamping merupakan dorongan untuk lebih bertakwa dan bimbingan menuju hidup yang lebih mulia.
Hukuman ini harus dengan sesuatu yang mubah, tidak boleh dengan sesuatu yang haram, seperti membakar salah satu anggota tubuh, mandi di tempat terbuka pada musim dingin, meninggalkan makan dan minum sampai membahayakan diri dan sebagainya.
Hukuman-hukuman ini dan yang sepertinya adalah haram hukumnya sebab termasuk dalam larangan yang tercantum dalam Al-Quran yang bermaksud:
"..dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan."
[Al-Baqarah: 195]
"..dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu."
[An-Nisa: 29]
Generasi salaf yang soleh telah memberikan teladan kepada kita tentang ketakwaan, muhasabah, menjatuhkan hukuman pada diri sendiri jika bersalah dan bertekad untuk lebih taat jika mendapati dirinya lalai atas kewajipan.
Berikut ini diutarakan beberapa contoh:
Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Umar bin Khattab Radhiallahu’anhu pergi ke kebunnya. Ketika pulang didapatinya orang-orang sudah selesai melaksanakan solah Asar. Maka beliau berkata: "Aku pergi hanya untuk sebuah kebun, aku pulang orang-orang sudah solah Asar! Kini kebunku aku jadikan sedekah untuk orang-orang miskin." Menanggapi masalah ini, al-Laits berkata; "Padahal beliau hanya ketinggalan solah berjemaah!"
Satu ketika, Umar Radhiallahu’anhu pernah disibukkan oleh suatu urusan sehingga waktu Maghrib lewat sampai muncul dua bintang. Maka setelah melaksanakan solah Maghrib, beliau memerdekakan dua orang hamba.
Ada baiknya bila setiap Mukmin mengikuti jejak generasi salaf dalam muhasabah diri dan menjatuhkan hukuman apabila dia menemui kelalaian dalam memikul tanggunggjawab atau meninggalkan kewajiban terhadap Allah Subhanahuwata’ala dan sesama manusia.
Misalnya dengan menginfakkan sejumlah wang tatkala meninggalkan solah berjemaah, ataupun dengan mengerjakan beberapa rakaat solah sunat.
Jika seorang Mukmin sudah biasa menjatuhkan hukuman kepada dirinya ketika melakukan kesalahan, maka dia telah melangkah menuju takwa, dan telah menapaki jalan ketinggian rohani, dan dengan pasti dia akan sampai ke darjat orang-orang yang bertakwa.
Kelima: Mujahadah (Melawan Dorongan Nafsu)
1 Dasar mujahadah adalah firman Allah Subhanahuwata’ala di dalam Al-Quran yang bermaksud: "Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik." [Al-Ankabut: 69]
Makna mujahadah sebagaimana disyariatkan oleh ayat tersebut adalah: Apabila seorang Mukmin terseret dalam kemalasan, santai, cinta dunia dan tidak lagi melaksanakan amal-amal sunnah serta ketaatan yang lainnya tepat pada waktunya, maka ia harus memaksa dirinya melakukan amal-amal sunat lebih banyak daripada sebelumnya.
Dalam hal ini, harus tegas, serius dan penuh semangat sehingga pada akhirnya ketaatan merupakan kebiasaan yang mulia bagi dirinya dan menjadi sikap yang melekat pada dirinya. Dalam hal ini, cukuplah Rasulullah Sallallahu’alaihiwsallam menjadi qudwah (contoh ikutan) yang patut diteladani sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah Radhiallahu’anhu (antara lain):
"Rasulullah Sallallahu’alaihiwsallam melakukan solah malam hingga kedua tumitnya bengkak. Ketika Aisyah Radhiallahu’anhu bertanya: "Mengapa engkau lakukan hal itu? Bukankah Allah sudah mengampuni dosamu yang sudah lalu dan yang akan datang? Rasulullah Sallallahu’alaihiwsallam menjawab: "Bukankah seharusnya aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?" [Riwayat Bukhari dan Muslim]
Dalam riwayat Bukhari dan Muslim, Aisyah Radhiallahu’anhu berkata; "Apabila Raslulullah Sallallahu’alaihiwsallam memasuki sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, beliau menghidupkan malam (dengan ibadah), membangunkan keluarganya, bersungguh-sungguh dan mengetatkan ikat pinggangnya."
Dalam beberapa hadis, Rasulullah Sallallahu’alaihiwsallam menyuruh dan menyokong perlaksanaan mujahadah dalam amal ibadah. Oleh itu, hendaklah kita semua menjadi orang pertama yang bergegas menyambut dan melaksanakan perintah tersebut.
Imam Bukhari meriwayatkan (antara lain); "Dari Abu Hurairah bahawa beliau berkata; Rasulullah Sallallahu’alaihiwsallam bersabda;
"Sesungguhnya Allah berfirman; "Tidaklah seorang hamba-Ku mendekat kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku sukai selain daripada amalan-amalan wajib dan seorang hamba-Ku senantiasa mendekat kepada-Ku dengan melakukan amalan-amalan sunat, sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku telah mencintainya, maka Aku-lah yang menjadi pendengarannya, dan sebagai tangan yang digunakannya untuk memegang dan kaki yang dia pakai untuk berjalan, dan apabila ia memohon kepada-Ku pasti Aku kabulkan, dan jika meminta perlindungan kepada-Ku, pasti Aku lindungi."
Jika anda - wahai saudaraku - sudah berusaha melakukan mujahadah, mencontohi Rasulullah Sallallahu’alaihiwsallam dan mengikuti jejak generasi para salaf, maka saya yakin anda telah melangkah menuju takwa, menapaki perjalanan rohani dan akan sampai ke darjat para muttaqin.
Kesimpulannya -
Wahai saudaraku - itulah beberapa cara untuk menumbuh suburkan takwa dalam hati dan ruh setiap Mukmin serta menyatukannya dengan perasaannya. Dengan mu'ahadah anda dapat beristiqamah di atas syariat Allah dan dengan muraqabah, anda dapat merasakan keagungan Allah baik di kala bersendirian maupun di khalayak ramai.
Dengan muhasabah anda dapat bebas daripada tarikan hawa nafsu yang selalu memberontak, dan dapat memenuhi hak-hak Allah dan hak-hak sesama manusia. Dengan mua'qabah anda dapat menyelamatkan diri anda daripada penyimpangan. Dengan mujahadah anda dapat memperbaiki aktiviti anda dan sekaligus menundukkan sifat malas dan lalai.
Dengan cara tersebut, takwa akan menjadi sebati dan mendarah daging (malakah) dengan diri anda dan akan menjadi akhlak anda yang sebenarnya. Bahkan anda akan sampai ke puncak kemuliaan dan keutamaan, anda akan sampai ke darjat yang paling tinggi. Anda akan mampu memberi suri teladan kepada orang lain dalam ucapan, perbuatan dan kemantapan rohani. ____________________________________________________ 1 Imam Ibnu Qayyim ketika memperkatakan tentang tahap-tahap jihad, memulakannya dengan jihad melawan nafsu untuk mempelajari kebenaran, kemudian jihad beramal dengan kebenaran , kemudian jihad untuk bersabar di atas bebanan amal tersebut.
Rujukan: Tarbiah Ruhiah, Petunjuk Praktikal Mencapai Darjat Takwa, Dr. Abdullah Nasih Ulwan.

JALAN MENUJU TAQWA (Siri 1)

Takwa merupakan sumber segala kebaikan dalam masyarakat, sebagai satu-satunya cara untuk mencegah kerosakan, kejahatan dan perbuatan dosa. Bahkan, takwa merupakan tiang utama dalam pembinaan jiwa dan akhlak seseorang dalam rangka menghadapi fenomena kehidupan. Agar ia dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk dan agar ia bersabar atas segala ujian dan cubaan. Itulah hakikat takwa dan itulah pengaruhnya yang sangat memberi kesan dalam pembentukan peribadi seorang insan.

Jalan Mencapai Takwa
Di sini cukuplah kita mengutarakan faktor-faktor terpenting yang dapat menyuburkan takwa, mengukuhkannya di dalam hati dan jiwa seseorang Mukmin, dan menyatukannya dengan perasaan, semoga kita dapat mengikuti jejak menuju takwa.
Pertama: Mu’ahadah (Mengingat Perjanjian)
Kalimah ini diambil daripada firman Allah Yang Maha Tinggi yang bermaksud:
“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji…”
[An-Nahl: 91]

Cara Mu’ahadah

Hendaklah seorang Mukmin berkhalwat (menyendiri) antara dia dan Allah Subhanahuwata’ala untuk mengintrospeksi diri seraya berkata kepada dirinya:
“Wahai jiwaku, sesungguhnya kamu telah berjanji kepada Rabbmu setiap hari disaat kamu berdiri di dalam solat membaca:
“Hanya kepada Engkau kami beribadah dan hanya kepada Engkau kami mohon bantuan.”
Wahai jiwaku, bukankah dalam munajat ini engkau telah berikrar tidak akan menghambakan diri kepada selain Dia. Tidakkah engkau telah berikrar untuk tetap komited kepada siratal mustaqim (jalan yang lurus). Tidakkah engkau telah berikrar untuk berpaling daripada jalan orang-orang yang sesat dan dimurkai Allah?
Kalau memang demikian, hati-hatilah wahai jiwaku. Janganlah engkau langgar janjimu setelah engkau jadikan Dia sebagai pengawasmu. Janganlah engkau mundur daripada jalan yang telah ditetapkan oleh Islam setelah engkau jadikan Allah Subhanahuwata’ala sebagai saksimu. Hati-hatilah jangan sampai engkau mengikuti jalan orang-orang yang sesat dan menyesatkan setelah engkau jadikan Dia sebagai penunjuk jalan.
Hati-hati wahai jiwaku, jangan engkau engkar setelah beriman, jangan tersesat setelah engkau mendapatkan petunjuk, janganlah engkau menjadi fasik setelah beriltizam (komited). Barang siapa melanggarinya, maka akibatnya akan menimpa dirinya, barangsiapa tersesat maka kesesatannya itu akan menimpanya.
“Seseorang tidak akan memikul dosa orang lain. Dan Kami (Allah) tidak akan menurunkan azab kecuali setelah mengutus seorang utusan (Rasul).”
Wahai saudaraku, bila anda mengharuskan diri untuk berpegang dan iltizam (komited) terhadap janji yang diikrarkan tidak kurang 17 kali dalam sehari itu, maka anda telah meniti tangga menuju takwa, anda sudah menyusuri jalan rohani, dan pada akhirnya anda akan sampai ke tempat tujuan, yakni ke darjat para muttaqin (orang yang bertakwa).
Kedua: Muraqabah (Merasakan Kehadiran Allah Subhanahuwata’ala )
Dasar muraqabah dapat anda temukan dalam surah Asy-Syura, iaitu firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Yang melihat kamu ketika kamu berdiri (untuk solat) dan melihat pula perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud.”
[Asy-Syu’ara’: 218-219]

Dalam sebuah hadis, ketika nabi SAW ditanya tentang ihsan, baginda menjawab:
“Hendaklah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, dan jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Allah melihat kamu.”
Makna Muraqabah

Muraqabah sebagaimana diisyaratkan oleh al-Quran dan hadis, ialah - Merasakan keagungan Allah Azza Wa Jalla di setiap waktu dan keadaan serta merasakan kehadiran-Nya dikala bersendirian ataupun dikhalayak ramai.
Cara Muraqabah
Sebelum memulai sesuatu pekerjaan dan disaat mengerjakannya, hendaklah seorang Mukmin memeriksa dirinya, apakah setiap gerak dalam melaksanakan amal dan ketaatannya dimaksudkan untuk kepentingan peribadi dan mencari populariti, ataukah kerana dorongan redha Allah Subhanahuwata’ala dan menghendaki pahala-Nya?
Jika benar-benar kerana redha Allah Subhanahuwata’ala, maka teruskanlah melaksanakannya walaupun hawa nafsunya tidak setuju dan ingin meninggalkannya. Kemudian teguhkan niat dan tekad untuk melangsungkan ketaatan kepada-Nya dengan keikhlasan sepenuhnya dan semata-mata demi mencari redha Allah Subhanahuwata’ala.

Itulah hakikat ikhlas. Itulah hakikat kebebasan diri daripada penyakit nifa’ dan riya’. Iman Hasan al-Basri berkata:
“Semoga Allah mencurahkan rahmat-Nya kepada seorang hamba yang selalu mempertimbangkan niatnya. Bila semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala, maka dilaksanakannya tetapi jika sebaliknya maka ditinggalkannya.”
Bentuk-bentuk Muraqabah
Ada beberapa bentuk muraqabah:
1) Muraqabah dalam melaksanakan ketaatan adalah dengan ikhlas kepada-Nya.
2) Muraqabah dalam kemaksiatan adalah dengan taubat, penyesalan dan meninggalkannya secara total.
3) Muraqabah dalam hal-hal yang mubah (harus) adalah dengan menjaga adab-adab terhadap Allah Subhanahuwata’ala dan bersyukur di atas segala nikmat-Nya.
4) Muraqabah dalam musibah adalah dengan redha kepada ketentuan Allah Subhanahuwata’ala serta memohon pertolongan-Nya dengan penuh kesabaran.
Saudaraku, sekiranya anda telah bermuraqabah kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan tingkat muraqabah yang telah dinyatakan, kemudian anda dapat tetap melaksanakannya (konsisten), maka tidak syak lagi bahawa anda telah meniti tangga menuju takwa. Anda sudah menapaki jalan rohani. Dan pada akhirnya anda akan sampai ke darjat para muttaqin yang mulia.
Ketiga: Muhasabah (Introspeksi diri)

Dasarnya terkandung di dalam Al-Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
[Al-Hasyr: 18]
Makna muhasabah sebagaimana diisyaratkan oleh ayat ini ialah- Hendaknya seorang Mukmin menghisab dirinya ketika selesai melakukan amal perbuatan. Apakah tujuan amalnya untuk mendapatkan redha Allah Subhanahuwata’ala atau apakah amalnya dicemari sifat riya’?
Ketahuilah, seorang Mukmin setiap pagi hendaklah mewajibkan diri untuk memperbaiki niat, melaksanakan ketaatan, memenuhi segala kewajiban, dan membebaskan drii daripada riya’. Demikian juga dipetang hari, semestinya dikhususkan waktu untuk bersendirian dengan dirinya untuk memperhitungkan semua yang telah dilakukan. Apabila yang dilakukannya itu kebaikan, maka hendaklah memanjatkan puji syukur kepada-Nya atas taufik-Nya, seraya memohon keteguhan dan tambahan kebaikan. Apabila yang dilakukan itu bukan kebaikan, maka hendaklah ia bertaubat dan kembali ke jalan yang lurus, seraya menyesal, memohon ampun, berjanji untuk tidak mengulangi serta memohon perlindungan dan husnal khatimah kepada-Nya.
Semoga Allah Subhanahuwata’ala meredhai Umar al-Faruq Radhiallahu’anhu yang berkata:
“Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab, timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang, dan bersiap-siaplah untuk pertunjukkan yang agung (hari Kiamat). Di hari itu kamu dihadapkan kepada pemeriksaan, tiada yang tersembunyi dari amal kalian barang satu pun.”Saudaraku, jika saudara telah menghisab diri dalam urusan yang besar maupun yang kecil, dan berusaha keras melakukan khalwat di malam hari dengan Allah Subhanahuwata’ala untuk melihat apa yang akan dipersembahkan pada hari Kiamat kelak, maka saudara telah melangkah menuju takwa dan menapaki perjalanan rohani bahkah akhirnya saudara akan sampai ke darjat para muttaqin.