Thursday, March 04, 2010

Berkorban Pada Jalan Allah

Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud:
”Wahai Anak Adam! Berinfaqlah, pasti Aku akan limpahkan kurniaanKu kepadamu. Sesungguhnya ’Yaminullah’ (gudang nikmat dan kelebihanNya), sangat penuh berlimpah ruah, tidak akan susut sedikitpun siang ataupun malam.” (Hadis Qudsi riwayat Daraquthni dari Abu Hurairah r.a.)

Allah swt memerintahkan hamba-hambaNya supaya berinfaq dan membelanjakan sebahagian rezeki yang telah dilimpahkanNya kepada para fakir, miskin, orang-orang yang sangat memerlukannya dan untuk kebaikan dan manfaat orang ramai dan janganlah kikir (kedekut) kerana takut kehabisan hartanya atau susut bilangan dan jumlahnya.

Di dalam hadis ini diterangkan bahawa Allah tetap dan pasti membalas infaq atau belanja yang telah dikeluarkan hambaNya dan akan dibalasNya dengan berlipat ganda. Allah membalas dengan caraNya sendiri, baik hambaNya sedar atau tidak, balasanNya akan melimpah kepadanya di dunia ini atau ditangguhkan pada waktu yang ditentukanNya sendiri atau ditangguhkanNya pada hari akhirat kelak.

Allah Maha Pemberi Rezeki, kerana rezeki itu dikembalikan semula kepadanya, bahkan diganti dengan yang lebih baik dan berlipat ganda.

Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 261 yang bermaksud:
”Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (Rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

”Siapakah orang yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya?. Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNya kamu semua dikembalikan.” (Surah Al Baqarah ayat 245)

”Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi.” (Surah Ali Imran ayat 180)

Semua anjuran, sifat dan akhlak yang disebut dalam Al Quran itu adalah akhlak Nabi s.a.w. dan telah baginda amalkan sebagaimana semestinya. Begitupun mengenai sifat infaq ini, Nabi s.a.w adalah orang yang paling dermawan. Baginda banyak melakukan infaq dan sempurna sekali kedermawanannya. Infaq baginda laksana angin yang berhembus tiada henti-hentinya. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Baginda membelanjakan hartanya (melakukan infaq) dan tidak pernah takut kepapaan.

Perkara ini dirasai oleh orang yang pernah menjadi musuh baginda. Orang itu pernah meminta sesuatu kepada Nabi s.a.w. lalu diberinya sekumpulan kambing yang banyak sampai memenuhi lembah antara dua gunung. Dengan gembiranya orang itu segera pulang ke desanya sambil berteriak: ”Wahai kaumku, masuklah Islam, kerana Muhammad memberikan pemberian bagaikan pemberi yang tidak takut papa.”

Pernah baginda mendapat rezeki sebanyak sembilan ratus ribu dirham lalu diletakkannya di atas tikar dan dibahagi-bahagikannya kepada sesiapa sahaja yang datang memintanya, sehingga wang itu habis kesemuanya.

Semoga kita dapat mencontohi baginda dengan penuh ikhlas. Amin.

Rujukan:
Hadis Qudsi, K.H.M. Ali Usman, Dr H.M.D Dahlan H.A.A Dahlan. Victory Agencies, Kuala Lumpur, 2002.

Monday, March 01, 2010

Peranan Bapa (Siri 1)

Tidak ada yang menafikan peranan besar yang ada ditangan seorang ibu bagi masa depan anak-anaknya. Ibu mempunyai pengaruh penting kepada keperibadian anak sehingga mereka boleh merasa aman, dilindungi dan mendapat kepercayaan diri yang kuat dalam menjalani hidupnya. Lalu bagaimana pula peranan bapa?

Sejarah hidup para ulama besar, para salafusalih umumnya mendapat sentuhan didikan yang diberikan oleh bapanya. Bahkan di dalam Al Quran tiada satu dialogpun antara seorang anak dan ibu. Ternyata yang ada adalah dialog antara anak dan bapa. Hatta dalam kisah seorang nabi yang sejak kecil diasuh oleh ibunya, iaitu Nabi Ismail.

Dalam sebuah hadis disebut bahawa Rasulullah ketawa bersama anak-anak. Rasulullah bahkan mendukung (menggendong) anak-anak dan solat bersama-sama anak-anak. Dari Abu Qatadah disebutkan bahawa Rasulullah sedang solat bersama-sama sahabatnya lalu beliau sujud. Ketika itu datanglah cucunya, Hasan yang tertarik melihat Rasulullah sedang sujud, lalu naiklah Hasan ke punggung Rasulullah yang mulia saat beliau masih sujud. Rasulullah memanjangkan sujudnya agar tidak menyakiti Hasan. Selesai solat beliau meminta maaf kepada jamaah solat dan menyatakan, ”cucuku tadi naik ke punggungku lalu aku khuatir bila aku bangun akan menyakitinya. Maka aku tunggu sehingga ia turun." Betapa tingginya perhatian Rasulullah terhadap anak-anak.

Allah memaparkan dailog antara bapa dan anaknya dalam kisah Nabi Ibrahim dalam surah As Shaffat ayat 102: ”Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: ”Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: ”Wahai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.” .

Disini dapat dlihat bagaimana seorang anak yang terdidik dan memiliki sikap yang begitu kuat dengan sentuhan pendidikan dan pembinaan dari orang tuanya. Nabi Ibrahim terbukti berhasil menanamkan pendidikan tauhid yang begitu agung dalam jiwa anaknya Ismail. Ismail pula telah membuktikan bagaimana hasil pendidikan ayahnya Nabi Ibrahim, rela berkorban apapun demi melaksanakan perintah Allah.

Diceritakan bahwa seorang lelaki datang menghadap Amirul Mukminin Umar al Khattab r.a. Ia melaporkan kepada khalifah tentang kedurhakaan anaknya. Khalifah Umar lantas memanggil anak yang dikatakan durhaka itu dan mengingatkan terhadap bahaya durhaka orang tua. Saat ditanya sebab kedurhakaannya, anak itu mengatakan,
” Wahai Amirul Mukminin, tidakkah seorang anak mempunyai hak yang harus ditunaikan oleh orang tuanya?” ”Ya.” Jawab Khalifah. ”Apakah itu?” tanya anak itu. Khalifah menjawab, ”Ayah wajib memilih ibu yang baik untuk anak-anaknya, memberi nama yang baik dan mengajarinya Al Quran.” Lantas sang anak menjawab, ”wahai Amirul Mukminin, tidak satupun dari tiga perkara itu yang ditunaikan ayahku. Ibuku Majusi, namaku Ja’lan, dan aku tidak pernah diajarkan membaca Al Quran.”

Umar Bin Khattab r.a, lalu menoleh kepada ayah kepada anak itu dan mengatakan, ” Anda datang mengadukan kedurhakaan anakmu, ternyata anda telah mendurhakainya sebelum ia mendurhakaimu. Anda telah berlaku tidak baik terhadapnya sebelum ia berlaku tidak baik kepada anda.”

Rujukan:
Muhammad Lili Nur Aulia, Cinta Di Rumah Hassan Al Banna, Jakarta; Pustaka Da’watuna, 2007.