Wednesday, October 21, 2009

SISTEM AKHLAK ISLAM (Siri 4)

KESYUMULAN AKHLAK ISLAM

Salah satu ciri khusus sistem akhlak Islam ialah syumul dan lengkap. Syumul di sini bermaksud akhlak Islam itu luas bidangnya dan meliputi semua aspek perbuatan manusia, baik yang mengenai diri individu mahupun mengenai orang lain, baik mengenai hubungan individu, masyarakat mahupun negara. Tidak ada suatu pun perbuatan manusia yang terkeluar dari peraturan akhlak Islam. Setiap muslim diwajibkan memelihara akhlak Islam.

Kesyumulan akhlak tidak terdapat dalam agama-agama yang lain. Contoh yang lumrah berlaku dalam realiti ialah hubungan antara suatu negara dengan negara yang lain tidak berlandaskan akhlak Islam. Ada yang berpendapat nilai-nilai akhlak tidak mendapat tempat dalam peraturan hubungan dunia internasional dan politik. Inilah suatu penipuan, penyesatan, pengkhianatan dan pembohongan yang dilakukan ramai manusia dalam berpolitik. Islam sangat menentang teori ini. Islam berprinsip bahawa sesuatu yang tidak baik dilakukan ke atas diri seseorang, maka tidak baik juga untuk dilakukan ke atas orang lain atau negara lain. Apa yang dianggap baik dalam mengatur hubungan seorang dengan seorang, maka baik juga dalam mengatur hubungan negara dengan negara. Islam telah menetapkan garis panduan akhlak yang wajib diamalkan oleh negara Islam. Ketetapan ini terdapat dalam Al Qur’an, sunnah nabi dan pendapat fuqaha’ Islam. Contoh-contohnya adalah:

1) Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:

“Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat.”
(Al-Anfal : 58)

Di dalam ayat di atas diterangkan jika terjadi pengkhianatan orang-orang kafir terhadap sesuatu janji dan pengkhianatan itu dapat dibuktikan, maka negara Islam dapat mengumumkan pembatalan perjanjian itu kepada mereka supaya kedua-dua pihak mengetahuinya (jika pengkhianatan itu dilakukan oleh orang-orang kafir, maka hendaklah mereka diberitahu akan pengkhianatan itu). Ini kerana Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat.

2) Salah satu syarat yang telah ditetapkan dalam perjanjian Hudaibiyah antara Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dengan orang-orang musyrik ialah apabila ada orang musyrik Mekah meminta perlindungan kepada Rasulullah di Madinah, maka Rasulullah berkewajiban mengembalikan orang itu ke Mekah dan tidak boleh memberikan perlindungan kepadanya. Apa yang berlaku, apabila seorang penduduk Mekah yang bernama Abu Jandal meminta perlindungan kepada Rasulullah dan menyatakan dirinya sebagai seorang muslim, maka Rasulullah berkata kepadanya:

“Kami telah mengikat janji dengan kaum itu, dan kami telah memberikan syarat yang demikian itu kepada mereka dan mereka juga telah mematuhinya. Kita tidak dapat mengkhianatinya.”

3) Para fuqaha’ berpendapat seorang muslim tidak boleh mengkhianati salah seorang penduduk negara lain (penduduk dari Darul Harb), jika dia berada di negara Islam dengan izin orang Islam. Kerana, pelanggaran terhadap haknya adalah pengkhianatan, sedang pengkhianatan adalah tercela dalam Islam.

4) Fuqaha’ dari mazhab Hanbali mengatakan apabila orang kafir yang melepaskan seorang tawanan muslim dengan syarat membayar tebusan atau diminta kembali kepada mereka, maka janji yang sedemikian itu perlu ditepati. Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:

“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji”
(An-Nahl : 91)

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud):

“Din kita tidak membenarkan kita mengkhianat.”

5) Apabila negara bukan Islam mengenakan cukai yang tinggi kepada warganya yang muslim sehingga cukai itu menyebabkan harta mereka kehabisan, maka hal sedemikian itu tidak boleh dilakukan oleh negara Islam terhadap warganya yang kafir, di atas alasan untuk bertindak balas. Para fuqaha memberikan alasan - tindakan negara bukan Islam itu adalah suatu kezaliman, namun, kezaliman tidak boleh dibalas dengan kezaliman. Umat Islam sangat dilarang berlaku zalim.

AKHLAK DALAM CARA DAN MATLAMAT

Sistem akhlak Islam telah menetapkan bahawa semua amalan dan matlamatnya hendaklah selaraskan dengan syara’. Tidak dibenarkan, untuk mencapai sesuatu matlamat yang baik, maka cara atau amalan untuk menuju kepada matlamat itu bertentangn dengan akhlak Islam. Islam sangat menentang prinsip: AL-GAYAH TUBARRIRUL WASILAH yang bererti “matlamat menghalalkan cara”. Prinsip ini ialah prinsip yang diwarisi dari kalangan luar Islam. Islam menetapkan wasilah (cara) hendaklah sesuai dengan akhlak Islam. Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“(Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) din, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka, dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
(Al-Anfal :72)

Ayat di atas menekankan agar muslimin menolong saudaranya yang dizalimi sesuai dengan hak mereka dalam din. Namun, jika sewaktu memberikan bantuan kepada mereka itu akan mengakibatkan berlakunya pelanggaran perjanjian yang telah diikat dengan pihak lain, maka pada waktu itu kita tidak boleh membantu mereka. Ini kerana perbuatan yang demikian merupakan pengkhianatan terhadap sesuatu perjanjian. Islam mengutuk dan membenci perbuatan mengkhianati janji.

HUBUNGAN AKHLAK DENGAN IMAN DAN TAQWA

Akhlak dalam Islam mempunyai hubungan yang erat dengan iman dan takwa kepada Allah. Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“Maka terhadap mereka itu penuhilah janjinya sampai batas waktunya, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa.”
(At-Taubah : 4)

Menunaikan janji adalah tanda iman dan takwa kepada Allah, juga merupakan perbuatan yang disenangi oleh Allah Subhanahuwata’ala. Dalam sebuah hadis diterangkan (yang bermaksud):

“Tidak sempurna iman bagi mereka yang tidak bersifat amanah dan tidak sempurna agama bagi mereka yang tidak menepati janji.
(Al Hadis)

Akhlak yang mulia merupakan buah iman. Akhlak yang utama ialah bersifat amanah dan menepati janji. Siapa yang telah hilang sifat amanah dan tidak menepati janji menandakan lemahnya iman dan jauh dari takwa yang sebenarnya.

Dalam hadis yang lain diterangkan (yang bermaksud):

“‘Demi Allah tidak sempurna keimanan, tidak sempurna keimanan, tidak sempurna keimanan’. Ditanya orang: ‘Siapa wahai Rasulullah?’ Rasulullah menjawab: ‘Mereka yang tidak mengamankan jiran tetangganya dari kesusahannya’”.
(Al-Hadis)

Hadis di atas menerangkan bahawa akhlak yang buruk itu bertentangan dengan iman dan tidak akan dapat bertemu antara iman dengan akhlak yang keji.

No comments:

Post a Comment