Monday, March 30, 2009

Al Quran – Pemberi Syafaat

Di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Bacalah Al Quran kerana ianya akan datang di hari qiamat nanti sebagai pemberi syafaat untuk pembacanya.”

Manakala di dalam sebuah hadith riwayat Muslim dan At-Tirmidzi:
“Tidak berkumpul satu kaum di mana-mana rumah Allah, mereka membaca kitab Allah, mengkaji sesama mereka kecuali terturunlah ke atas mereka ketenangan . Dan dipayungi mereka akan rahmat, dan Allah menyebut mereka golongan yang berada di sisiNya."
Lantaran kesemuanya ini, para sahabat R.A. mengagungkan kalam Allah (Al Quran), kerananya mereka sanggup berjaga malam, berdahaga di siang hari. Diceritakan kisah pelik-pelik mengenai kesungguhan mereka terhadap Al Quran dan kecintaan mereka kepadanya.

Ibnu Hibban telah meriwayatkan sebuah hadith dari Abu Dzar R.A. dengan berkata: “Wahai Rasulullah, wasiatkan aku.”
Maka sabda Rasulullah S.A.W. :”Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah kerana itu adalah kepala segala urusan.”
Kataku lagi: “Tambahkan lagi, wahai Rasulullah.”
Maka sabda Baginda: “Hendaklah kamu membaca Al Quran kerana membacanya adalah cahaya untuk kamu di dunia ini dan sebagai bekalan di akhirat nanti.”

[Petikan dari buku Suri Teladan Kehidupan Para Sahabat (Radiyallahu ‘Anhum), Dr ‘Ali Shurbaji, terjemahan Ustadh Mohd Darus Senawi ‘Ali, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2009, p 46-47.]

Prihatin Dengan Zikir

Al Imam At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya: “Wahai Rasulullah! Sesunggguhnya suruhan Islam itu adalah banyak bagi diriku. Cuba tuan hamba khabarkan kepadaku satu perkara yang boleh aku berpegang dengannya.” Lalu jawab Rasulullah S.A.W.: “Biarlah lidah kau sentiasa basah dengan zikrullah.”

Berikut dinukilkan secara ringkas kata-kata sahabat mengenai zikir.
i. Ibnu Abi Al-Dun’ya telah meriwayatkan sebuah athar dari Umar R.A. telah berkata: “Jangan kamu sibukkan diri kamu dengan ingatan kepada manusia kerana itu adalah bala’ tetapi kamu berkewajipan mengingati Allah.”
ii. Al Imam Ahmad meriwayatkan sebuah athar dari Habib Bin Abdullah bahawa seseorang telah datang menemui Abu Darda’ R.A. dengan berkata kepadanya: “Berilah aku satu wasiat dan peringatan.” Maka kata Abu Darda’: “Ingatlah Allah di masa kamu senang, nescaya Dia akan mengingatimu ketika kesusahan.”
iii. Abu Nu’aim mengeluarkan sebuah hadith dari Mu’adz Bin Jabal R.A. dengan katanya: “Tiada amalan yang dilakukan oleh anak Adam yang membebaskannya dari azab Allah selain dari zikrullah.”

[Petikan dari buku Suri Teladan Kehidupan Para Sahabat (Radiyallahu ‘Anhum), Dr ‘Ali Shurbaji, terjemahan Ustadh Mohd Darus Senawi ‘Ali, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2009, p 42-43.]

Beriman Dengan Qada dan Qadar

Para sahabat merupakan seagung-agung menusia yang beriman dengan rukun qada’ dan qadar, seutuh keyakinan dan selebar pegangan mereka dengan qada’ dan qadar.

Al Imam Ahmad bin Hanbal telah mengeluarkan sebuah hadith dari Al Walid Bin Ubaddah yang telah berkata: “Aku menziarahi bapaku, Ubaddah R.A. semasa beliau sakit, sedang aku memikirkan mengenai kematian. Aku berkata: “Wahai bapaku, berilah pesanan yang sebenarnya untuk aku.”

Lalu bapaku berkata: “Bangunkan aku untuk duduk.” Setelah didudukkan, maka dia menyambung: “Wahai anakku, sesungguhnya kau tidak akan merasai keenakan iman dan kau tidak akan mencapai dengan sebenarnya erti ilmu dengan Allah, hinggalah kau benar-benar beriman dengan qadar baik dan burukNya.”

Aku bertanya: “Wahai bapaku, bagaimana cara untukku ketahui apakah qadar yang baik dan qadar yang buruk?”

Lalu jawabnya: “Ketahuilah, bahawa keburukan yang terletak darimu itu memang ditaqdirkan tidak kena padamu dan apa yang mengenamu itu adalah taqdir yang tidak akan terelak olehmu. Wahai anakku, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasululullah S.A.W. bersabda: “Kejadian pertama ialah Allah mencipta Al-Qalam. Kemudian Allah berfirman kepada Al Qalam: “Tulislah.” Maka dari sa’at itu tertulislah segala apa yang wujud hinggalah ke hari qiamat. Wahai anakku, sekiranya kau mati dan tidak pula beriman dengan itu, masuklah kau ke dalam neraka.”

Inilah iman yang menjadikan mereka (para sahabat Rasulullah) manusia yang begitu berani di bumi ini, makhluk yang begitu zuhud di alam ini dan insan pemurah di semesta ini. Itulah rahsia ungkapan Ubaddah tadi bahawa, apa yang terelak dari kita itu memang ditaqdirkan tidak mengena dan apa yang mengena itu adalah taqdir yang tidak akan terelak oleh kita. Betapa agungnya hadith yang penuh hikmah dan rahsia ini.

[Petikan dari buku Suri Teladan Kehidupan Para Sahabat (Radiyallahu ‘Anhum), Dr ‘Ali Shurbaji, terjemahan Ustadh Mohd Darus Senawi ‘Ali, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2009, p 25-26.]

Perbaharuilah Iman Kamu


Para sahabat Rasulullah mengambil berat di dalam mendidik diri mereka sendiri. Sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti pentarbiahan (pendidikan). Sudah menjadi kebiasaan sesetengahnya di kalangan mereka meminta bantuan dari setengah yang lain untuk membuat teguran dan nasihat terhadap diri mereka, dalam rangka amar ma’ruf dan nahi mungkar serta sentiasa berhimpun kerana Allah.

Ibnu Abu Syaibah telah mengeluarkan sebuah hadith dari Abu Dzar Radiyallahu ‘anhu, dengan katanya: Pernah Umar memegang tangan seorang dua sahabat sambil menyeru kepada mereka:” Ayuh, kita tingkatkan iman, “Lantas mereka melakukan zikrullah ‘Azza wa Jalla.

Al Tayasi telah meriwayatkan hadith dari Abi Darda’ dengan katanya: Pernah ‘Abdullah bin Rawahah Radiyallahu ‘anhu memegang tanganku sambil berkata: “Ayuh, kita tingkatkan keimanan kerana sebenarnya hati ini cepat berubah, lebih cepat dari kawah yang menggelegak.”

Al Imam Ahmad dan Al Tabrani telah meriwayatkan sebuah hadith dari Abu Hurairah Radiyallahu ‘anhu dengan katanya: “Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Perbaharuilah iman kamu.”
Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana kami hendak memperbaharui iman kami?”
Jawab Rasulullah S.A.W.: “ Perbanyakkan menyebut kalimah La Ilaha Illallah.”

[Petikan dari buku Suri Teladan Kehidupan Para Sahabat (Radiyallahu ‘Anhum), Dr ‘Ali Shurbaji, terjemahan Ustadh Mohd Darus Senawi ‘Ali, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2009, p 24-25.]

Thursday, March 19, 2009

Bahaya Syirik

Al Imam Ahmad telah meriwayat dengan sanadnya dari Mahmud Ibn Labid bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“ Perkara yang paling ditakuti olehku terhadap kamu ialah syirik yang terkecil.” Lalu mereka bertanya: “Apakkah syirik yang terkecil itu wahai Rasulullah?” Jawab beliau: “Itulah ria’. Allah Ta’ala akan berkata pada hari Qiamat apabila manusia membawa amalan mereka: “Pergilah kamu kepada orang-orang yang kamu menunjuk-nunjukkan amalan kamu kepada mereka dan lihatlah di sana adakah kamu akan mendapat apa-apa pahala di sisi mereka.”

Inilah syirik khafi (halus) yang memerlukan kepada kesedaran dan kewaspadaan yang berterusan untuk menghindarkan diri darinya supaya iman itu terpelihara bersih dan tulen.

Di sana ada syirik kasar yang ketara iaitu memberi ketaatan dan kepatuhan kepada yang lain dari Allah di dalam mana-mana urusan kehidupan seperti ketaatan kepada undang-undang (yang lain dari undang-undang Allah) – inilah pengertian syirik yang dinaskan Allah yang tidak dapat dipertikaikan lagi – dan ketaatan kepada tradisi-tradisi manusia seperti merayakan hari raya dan musim-musim yang ditetapkan manusia dan tidak ditetapkan Allah, juga ketaatan memakai pakaian-pakaian tertentu yang berlawanan dengan perintah Allah, juga mendedah atau menunjuk-nunjuk ‘aurat-‘aurat yang wajib ditutup mengikut syariat Allah.

Perbuatan-perbuatan yang seperti ini akan melewati batas perbuatan yang berdosa apabila ia bertentangan dengan syariat Allah, iaitu apabila ia dipatuhi dan dita’ati kerana adat resam yang lumrah yang dicipta manusia dan meninggalkan perintah yang jelas dari Allah Tuhan sekelian manusia. Ketika ini perbuatan itu ia bukan lagi merupakan satu perbuatan yang berdosa, malah merupakan satu perbuatan syirik kerana ia menunjukkan keta’atan dan kepatuhan kepada yang lain dari Allah dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan perintah Allah, dan dari segi inilah ia merupakan satu perbuatan yang amat merbahaya.

Oleh sebab itulah Allah berfirman dalam Surah Yusuf ayat 106 yang bermaksud:
“Dan kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukanNya.”
[Petikan dari Tafsir Fi Zilalil Quran Asy-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, terjemahan Yusoff Zaky Haji Yacob, Pustaka Aman Press Sdn Bhd, Kota Bharu, Kelantan Darulnaim, 2000, p 297-298.]