Saturday, January 09, 2010

Kelebihan Berkeluarga dan Nikah Lagi?

Islam melihat keluarga sebagai keperluan pokok hidup bermasyarakat, kerana keluarga merupakan asas bagi kehidupan yang benar yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT melalui firmanNya:
“Wahai sekelian manusia bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan darinya Allah menciptakan isterinya. Dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Bertaqwalah kepada Allah yang dengan mempergunakan namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturahim. SesungguhNya Allah selalu menjaga dan mengawasimu.” (Surah An Nisa’ : 1)

Kita melihat bahawa keluarga merupakan bentuk fitrah yang sangat diperlukan oleh manusia. Adalah suatu yang aneh bila ada sebahagian orang mengatakan, “Saya tidak punya dorongan untuk berkeluarga.”

Namun di balik itu ia menghendaki hidup secara bebas semahunya tanpa aturan atau batasan. Sebahagian lagi berpendapat bahawa kehidupan keluarga merupakan kehidupan yang harus didasarkan pada kepentingan (maslahat) tertentu sahaja.

Islam telah menjelaskan bahawa keluarga merupakan asas kemasyarakatan yang terdiri di atas dasar tolong menolong (ta’awun) yang bersifat rohaniah dan amaliah, menyukai dan mendorong terbentuknya keluarga, serta menjadikan penikahan dalam suasana tertentu sebagai suatu kewajipan iaitu jika dikhuatiri terjerumus ke jurang perzinaan.

Islam mendorong terbentuknya keluarga dengan dorongan yang bersifat sentimental, sehingga menjadikannya sebagai sebahagian dari ayat-ayat Allah dan salah satu rahmat Allah, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“Diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah Ar Ruum: 21)

Kemudian Islam datang untuk melenyapkan segala rintangan yang menghalangi pembentukan keluarga, sekaligus memberikan kemudahan untuknya. Pernah seorang sahabat datang berjumpa Rasulullah SAW untuk mengadukan kemiskinannya. Nabi SAW bersabda: “Nikahlah!”. Ianya akhirnya menikah. Kemudian ia datang lagi kepada Nabi SAW untuk kedua kalinya, juga mengadukan kemiskinannya. Nabi lantas mengatakan kepadanya, “Nikahlah!” Ia pun menikah lagi.

Kemudian ia datang lagi kepada Nabi untuk ketiga kalinya, mengadukan kemiskinannya. Nabi bersabda, “Nikahlah!” Maka ia pun menikah lagi. Kemudian ia datang lagi kepada Nabi untuk keempat kalinya, juga mengadukan kemiskinannya. Nabi kemudian bersabda, “Nikahlah!” Maka ia pun menikah lagi untuk keempat kalinya. Isteri yang keempat ini pandai memintal, lalu ia pun mengajari ketiga-tiga isteri yang lainnya tentang bagaimana memintal dan menenun. Akhirnya kesulitan hidup lelaki itupun berakhir dan ia berubah menjadi orang kaya, kerana ia kini telah menjadi “pengurus perniagaan” rumahtangga, tempat para isterinya sendiri bekerja.

Inilah dia pendekatan Islam yang menjadikan umatnya bahagia di dunia dan akhirat. Sedangkan kehidupan sekarang yang tidak berlandaskan Islam mendatangkan pelbagai masalah yang membawa kepada kejatuhan nilai kemanusiaan, kerosakan akhlak, rumahtangga yang porak peranda dan sebagainya. Sekiranya manusia mengambil nilai Islam dan menghayati Islam dalam segenap aspek kehidupan nescaya mereka tidak akan menghadapi kesulitan yang seumpama ini.

Rujukan:

Hadits Tsulatsa’ - Ceramah-Ceramah Hasan Al Banna, terjemahan Ahmad Isa ‘Asyur, Era Entermedia, Solo, 2000, ms 613 -614.