Saturday, May 30, 2009

TAUHID AL-ULUHIYYAH (Siri ke 2)

Cetusan rasa cinta kepada Allah Subhanahuwata’ala

Menyembah atau beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala dapat dilaksanakan apabila tercetus rasa cinta yang suci kepada Allah Subhanahuwata’ala dan rela (ikhlas) menundukkan diri serendah-rendahnya kepada-Nya. Seseorang hamba itu disifatkan sedang menyembah Allah Subhanahuwata’ala apabila dia menyerahkan seluruh jiwa raga kepada-Nya, bertawakkal kepada-Nya, berpegang teguh kepada ajaran-ajaran-Nya, berpaut kepada ketentuan-Nya, meminta (mengharap) serta memulang (menyerah) sesuatu hanya kepada-Nya, mengingati-Nya, melaksanakan segala syariat-Nya dan memelihara segala perlakuan (akhlak, perkataan dan sebagainya) menurut cara-cara yang diredhai-Nya.

'Ubudiyyah yang semakin bertambah

Pengertian 'ubudiyyah (pengabdian) kepada Allah Subhanahuwata’ala akan bertambah sebati dan hebat kesannya dalam kehidupan manusia apabila semakin mendalam pengertian dan keinsafannya tentang hakikat bahawa manusia itu terlalu fakir di hadapan Allah Subhanahuwata’ala. Manusia sentiasa bergantung dan berhajat kepada-Nya. Manusia tidak boleh terlupus daripada kekuasaan dan pertolongan-Nya walaupun sekelip mata.

Begitu juga dengan cinta atau kasih (hubb) manusia kepada Allah Subhanahuwata’ala dan rasa rendah diri (khudu') manusia kepada-Nya akan bertambah teguh apabila semakin mantap ma'rifat dan kefahamannya terhadap sifat-sifat Allah, Asma' Allah al-Husna (sifat-sifat Allah yang terpuji), kesempurnaan Allah Subhanahuwata’ala dan kehebatan nikmat kurniaan-Nya.

Semakin mantap manusia ber'ubudiyyah terhadap Allah, maka semakin bebaslah dia daripada belenggu 'ubudiyyah kepada selain daripada-Nya. Seterusnya dia akan menjadi seorang hamba yang benar-benar tulus dan ikhlas mengabdikan diri kepada-Nya.

Allah telah menggambarkan di dalam al-Qur'an keadaan para rasul-Nya yang mulia dengan sifat-sifat 'ubudiyyah di peringkat yang tinggi. Allah telah melukiskan rasa 'ubudiyyah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pada malam sewaktu wahyu diturunkan, ketika baginda berda'wah dan semasa baginda mengalami peristiwa Isra' dan Mi'raj.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Lalu dia menyampaikan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan."
(Surah An-Najm: 10)

"Dan ketika berdiri hamba-Nya (Muhammad) untuk menyembah-Nya (beribadat), hampir saja jin-jin itu mendesak-desak mengerumuninya."
( Surah Al-Jin: 19)

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari al-Masjidil Haram ke al-Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
( Surah al Isra’ : 1 )

Perkataan hamba (’abd) dalam ayat-ayat di atas adalah mewakili Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Perkataan hamba (’abd) sebagai gantinama kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah menggambarkan sifat perhambaan dan ’ubudiyyah baginda yang sangat tinggi kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Rujukan:
Dr. Abdul Karim Zaidan, Usul Ad-Da'wah.

TAUHID AL-ULUHIYYAH (Siri 1)

Maksud Tauhid al-Uluhiyyah ialah kita mentauhidkan Allah dalam peribadatan atau persembahan. Tujuan asas Allah Subhanahuwata’ala mengutuskan para rasul ialah menyeru kepada hakikat Tauhid al-Uluhiyyah.

Firman-firman Allah Subhanahuwata’ala ini membuktikan hal tersebut:
"Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasanya tiada ilah melainkan Aku, maka kamu sekelian hendaklah menyembah Aku."
(Surah Al-Anbiya': 25)

"Dan sesungguhnya Kami telah utuskan pada setiap umat itu seorang rasul (untuk menyeru): Sembahlah Allah dan jauhilah Taghut. Maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi ini dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul) "
(Surah An-Nahl: 36)

"Dan sesungguhnya Aku telah utuskan Nuh (nabi) kepada kaumnya, lalu dia berkata (menyeru): Wahai kaumku, hendaklah kamu menyembah Allah, (kerana) sesekali tiada ilah melainkan Dia. Maka mengapa kamu tidak bertaqwa kepada-Nya? "
(Surah Al-Mu'minun: 23)

"Dan (Kami telah mengutuskan) kepada kaum 'Ad saudara mereka Hud (nabi): Hai kaumku sembahlah Allah, sesekali tiada ilah bagi kamu selain dari-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertaqwa kepada-Nya."
( Surah Al 'Araf: 65)

Maksud ilah dalam ayat-ayat di atas ialah sesuatu yang disembah, dita’ati dan diperhambakan diri. Ilah yang sebenarnya ialah Allah Subhanahuwata’ala. Pengertian ilah seperti inilah yang seharusnya difahami dari syahadah:
لا إلٰه إلا الله

Pada hakikatnya Islam (sebagai satu sistem hidup yang sempurna) adalah merupakan manhaj ’ubudiyyah atau tatacara untuk manusia menyembah, menta’ati dan memperhambakan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam semua aspek kehidupan.

Rujukan:
Dr. Abdul Karim Zaidan, Usul Ad-Da'wah.

TAUHID AR-RUBUBIYYAH (Siri ke 3)

Dalil-Dalil Tauhid ar-Rububiyyah

Banyak dalil menunjukkan bahawa Allah itu Maha Esa dan tiada sesuatu yang menyamai Allah dari sudut Rububiyyah. Antaranya:

1. Lihatlah pada tulisan di papan hitam, sudah pasti ada yang menulisnya. Orang yang berakal waras akan mengatakan bahawa setiap sesuatu pasti ada pembuatnya.

2. Semua benda di alam ini, daripada sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya, menyaksikan bahawa Allah itu adalah Rabb al-'Alamin. Dia berhak ke atas semua kejadian di alam ini.

3. Susunan alam yang mengkagumkan, indah dan tersusun rapi adalah bukti Allah Maha Pencipta. Jika alam boleh berkata-kata, dia akan menyatakan bahawa dirinya makhluk ciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Orang yang berakal waras akan berkata bahawa alam ini dijadikan oleh satu Zat Yang Maha Berkuasa, iaitu Allah Subhanahuwata’ala. Tidak ada orang yang berakal waras akan menyatakan bahawa sesuatu itu boleh berlaku dengan sendirinya.

4. Begitu hebatnya Ilmu Allah. Pandanglah saja kepada kejadian manusia dan fikirkanlah betapa rapi dan seni ciptaan-Nya.Terdapat seribu satu macam ciptaan Allah yang memiliki sifat yang berbeza-beza antara satu sama lain. Semuanya menunjukkan bahawa Allah adalah Rabb yang Maha Bijaksana .

Fitrah manusia mengakui Rububiyyah Allah

Berikrar dan mengakui akan Rububiyyah Allah Subhanahuwata’ala adalah suatu perkara yang dapat diterima. Hakikat ini sering terlintas dalam setiap fitrah manusia. Meskipun seseorang itu kafir, namun jauh di lubuk hatinya tetap mengakui Rububiyyah Allah Subhanahuwata’ala.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:
"Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah. Maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan daripada menyembah Allah?"
( Surah Az-Zukhruf: 87)

"Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta langit dan bumi? Nescaya mereka menjawab: Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui."
(Surah Az-Zukhruf: 9)

Tidaklah susah untuk membuktikan Rububiyyah Allah Subhanahuwata’ala. Fitrah setiap insan itu sendiri adalah buktinya. Manusia yang mensyirik dan mengkufurkan Allah juga mengakui ketuhanan Allah Yang Maha Pencipta pada detik-detik tertentu.

Al-Quran mengakui adanya Tauhid ar-Rububiyyah di dalam jiwa manusia

Al-Quran mengingatkan bahawa fitrah atau jiwa manusia memang telah memiliki rasa mahu mengakui Allah Rabb al-'Alamin.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Berkata rasul-rasul mereka: Apakah ada keraguan terhadap Allah, Pencipta langit dan bumi ? Dia menyeru kamu untuk memberi ampunan kepadamu dari dosa-dosamu dan menangguhkan (siksaan) mu sampai masa yang ditentukan?"
(Surah Ibrahim: 10)

"Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya, maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan."
(Surah An-Naml: 14)

Keengganan dan keingkaran sebahagian manusia untuk mengakui kewujudan Allah Subhanahuwata’ala sebagai al-Khaliq (Yang Maha Pencipta), sebenarnya didorong oleh perasaan sombong, degil dan keras hati. Hakikatnya, fitrah manusia tidak boleh kosong daripada memiliki perasaan (yang di dalam sudut hatinya) yang mengakui kewujudan al-Khaliq.

Jika fitrah manusia bersih daripada sombong, degil, keras hati dan selaput-selaput dosa yang menutupinya, maka secara spontan manusia akan terus menuju kepada Allah Subhanahuwata’ala tanpa bersusah payah untuk melakukan sebarang pilihan. Secara langsung lidahnya akan menyebut Allah Subhanahuwata’ala dan meminta pertolongan daripada-Nya.

Telatah manusia, apabila berada di saat-saat genting, tidak akan terfikir dan terlintas sesuatu di hatinya kecuali Allah sahaja. Ketika itu segenap perasaan dan fikirannya dipusatkan kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Benarlah Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan apabila mereka dilambung ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan keikhlasan kepada-Nya, maka ketika Allah menyelamatkan mereka lalu sebahagian daripada mereka tetap berada di jalan yang lurus. Dan tiada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain golongan yang tidak setia lagi ingkar."
(Surah Luqman: 32)

Sesungguhnya permasalahan mengenai kewujudan Allah Subhanahuwata’ala adalah mudah, jelas, terang dan nyata. Kewujudan Allah Subhanahuwata’ala terbukti dengan dalil yang amat banyak dan pelbagai.

Rujukan:
Dr. Abdul Karim Zaidan, Usul Ad-Da'wah.

TAUHID AR-RUBUBIYYAH (Siri ke 2)

Manusia fakir

Manusia di dunia ini bersifat fakir (tidak memiliki apa-apa), sebaliknya sentiasa memerlukan pertolongan Allah Subhanahuwata’ala.

Firman Allah Subhanahuwata’ala di dalam sebuah hadith Al-Qudsi:

"Hai manusia, kamu semua berada di dalam kesesatan kecuali mereka yang Aku berikan taufiq dan hidayah kepadanya. Oleh itu mintalah hidayah daripada-Ku."

"Hai manusia, kamu semua lapar, kecuali mereka yang aku berikan makan, oleh itu mintalah rezeki daripada-Ku."

"Hai manusia, kamu semua telanjang kecuali mereka yang Aku berikan pakaian. Oleh itu mohonlah pakaian daripada-Ku."

Sifat fakir dan sifat kaya

Berhajatkan sesuatu adalah sifat semua makhluk. Manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan makhluk lain berhajatkan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Oleh itu semua makhluk bersifat fakir.

Allah Subhanahuwata’ala Maha Kaya. Dia tidak berhajat kepada sesuatu. Jika manusia memiliki keyakinan ini maka dia akan sentiasa berbaik sangka terhadap Allah Subhanahuwata’ala.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:
"Hai manusia, kamulah (hamba-hamba) yang fakir yang berkehendakkan kepada Allah, dan Allah, Dialah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji."
( Surah Fathir: 15)

Fakir adalah sifat yang zati bagi setiap makhluk ciptaan Allah. Kaya adalah sifat yang zati bagi al-Khaliq (Pencipta).

Manusia juga lemah

Manusia juga sangat lemah di hadapan Allah Subhanahuwata’ala. Sehubungan dengan ini Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
“…dan manusia dijadikan bersifat lemah”
(Surah An-Nisa’: 28)

Rujukan:
Dr. Abdul Karim Zaidan, Usul Ad-Da'wah.

TAUHID AR-RUBUBIYYAH (Siri 1)

Makna kalimah tauhid

Kalimah tauhid bermakna mengEsakan Allah Subhanahuwata’ala. Dari sudut penghayatan dalam kehidupan, ia membawa erti mengenal, berikrar, mengakui, mempercayai dan meyakini bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah hanya sanya Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Selain daripada-Nya, sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah. Penghayatan kalimah ini meliputi berikrar dengan hati, menyatakan dengan lidah dan membuktikan dengan amalan.

Tauhid ar-Rububiyyah

Tauhid ar-Rububiyyah bermakna beri'tiqad bahawa Allah Subhanahuwata’ala bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan sekelian alam.

Pengertian lanjut Tauhid ar-Rububiyyah

Antara pengertian kalimah Rabb ( ربّ ) ialah Tuan, Pemilik, Pencipta, Penguasa, Pendidik, Pengasuh, Penjaga dan Penguatkuasa Yang Mutlak.

Allah bersifat mutlak

Manusia, jika dia bersifat seperti memiliki dan berkuasa, maka sifatnya itu sementara. Segala sesuatu di alam ini kepunyaan Allah Subhanahuwata’ala. Apa yang dimiliki makhluk hanyalah bersifat pinjaman dan majaz (kiasan). Hanya Allah Subhanahuwata’ala sebagai Rabb al-'Alamin (Rabb sekelian alam) dan mempunyai segala sifat kesempurnaan. Dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna mengakibatkan seluruh makhluk bergantung kepada-Nya, memerlukan pertolongan-Nya, mendapat kehidupan daripada-Nya dan berharap kepada-Nya.

Manusia, jika dia cerdik, bijak dan pandai, maka semuanya itu datang daripada Allah Subhanahuwata’ala. Segala kekayaan dan penguasaan manusia bukanlah miliknya yang mutlak tetapi segala-salanya itu datang daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Manusia dijadikan hanya sebagai makhluk. Dia tidak memiliki apa-apa melainkan setiap kuasa, tindak-tanduk, gerak nafas dan sebagainya datang daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Allah Subhanahuwata’ala, Dialah Maha Berkuasa, Mencipta, Menghidup dan Mematikan. Dia berkuasa memberikan manfaat dan mudarat. Jika Allah Subhanahuwata’ala mahu memberikan manfaat dan kelebihan kepada seseorang, tiada siapa yang mampu menghalang atau menolaknya. Jika Allah Subhanahuwata’ala mahu memberikan mudarat dan keburukan kepada seseorang seperti sakit dan susah, tiada siapa dapat menghalang atau mencegahnya.

Oleh itu hanya Allah Subhanahuwata’ala sahaja yang berkuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu."
( Surah Al-An'am: 17)

Dengan mengenali Allah Subhanahuwata’ala sepertimana yang dijelaskan di atas, maka timbullah kesan tauhid kepada hati seseorang. Dia hanya takut kepada Allah Subhanahuwata’ala, dan berani untuk bertindak melakukan sesuatu kerana keyakinannya kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Rujukan: Dr. Abdul Karim Zaidan, Usul Ad-Da'wah.

Wednesday, May 27, 2009

PENGHALANG DARIPADA MENGENAL ALLAH (SIRI KE 2)

PENGHALANG-PENGHALANG YANG BERASAL DARIPADA PENYAKIT SYUBHAT

1) Al-Jahlu (jahil)

Jahil bererti tidak faham dan jauh daripada ilmu yang benar. Islam menyanjung tinggi ilmu dan orang-orang yang berilmu. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabkannya."
(Al-Isra’, 17 : 36)

Wahyu pertama diturunkan pun adalah berkaitan dengan ilmu (membaca).

2) Al-Irtiyab (ragu-ragu)

Tanda bagi penyakit ini ialah keperibadian yang tidak jelas dan bimbang dalam mebuat keputusan. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan sentiasalah orang-orang kafir itu berada dalam keragu- raguan terhadap Al-Quran, hingga datang kepada mereka saat (kematiannya) dengan tiba-tiba atau datang kepada mereka azab hari kiamat."
(Al-Hajj, 22:55)

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ada berpesan supaya meninggalkan sesuatu yang meragukan dan mengambil sesuatu yang tidak meragukan.

3) Al-Inhiraf (menyeleweng)

Penyelewengan yang sengaja atau yang tidak disengajakan akan menjauhkan seseorang daripada kebenaran. Penyelewengan yang tidak disengajakan akhirnya boleh membawa seseorang itu kepada kesengajaan dalam penyelewengan. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"(Tetapi) kerana mereka melanggar janjinya, Kami kutuki mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu, mereka suka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diperingatkan dengannya, dan kamu (Muhammad) sentiasa akan melihat kekhianatan daripada mereka kecuali sedikit di antara mereka (yang tidak berkhianat), maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik."
(Al-Maidah, 5:13)

4) Al-Ghaflah (lalai)

Kenikmatan dan keseronokan hidup di dunia sering membuat seseorang hamba itu lalai. Akhirnya, ia mengalami kebimbangan dalam hidupnya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
"Dan sesungguhnya kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah), mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai."
(Al-A’raf, 7:179)

Kejahilan, ragu-ragu, penyelewengan dan lalai, semuanya mengarah manusia kepada kesesatan. Ubat bagi semua itu ialah mendidik hati dengan ilmu yang membawa kepada kebenaran.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

“Orang yang pandai ialah orang yang memperbaiki dirinya dan beramal untuk hari sesudah matinya”
(HR Termizi)

Rujukan:
1) Jasiman, Lc., Syarah Rasmul Bayan Tarbiyah, Auliya Press Solo, Surakata, Indonesia, Cetakan pertama Julai 2005.
2) Ummu Yasmin, Materi Tarbiyah: Panduan Kurikulum Bagi Da’i dan Murabbi, Media Insani, Tunggulsari, Solo, Cetakan kedua Januari 2005.
3) Tim BIP, Materi Tarbiyah Edisi Lengkap: Syarah Rasmul Bayan, Solo, Cetakan pertama Januari 2006.
4) Al-Qur’an dan terjemahan.

PENGHALANG DARIPADA MENGENAL ALLAH (SIRI 1)

PERKARA-PERKARA YANG MENGHALANG DARIPADA MENGENAL ALLAH

Pelbagai godaan seperti kesenangan, kelazatan, kedudukan, pakaian, wanita, harta, anak dan lain-lain, menghalang seorang hamba daripada mengenali Allah Subhanahuwata’ala.

Penghalang-penghalang tersebut bersumberkan penyakit syahwah (yang berkaitan dengan hati yang berupa nafsu dan kesenangan) dan penyakit syubhat (pelbagai hal yang menimbulkan keraguan dan lebih berkaitan dengan permasalahan akal).

PENGHALANG-PENGHALANG YANG BERASAL DARIPADA PENYAKIT SYAHWAT

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)."
(Ali Imran, 3:14)

"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilahnya (Tuhan) dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?"
(Al-Jatsiyah, 45:23)

Penyakit syahwah akan menimbul pelbagai penghalang untuk mengenali Allah Subhanahuwata’ala:

1) Al-Fisqu (kefasikan)

Orang yang fasik adalah orang yang ternoda kehormatan dan kelayakannya akibat dosa dan kesalahan yang ia lakukan. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"26. Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah daripada itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahawa perumpamaan itu benar daripada Rab mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: "Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?." Dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan Allah. Dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberi-Nya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik,

27. (Iaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerusakan di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi."
(Al-Baqarah, 2: 26,27)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. mereka itulah orang-orang yang fasik."
(Al-Hasyr, 59:19)

2) Al-Kibru (Kesombongan)

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mendefinisikan sombong itu sebagai menolak kebenaran dan meremehkan orang lain. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Ilah (Tuhan) kamu adalah Ilah (Tuhan) yang Maha Esa. Maka orang-orang yang tidak beriman kepada akhirat, hati mereka mengingkari (keesaaan Allah), sedangkan mereka sendiri adalah orang-orang yang sombong."
(An-Nahl, 16:22)

"(Iaitu) orang-orang yang memperdebatkan ayat-ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka, amat besar kemurkaan (bagi mereka) di sisi Allah dan di sisi orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah mengunci mati hati orang yang sombong dan sewenang-wenangnya."
(Al-Mu’min, 40:35)

"Sesungguhhnya orang-orang yang memperdebatkan tentang ayat-ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka, tidak ada dalam dada mereka melainkan hanyalah (keinginan akan) kesombongan yang mereka sekali-kali tiada akan mencapainya. Maka mintalah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Al-Mu’min, 40: 56)

Allah berfirman yang bermaksud: "Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?". Menjawab iblis, "Saya lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan saya darpadai api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah".
(Al-A’raf, 7:12)

3) Al-Zulmu (Kezaliman)

Kezaliman adalah sikap melampaui batas atau menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya. Kemusyrikan adalah kezaliman yang besar kerana nenempatkan makhluk sejajar dengan Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim."
(As-Saf, 61:7)

4) Al-Kazibu (dusta)

Dalam sebuah hadith, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menyatakan bahawa dusta membawa seseorang itu kepada dosa, dan dosa pula membawanya ke neraka. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya, dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta."
(Al-Baqarah,2:10)

5) Kasratul Ma’asi (Banyak berma’siat)

Segala yang berlawanan dengan keta’atan adalah ma’siat. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
"Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka."
(Al-Muthaffifin, 83:14)

Penyakit-penyakit hati mengundang kemurkaan Allah Subhanahuwata’ala dan menggelapkan hati sehingga sukar untuk mengenal Allah Subhanahuwata’ala dengan lebih dekat.

Jalan pengubatan ialah setiap muslim hendaklah segera bangkit, bertaubat dan bermujahadah melawan nafsunya demi menjauhkan dirinya daripada penyakit-penyakit hati. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik."
(Al-Ankabut, 29: 69)

Rujukan:
1) Jasiman, Lc., Syarah Rasmul Bayan Tarbiyah, Auliya Press Solo, Surakata, Indonesia, Cetakan pertama Julai 2005.
2) Ummu Yasmin, Materi Tarbiyah: Panduan Kurikulum Bagi Da’i dan Murabbi, Media Insani, Tunggulsari, Solo, Cetakan kedua Januari 2005.
3) Tim BIP, Materi Tarbiyah Edisi Lengkap: Syarah Rasmul Bayan, Solo, Cetakan pertama Januari 2006.
4) Al-Qur’an dan terjemahan.

JALAN-JALAN MENGENAL ALLAH (SIRI KE 3)

KAEDAH SELAIN ISLAM

Berbeza dengan kaedah Islam, kaedah selain daripada Islam bertolak daripada zon (prasangka, dugaan atau tekaan semata) dalam menanggapi sesuatu yang sering kali berakhir dengan nafsu. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan sahaja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikit pun berguna untuk mencapai kebenaran. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan."
(Yunus, 10:36)

Kaedah bukan Islam yang bertolak daripada prasangka dan kepentingan nafsu, akan menimbulkan keraguan dan kebimbangan. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan senantiasalah orang-orang kafir itu berada dalam keragu-raguan terhadap Al-Quran, hingga datang kepada mereka saat (kematiannya) dengan tiba-tiba atau datang kepada mereka azab hari kiamat."
(Al-Hajj, 22:55)

"Apakah dalam hati mereka ada penyakit, atau mereka ragu-ragu ataukah takut kalau-kalau Allah dan rasul-Nya berlaku zalim kepada mereka? Sebenarnya, mereka itulah orang-orang yang zalim."
(An-Nur, 24:50)

Semakin mereka menyelami pelbagai fenomena di alam ini, semakin besar keraguan mereka. Maka akhirnya mereka kufur kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Rujukan
1) Jasiman, Lc., Syarah Rasmul Bayan Tarbiyah, Auliya Press Solo, Surakata, Indonesia, Cetakan pertama Julai 2005.
2) Ummu Yasmin, Materi Tarbiyah: Panduan Kurikulum Bagi Da’i dan Murabbi, Media Insani, Tunggulsari, Solo, Cetakan kedua Januari 2005.
3) Al-Qur’an dan terjemahan.

JALAN-JALAN MENGENAL ALLAH (SIRI KE 2)

KAEDAH ISLAM DALAM MENGENALI ALLAH SUBHANAHUWATA’ALA

Islam memadukan ayatul qauliyah dan ayatul kauniyah dalam mengenali Allah Subhanahuwata’ala. Ini kerana tidak ada yang mengetahui hal-hal yang ghaib kecuali Allah Subhanahuwata’ala. Manusia juga memerlukan bantuan ayat-ayat Allah Subhanahuwata’ala untuk mengetahui hal-hal yang ghaib mengenai diri manusia sendiri. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"100. Dan tidak ada seorang pun akan beriman kecuali dengan izin Allah, dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya.

101. Katakanlah: "Perhatikanlah apa yaag ada di langit dan di bumi, tidaklah bermanfaat tanda kekuasaan Allah dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman".
(Yunus, 10:100-101)

"Allah menyediakan bagi mereka azab yang keras, maka bertakwalah kepada Allah hai orang-orang yang mempunyai akal, (iaitu) orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan peringatan kepadamu."
(At-Tolaq, 65:10)

"Dan mereka berkata: "Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala".
(Al-Mulk, 67:10)

Apabila manusia mengetahui keterbatasan aqalnya, maka timbullah kerendahan hati untuk merujuk kepada dalil-dalil naqli (al-Qur’an dan as-Sunnah) dalam mengenali Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Rab kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada siksa neraka."
(Ali Imran, 3:191)

"Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya."
(Qaf, 50:37)

Dalil-dalil naqli memberikan maklumat yang lengkap dan tepat mengenai perkara-perkara yang ghaib. Dalil-dalil aqli (hasil-hasil kajian daripada pancaindera dan akal manusia) pula akan memperkuatkan apa-apa yang diperolehi daripada dalil-dalil naqli. Dalil-dalil naqli memberikan bimbingan untuk mempergunakan kemampuan akal secara baik, efisyen dan efektif sehingga seseorang itu tidak perlu menghabiskan tenaga dan waktu untuk mengkaji hal-hal yang tidak terjangkau oleh akal. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda yang bermaksud:
“Berfikirlah tentang makhluk-mahluk Allah dan jangan berfikir tentang zat Allah kerana akal kamu tidak akan dapat menjangkau-Nya”

Keharmonian antara ayat-ayat naqli dan aqli akan membawa seseorang muslim yakin dan beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala.


Rujukan
1) Jasiman, Lc., Syarah Rasmul Bayan Tarbiyah, Auliya Press Solo, Surakata, Indonesia, Cetakan pertama Julai 2005.
2) Ummu Yasmin, Materi Tarbiyah: Panduan Kurikulum Bagi Da’i dan Murabbi, Media Insani, Tunggulsari, Solo, Cetakan kedua Januari 2005.
3) Al-Qur’an dan terjemahan.

JALAN-JALAN MENGENAL ALLAH (SIRI 1)

Oleh kerana Allah Subhanahuwata’ala bersifat ghaib dan tidak terjangkau oleh pancaindera kita, maka untuk mengenali Allah Subhanahuwata’ala dengan lebih jauh tidak akan dapat dilakukan berasaskan pengamatan pencaindera semata-mata. Kerana keghaiban, kesempurnaan dan keagungan-Nya itulah kita hanya akan dapat mengenali-Nya melalui ayat-ayat-Nya.

Ayat-ayat Allah Subhanahuwata’ala dapat diklasifikasikan kepada dua bahagian, iaitu:

1) Ayatul qauliyah.

Iaitu ayat-ayat yang berbentuk kata-kata atau firman-firman Allah Subhanahuwata’ala sepertimana yang terkandung dalam kitab-Nya yang diwahyukan kepada rasul-Nya. Firman-Nya yang bermaksud:
"Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan daripada ayat-ayat-Nya) itu?"
(At-Tin, 95:7)

2) Ayatul kauniyah.

Iaitu ayat-ayat yang berbentuk tanda-tanda kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala yang tersebar di alam semesta. Firman-Nya yang bermaksud:
"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahwa Al-Quran itu adalah benar. Tiadakkah cukup bahawa sesungguhnya Rabmu menjadi saksi atas segala sesuatu?"
(Fusilat, 41:53)

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal."
(Ali Imran, 3:190)














Rujukan
1) Jasiman, Lc., Syarah Rasmul Bayan Tarbiyah, Auliya Press Solo, Surakata, Indonesia, Cetakan pertama Julai 2005.
2) Ummu Yasmin, Materi Tarbiyah: Panduan Kurikulum Bagi Da’i dan Murabbi, Media Insani, Tunggulsari, Solo, Cetakan kedua Januari 2005.
3) Al-Qur’an dan terjemahan.