Wednesday, October 21, 2009

SISTEM AKHLAK ISLAM (Siri 5)

BALASAN AKHLAK

Satu ciri khas daripada sistem akhlak Islam ialah adanya balasan. Islam menetapkan dalam sistem akhlaknya ada larangan dan ada perintah, maka setiap pelanggaran terhadap perintah Allah diancam dengan siksa dan azab. Allah Subhanahuwata’ala berfirman :
“Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela.”
(Al-Humazah : 1)

Sebaliknya, akan mendapat pahala orang yang mentaati dan mematuhi ajaran akhlak Islam.

Balasan bagi orang yang melanggar akhlak kadang-kadang dikenakan di dunia lagi. Contohnya, hukuman ta’zir dapat dijatuhkan ke atas mereka yang mencaci, berkhianat dan mengemukakan kesaksian palsu. Mereka yang tidak menepati sumpah (suatu janji yang diperkuat dengan nama Allah) akan dikenakan kafarah (tebusan) sumpah.

Balasan bagi gologan yang berakhlak buruk mungkin juga berbentuk kehancuran. Dalam hal ini Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ada bersabda (yang bermaksud):

“Sesungguhnya telah binasa mereka yang sebelum kamu, kerana apabila mencuri orang-orang atasan, maka mereka tidak mengambil tindakan (hukuman), tetapi apabila mencuri orang-orang yang bawahan (rakyat biasa) maka mereka mengambil tindakan (hukuman)”.
(Al-Hadis)

Akan timbul rasa gelisah di hati umat apabila mereka membiarkan kezaliman berlaku ditengah-tengah mereka. Perbuatan membiarkan kezaliman akan membawa kehancuran kepada umat secara total. Bukan sahaja orang-orang yang berbuat jahat akan ditimpa kehancuran, bahkan kehancuran itu akan juga menimpa orang-orang yang berbuat baik dan tidak berdosa. Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu, dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya.”
(Al-Anfal : 25)

ADAKAH AKHLAK DAPAT DIPERBAIKI?

Adakah akhlak itu boleh diperbaiki? Adakah boleh akhlak yang buruk diganti dengan akhlak yang baik? Adakah akhlak itu merupakan sifat manusia yang tidak mungkin diubah atau diperbaiki sepertimana keadaan jasmani manusia yang tidak boleh diubah? Jawapannya ialah:

1) Pada dasarnya akhlak boleh diubah atau diperbaiki. Sifat-sifat yang keji boleh diganti dengan sifat-sifat yang baik, dan begitu juga sebaliknya. Oleh kerana Allah sering memerintahkan agar berakhlak baik dan melarang berakhlak keji, maka ini menunjukkan bahawa akhlak itu dapat diubah. Islam tidak mungkin menyuruh kita melakukan sesuatu yang mustahil kita lakukan.

Dalam salah satu kaedah usul fiqh menyatakan: taklif hanya menurut kemampuan dan tidak ditaklifkan sesuatu yang mustahil. Maka ini bermakna: tidak ada sesuatu beban pun kecuali ia dapat dilaksanakan. Oleh itu semua manusia boleh memperbaiki akhlaknya atau menggantikan akhlak yang keji dengan akhlak yang baik, dan begitu juga sebaliknya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”
(Asy-Syams: 7-10)

Meskipun sedemikian, manusia berbeza-beza kesanggupan dan kemampuan untuk memperbaiki dan mengubah akhlaknya, sepertimana manusia berbeza-beza kemampuan dan kesediaan untuk menerima ilmu atau memahami sesuatu sesuai dengan perbezaan kemampuan dan kecerdasan akal.

2) Sesetengah manusia telah dikurniakan beberapa sifat tertentu yang tertonjol dan dapat dilihat pada tingkah lakunya. Hal ini diterangkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahwa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah berkata kepada Ashaj Abdil Qais:

Sesungguhnya pada dirimu ada dua sifat yang dikasihi Allah dan Rasul-Nya ialah sifat sabar dan lemah lembut. Dia bertanya kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah apakah saya yang memperoleh akhlak itu atau Allah yang mengurniakannya kepada saya?. Rasulullah menjawab: Bahkan yang memberikan kedua sifat itu kepadamu ialah Allah. Beliau pun berkata: Alhamdulillah yang telah memberikan dua sifat itu kepadaku, dua sifat yang dikasihi Allah dan Rasulnya.
(Al-Hadis)

Tidak diragukan bahawa manusia dikurniakan akhlak yang berbeza-beza, sepertimana perbezaan kekuatan akal dan kepandaian. Berdasarkan hakikat ini, sesiapa yang telah memperoleh sifat tertentu, maka mudahlah baginya memperkukuh dan memperkembangkan sifat itu pada dirinya, kerana kurniaan Allah itu menjadi bibit akhlak yang akan membantunya.

No comments:

Post a Comment