Tuesday, February 15, 2011

Pengajaran Dari Surah Al Mukminun (ayat 1 – 11) Siri 3

Amanat yang dibeban kepada individu dan kelompok manusia memang banyak. Amanat yang paling utama dan terulung ialah amanat fitrah. Allah menjadikan fitrah manusia itu lurus dan selaras dengan sunatullah . Ia mengakui kewujudan Allah Tuhan Pencipta dan mengakui Wahdaniyah-Nya (keEsaan Allah) melalui perasaan dalamnya yang merasakan adanya persamaan undang-undang yang mengendalikannya dan undang-undang yang mengendalikan alam ini. Ia turut merasakan adanya persamaan iradat yang bebas bagi mentadbir alam ini.

Setiap manusia yang dilahirkan samada Islam atau bukan Islam mempunyai rasa hati yang mengakui kewujudan Tuhan Yang Satu iaitu Allah. Cuma sebilangan manusia mengotori fitrahnya dengan menafikan kehendak fitrah mereka yang mengakui keEsaan Allah. Ramai dikalangan orang yang baru masuk Islam menceritakan hati mereka terdetik untuk memeluk Islam pada peringkat awalnya apabila hati mereka tersentuh dengan laungan azan, bacaan Quran dan sebagainya. Sememangnya fitrah manusia sudah bersedia untuk menerima Islam yang dikurniakan oleh Allah kepada setiap manusia. Apabila mereka memeluk Islam bererti mereka kembali kepada fitrah.

Contoh yang lain adalah seperti seorang yang belayar di lautan. Ketika menghadapi ribut taufan dan ombak besar yang menghempas kapal; ia sedar tidak ada yang dapat menolong melainkan Allah. Walaupun dalam keadaan biasa ia tidak beriman atau tidak percaya kepada Tuhan. Tetapi dalam keadaan kritikal antara hidup dan mati, tidak ada yang terlintas di hati melainkan memohon pertongan Tuhan. Inilah fitrah yang ada pada diri manusia iaitu fitrah yang mengakui kewujudan Allah Tuhan Pencipta dan mengakui Wahdaniyah-Nya (keEsaan Allah).

Firman Allah dalam Surah Luqman ayat 32:

وَإِذَا غَشِيَہُم مَّوۡجٌ۬ كَٱلظُّلَلِ دَعَوُاْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ فَلَمَّا نَجَّٮٰهُمۡ إِلَى ٱلۡبَرِّ فَمِنۡهُم مُّقۡتَصِدٌ۬‌ۚ وَمَا يَجۡحَدُ بِـَٔايَـٰتِنَآ إِلَّا كُلُّ خَتَّارٍ۬ كَفُورٍ۬

“Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya) dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.”

Sebahagian besar orang-orang kafir membiarkan rasa hati mereka berlalu begitu sahaja tanpa mengambil tindakan untuk mencari hidayah melalui kajian tentang konsep ketuhanan yang sebenar melalui ajaran Islam.

Orang mukmin sentiasa menjaga amanat yang agung ini. Mereka tidak membiarkan fitrah mereka menyeleweng dari jalannya yang lurus supaya fitrahnya tetap kekal menunaikan amanatnya mengakui kewujudan Allah dan Wahdiyah-Nya. Kemudian barulah datang amanat-amanat yang lain mengekori amanat yang agung itu.

Janji yang sanggup dilaksanakan oleh orang beriman ialah menjadikan Allah sebagai saksinya dan menunaikannya dengan semangat taqwa dan takut kepada Allah.

Kelompok muslimin bertanggungjawab terhadap seluruh amanat dan tanggungjawab terhadap segala perjanjian dengan Allah Ta’ala dan segala tanggungjawab yang meliputi segala suruhan dan larangan Allah yang terbit daripada perjanjian itu.

Ayat 8 dari Surah al Mu’minun:

وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمۡ وَعَهۡدِهِمۡ رَٲعُونَ (٨

“Orang-orang yang memelihara amanat-amanat dan janji-janji mereka.”

Orang mukmin sentiasa patuh memelihara amanat dan janji-janji mereka. Itulah sifat mereka yang tetap di setiap masa. Kehidupan sesebuah masyarakat tidak akan betul melainkan segala amanat yang ada padanya ditunaikan dengan sempurna dan segala perjanjiannya dipelihara dan dikotakan. Masyarakat tidak akan betul melainkan apabila setiap anggotanya yakin dan percaya kepada dasar asasi kehidupan bermasyarakat, iaitu dasar amanat yang perlu untuk melahirkan kepercayaan, keamanan dan ketenteraman.

Pada hari ini kita dapati masyarakat yang rosak bermula dari institusi keluarga yang porak peranda. Mereka tidak memahami amanat yang ada pada diri masing-masing. Amanat sebagai individu muslim. Amanat sebagai suami atau isteri. Amanat sebagai anak yang bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Dan pelbagai amanat lagi. Jika amanat yang paling ulung dan utama terhadap Pencipta iaitu Allah tidak dapat dijaga dan dipatuhi mana mungkin amanat yang lain dapat dipenuhi.

Pada hari ini kita dengar pelbagai kes pecah amanah. Anak-anak menderhaka kepada ibu bapa. Suami tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak. Isteri yang curang kepada suami dan lain-lain lagi. Semuanya bermula apabila mereka tidak memelihara amanat mereka terhadap Allah.

Rujukan:

Asy Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, Tafsir Fi Zilalil Quran – Di Bawah Bayangan Al Quran Jilid 11, terjemahan Yusoff Zaky Haji Yacob, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 2002

No comments:

Post a Comment