Thursday, October 29, 2009

LAILAHA ILLALLAH (لا اله الا الله ): SISTEM HIDUP MASYARAKAT ISLAM

Dua kaedah asas

Terdapat dua kaedah yang terpenting dalam Islam, iaitu:
1) Peribadahan hanya kepada Allah Subhanahuwata’ala merupakan sebahagian daripada tuntutan rukun pertama dalam aqidah Islam. Ia adalah penjelmaan daripada pengakuan: (لا اله الا الله) “Bahawa Tiada Ilah Melainkan Allah”.
2) Menerima daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mengenai cara beribadah pula merupakan tuntutan daripada pengakuan: “Bahawa Muhammad Itu Rasulullah”.

Hati yang beriman ialah hati yang menjelmakan kedua-dua kaedah ini dalam penghayatan hidupnya. Setiap perkara yang berkaitan dengan asas-asas keimanan dan Islam juga merupakan kemestian bagi seseorang yang beriman. Keimanan kepada malaikat-malaikat Allah, kitab-kitab Allah, rasul-rasul Allah, Hari Akirat, untung baik dan untung buruk, serta demikian juga dengan menunaikan solah, zakat, puasa dan haji, serta perlaksanaan sesuatu yang berkaitan dengan hukum hudud, qisas dan ta’zir, serta penguatkuasaan yang halal, haram, perlaksanaan mu’amalat, undang-undang dan arahan-arahan Islam, semuanya itu ditegakkan di atas kaedah peribadahan kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata, seperti yang disampaikan kepada kita oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Kepentingan kaedah asas

Pengakuan bahawa ”Tiada Ilah Melainkan Allah dan Muhammad Itu Pesuruh Allah”, adalah kaedah bagi manhaj yang sempurna untuk mereka yang menganut Islam. Kehidupan Islam tidak dapat tertegak sebelum tertegaknya kaedah ini. Juga, kehidupan Islam tidak dapat tertegak di atas kaedah lain bersampingan dengannya. Atau, di atas beberapa kaedah yang berasingan dengannya. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Tiada hukum melainkan kepunyaan Allah. Ia memerintahkan kamu agar jangan beribadah melainkan kepada-Nya. Itulah sahaja Din yang lurus.”
-Surah Yusuf: ayat 40.

"Sesiapa yang taatkan Rasul sesungguhnya ia taatkan Allah.” -Surah al-Nisa’: ayat 80.

Pengakuan yang ringkas, mutlak dan tegas ini berguna kepada kita untuk menentukan kata pemutus dalam persoalan-persoalan asasi din ini dan mengenai gerakannya yang realistik. Antaranya ialah:
1) Untuk menentukan tabiat din Islam.
2) Untuk menentukan manhaj pertumbuhan masyarakat Islam.
3) Untuk menentukan manhaj Islam dalam menghadapi masyarakat Islam.
4) Untuk menentukan manhaj Islam dalam menghadapi realiti kehidupan manusia.

Persoalan-persolan ini merupakan persoalan-persoalan penting dan asas dalam manhaj gerakan Islam dahulu dan sekarang.

Masyarakat Islam

Masyarakat Islam ialah masyarakat yang menegakkan kaedah ini dan segala tuntutannya secara menyeluruh. Tanpa menegakkan kaedah ini dan tuntutan-tuntutanya, sesuatu masyarakat itu tidak menjadi masyarakt Islam.

Sifat tersendiri dan utama bagi masyarakat Islam ialah ia tegak di atas kaedah peribadahan kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata dalam semua urusan hidup. Peribadahan yang terbentuk daripada pengakuan Bahawa Tiada Ilah Yang Disembah Melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad Itu Pesuruh Allah.

Tauhid dalam ibadah

Peribadahan ini adalah terjemahan daripada tasawwur aqidah. Begitu juga dalam syariat dan perundangan. Sesiapa yang tidak mempercayai keesaan Allah Subhanahuwata’ala bermakna dia tidak menjadikan dirinya hamba kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
”Janganlah kamu mengambil dua Tuhan, kerana sesungguhnya Tuhan itu Esa. Maka kamu hendaklah takut hanya kepada-Ku. Dan untuk-Nya semua yang di langit dan yang di bumi dan baginya ketaatan yang tetap. Apakah kamu bertaqwa kepada yang lain daripada Allah?”
-Surah an-Nahl: ayat 51-52.

Sesiapa yang mengemukakan ibadah kepada sesuatu yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala atau kepada sesuatu yang bersekutu dengan-Nya atau kepada sesuatu yang berasingan dengan-Nya, maka dia bukanlah hamba kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Katakanlah: Sesungguhnya solahku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah seluruh alam. Tiada sekutu baginya dan demikian itulah aku disuruh dan aku adalah orang-orang Islam yang pertama.”
-Surah al-An’am: ayat 162-163.

Sesiapa yang menerima syariat atau perundangan yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala atau menerusi jalan yang lain daripada jalan disampaikan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maka dia bukanlah menjadi hamba kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.

Rujukan utama:

Ma’alim Fi at-Tariq,Asy-Syahid Sayyid Qutb.

No comments:

Post a Comment