Monday, October 19, 2009

TASAWWUR JAHILIYYAH BERDASARKAN AL QURAN

Makna Jahiliyyah

Banyak manusia kini tidak memahami konsep jahiliyyah dengan betul. Akibatnya mereka tidak dapat menilai dengan betul akan realiti kehidupan hari ini.

Justeru itu, kita perlulah memahami tasawwur jahiliyyah agar penilaian kita terhadap realiti kini selaras dengan hakikat sebenar.

Lafaz ‘Jahiliyyah’ merupakan istilah yang terdapat dalam Al Qur’an. Ibn Taimiyyah dalam menjelaskan makna lughawi ‘jahl’ mengatakan:

“Iaitu tidak mempunyai ilmu atau tidak mengikut ilmu. Maka orang yang tidak tahu haq, dia adalah jahil ringan. Tetapi jika dia meyakini sesuatu yang bertentangan dengan haq sebagai suatu kebenaran, dia disebut jahil murakkab. Demikian pula, orang yang mengamalkan sesuatu yang bertentangan dengan haq, dia tetap disebut jahil meski pun dia tahu bahawa hal itu bertentangan dengan haq.”

Jahiliyyah’ seperti yang disebut dalam Al Qur’an

Kata jahiliyyah dalam Al Qur’an digunakan untuk makna tertentu. Jahiliyyah digunakan untuk menerangkan tentang jahil terhadap hakikat Uluhiyyah serta ciri-cirinya, dan jahil terhadap hakikat suluk (tingkah laku).

1. Jahil terhadap hakikat Uluhiyyah serta ciri-cirinya

Allah Subhanahuwataala berfirman yang bermaksud:
“Dan kami seberangkan Bani Israel ke seberang lautan itu, maka setelah mereka sampai kepada suatu kaum yang tetap menyembah berhala mereka, Bani Israil berkata: Hai Musa buatlah untuk kami sebuah sembahan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa sembahan. Musa menjawab: Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.”
(Al A’raf : 138)

Kata ‘jahl’ dalam ayat di atas menunjukkan tidak adanya kefahaman tentang uluhiyyah. Ini kerana mereka tidak tahu bahawa Allah Subhanahuwataala itu:

“Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata.”
(Al An’aam : 103)

“Tidak ada sesuatu pun serupa dengan Dia.”
(Asyuura : 11)

”Pencipta segala sesuatu, maka sembahlah Dia dan Dia adalah pemelihara segala sesuatu.”
(Al An’aam : 102)

Allah Subhanahuwataala bukan makhluk dan sifat-Nya tidak sama seperti sifat makhluk.

Sekiranya Bani Israil memahami hakikat uluhiyyah seperti di atas, maka sudah tentu mereka tidak akan bertanya atau meminta sesuatu yang membuktikan kejahilan mereka.

Dalam ayat lain Allah Subhanahuwataala berfirman yang bermaksud:
“Sedang segolongan lagi telah dicemaskan oleh diri mereka. Mereka menyangka yang tidak benar terhadap Allah seperti sangkaan jahiliyyah. Mereka berkata: Apakah ada bagi kita barang sesuatu (hak campur tangan) dalam urusan ini?”
(Ali Imran : 154)

Allah Subhanahuwataala mencela golongan dalam ayat di atas kerana tasawwur mereka yang salah terhadap hakikat uluhiyyah. Mereka menyangka Allah Subhanahuwataala tidak berhak untuk mentadbir segala persoalan dan urusan di alam ini. Kejahilan mereka ialah bahawa mereka tidak memahami sesungguhnya segala urusan di alam, termasuk kehidupan di dunia, ditadbir oleh Iradah dan di bawah Pentadbiran Allah Subhanahuwataala. Bukan pentadbiran daripada makhluk ke atas makhluk. Segala apa yang berlaku di dunia ini adalah di bawah pengaruh qudrat dan takdir Allah Subhanahuwataala. Allah Subhanahuwataala tidak perlu bermusyawarah dengan makhluk atau meminta pendapat makhluk untuk mentadbir alam ini. Allah Subhanahuwataala menolak tasawwur yang salah itu dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Katakanlah: Sesungguhnya urusan itu seluruhnya di tangan Allah.”
(Ali Imran : 154)

Allah Subhanahuwataala berfirman yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang tidak mengetahui berkata: Mengapa Allah tidak (langsung) berbicara dengan kami atau datang tanda-tanda kekuasaanNya kepada kami? Demikian pula orang-orang yang sebelum mereka telah mengatakan seperti ucapan itu. Hati mereka serupa. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kekuasaan Kami kepada kaum yang yakin.”
(Al Baqarah : 118)

Ayat di atas menunjukkan kejahilan mereka berhubung persoalan Uluhiyyah, iaitu mereka tidak tahu bahawa Allah Subhanahuwataala tidak berbicara dengan manusia melainkan melalui wahyu atau di belakang ‘tabir’ seperti dalam firmanNya yang bermaksud:
“Dia tidak ada bagi seorang manusia pun bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir atau mengutuskan seorang utusan (Malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan seizinNya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana.”
(As Syura : 51)

2. Jahil terhadap hakikat suluk (tingkah laku)

Allah Subhanahuwataala berfirman yang bermaksud:
”Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu”
(Al Ahzab : 33)

Maksud jahiliyyah berdasarkan ayat di atas adalah berkaitan dengan suluk (tingkah laku) yang tidak mundhabith (selaras atau sesuai) dengan panduan Rabbani. Atau, dengan kata lain, suluk yang mengikut cara yang lain daripada apa yang ditanzilkan oleh Allah Subhanahuwataala melalui Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam. Suluk dalam ayat di atas bermaksud penyimpangan daripada kewajipan merasa malu dalam berpakaian serta mempamerkan perhiasan kepada yang bukan muhrim.

Berdasarkan firman Allah Subhanahuwataala, Nabi Allah Yusuf ada berdoa kepada Allah Subhanahuwataala serta memujiNya yang bermaksud:
“Dan jika tidak Engkau hindarkan daripada aku akan tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung (memenuhi keinginan jahat mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang jahil.”
(Yusuf : 33)

Pengertian jahil dalam ayat di atas juga berkaitan dengan suluk yang tidak selaras dengan panduan Rabbani. Iaitu mengenai perbuatan serong dengan wanita dan terlibat dalam perbuatan haram. Perbuatan yang bertentangan dengan panduan Rabbani itulah yang ditakuti oleh Nabi Allah Yusuf. Kerana itu dia berlindung dengan Allah Subhanahuwataala.

Firman Allah Subhanahuwataala yang lain yang bermaksud:
“Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliyyah.”
(Al Fath : 26)

Makna jahiliyyah dalam ayat di atas jelas berhubung dengan suluk yang tidak mundhabith dengan panduan Rabbani, iaitu menerangkan bahawa manusia tidak boleh berperang kecuali di jalan Allah Subhanahuwataala. Tidak boleh berperang di atas dasar hamiyah (kesombongan) dan ta’asubiyyah (fanatik buta). Serta, tidak boleh berperang untuk sesuatu yang dibenci oleh Allah Subhanahuwataala.

Seterusnya, firman Allah Subhanahuwataala yang bermaksud:

“Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin.”

“Barang siapa yang tidak menghukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir”
(Al Maidah : 44)

Ayat-ayat tersebut di atas menerangkan bahawa jahiliyyah itu adalah mengikut atau menjalankan tasyri’ (undang-undang) yang bukan daripada kitabullah.

Kesimpulan

Demikianlah pengertian jahiliyyah menurut Al Qur’an. Jahiliyyah adalah jahil terhadap hakikat uluhiyyah dan jahil terhadap apa yang diwajibkan oleh Allah Subhanahuwataala. Berdasarkan pengertian ini, jahiliyyah tidaklah terbatas pada zaman, tempat dan bangsa tertentu sahaja. Jahiliyyah boleh berlaku pada bila-bila masa berdasarkan tasawwur di atas. Dengan kata lain, pada bila dan di mana sahaja, jika terdapat atau terlaksana tasawwur atau suluk jahiliyyah, maka ia adalah jahiliyyah.

No comments:

Post a Comment