Saturday, September 17, 2011

Kebiasaan dan Pengaruhnya Dalam Kehidupan Manusia

Kebiasaan adalah sesuatu yang biasa kita lakukan. Kebiasaan dapat dirasai melalui pancaindera seperti pergi kesuatu tempat, duduk disuatu tempat atau makan makanan tertentu, berupa sikap atau perasaan seperti menghormati orang lain , memuliakan tetamu dan sebagainya.

Para ahli ilmu jiwa menjelaskan kebiasaan terdiri atas 3 unsur yang saling berkaitan iaitu:
i. Pengetahuan iaitu pengetahuan yang bersifat teori mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan.
ii. Keinginan iaitu motivasi atau kecenderungan untuk melakukan sesuatu
iii. Keahlian maksudnya kemampuan atau kesanggupan untuk melakukannya.

Jika ketiga unsur di atas berpadu pada sesuatu perbuatan, maka perbuatan tersebut dapat dikategorikan sebagai kebiasaan. Akan tetapi jika kurang salah satunya, maka perbuatan itu tidak dapat dikategorikan sebagai kebiasaan

Sebagai contoh, jika kita ingin membentuk kebiasaan mengatur waktu dan memannfaatkannya, maka kita harus mengetahui terlebih dahulu erti dan pentingnya waktu dalam kehidupan. Kemudian kita harus mengenal cara-cara mengatur waktu dan melatih diri kita untuk melakukannya. Selepas itu kita dituntut untuk membangkitkan semangat dan keinginan kita untuk mengatur waktu dengan terus mengingatkan diri sendiri bahawa mengatur waktu memiliki peranan yang besar dalam menentukan kejayaan dan keunggulan dalam kehidupan ini.

Kebiasaan yang tidak bermanfaat juga terdiri atas 3 unsur iaitu pengetahuan, keahlian dan keinginan. Oleh kerana itu, jika kita ingin menghindarkan diri dari kebiasaan yang negative, maka kita harus memperhatikan dua unsur iaitu pengetahuan dan keinginan. Kita perlu ada pengetahuan elemen yang tidak baik atau kesan negatif dari kebiasaan tersebut. Kita harus menambah pengetahuan mengenai kesan-kesan negatif perkara tersebut.

Kita mulai dengan mengubah factor-faktor pendorong dan kecenderungan yang mengarah kepada kebiasaan negatif itu. Lalu secara perlahan-lahan kita mulai meninggalkan kebiasaan tersebut. Perkara yang penting untuk mengubah kebiasaan yang negatif memerlukan keyakinan kita tentang kesan negatif dari kebiasaan tersebut dan keinginan untuk mengubahnya.

Perubahan merupakan sesuatu perbuatan yang harus dilakukan oleh manusia dan perubahan itu akan dating dari dalam diri manusia itu sendiri. Firman Allah dalam ayat 11 Surah ar Ra’ad bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

Manusia adalah makhluk Allah yang digerakkan oleh sejumlah kebiasaan; sebahagian dari kebiasaan itu bermanfaat, sebahagian lainnya membahayakan dan sebahagiannya berada di antara keduanya.

Ustaz Muhammad Qutb (dalam bukunya Manhaj at Tarbiyah al Islamiyyah, h.200) menyatakan, “Islam menggunakan kebiasaan sebagai salah satu kaedah pendidikan. Islam mengubah semua kebaikan menjadi kebiasaan yang dapat dilakukan oleh semua orang tanpa harus bersusah payah atau merasa berat. Islam juga selalu mengingatkan tujuan yang akan dicapai melalui kebiasaan-kebiasaan tersebut.”
“Pada masa jahiliah, Islam sudah mulai menghilangkan kebiasaan buruk yang sedang berkembang di lingkungan masyarakat Arab. Untuk melakukan misi tersebut Islam menggunakan dua cara;
i. Menghentikannya secara tegas dan sekaligus seperti kebiasaan syirik kepada Allah, menanam anak perempuan hidup-hidup, berbohong, mengumpat dan sebagainya.
ii. Menghentikan kebiasaan secara bertahap yang melibatkan social dan ekonomi seperti minum arak, zina, riba dan mencuri.”

Langkah untuk melakukan kebiasaan yang membawa kejayaan kepada diri perlu dimulakan dengan memfokuskan kepada 3 perkara penting:
i. Pertama, membangunkan sepuluh (10) kebiasaan untuk membangunkan peribadi yang berjaya dengan cara mengenal kebiasaan diri sendiri berdasarkan 3 unsur (pengetahuan, keinginan dan keahlian) serta melatih diri untuk melakukan dan membiasakannya.
ii. Kedua, mengenalpasti kebiasaan yang tidak bermanfaat di dalam kehidupan kita serta perkara sia-sia yang dilakukan. Kategorikan kepada dua jenis kebiasaan samada tindakan dapat dilakukan secara tegas dan sekaligus atau melakukan secara bertahap sesuai dengan tahap kesulitannya atau priority/ ‘urgent’.
iii. Ketiga, mengenalpasti kebiasaan yang bersifat neutral iaitu tidak membahaya serta diharap dapat diubah menjadi kebiasaan yang bermanfaat.

Sesungguhnya kejayaan bukanlah sekadar konsep, prinsip ataupun pendapat-pendapat yang kita pelajari atau kita dengar dari orang, tetapi kejayaan adalah sebuah proses perjalanan dari pengalaman dan keahlian seorang manusia yang berlangsung terus menerus dalam jangka waktu yang lama.

Rujukan:
10 Kebiasaan Manusia Sukses Tanpa Batas, Dr Ibrahim Bin Hamd Al- Qu’ayyid, penterjemah, Fatkhurozi: Penyunting, Hilmi Akmal, Maghrifah Pustaka, Jakarta, 2005