Thursday, December 03, 2009

HAK IBUBAPA DAN ANAK-ANAK

Hak kedua-dua ibu bapa

Seorang anak mesti mentaati ibubapasepertimana mereka mentaati anak semasa masih kecil. Berbelanjalah untuk mereka sepertimana mereka telah berbelanja untuk anak sewaktu kecil. Kasihlah kepada mereka sepertimana mereka kasihkan anak sewaktu kecil dan besar. Bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik.

Hak terhadap ibubapa adalah besar. Janganlah mengutamakan is­teri, anak-anak sendiri dan kawan-kawan melebihi ibubapa. Tetapi hak terhadap ibubapa hanya kekal di dalam batas-batas syara’ sahaja. Sekiranya mereka menyuruh agar melakukan perkara-perkara yang tidak syar’i maka seorang anak mesti terus patuh kepada Allah Subhanahuwata’ala. Namun seorang anak tidak boleh bermusuh dengan mereka. Anak perlu terus menjaga siratulrahim dengan ibubapanya. Cuma dalam hal yang melanggari perintah Allah Subhanahuwata’ala seorang anak tidak boleh ta’at kepada kedua ibubapa. Tetaplah berbaik dengan ibubapa walaupun mereka bukan Islam.

Seseorang anak tidak boleh meletakkan kedudukan ibubapalebih rendah daripada kedudukannya. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sendiri melayan baik ibu susu, bapa susuan dan saudara susuan baginda dengan baik.

Muliakanlah kawan-kawan mereka berdua. Peliharakanlah keredhaan mereka berdua (dalam batas-batas syara’).

Hak Anak-Anak

Terhadap anak-anak, maka mereka berhak diberikan nama yang baik, tarbiyyah Islamiyah, pakaian dan makanan. Berikanlah persediaan-persediaan pada diri mereka agar dapat melaksanakan perintah Allah Subhanahuwata’ala Didik dan jagalah mereka sehingga mereka dewasa. Tunaikanlah hak-hak terhadap anak-anak secara sama rata.

Apabila anak-anak sudah meningkat ke arah dewasa (15 tahun), maka berikanlah persediaan pada mereka agar dapat melaksanakan kewaji­pan-kewajipan seperti berpuasa, solah, berjihad, menunggang kuda (dalam konteks sekarang - memandu), berenang, berlatih mengguna­kan alat-alat peperangan, berlatih melakukan perkara-perkara yang mendatangkan manafaat dan berakhlak mulia. Hendaklah sifat-sifat yang baik menjadi malakah pada diri mereka, bukan setakat berpen­getahuan sahaja.

Ibubapaperlu mengalirkan masa depan anak-anak ke arah yang betul dan sesuai dengan tuntutan Islam, maka InsyaAllah akan lahirlah natijah yang betul pada mereka.

Jelaskanlah kepada anak-anak bahagian-bahagian ‘aqidah Islam. Mereka hendaklah menganut Islam secara faham dan melalui jalan tarbiyyah yang betul, bukan secara warisan sahaja. Ajarkanlah mereka kerja-kerja kemahiran seperti pertukangan. Apabila anak-anak telah diperkuatkan dengan ‘aqidah dan mempunyai pegangan hidup yang kuat, maka mereka boleh dilepaskan untuk mempelajari ilmu-ilmu kemahiran hidup daripada siapa sahaja yang difikirkan sesuai. InsyaAllah mereka akan mempelajari ilmu-ilmu itu tanpa hanyut.

Latihlah lidah mereka dengan percakapan-percakapan yang baik dan tabi’at mereka dengan tabi’at-tabi’at Islam. Ajarlah mereka dengan fardhu ‘ain, ilmu fiqh dan fardhu kifayah seperti solah jenazah. Kita mesti sedar dan merancang dengan baik untuk meme­nuhi ruang fardhu kifayah yang masih banyak demi keperluan ummah Islamiyah, misalnya dalam bidang kedoktoran samada bagi lelaki atau perempuan. Keperluan-keperluan ini tidak boleh diabaikan, bahkan perlu dirancang dengan dari awal.

Ajarlah anak-anak supaya berusaha menegakkan yang ma’aruf dan mencegah yang mungkar.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menyuruh ibubapa memberikan nama yang baik pada anak-anak pada hari yang ke tujuh. Kemudian membuatkan aqiqah (iaitu pada hari ke tujuh atau hari ke 14 atau paling lewat hari ke 21). Bagi anak wanita aqiqahnya adalah satu ekor kambing dan bagi anak lelaki aqiqahnya adalah dua ekor kambing.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam juga berpesan kepada ibubapa agar mendidik anak-anak supaya kasihkan Rasulullah, cintakan keluarga Rasulul­lah dan cintakan Al Qur’an.

Oleh: Ustaz Dahlan Mohammad Zain.

KESEDARAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Matlamat umum

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku."
(Az-Zariyat : 56)

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. “
( Surah at Tahrim : 6 )

Matlamat Khusus

Menjadikan anak-anak pemimpin yang beriman dan bertaqwa, seperti firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berkata : Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa. “
( Surah al Furqaan : 74 )
“Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mawaliku sepeninggalku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakub dan jadikanlah ia, ya Tuhanku, seorang yang diredhai “
( Surah Maryam : 5 – 6 )

Tidak semua manusia boleh mencapai matlamat khusus ini (iaitu untuk melahirkan pemimpin). Memadailah jika manusia dapat mencapai matlamat umum di atas.

Pendidikan keimanan sebagai asas

1) Iman adalah asas pembentukan peribadi dan syakhsiyyah Islamiyyah. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar ".
( Surah Al Hujurat : 15)
2) Iman adalah asas pembentukan keluarga.
Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:-
"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudara kamu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat".
(Surah Al Hujurat: 10)

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:
"Sesiapa yang berkahwin bererti dia telah menyempurnakan sebahagian daripada deennya, maka dia hendaklah bertaqwa dengan sebahagian yang masih tinggal".
(Riwayat Thabrani)

3) Iman adalah asas pembangunan fizikal dan harta benda.
Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:-
"Maka apakah orang-orang yang mendirikan bangunan di atas dasar taqwa kepada Allah dan keridhaan(Nya), itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengannya ke dalam neraka Jahanam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim ".
(Surah At Taubah : 109)

Iman yang perlu dipupuk adalah iman yang bersifat waqi'i dan munazzim.

Justeru itu, selalulah berkata kepada anak-anak :-

"Berimanlah kepada Allah!",
"Ingatlah kepada Allah!",
"Takutlah kepada Allah!",
"Cintalah kepada Allah!",
"Bertaqwalah kepada Allah!".

Hubung dan kaitkan iman anak-anak dengan:

a) Amalan harian, syakhsiyyah, akhlak dan ibadah yang mereka dilakukan.

b) Kesudahan hidup manusia di akhirat nanti. Keadaan syurga dan neraka.

c) Sejarah Islam dan contoh-contoh lalu serta pengiktibarannya.

d) Alam dan ciptaan-ciptaan Allah Subhanahuwata’ala yang sangat hebat.

Ingatlah bahawa iman anak-anak perlu dipupuk supaya ia subur, segar dan kuat. Pada masa yang sama ia juga perlu dipupuk supaya melahir dan menjanakan natijah yang betul. Melahirkan natijah yang betul dalam syakhsiyyah anak-anak adalah suatu `kemahiran' yang perlu dipupuk sejak kecil sepertimana memupuk anak-anak bercakap dengan bahasa yang betul.

Mengajak kepada kebaikan dengan lembut, menguatkuasakan yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada ma'ruf dan mencegah daripada mungkar : mereka itulah orang-orang yang beruntung "
( Surah Ali Imran : 104)

Daripada ayat ini dapat difahami akan:

1) Mengajak kepada kebaikan

Mengajak anak-anak kepada kebaikan dilakukan dengan bijaksana, hikmah, lembut dan dengan perasaan kasih sayang.

2) Penguatkuasaan yang ma'ruf

’Penguatkuasaan' yang ma'ruf dalam rumahtangga sering disalahertikan sebagai pendidikan menggunakan rotan dengan tangan-tangan yang kasar lagi keras. Tidak dinafikan, penggunaan rotan juga adalah satu wasilah pendidikan terhadap anak-anak tetapi Islam telah menetapkan bahawa ia adalah wasilah yang terakhir setelah menggunakan pelbagai wasilah yang lain. Itu pun mengikut adab-adab tertentu seperti tidak mencederakan anak-anak, digunakan pada bahagian tertentu, dengan kekuatan tertentu dan dengan bilangan tertentu.

Penguatkuasaan yang ma'ruf dalam rumahtangga berlaku apabila kita menjadikan perkara-perkara ma'ruf seperti solah, adab kepada ibu bapa, adab berpakaian, adab makan, adab belajar dan sebagainya sebagai PERATURAN-PERATURAN dalam rumahtangga. Anak-anak dididik agar ia memahami hakikat peraturan-peraturan itu. Mereka diasuh agar menyedarinya, menghormatinya dan mengikutinya. Anak-anak akan merasai nikmat mengikuti peraturan-peraturan Islam itu apabila selalu dihubungkan dengan iman atau taqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala, sepertimana sering dilakukan oleh Al Qur'an dalam mentarbiyyah generasi awal. Sifat sabar, pema'af dan istimrariah adalah penting dalam hal ini untuk mendapatkan natijah yang tabi'i.

Tugas untuk menghormati dam menegakkan perkara-perkara ma'ruf ini adalah tugas semua anggota isi rumah secara kolektif. Sesungguhnya Islam adalah din yang lengkap dengan pelbagai peraturan untuk kehidupan manusia dalam segala aspek. Mematuhi peraturan Islam di dunia luar yang luas bertitik tolak daripada dunia rumahtangga.

Rumahtangga yang lepas-bebas tanpa peraturan adalah umpama sebuah negara yang ada pemimpin, tetapi tidak ada perlembagaan dan undang-undang.

3) Menangkis dan mencegah kemungkaran

Menangkis dan mencegah kemungkaran adalah satu proses yang perlu berlaku secara berterusan lantaran pada hari ini jahiliyyah menyerang anak-anak secara berterusan melalui pelbagai wasilah dan kesempatan. Setiap kali kemungkaran itu masuk, ia perlu ditangkis dengan cara memberi kefahaman, kesedaran dan mengajak anak-anak untuk meninggalkannya.

Oleh itu kemungkaran tidak boleh dibiarkan menular masuk ke dalam rumahtangga melalui t.v., majalah, radio, video, gambar-gambar dan seumpamanya. Juga tidak boleh dibiarkan masuk melalui salah laku ibu bapa atau pendidik sendiri.

"Kamu adalah bapa atau ibu atau pendidik yang telah diberikan hak oleh Allah dalam lingkungan kamu. Maka kamu boleh menggunakan hak itu dalam konteks ini. "

Amalan harian ibu bapa (atau pendidik)

1) Ibu bapa sebagai mithal 'amali

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

(Bermaksud) "Sesungguhnya kamu sekelian tidak akan sanggup mempengaruhi manusia dengan hartamu, maka dari itu pengaruhilah mereka dengan wajah yang manis dan akhlak yang baik ".

2) Mu'alajah Al 'Uyub

Mengikis 'aib yang ada pada peribadi anak-anak.

3) Menghubungkan anak-anak dengan mathal a'la

Anak-anak, sejak kecil sentiasa memerlukan watak sebagai contoh untuk mereka ikuti. Hubungkanlah mereka dengan contoh-contoh dalam sejarah Islam seperti para ambiya', para sahabat, mujahid-mujahid Islam dan sebagainya. Sungguh malang, anak-anak pada hari ini telah dihubungkan dengan pelbagai watak yang merosakkan, dalam media massa yang mereka kagumi dan ikuti.

4) Menghubungkan anak-anak dengan matlamat yang waqi'i

Kemampuan anak-anak adalah berbeza antara satu sama lain. Setiap anak perlu dihubungkan dengan matlamat atau cita-cita yang munasabah dengan kemampuan dan potensi yang ada padanya agar dia tidak kecewa dan bersemangat untuk mencapainya.

5) Melibatkan anak-anak dalam perbincangan dan bertukar-tukar fikiran

Berbincang dan bertukar-tukar fikiran akan menyubur serta menajamkan aqal, mera'i kemerdekaan jiwa dan mewujudkan kemesraan serta jambatan hati yang kukuh antara ibu bapa dan anak-anak.

Tidak Boleh Ditangguh Lagi...

Anak-anak membesar dengan cepat dan pantas. Jahiliyyah pula sedang menyerang dari pelbagai sudut. Fitrah anak-anak begitu rakus menyerap segala pengajaran yang berlaku terhadap mereka. Kita sudah kesuntukan masa. Segeralah mentarbiyyah mereka. Seandainya kita tidak mentarbiyyah mereka atau menangguhkannya, maka pihak lain akan mentarbiyyah mereka.

`Buah' yang akan dipetik pada akhirnya adalah samada anak itu akan menjadi kawan atau menjadi lawan.

Saya Tidak Mampu! (Antara Cita-Cita Dan Hakikat)

Cita-cita adalah matlamat yang ingin kita capai dalam pendidikan anak-anak. Hakikat pula adalah hakikat kemampuan yang ada pada kita.

Kita perlu perhatikan antara cita-cita dan hakikat. Atau, dengan perkataan lain, antara matlamat yang ingin dicapai dan kemampuan yang ada.

Cita-cita kita dalam pendidikan anak-anak ialah kita ingin melahirkan anak-anak yang memiliki syakhsiyyah yang lengkap dalam segenap sudut samada dari segi keimanan, pemikiran, da'wi mahu pun haraki. Manakala kita lihat pula kepada kemampuan yang ada, maka terdapat jurang yang jauh. Jurang inilah yang memberi peluang kerja dan jihad, agar kita sampai kepada cita-cita tersebut.

Di dalam keadaan kita yang serba kekurangan, maka setiap keinsafan dan keikhlasan untuk berkerja dan menyumbang bagi melahirkan anak-anak yang soleh adalah sangat kita kehendaki, hargai dan kita harapkan diberkati Allah Subhanahuwata’ala.

Sekurang-kurang kemampuan yang ada pada kita, InsyaAllah kita masih mampu untuk membaca Al Qur'an dan Hadith serta makna-maknanya di hadapan anak-anak. Perlakukanlah ia sekerap mungkin dalam suasana kasih sayang, tanpa rasa jemu atau dengan melawan rasa jemu. InsyaAllah selepas itu kita akan merasai semakin mampu untuk memperkatakan Islam dan mendidik anak-anak dengan Islam.

Kesilapan Yang Dicairkan Oleh Iman Dan Taqwa

Anak-anak dibesarkan oleh tangan-tangan ibu bapa dan para pendidiknya. Tangan manusia adalah tangan yang tidak bebas daripada kesilapan. Mungkin di hari-hari yang lalu kita telah banyak melakukan kesilapan. Mungkin di hari-hari yang lalu kita telah mencederakan jiwa dan pemikiran anak-anak. Maka ubatikanlah kembali dengan iman dan taqwa. InsyaAllah iman dan taqwa akan dapat mencairkan kembali kesilapan yang lalu. Iman dan taqwa dapat menampung kembali kekurangan-kekurangan yang lalu.

Para sahabat awal Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menerima tarbiyyah Rasulullah setelah umur mereka meningkat dewasa. Mereka telah melalui zaman kanak-kanak yang penuh dengan jahiliyyah. Keunggulan iman dan taqwa telah mengubati sejarah mereka yang hitam.

Hayatilah Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:-
"Hai orang-orang yang beriman, kiranya kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahan mu dan mengampuni (dosa-dosamu). Dan Allah mempunyai kurnia yang besar “
( Surah al Anfaal : 29 )

InsyaAllah kita masih lagi belum terlewat.

Ingatlah!

"Wahai manusia, bertaqwalah kepada Rabmu dan takutlah suatu hari yang mana seorang bapa tidak dapat menolong anaknya, dan seorang anak tidak dapat menolong bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan pula penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam mentaati Allah ".
( Surah Luqman : 33)

Oleh: Abu Hussein Hasan / Mac 1997 .