Thursday, December 03, 2009

HAK IBUBAPA DAN ANAK-ANAK

Hak kedua-dua ibu bapa

Seorang anak mesti mentaati ibubapasepertimana mereka mentaati anak semasa masih kecil. Berbelanjalah untuk mereka sepertimana mereka telah berbelanja untuk anak sewaktu kecil. Kasihlah kepada mereka sepertimana mereka kasihkan anak sewaktu kecil dan besar. Bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik.

Hak terhadap ibubapa adalah besar. Janganlah mengutamakan is­teri, anak-anak sendiri dan kawan-kawan melebihi ibubapa. Tetapi hak terhadap ibubapa hanya kekal di dalam batas-batas syara’ sahaja. Sekiranya mereka menyuruh agar melakukan perkara-perkara yang tidak syar’i maka seorang anak mesti terus patuh kepada Allah Subhanahuwata’ala. Namun seorang anak tidak boleh bermusuh dengan mereka. Anak perlu terus menjaga siratulrahim dengan ibubapanya. Cuma dalam hal yang melanggari perintah Allah Subhanahuwata’ala seorang anak tidak boleh ta’at kepada kedua ibubapa. Tetaplah berbaik dengan ibubapa walaupun mereka bukan Islam.

Seseorang anak tidak boleh meletakkan kedudukan ibubapalebih rendah daripada kedudukannya. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sendiri melayan baik ibu susu, bapa susuan dan saudara susuan baginda dengan baik.

Muliakanlah kawan-kawan mereka berdua. Peliharakanlah keredhaan mereka berdua (dalam batas-batas syara’).

Hak Anak-Anak

Terhadap anak-anak, maka mereka berhak diberikan nama yang baik, tarbiyyah Islamiyah, pakaian dan makanan. Berikanlah persediaan-persediaan pada diri mereka agar dapat melaksanakan perintah Allah Subhanahuwata’ala Didik dan jagalah mereka sehingga mereka dewasa. Tunaikanlah hak-hak terhadap anak-anak secara sama rata.

Apabila anak-anak sudah meningkat ke arah dewasa (15 tahun), maka berikanlah persediaan pada mereka agar dapat melaksanakan kewaji­pan-kewajipan seperti berpuasa, solah, berjihad, menunggang kuda (dalam konteks sekarang - memandu), berenang, berlatih mengguna­kan alat-alat peperangan, berlatih melakukan perkara-perkara yang mendatangkan manafaat dan berakhlak mulia. Hendaklah sifat-sifat yang baik menjadi malakah pada diri mereka, bukan setakat berpen­getahuan sahaja.

Ibubapaperlu mengalirkan masa depan anak-anak ke arah yang betul dan sesuai dengan tuntutan Islam, maka InsyaAllah akan lahirlah natijah yang betul pada mereka.

Jelaskanlah kepada anak-anak bahagian-bahagian ‘aqidah Islam. Mereka hendaklah menganut Islam secara faham dan melalui jalan tarbiyyah yang betul, bukan secara warisan sahaja. Ajarkanlah mereka kerja-kerja kemahiran seperti pertukangan. Apabila anak-anak telah diperkuatkan dengan ‘aqidah dan mempunyai pegangan hidup yang kuat, maka mereka boleh dilepaskan untuk mempelajari ilmu-ilmu kemahiran hidup daripada siapa sahaja yang difikirkan sesuai. InsyaAllah mereka akan mempelajari ilmu-ilmu itu tanpa hanyut.

Latihlah lidah mereka dengan percakapan-percakapan yang baik dan tabi’at mereka dengan tabi’at-tabi’at Islam. Ajarlah mereka dengan fardhu ‘ain, ilmu fiqh dan fardhu kifayah seperti solah jenazah. Kita mesti sedar dan merancang dengan baik untuk meme­nuhi ruang fardhu kifayah yang masih banyak demi keperluan ummah Islamiyah, misalnya dalam bidang kedoktoran samada bagi lelaki atau perempuan. Keperluan-keperluan ini tidak boleh diabaikan, bahkan perlu dirancang dengan dari awal.

Ajarlah anak-anak supaya berusaha menegakkan yang ma’aruf dan mencegah yang mungkar.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menyuruh ibubapa memberikan nama yang baik pada anak-anak pada hari yang ke tujuh. Kemudian membuatkan aqiqah (iaitu pada hari ke tujuh atau hari ke 14 atau paling lewat hari ke 21). Bagi anak wanita aqiqahnya adalah satu ekor kambing dan bagi anak lelaki aqiqahnya adalah dua ekor kambing.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam juga berpesan kepada ibubapa agar mendidik anak-anak supaya kasihkan Rasulullah, cintakan keluarga Rasulul­lah dan cintakan Al Qur’an.

Oleh: Ustaz Dahlan Mohammad Zain.

KESEDARAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Matlamat umum

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku."
(Az-Zariyat : 56)

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. “
( Surah at Tahrim : 6 )

Matlamat Khusus

Menjadikan anak-anak pemimpin yang beriman dan bertaqwa, seperti firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berkata : Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa. “
( Surah al Furqaan : 74 )
“Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mawaliku sepeninggalku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakub dan jadikanlah ia, ya Tuhanku, seorang yang diredhai “
( Surah Maryam : 5 – 6 )

Tidak semua manusia boleh mencapai matlamat khusus ini (iaitu untuk melahirkan pemimpin). Memadailah jika manusia dapat mencapai matlamat umum di atas.

Pendidikan keimanan sebagai asas

1) Iman adalah asas pembentukan peribadi dan syakhsiyyah Islamiyyah. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar ".
( Surah Al Hujurat : 15)
2) Iman adalah asas pembentukan keluarga.
Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:-
"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudara kamu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat".
(Surah Al Hujurat: 10)

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:
"Sesiapa yang berkahwin bererti dia telah menyempurnakan sebahagian daripada deennya, maka dia hendaklah bertaqwa dengan sebahagian yang masih tinggal".
(Riwayat Thabrani)

3) Iman adalah asas pembangunan fizikal dan harta benda.
Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:-
"Maka apakah orang-orang yang mendirikan bangunan di atas dasar taqwa kepada Allah dan keridhaan(Nya), itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengannya ke dalam neraka Jahanam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim ".
(Surah At Taubah : 109)

Iman yang perlu dipupuk adalah iman yang bersifat waqi'i dan munazzim.

Justeru itu, selalulah berkata kepada anak-anak :-

"Berimanlah kepada Allah!",
"Ingatlah kepada Allah!",
"Takutlah kepada Allah!",
"Cintalah kepada Allah!",
"Bertaqwalah kepada Allah!".

Hubung dan kaitkan iman anak-anak dengan:

a) Amalan harian, syakhsiyyah, akhlak dan ibadah yang mereka dilakukan.

b) Kesudahan hidup manusia di akhirat nanti. Keadaan syurga dan neraka.

c) Sejarah Islam dan contoh-contoh lalu serta pengiktibarannya.

d) Alam dan ciptaan-ciptaan Allah Subhanahuwata’ala yang sangat hebat.

Ingatlah bahawa iman anak-anak perlu dipupuk supaya ia subur, segar dan kuat. Pada masa yang sama ia juga perlu dipupuk supaya melahir dan menjanakan natijah yang betul. Melahirkan natijah yang betul dalam syakhsiyyah anak-anak adalah suatu `kemahiran' yang perlu dipupuk sejak kecil sepertimana memupuk anak-anak bercakap dengan bahasa yang betul.

Mengajak kepada kebaikan dengan lembut, menguatkuasakan yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada ma'ruf dan mencegah daripada mungkar : mereka itulah orang-orang yang beruntung "
( Surah Ali Imran : 104)

Daripada ayat ini dapat difahami akan:

1) Mengajak kepada kebaikan

Mengajak anak-anak kepada kebaikan dilakukan dengan bijaksana, hikmah, lembut dan dengan perasaan kasih sayang.

2) Penguatkuasaan yang ma'ruf

’Penguatkuasaan' yang ma'ruf dalam rumahtangga sering disalahertikan sebagai pendidikan menggunakan rotan dengan tangan-tangan yang kasar lagi keras. Tidak dinafikan, penggunaan rotan juga adalah satu wasilah pendidikan terhadap anak-anak tetapi Islam telah menetapkan bahawa ia adalah wasilah yang terakhir setelah menggunakan pelbagai wasilah yang lain. Itu pun mengikut adab-adab tertentu seperti tidak mencederakan anak-anak, digunakan pada bahagian tertentu, dengan kekuatan tertentu dan dengan bilangan tertentu.

Penguatkuasaan yang ma'ruf dalam rumahtangga berlaku apabila kita menjadikan perkara-perkara ma'ruf seperti solah, adab kepada ibu bapa, adab berpakaian, adab makan, adab belajar dan sebagainya sebagai PERATURAN-PERATURAN dalam rumahtangga. Anak-anak dididik agar ia memahami hakikat peraturan-peraturan itu. Mereka diasuh agar menyedarinya, menghormatinya dan mengikutinya. Anak-anak akan merasai nikmat mengikuti peraturan-peraturan Islam itu apabila selalu dihubungkan dengan iman atau taqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala, sepertimana sering dilakukan oleh Al Qur'an dalam mentarbiyyah generasi awal. Sifat sabar, pema'af dan istimrariah adalah penting dalam hal ini untuk mendapatkan natijah yang tabi'i.

Tugas untuk menghormati dam menegakkan perkara-perkara ma'ruf ini adalah tugas semua anggota isi rumah secara kolektif. Sesungguhnya Islam adalah din yang lengkap dengan pelbagai peraturan untuk kehidupan manusia dalam segala aspek. Mematuhi peraturan Islam di dunia luar yang luas bertitik tolak daripada dunia rumahtangga.

Rumahtangga yang lepas-bebas tanpa peraturan adalah umpama sebuah negara yang ada pemimpin, tetapi tidak ada perlembagaan dan undang-undang.

3) Menangkis dan mencegah kemungkaran

Menangkis dan mencegah kemungkaran adalah satu proses yang perlu berlaku secara berterusan lantaran pada hari ini jahiliyyah menyerang anak-anak secara berterusan melalui pelbagai wasilah dan kesempatan. Setiap kali kemungkaran itu masuk, ia perlu ditangkis dengan cara memberi kefahaman, kesedaran dan mengajak anak-anak untuk meninggalkannya.

Oleh itu kemungkaran tidak boleh dibiarkan menular masuk ke dalam rumahtangga melalui t.v., majalah, radio, video, gambar-gambar dan seumpamanya. Juga tidak boleh dibiarkan masuk melalui salah laku ibu bapa atau pendidik sendiri.

"Kamu adalah bapa atau ibu atau pendidik yang telah diberikan hak oleh Allah dalam lingkungan kamu. Maka kamu boleh menggunakan hak itu dalam konteks ini. "

Amalan harian ibu bapa (atau pendidik)

1) Ibu bapa sebagai mithal 'amali

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

(Bermaksud) "Sesungguhnya kamu sekelian tidak akan sanggup mempengaruhi manusia dengan hartamu, maka dari itu pengaruhilah mereka dengan wajah yang manis dan akhlak yang baik ".

2) Mu'alajah Al 'Uyub

Mengikis 'aib yang ada pada peribadi anak-anak.

3) Menghubungkan anak-anak dengan mathal a'la

Anak-anak, sejak kecil sentiasa memerlukan watak sebagai contoh untuk mereka ikuti. Hubungkanlah mereka dengan contoh-contoh dalam sejarah Islam seperti para ambiya', para sahabat, mujahid-mujahid Islam dan sebagainya. Sungguh malang, anak-anak pada hari ini telah dihubungkan dengan pelbagai watak yang merosakkan, dalam media massa yang mereka kagumi dan ikuti.

4) Menghubungkan anak-anak dengan matlamat yang waqi'i

Kemampuan anak-anak adalah berbeza antara satu sama lain. Setiap anak perlu dihubungkan dengan matlamat atau cita-cita yang munasabah dengan kemampuan dan potensi yang ada padanya agar dia tidak kecewa dan bersemangat untuk mencapainya.

5) Melibatkan anak-anak dalam perbincangan dan bertukar-tukar fikiran

Berbincang dan bertukar-tukar fikiran akan menyubur serta menajamkan aqal, mera'i kemerdekaan jiwa dan mewujudkan kemesraan serta jambatan hati yang kukuh antara ibu bapa dan anak-anak.

Tidak Boleh Ditangguh Lagi...

Anak-anak membesar dengan cepat dan pantas. Jahiliyyah pula sedang menyerang dari pelbagai sudut. Fitrah anak-anak begitu rakus menyerap segala pengajaran yang berlaku terhadap mereka. Kita sudah kesuntukan masa. Segeralah mentarbiyyah mereka. Seandainya kita tidak mentarbiyyah mereka atau menangguhkannya, maka pihak lain akan mentarbiyyah mereka.

`Buah' yang akan dipetik pada akhirnya adalah samada anak itu akan menjadi kawan atau menjadi lawan.

Saya Tidak Mampu! (Antara Cita-Cita Dan Hakikat)

Cita-cita adalah matlamat yang ingin kita capai dalam pendidikan anak-anak. Hakikat pula adalah hakikat kemampuan yang ada pada kita.

Kita perlu perhatikan antara cita-cita dan hakikat. Atau, dengan perkataan lain, antara matlamat yang ingin dicapai dan kemampuan yang ada.

Cita-cita kita dalam pendidikan anak-anak ialah kita ingin melahirkan anak-anak yang memiliki syakhsiyyah yang lengkap dalam segenap sudut samada dari segi keimanan, pemikiran, da'wi mahu pun haraki. Manakala kita lihat pula kepada kemampuan yang ada, maka terdapat jurang yang jauh. Jurang inilah yang memberi peluang kerja dan jihad, agar kita sampai kepada cita-cita tersebut.

Di dalam keadaan kita yang serba kekurangan, maka setiap keinsafan dan keikhlasan untuk berkerja dan menyumbang bagi melahirkan anak-anak yang soleh adalah sangat kita kehendaki, hargai dan kita harapkan diberkati Allah Subhanahuwata’ala.

Sekurang-kurang kemampuan yang ada pada kita, InsyaAllah kita masih mampu untuk membaca Al Qur'an dan Hadith serta makna-maknanya di hadapan anak-anak. Perlakukanlah ia sekerap mungkin dalam suasana kasih sayang, tanpa rasa jemu atau dengan melawan rasa jemu. InsyaAllah selepas itu kita akan merasai semakin mampu untuk memperkatakan Islam dan mendidik anak-anak dengan Islam.

Kesilapan Yang Dicairkan Oleh Iman Dan Taqwa

Anak-anak dibesarkan oleh tangan-tangan ibu bapa dan para pendidiknya. Tangan manusia adalah tangan yang tidak bebas daripada kesilapan. Mungkin di hari-hari yang lalu kita telah banyak melakukan kesilapan. Mungkin di hari-hari yang lalu kita telah mencederakan jiwa dan pemikiran anak-anak. Maka ubatikanlah kembali dengan iman dan taqwa. InsyaAllah iman dan taqwa akan dapat mencairkan kembali kesilapan yang lalu. Iman dan taqwa dapat menampung kembali kekurangan-kekurangan yang lalu.

Para sahabat awal Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menerima tarbiyyah Rasulullah setelah umur mereka meningkat dewasa. Mereka telah melalui zaman kanak-kanak yang penuh dengan jahiliyyah. Keunggulan iman dan taqwa telah mengubati sejarah mereka yang hitam.

Hayatilah Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:-
"Hai orang-orang yang beriman, kiranya kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahan mu dan mengampuni (dosa-dosamu). Dan Allah mempunyai kurnia yang besar “
( Surah al Anfaal : 29 )

InsyaAllah kita masih lagi belum terlewat.

Ingatlah!

"Wahai manusia, bertaqwalah kepada Rabmu dan takutlah suatu hari yang mana seorang bapa tidak dapat menolong anaknya, dan seorang anak tidak dapat menolong bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan pula penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam mentaati Allah ".
( Surah Luqman : 33)

Oleh: Abu Hussein Hasan / Mac 1997 .

Sunday, November 15, 2009

KE ARAH MENDIRIKAN AL BAITUL MUSLIM

Muqaddimah

Individu dan keluarga Islam adalah asas yang penting untuk mela­hirkan masyarakat Islam. Oleh itu amat perlu kita fahami secara umum berhubung Al Baitul Muslim sepertimana yang diterangkan dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah. Terdapat kewajipan-kewajipan yang penting dalam rangka mendirikan rumahtangga muslim.

Sepertimana wajib menyediakan individu muslim yang berakhlak dan memiliki contoh yang baik, maka membentuk rumahtangga muslim juga adalah wajib.

Rumahtangga muslim akan memberikan persediaan-persediaan awal (persediaan-persediaan Islam) kepada anak-anak. Pembentukan syakhsiyah yang baik bermula dalam rumahtangga. Anak-anak sentia­sa berkesan dalam lingkungan rumahtangga.

Hadits Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibubapanyalah yang menjadikannya yahudi, nasrani atau majusi.”

InsyaAllah jika anak-anak dididik dengan didikan Islam maka lahirlah anak-anak yang soleh yang akan memberikan khidmat kepada Islam.

Rumahtangga Islam tegak di atas aqidah Islam dan taqwa. Kesucian hukum-hukum mengenai rumahtangga Islam berdiri atas kesucian aqidah dan taqwa. Kehidupan rumahtangga Islam dikira sebagai ibadah dan ‘ubudiyah kepada Allah Subhanahuwata’ala Semuanya terbit daripada ‘aqidah Islam. Hendaklah setiap saudara dan saudari muslim meman­dang perkahwinan itu sebagai ibadah untuk mendapat keredhaan Allah Subhanahuwata’ala Perkahwinan adalah amanah Allah Subhanahuwata’ala yang mesti mengikut peraturan-peraturan-Nya. Kewajipan isteri, suami dan ibu bapa semuanya adalah amanah Allah Subhanahuwata’ala Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ada bersabda:

“Setiap kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap jagaannya.”

Wajiblah kita putarkan haluan kerja-kerja di dunia ini untuk menghampirkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala Makan, minum, riadhah, mencari nafkah, perkahwinan dan seumpamanya adalah untuk Allah Subhanahuwata’ala

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sangat mengambil berat tentang perkahwinan. Bagi pemuda atau pemudi yang ada keinginan dan kemampuan, maka hendaklah mereka berkahwin. Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam Mereka yang sengaja tidak mahu mengambil sunnahnya maka Rasulullah bersabda:
“Demi Allah, sesungguhnya aku lebih takut kepada Allah dan ber­taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku sembahyang dan tidur, dan aku berkahwin dengan perempuan. Sesiapa yang membelakangkan sunnahku, mereka bukan daripada umatku.”

Perkara-perkara penting

Perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian ke arah mendirikan rumahtangga muslim yang mulia adalah:

1. Pemilihan (Al Ikhtiar)

Yakni memilih bakal isteri atau suami. Demi melahirkan rumahtang­ga Islam maka sejak hari pertama lagi saudara-saudara muslim perlu memilih Azzaujah Assolehah/ Azzauj Assoleh. Isteri yang mempunyai din dan memahami risalah Islam dalam kehidupan.

Isteri yang soleh adalah pembantu suami di jalan da’wah Islam. Isteri yang soleh dapat memperingatkan suami jika berlaku keal­paan (kelalaian). Isteri yang soleh memberikan peransang kepada suami untuk bermujahadah tanpa menghalangnya (begitu juga bagi suami yang soleh – pemimpin rumahtangga). Isteri yang soleh menjaga diri ketika ketiadaan suami di rumah walaupun lama pen­inggalannya. Isteri yang soleh membesarkan anak-anak dengan didikan Islam. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah memberikan isyarat:

“Perempuan-perempuan itu dikahwini kerana empat perkara - kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana dinnya. Tetapi hendaklah kamu utamakan dinnya.”

Hendaklah saudara-saudara mengutamakan yang mempunyai din. Ulama’ telah menjelaskan bahawa sesiapa yang tidak mengambil berat tentang din maka akan rugilah di dunia dan akhirat. Dinlah yang akan menyelamatkan manusia. Bukanlah bermakna Islam mengenepikan langsung kecantikan, keturunan dan harta, tetapi semua ini jan­ganlah dijadikan matlamat utama dalam pemilihan. Din adalah matlamat dan pemilihan utama. Yang mempunyai din dan akhlak itu dikira cantik pada nilai Islam. Inilah Jamal Haqiqi, bukan Jamal Haiwani.

Al Imam Ahmad Ibn Hanbal r.a. semasa hendak berkahwin telah diberikan dua pilihan wanita. Seorang berwajah cantik tetapi ada kekurangan dari segi din dan akhlak. Yang seorang lagi mempunyai din dan akhlak tetapi cacat (kelabu) sebelah matanya. Maka Ahmad Ibn Hanbal memilih yang mempunyai din.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
“Dunia ini semuanya dikira sebagai hiburan dan sebaik-baik hiburan ialah wanita yang soleh.”

Ini kerana wanita yang soleh akan mendatangkan kebahgiaan di dunia dan akhirat.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
“Sebaik-baik wanita ialah yang mengembirakan kamu apabila kamu melihatnya dan mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan menja­ga kehormatan serta harta kamu (suami) apabila kamu tiada bersa­manya.”

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda lagi:
“Janganlah kamu mengahwini perempuan kerana kecantikannya semata-mata nescaya kemungkinan kecantikannya akan membinasakannya, dan jangan kamu mengahwini perempuan kerana hartanya nescaya kemung­kinan hartanya menyebabkannya melampaui batas, tetapi kahwinilah perempuan kerana dinnya. Adalah seorang ammah yang berkulit hitam itu, tetapi mempunyai din, lebih baik bagi kamu.”

Demikian juga bagi saudari-saudari muslim, sepatutnya mereka tidak menerima bakal suami mereka melainkan daripada sohibul ‘aqidah, yang bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala Suami yang solehlah yang akan membantunya untuk sama-sama ta’at kepada Allah Subhanahuwata’ala Islam turut memberikan peluang kepada saudari-saudari muslim untuk menerima suami yang soleh. Sayyidah Khadijah menerima Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di atas asas akhlak Rasulullah yang mulia.

Tidak selayaknya dalam Islam seseorang mengahwinkan anak-anak perempuan atau saudari-saudari perempuan dengan orang yang sema­ta-mata sanggup membayar mas kahwin yang tinggi. Ataupun semata-mata kerana harta dan pangkat tanpa meletakkan keutamaan pada din dan akhlak yang mulia. Wanita itu bukanlah barang dagangan, tetapi wanita adalah amanah daripada Allah Subhanahuwata’ala Apabila seseo­rang memilih suami yang soleh untuk anak-anak perempuan atau saudari-saudari muslim, maka itu dikira sebagai kebaikan yang sempurna untuk si perempuan itu. Beginilah amalan para salafusso­leh.

Sayyidina Umar Al Khattab R.A. pernah membayangkan untuk mengah­winkan anak perempuannya yang bernama Hafsah dengan Sayyidina Othman, tetapi Sayyidina Othman meminta uzur. Kemudian dibayang­kan pula kepada Sayyidina Abu Bakr, tetapi Sayyidina Abu Bakr berdiam diri sahaja. Selepas itu dia mengadu kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maka baginda menjawab, “Boleh jadi Allah akan mengganti­kan untuk anakmu dengan orang yang lebih baik.” Akhirnya Rasulul­lah mengahwini Hafsah. Dan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mengahwinkan pula puteri baginda yang bernama Ummi Kalthom dengan Sayyidina Othman (selepas kematian Ruqaiyah binti Rasulullah).

Kemudian, pada satu hari Sayyidina Abu Bakr berjumpa denga Sayyi­dina Umar. Berkata Sayyidina Abu Bakr, “Mungkin pada tempoh hari engkau terasa sesuatu kerana aku tidak berkata apa-apa semasa engkau membayangkan Hafsah kepadaku. Ini kerana aku mengetahui bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah menyebut nama Hafsah dan aku tidak mahu menyebarkan rahsia Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Tetapi sekiranya Rasulullah menolak Hafsah, InsyaAllah aku akan mengahwini Hafsah.”

Oleh itu jelaslah para sahabat memilih suami yang soleh untuk anak-anak mereka.

2. Sekufu (Al Kafaa-ah)

Yakni sepadan atau sesuai. Al Kafaa-ah yang diredhai oleh Islam ialah sekufu dalam din dan akhlak. Sekufu itu dilihat pada din dan bukan pada yang lain.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa di kalangan kamu.”
(Al Hujurat : 13)

Apabila sekufu dari segi din itu wujud, maka terbatallah segala nilai sekufu yang lain. Tidak disyaratkan dalam Islam persamaan dari segi kedudukan duniawi, harta, pangkat dan kedudukan dalam masyarakat.

Dalam sirah para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berlaku perkahwinan antara seorang keturunan hamba dengan seorang keturunan Arab Quraisy yang dianggap mulia. Sepetimana Bilal (hamba keturunan Habsyi) dengan adik Abdul Rahman bin Auf (yang mulia dikalangan keturunan bangsawan Quraisy). Begitu juga perkahwinan antara Zaid bin Haritsah dengan Zainab bin Jahs (anak bapa saudara Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam).

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda yang bermaksud:
“Apabila datang orang meminang anak kamu, orang yang meminang itu kamu puas hati tentang din dan akhlaknya, maka benarkanlah (anakmu berkahwin dengannya). Sekiranya kamu tidak melakukan demikian maka kemungkinan berlaku fitnah dan kerosakan yang besar.”

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sendiri mengahwinkan puterinya Fatimah dengan Sayyidina Ali, seorang yang miskin tetapi ada din dan akhlak. Inilah Kafaa-ah Addin. Kafaa-ah din tidak dapat ditebus oleh kafaa-ah yang lain. Jika hilang kafaa-ah din, maka ia tidak boleh ditebus oleh harta, keturunan, kecantikan dan sebagainya. Seba­liknya, jika hilang kafaa-ah yang lain, maka kehilangan itu dapat ditebus oleh kafaa-ah din. Dalam sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, keturu­nan kulit hitam dan miskin dapat ditebus oleh kafaa-ah din.

Said bin Musayyab, yang hidup di zaman salafussoleh (zaman tabi-in) telah juga menunjukkan contoh seperti apa yang dinyatakan di atas.

Pada satu ketika anak Said bin Musayyab dipinang oleh Abdul Malik Marwan (dari Bani Umaiyyah) untuk diberikan kepada anaknya yang bernama Al Walid bin Abdul Malik. Puteri Said bin Musaiyyab dikenali cantik dan kuat dinnya. Juga mendalam kefahamannya terhadap kitab Allah dan Assunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam Oleh kerana Said mendapati ada perkara yang tidak syar’i pada keluarga Abdul Malik Marwan, maka Said menolak pinangan itu. Abdul Malik marah lalu memerintahkan agar Said disebat 100 kali.

Selepas beberapa ketika Said pulang ke Madinah. Dia diziarahi oleh seorang muridnya yang bernama Abdullah bin Abi Wada’ah. Bila Abdullah sampai, maka Said bertanyakan khabar. Said mengetahui bahawa isteri Abdullah baru meninggal dunia. Said berkata kepada Abdullah, “Apakah kamu tidak mahu berkahwin lagi?”. Abdullah menjawab, “Semuga Allah merahmati kamu, siapalah yang ingin berkahwin dengan saya. Saya tidak mempunyai wang, melainkan dua dirham sahaja (atau tiga dirham - dalam riwayat yang lain)”. Kata Said, “Kalau demikian, aku kahwinkan anakku dengan engkau dengan maskahwin dua dirham (atau tiga dirham).”

Keutamaan Said Musaiyyab bukanlah kedudukan dan harta tetapi taqwa. Perkahwinan sebenarnya bukanlah bertujuan menjual anak.

Umar Ibn Al Khattab pula, ketika hendak memilih isteri untuk puteranya yang bernama ‘Aasim, dilihat pada keimanan dan ketaq­waan yang terbukti pada seorang wanita anak seorang penjual susu.

Satu malam Sayyidina Umar keluar menyamar seperti orang biasa untuk melihat keadaan rakyatnya. Tiba-tiba dia terdengar satu suara dimana seorang ibu memaksa anak gadisnya supaya mencampur­kan susu dengan air. Maka berkata anak gadis itu, “Tidakkah ibu tahu bahawa Khalifah Umar telah melarang perbuatan ini. Yang mana utusannya telah menyeru: Jangan kamu campurkan susu dengan air.” Siibu terus memaksa anak gadisnya dengan berkata, “Umar tidak nampak apa yang kamu lakukan.” Maka dengan serta merta gadis itu menjawab, “Walaupun Umar tidak nampak tetapi Tuhan Umar (iaitu Allah) Maha Mengetahui. Demi Allah saya tetap patuh kepada perin­tahnya samada sewaktu terang atau sulit”.

Pada keesokan hari, Sayyidina Umar memanggil anaknya ‘Aasim dan memberitahunya bahawa di hujung kampung sana ada seorang gadis yang mukmin (bertaqwa). Kamu pergilah ke sana. Kalau dia tidak ada apa-apa kemasyghulan maka kamu kahwinilah dia. Mudah-mudahan Allah memberikan rezeki dan berkat kepada kamu.

Kebahagiaan Dalam Rumahtangga

Rumahtangga Islam telah banyak hilang kini. Banyak rumahtangga tidak mengecapi kebahagiaan hakiki (Assa’adah Al Haqiqiyyah). Kebahagian hakiki tidaklah akan tercapai dengan keindahan, ban­guan rumah dan perabut-perabut tetapi sebenarnya datang dari jiwa yang bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala Allah-lah yang akan memberikan kebahagiaan. Kebahagiaan itu dirasakan dari dalam, bukan dari luar. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cende­rung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”.
(Ar-Rum : 21)

Allah Subhanahuwata’ala menciptakan manusia maka Allah-lah yang memberikan perasaan kepada manusia. Kasih sayang dan rahmah adalah anugerah Allah Subhanahuwata’ala Kasih sayang dan rahmah tercetus dari jiwa yang yakin dn beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala

Mustafa Al Masyhur dalam Tariqudda’wah membawa rangkap pujangga Arab Islam yang bermaksud :
“Aku tidak nampak kebahagiaan itu terletak pada kerja-kerja meng­himpunkan harta tetapi orang yang bertaqwa itulah yang merasai kebahagiaan sebenar”.

Setiap sesuatu ada asasnya. Asas keluarga Islam ialah taqwa. Taqwa itulah yang menjinakkan hati-hati suami isteri. Melembutkan tingkah laku, membersihkan jiwa, menyedarkan tanggungjawab kepada Allah Subhanahuwata’ala, memudahkan pengurusan, mencegah kejahatan dan mendorong kepada kebaikan. Kata-kata seorang pujangga yang lahir dari ruh Al Qur’an dan AsSunnah:

“Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dalam semua hal. Janganlah kamu menolak taqwa kerana mengutamakan keturunan semata-mata. Sesungguhnya Islam telah mengangkat darjat Salman Al Farisi, dan kekufuran telah menjatuhkan martabat Abu Lahab”.

Kata yang lain pula:
“Hendaklah kamu bekalkan diri kamu dengan taqwa. Sesungguhnya kamu tidak mengetahui, apabila datang waktu malam apakah kamu akan hidup sampai waktu fajar. Berapa banyak orang yang sihat tetapi menemui maut tanpa sebab. Berapa banyak orang yang sakit tetapi telah hidup dalam jangka waktu yang panjang. Berapa banyak pemuda, samada petang atau pagi, ketawa riang sedangkan kain kapannya sedang ditenun tanpa diketahuinya”.

Jika terdapat taqwa pada kedua-dua pasangan hidup lelaki dan perempuan, maka itu faktor terbesar untuk melahirkan suasana mesra, kasih dan kerukunan yang sebenarnya. Allah-lah yang mem­berikan kasih sayang dan menjinakkan hati-hati mereka. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“... dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beri­man). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.
(An Anfal : 63)

Kasih sayang dan rahmah bukan ciptaan manusia. Bukan juga perkara yang boleh dibuat-buat tetapi ia adalah anugerah Allah Subhanahuwata’ala Peristiwa Puak Aus dan Puak Khazraj yang pada asalnya bergaduh, tetapi bersaudara dan jinak setelah menerima Islam membuktikan kebenaran ayat-ayat Allah Subhanahuwata’ala Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Dan berpeganglah kamu semua kepada tali Allah, dan janganlah ka­mu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menji­nakkan antara hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara, dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk”.
(Ali Imran : 103)

Jelaslah, Allah-lah yang berkuasa ke atas hati-hati manusia. Dengan ketaqwaan kepadanya, hati yang keras menjadi lembut dan hati yang menderita akan merasai bahagia.

Bagi wali-wali dan penjaga-penjaga anak perempuan, hendaklah mereka mengutamakan apa yang diutamakan oleh Allah Subhanahuwata’ala Jangan­lah nilai iman dan taqwa diketepikan. Orang-orang yang bertaqwa kepada Allah tidak pernah kekeringan kemuliaannya dalam din. Pangkat di sisi Allah semakin bertambah dengan bertambahnya taqwa dan ketaatan kepada-Nya. Allah menjanjikan kehidupan yang baik pula untuk mereka. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahu pun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”.
(An Nahl : 97)

Dalam menafsirkan ayat di atas, Sayyid Qutb menyatakan:
“Amalan soleh itu semestinya mempunyai asas yang asli untuk amalan yang soleh itu bertambah. Asas itu ialah iman kepada Allah Subhanahuwata’ala (Al ImanubiLlah)”.

Selain daripada asas iman, maka amalan tidak boleh berdiri dengan betul. Bahkan menjadi sia-sia seperti debu yang berterbangan di udara.

Kata Sayyid Qutb lagi:
“Amalan soleh yang tegak di atas dasar ini, balasannya ialah kehidupan yang toyyib”.

Kehidupan yang toyyib bukan semestinya menjadi jutawan.

Harta benda dalam rumahtangga bukanlah matlamat tetapi sekadar keperluan. Yang memberikan kebahagiaan kepada jiwa ialah perhu­bungan dengan Allah Subhanahuwata’ala Jiwa yang kaya, meski pun ketiadaan harta yang banyak. Redha dengan Allah dan berpuas hati dengan Allah Subhanahuwata’ala
Hayyatan Toyyibah

“Hayyatan Toyyibah” adalah kurniaan Allah Subhanahuwata’ala Taqwa kepada Allah membuka jalan ke arahnya. Juga taqwa kepada Allah membuka jalan terhadap rezeki yang tidak disangka-sangka.

Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah bersabda:
“Sesungguhnya saya mengetahui satu ayat kalau sekiranya manusia sudah mengetahui, maka sudah memadai (mengambil dan menghayati­nya), iaitu ayat (Attholaq : 2,3):
"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disang­ka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah mecukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu).”"

Harapan Yang Tinggi

Apakah yang kita inginkan atau harapkan daripada pembentukan baitul muslim?

Kita inginkan lahirnya zuriat yang soleh. Lahirnya generasi yang mewarisi pusaka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang ber­maksud:
“Dan orang-orang yang berkata: Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai peny­nang hati (kami), dan jadikanlah kami Imam bagi orang-orang yang bertaqwa”.
(Al Furqan : 74)

Kita ingin melihat rumahtangga muslim dimana berlaku di dalamnya perlaksanaan ajaran Islam dan hukum-hukum Allah. Suami muslim bertanggungjawab terhadap keluarga, membuat persediaan-persediaan, memelihara adab-adab Islam dan memberikan kefahaman Islam kepada orang-orang dibawah jagaannya.

Kita ingin melihat isteri yang soleh menjadikan rumahtangga seperti taman yang memberikan ketenangan kepada suami dan menjadi pembantu suami yang ta’at kepada Allah.

Kita ingin melihat ibu-ibu muslimah lagi solehah menjaga anak-anak atas landasan syara’ kerana ibulah sekolah yang pertama bagi anak-anak. Musuh-musuh Islam telah melakukan berbagai-bagai cara dan program untuk merosakkan wanita-wanita Islam. Bila wanita-wanita Islam rosak, tidak lahirkan ibu-ibu yang solehah dan seterusnya tidak lahirlah zuri’at yang soleh, dan seterusnya lagi tidak lahirlah generasi yang soleh. Hakikat ini telah pun berlaku dalam masyarakat kita.

Kita ingin melihat anak-anak muslim dan putera-puteri muslim yang sentiasa mengabdikan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala Menjaga hak-ahak ibu bapa. Bergaul dengan rakan-rakan mereka dengan adab-adab Islam.

Kita ingin melihat rumahtangga muslim yang menjadi contoh yang baik dengan sifat-sifat Islam dan jauh daripada sifat-sifat jahiliyah.

Oleh: Ustaz Haji Omar Haji Salleh