Tuesday, October 20, 2009

KONSEP HIJRAH DAN JIHAD (Siri 2 - Akhir)

Sesuatu kemenangan dan kejayaan tidak akan tercapai melainkan dengan adanya pengorbanan. Di dalam al Quran, hijrah digandingkan dengan jihad. Ini menunjukkan terdapat hubungan erat antara hijrah dan jihad.
“Jika kamu tidak berangkat untuk berperang nescaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepadaNya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah tentulah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Makkah) mengeluarkannya dari (Makkah), sedang dia salah seorang daripada dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah berserta kita. Maka Allah menurunkan ketenanganNya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itu yang rendah. Dan rahmat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. “
(Surah at-Taubah : 39-40 )

Keterangan al-Quran di atas menjelaskan bahawa hijrah adalah suatu jihad pada jalan Allah. Ini kerana hijrah dan jihad bertolak dari aqidah atau iman yang satu dan menuju matlamat yang satu iaitu untuk memelihara, mempertahan dan menyebarkan Islam.

NIAT DALAM HIJRAH DAN JIHAD

Hijrah dan jihad mestilah ditegak di atas jalan Allah dan bertujuan untuk menegakkan kalimah Allah serta menentang segala bentuk syirik. Atau, dengan kata lain hijrah dan jihad mestilah dengan niat mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabit dengan hijrah:

إنما الأعمال بالنيات و إنما لكل امرئ ما نوى، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله، فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها، فهجرته إلى ما هاجـر إليه

"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahumencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu".

Manakala mengenai jihad pula, Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (bermaksud):

“Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy'ari Radhiallahu ’anhu katanya: Sesungguhnya seorang lelaki desa iaitu arab desa datang kepada Nabi Sallallahu’alaihiwasallam dan bertanya: Wahai Rasulullah! Ada seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, ada juga seseorang yang berperang untuk membuktikan kejantanannya dan ada pula seseorang yang berperang untuk melihat kemampuannya. Oleh itu, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjawab: Barangsiapa yang berperang demi menegakkan kalimat Allah, maka beliaulah yang berada di jalan Allah“.

KONSEP JIHAD YANG LUAS

Jihad ialah berjuang di jalan Allah Subhanahuwata’ala dan berjuang untuk menegakkan kalimah Allah Subhanahuwata’ala. Jihad juga bermakna memperjuangkan yang hak dan menentang yang batil, memenangkan yang ma’ruf dan membasmi yang mungkar. Oleh itu jihad mempunyai pengertian yang luas, bukan hanya bermaksud berjuang dengan senjata, bahkan termasuk dalam pengertian jihad iaitu memperjuang, menyiar dan mempertahankan din. Juga, menegakkan keadilan, membangunkan kemakmuran, memelihara keamanan, melindungi orang-orang yang dhaif dan membela orang-orang yang tertindas. Juga, termasuk dalam pengertian jihad, mengendalikan hawa nafsu.

Jihad pada jalan Allah Subhanahuwata’ala merupakan kewajipan yang mulia dan ia wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Jihad Islam telah berjaya memberikan tujuan yang tinggi bagi kehidupan umat Islam iaitu kewajipan berjuang untuk menegakkan kalimah Allah, melaksanakan keadilan dan membasmi segala kejahatan dan kemungkaran,.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyeru kepada makruf dan mencegah daripada mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. “
(Surah al Imran : 110)

“Dan perangilah mereka supaya jangan ada fitnah dan supaya din itu seluruhnya semata-mata bagi Allah. Jika mereka berhenti (dari kekafiran), maka sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan. “
(Surah al-Anfaal : 39)

Jihad pada jalan Allah merupakan kunci kepada kemenangan dan kejayaan umat Islam, baik kejayaan dunia maupun kebahagiaan dan kemuliaan di akhirat kelak. Oleh itu, semangat jihad sangat dipentingkan di dalam Islam, ia adalah ciri utama hidup dan kehidupan umat Islam iaitu hidup.

Dunia, bagi umat Islam bukanlah tujuan atau matlamat, bahkan dunia adalah lapangan perjuangan. Kehidupan di dunia bukanlah untuk bersuka ria, sebaliknya untuk membawa tugas dan amanah.

Bagi melaksanakan jihad, umat Islam perlulah bersiap sedia dengan kefahaman yang mendalam, iman yang tinggi dan kesabaran yang mantap. Ini kerana jihad akan berhadapan dengan pelbagai kesusahan dan penentangan yang sengit daripada musuh.

BEBERAPA DARI PERISTIWA HIJRAH

Di antara panduan dan pengajaran yang dapat diperolehi dari peristiwa hijrah ialah:

1. Wajib ikhlas kerana Allah dalam menghijrahkan jiwa daripada segala keburukan kepada kebaikan dan kebenaran. Perjuangan menegakkan aqidah Islam dan menentang musuh-musuh Allah mestilah diasaskan di atas jiwa yang bersih dan ikhlas.

2. Hijrah adalah pengorbanan, kesabaran dan keazaman mengejar cita-cita. Ia bukan penyerahan diri dan putus asa. Pengajaran dari peristiwa hijrah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memberikan kekuatan kepada umat Islam agar bersabar menanggung penderitaan dan bersabar menunggu pertolongan Allah Subhanahuwata’ala. Oleh itu umat Islam tidak seharusnya berputus asa, merasa rendah diri, menyerah kalah dan bermuka-muka kerana sesuatu tawaran atau tekanan daripada musuh.

3. Peristiwa hijrah memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa di dalam perjuangan untuk menegakkan kebenaran memerlukan kemantapan syakhsiyah dan kekuatan kebendaan. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, setibanya di Yathrib, baginda membentuk angkatan jihad yang kuat dan terlatih.

4. Peristiwa hijrah juga memberikan panduan bahawa di dalam memperjuangkan kebenaran, perencanaan yang detail dan sistematik dalam meletakkan strategi dan mengatur taktik adalah sangat diperlukan.

5. Peristiwa hijrah juga memberi panduan kepada umat Islam bahawa sesuatu perjuangan menegakkan kebenaran, pejuang-pejuangnya hendaklah terlebih dahulu diikat dan dihubungkan antara satu sama lain dengan ikatan ukhuwah Islamiyah dan kasih sayang yang suci.

KESIMPULAN

Islam kini menghadapi pelbagai cabaran yang hebat, manakala umatnya berada dalam keadaan yang serba dhaif dalam semua aspek kehidupan. Namun peristiwa hijrah mengajar umat Islam agar tidak boleh berputus asa, malah perlu terus bersungguh-sungguh. Mereka perlu terus menentang cabaran dan memberhentikan arus keruntuhan yang sedang melanda mereka.

Setiap individu dari umat Islam hendaklah mengubah sikap dan pandangan mereka. Mereka hendaklah berhijrah dari segala kelemahan dan keburukan kepada kehidupan Islam yang mulia. Apabila setiap individu berubah menjadi muslim hakiki, maka masyarakat pun akan berubah kepada kehidupan Islam yang sebenarnya.

Perubahan individu tersebut mestilah bertunjangkan perubahan dalaman, iaitu perubahan jiwa.

No comments:

Post a Comment