Monday, June 06, 2011

Pengajaran Dari Surah At Takaatsur


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ



أَلۡهَٮٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ (١) حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ (٢)كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٣) ثُمَّ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٤) كَلَّا لَوۡ تَعۡلَمُونَ عِلۡمَ ٱلۡيَقِينِ (٥) لَتَرَوُنَّ ٱلۡجَحِيمَ (٦) ثُمَّ لَتَرَوُنَّہَا عَيۡنَ ٱلۡيَقِينِ (٧) ثُمَّ لَتُسۡـَٔلُنَّ يَوۡمَٮِٕذٍ عَنِ ٱلنَّعِيمِ (٨)


“Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu), dan janganlah begitu , kelak kamu akan mengetahui. Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin,nescaya kamu benar-benar akan melihat Neraka Jahim, dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainulyaqin, kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu). (Surah At Takaatsur ayat 1 – 8)


Kita sering membaca atau mendengar surah ini dibacakan dalam solat lima waktu. Tetapi kita mungkin tidak mendalami maksud atau mesej yang hendak disampaikan oleh Allah menerusi ayat-ayat ini.


Sebenarnya surah ini mempunyai nada yang hebat, menggerun dan mendalam. Seolah-olah satu suara yang menggerakkan manusia yang lalai, mabuk dalam kesenangan dan leka dibuai oleh hawa nafsu. Satu amaran kepada manusia yang sedang menuju ke jurang kebinasaan tetapi mereka tidak sedar. Mata hati mereka tertutup. Pancaindera mereka terpesona dengan kenikmatan hidup hingga lupa apa yang akan berlaku selepas kehidupan di dunia ini.


Kehidupan mereka disibukkan dengan urusan untuk memperbanyakkan harta kekayaan, anak pinak dan kenikmatan dunia. Sedangkan mereka lambat laun akan berpisah dengan kekayaan itu.


Wahai orang-orang yang akan meninggalkan semua harta kekayaan dan kesenangan yang menjadi sasaran perlumbaan dan kebanggaan, sedarlah bahawa kita sedang menuju lubang kubur yang sempit. Sedarlah pada ketika itu tiada ruang lagi untuk kita berlumba dan bermegah.


Kecintaan manusia terhadap dunia beserta kesenangan dan kemewahan membuatkan manusia lalai untuk mencari bekal dan mempersiapkan diri untuk akhirat. Sikap ini berterusan sehinggalah manusia menemui ajal lalu dimasukkan ke dalam kubur.


Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdullah Bin Asy Syeikhkhir, ia berkata, “Anak keturunan Adam berkata: “Oh hartaku, oh harta ku.“ Padahal harta kamu (yang sebenarnya) hanyalah apa yang kamu makan lalu kamu menghabiskannya, atau apa yang kamu pakai lalu kamu menjadikannya usang (lusuh), atau apa yang kamu sedekahkan, maka kamu menetapkan (pahalanya) (Hadis ini turut diriwayatkan oleh Muslim, At Tirmidzi dan An Nasa’i).


lmam Bukhari meriwayatkan dari Anas Bin Malik, ia mengatakan bahawa Rasulullah bersabda: “Ada tiga yang akan mengiringi mayat, yang dua akan kembali sedangkan satunya ikut bersamanya. Ia diringi oleh keluarga, hartanya dan amalnya. Keluarga dan hartanya akan kembali, sedangkan amalnya tetap bersamanya.“ (HR Bukhari, Muslim, At Tirmidzi dan An Nasa’i).


Imam Ahmad meriwayatkan dari Anas bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Anak keturunan Adam akan menjadi tua (dan lemah), dan yang tetap muda (tidak ikut tua) hanya dua iaitu keinginan terhadap harta dan harapan (agar umur panjang).“ (Hadis ini turut diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim).


Allah mengancam penghuni neraka dengan amaran bahawa mereka akan benar-benar melihat neraka dengan mata kepala sendiri. Betapa hebat, dahsyat dan ngerinya azab siksa yang terdapat di dalam neraka .


Allah akan menyoal manusia tentang nikmat yang dimegahkan di dunia ini. Apakah manusia bersyukur atas nikmat yang diberikan? Apakah nikmat kesihatan, kedamaian, rezeki dan sebagainya, telah digunakan untuk beribadah kepada-Nya sebagai tanda bersyukur?


Ibnu Jarir meriwayatkan, dari Abu Hurairah, ia berkata, “Ketika Abu Bakar dan Umar sedang duduk, tiba-tiba Nabi S.A.W. datang lalu bertanya, “Mengapa kamu berdua duduk di sini?“ Mereka menjawab, “Demi Dzat yang mengutuskanmu dengan kebenaran, kami tidak punya alasan untuk keluar rumah kecuali kerana lapar.“ Beliau bersabda: “ Demi Dzat yang mengutuskanku dengan kebenaran, aku juga tidak punya alasan untuk keluar selain kerana hal tersebut.“


Lalu mereka bertiga pergi hingga tiba di rumah seorang Ansar. Mereka disambut oleh seorang perempuan. Nabi bertanya, “Ke mana sifulan?” Perempuan itu menjawab, “Ia mencari minuman untuk kami.” Kemudian datanglah tuan rumah membawa bekas air dari kulit. Ia berkata, “Selamat datang! Tidak ada yang mengunjungi para hamba, yang lebih baik daripada seorang Nabi yang pada hari ini mengunjungiku.”


Lalu ia menggantungkan bekas airnya di pokok kurma. Kemudian ia pergi, lalu membawa setandan kurma. Nabi bertanya, “Mengapa kamu tidak memilihnnya?” Ia berkata, “Aku lebih suka jika kamu sendiri yang memilihnya sesuai dengan selera kamu semua.”


Kemudian dia mengambil pisau untuk menyembelih binatang ternak, maka Nabi bersabda kepadanya, “Jangan kamu menyembelih betina penghasil susu.”


Pada hari itu ia menyembelih untuk Nabi dan dua sahabatnya, kemudian mereka makan bersama-sama. Lalu Nabi bersabda: “Kamu benar akan ditanya tentang (nikmat) ini pada hari kiamat nanti. Kamu keluar dari rumah kerana lapar, hingga kamu tidak kembali ke rumah sampai kamu kenyang. Maka yang demikian ini termasuk kenikmatan.“ (HR Muslim).


Kita akan ditanya tentang segala nikmat yang kita perolehi. Dari mana nikmat itu diperolehi? Kemana pula dibelanjakan? Adakah nikmat itu dibelanjakan untuk melakukan ketaatan kepada Allah? Atau adakah nikmat itu dibelanjakan untuk aktiviti maksiat?


Adakah nikmat itu diperolehi dengan cara yang halal dan dibelanjakan pada jalan yang halal? Atau adakah diperolehi dengan jalan yang haram dan dibelanjakan pada jalan yang haram?


Adakah kamu bersyukur kepada Allah terhadap segala nikmat yang kamu terima? Adakah kamu tunaikan zakat? Adakah kamu bahagi-bahagikan nikmat itu kepada orang lain atau kamu bolotkan nikmat itu untuk diri kamu dan kroni kamu sahaja?


Rasulullah bersabda: “ada dua kenikmatan di mana ramai orang tertipu olehnya, iaitu kesihatan dan masa lapang.“ (HR Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah)


Mereka lalai dalam mensyukuri nikmat kesihatan dan masa lapang. Mereka tidak melaksanakan kewajipan atas kedua nikmat tersebut. Barangsiapa tidak melaksanakan hak dari apa yang menjadi kewajipannya, maka ia tertipu.


Kamu akan ditanya tentang kegiatan kamu yang berlumba-lumba memperbanyakkan harta kekayaan dan bermegah-megah dengannya. Itulah tanggungjawab yang dipandang ringan oleh kamu di saat kamu sedang leka dalam nikmat kesenangan, tetapi akibatnya kamu akan menanggung duka nestapa yang amat berat.


Surah ini merupakan satu surah yang amat jelas maksudnya. Ia menyampaikan maksud secara langsung ke dalam hati manusia agar memberi perhatian yang berat kepada akhirat dan mengenepikan kenikmatan dunia yang remeh serta nikmat yang kecil, yang menjadi kegemaran mereka yang berjiwa kosong.


Rujukan:


1. Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 9, terjemahan Tim Pustaka Ibnu Katsir, Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta, Januari 2011.


2. Tafsir Fi Zilalil Quran – Di Bawah Bayangan Al Quran, Asy Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, Jilid 17, Terjemahan Yusoff Zaki Haji Yacob, Pustaka Aman Press Sdn Bhd, 2000.

No comments:

Post a Comment