Thursday, October 29, 2009

TASAWWUR KEIMANAN (Siri 2 - Akhir)

1) Kefahaman yang syumul lagi berfungsi

Kita meyakini bahawa Allah Subhanahuwata’ala memiliki segala kekuasaan yang mutlak dan melaksanakan kekuasaan tersebut. Allah Subhanahuwata’ala menguasai segala sesuatu serta menyediakan sunnah-sunnahnya. Perjalanan segala sesuatu mengikuti sunnah-sunnah yang ditetapkanNya. Allah Subhanahuwata’ala menentukan batas-batas bagi kehidupan. Allah Subhanahuwata’ala menentukan kematian bagi yang bernyawa. Allah Subhanahuwata’ala yang menciptakan langit yang berlapis lapis dengan serba kesempurnaannya.

Justeru itu, kehidupan kita sewajarnya berjalan di atas landasan Sunnatullah yang ditentukan. Dengan kata lain sekiranya seseorang itu tidak mahu mematuhi sunnah-sunnah Allah, atau hanya patuh terhadap separuh daripada sunnah-sunnahNya, bererti dia telah menolak konsep asas aqidah Islamiyyah. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sesekali tidak dapat melihat pada penciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang kali, adakah kamu dapat melihat sesuatu yang tidak seimbang?”
-Surah as-Saff: ayat 10-11.

Keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala juga melahirkan jihad yang sejajar dengan matlamat ‘aqidah. Iman dan jihad merupakan sebesar-besar perniagaan yang dapat dijalankan oleh muslim mu’min yang memiliki aqidah Islamiyyah yang berfungsi. Jihad di jalan Allah Subhanahuwata’ala samada jihad harta mahu pun nyawa merupakan cetusan dari keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala untuk mempertahan dan mempertinggikan kalimah Allah Subhanahuwata’ala Yang Maha Suci, mengawal kehormatan setiap individu muslim yang berada dalam jamaah Islamiyyah, memelihara syakhsiyyah jamaah dan menentang musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala yang sentiasa menggunakan kesempatan untuk menghancurkan Islam. Inilah iman yang berfungsi. Inilah kefahaman yang harus ada. Jihad meninggikan kalimah Allah semestinya lahir dalam realiti kehidupan. Kerana itulah jihad harta, sehingga sampai ke peringkat jihad nyawa, adalah sesuatu yang diidam-idamkan.

Iman yang berfungsi itulah yang diterima di sisi Allah Subhanahuwata’ala sebagai suatu perniagaan yang sungguh bernilai. Keuntungan di dunia ialah kemuliaan dan kekuatan yang disegerakan. Sementara keuntungan di akhirat pula ialah balasan nikmat syurga yang berkekalan. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Hai orang-orang yang beriman! Sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.”
-Surah as-Saff: ayat 10-11 .

Keimanan yang berfungsi juga melahirkan tindakan yang memelihara kesempurnaan solah. Solah yang mempunyai ruh. Solah yang ditunaikan pada waktunya. Solah yang tidak tergadai dengan sebarang nilai duniawi yang dipimpin oleh hawa nafsu.

Mereka yang beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala dengan keimanan sebenar akan berkemampuan mengawal lisan daripada sebarang ucapan yang keji. Sebaliknya penggunaan lisan mereka adalah dalam rangka memperkukuhkan pertalian dengan Allah Subhanahuwata’ala.

Mereka yang beriman juga akan memperlihatkan kefahaman mereka melalui pengendalian harta benda. Mereka membelanjakannya di jalan Allah Subhanahuwata’ala sahaja. Samada melalui perbelanjaan yang wajib mahu pun yang sunat. Samada untuk keperluan diri, keluarga mahu pun orang-orang yang berhajat seperti yang ditetapkan oleh syara’.

Keimanan mereka kepada Allah Subhanahuwata’ala juga diperlihatkan dalam bentuk akhlak, memelihara nama baik mereka sendiri dan orang-orang Islam yang lain. Mereka terjauh daripada sebarang bentuk khianat. Bahkan mereka bersedia untuk berusaha menghapuskan segala bentuk pengkhianatan dalam masyarakat manusia yang bermula daripada diri sendiri, kaum keluarga hinggalah masyarakat umum.

Kefahaman yang syumul seumpama inilah yang sepatutnya diperolehi oleh setiap hati umat Islam agar manusia sejagat dapat merasai keagungan Allah Subhanahuwata’ala dan Din-Nya. Inilah sifat-sifat mu’min. Sifat-sifat ini akan membawa kepada kekuatan umat Islam. Sifat-sifat ini juga akan melayakkan mu’min menerima daripada Allah rahmat-Nya dan setinggi-tinggi tempat di Syurga-Nya. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam solahnya, orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna, orang-orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki maka sesungguhnya dalam hal itu mereka ytidak tercela. Sesiapa yang mencari sebalik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janji-janjinya dan orang memelihara solahnya. Mereka itulah orang mewarisi. iaitu mewarisis syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.”
-Surah al-Mu’minun: ayat 1-11.

Keimanan yang berfungsi juga membuatkan setiap mu’min merasai lebih mulia dengan Allah Subhanahuwata’ala. Dia lebih rela menggadaikan dunianya demi mendapatkan kebahagiaan akhirat. Dan, tidak sebaliknya. Dia tidak membinasakan usia mudanya dengan kepalsuan. Dia tidak merasa sempit dan risau dalam soal-soal kepapaan yang bersifat kebendaan. Bahkan apa yang ada padanya digunakan untuk dakwah yang menyeru manusia kepada Allah Subhanahuwata’ala. Lisannya memberi kata-kata nasihat kepada manusia. Tidak takut berkata benar kepada orang-orang yang zalim. Yakin bahawa segala yang ditempuhi dalam kehidupan adalah ketentuan Allah Subhanahuwata’ala. Kemuliaan dan kemenangan hanya dengan bersama-sama Allah sahaja. Tahap keyakinan seperti ini tidaklah lahir begitu sahaja, bahkan ia hasil daripada keimanan yang subur dan syumul.

Seterusnya, tanda kesempurnaan iman yang terbentuk daripada kefahaman yang menyeluruh akan dapat dilihat pada diri seseorang muslim mu’min sejati yang kasihkan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam lebih daripada mengasihi kaum kerabat dan segala yang lain. Kasihnya kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam lebih daripada kasihkan ayah sendiri yang mengasuhnya dan ibu sendiri yang mengadung serta melahirkannya. Juga lebih daripada kasihkan anak-anak, darah dagingnya sendiri.

Beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala bererti wajib beriman dengan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, mengasihi, menghormati dan menyanjungnya. Mentaatinya, bukan sekadar memuji dan bersalawat semata-mata. Mengikuti aqidah, syariah, akhlaq dan seluruh kehidupannya dengan penuh ikhlas. Inilah kefahaman yang betul tentang beriman dengan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Baginda adalah qudwah hasanah, pemimpin dan penyampai kepada jalan Mustaqim yang menghindarkan manusia daripada kesesatan dan kekufuran. Umatnya yang setia mengikuti jejaknya menyampaikan Islam kepada manusia lain dengan penuh rasa keagungan dan kemuliaan. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Katakanlah: Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
-Surah Ali ‘Imran: ayat 31.

“Apa yang didatangkan oleh Rasul kepada kamu maka ambillah, apa yang dilarangkan olehnya agar kamu menjauhinya maka kamu tinggallah maka bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras azabnya.”
-Surah al-Hasyr: ayat 7.

“Sesungguhnya Kami mengutuskan kamu sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan supaya kamu sekelian beriman dengan Allah dan rasul-Nya, membesarkan-nya dan bertasbih kepada-nya di waktu pagi dan petang.”
-Surah al-Fath: ayat 8-9.

Daripada Anas bin malik Radhiallahu’anhu bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
“Tidak beriman seseorang di kalangan kamu hinggalah dia menjadikan aku lebih dikasihinya daripada kedua ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.”

2) Nilai dan kesan dalam penghayatan

Sebagai garis panduan atau penentuan berhubung dengan kebenaran iman kepada Allah Subhanahuwata’ala (sebagai rukun iman yang pertama), haruslah kita menilai dan meneliti kesan-kesan yang lahir dalam penghayatan:

Antaranya adalah:
a) Seseorang yang menafikan kewujudan Allah Subhanahuwata’ala dan segala sesuatu yang berhubung dengannya, walaupun hatinya masih merasakan iman, maka dia termasuk ke dalam golongan orang yang sudah melakukan perbuatan kufur kecuali dia jika kembali semula kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan sepenuh pengabdian. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Dan mereka mengingkari-Nya kerana kezaliman dan kesombongan mereka, padahal hati mereka meyakini (kebenaran)-Nya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.”

b) Keimanan yang berfungsi dapat membawa manusia, sebagai khalifah Allah, mencapai matlamat pengabdian kepada Allah Subhanahuwata’ala dan memakmurkan alam sejagat serta meluaskan rahmat Allah Subhanahuwata’ala kepada semua hambaNya. Kehidupan di dunia umpama sebuah ladang yang harus diusahakan dengan baik dan hasilnya menjadi bekalan di alam yang abadi. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Dan setiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagai tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkannya pada hari qiyamah sebuah kitab yang dijumpainya dengan terbuka. Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu.”
Surah al-Isra’: ayat 13-14.

“Dan ketika Tuhan kamu berkata pada malaikat: Sesungguhnya Aku akan jadikan di bumi ini khalifah. Mereka (malaikat) berkata: Adakah kamu menjadikan padanya mereka yang akan melakukan kerosakan (di bumi) dan menumpah darah sedangkan kami bertasbih dengan memuji kamu dan menyucikan kamu? (Allah) berkata: Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.”
-Surah al-Baqarah: ayat 30.

"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk mereka mengabdikan diri (kepada-Ku).”
-Surah az-Zariyat: ayat 56.

c) Keimanan yang berfungsi akan mengawal aqidah muslim mu’min, pada setiap masa, daripada sebarang gangguan keraguan dan kesyirikan. Dia sentiasa bertindak membersihkan jiwa daripada kekotoran dan selaput hawa nafsu. Iman itu mendorongkan usaha bersungguh-sungguh untuk berda’wah dan memperingatkan manusia daripada keburukan. Iman itu mendidik untuk memelihara peraturan Allah Subhanahuwata’ala supaya dipatuhi dan diamalkan untuk kebaikan ummah. Hidup muslim mu’min penuh dengan jihad. Jihad dengan harta benda, jihad dengan tenaga, jihad dengan segala yang terdaya hinggalah jihad dengan nyawa demi menegakkan kalimah Allah Subhanahuwata’ala yang tertinggi dan termulia. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak kedapatan fitnah lagi dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah sahaja. Jika mereka berhenti (daripada memusuhi kamu), maka tiada permusuhan (lagi) kecuali terhadap orang-orang yang zalim.”
-Surah al-Baqarah: ayat 193.

Natijah sebegini tidak mungkin lahir melainkan dengan melalui kaedah-kaedah yang jelas, menuju kepada matlamat yang jelas dan istiqamah serta iltizam dengan tarbiyyah yang jelas. Sebaliknya, sekiranya natijah tersebut tidak lahir pada seseorang, maka keimanannya itu hanyalah dakwaan semata-mata.

d) Setiap pandangan dan keyakinan seseorang mu’min yang benar adalah bertolak daripada asas-asas keimanan yang enam. Pandangannya terhadap hidup, ilmu pengetahuan, alam sekitar dan segala kegiatan kehidupan adalah berteraskan kepada keyakinan kepada Allah Subhanahuwata’ala Yang Maha Tunggal lagi Sempurna. Jika tidak, rukun-rukun tersebut hanyalah rangka-rangka kosong yang tidak memberi kesan kepada kehidupan. Kekeliruan telah melanda sebahagian besar umat Islam kini yang beranggapan dengan mempercayai rukun-rukun iman yang enam itu, maka iman boleh dianggap sempurna meski pun realiti hidup atau amalan hidup mereka jelas terpisah daripada pamcaran iman.

e) Allah Subhanahuwata’ala Maha Tinggi dan memiliki sifat-sifat kesempurnaan. Allah Subhanahuwata’ala Maha Adil, Penyayang, Pengampun dan Pemurah. Allah mengurniakan panduan dan petunjuk-Nya agar hamba-hamba-Nya yang berusaha berpeluang menikmati kebahagiaan dan kesejahteraan hidup yang diredhaiNya serta mendapat keampunan dan kerahmatan di akhirat kelak. Panduan Ilahi ini akan dapat menyelamatkan manusia daripada penyelewengan fitrahnya lantaran kekurangan akal dan kefahaman. Manusia perlu berusaha bersungguh-sungguh. Mengikuti proses pembentukan yang berterusan. Mengikuti Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah yang mana terlaksana ta’aruf, tafahum dan takaful. Membentuk At-Tasawwur al-Islamiy as-Sahih dan keimanan yang mendalam. Intizam dan iltizam terhadap sistem Allah Subhanahuwata’ala bagi melahirkan syaksiyyah ummah yang sebenar.

3) Kesimpulan

Tasawwur keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala hendaklah diterjemahkan keseluruhannya ke dalam realiti hidup sebagai Muslim yang membawa fikrah jama’ah. Yakni, Jama’ah Islamiyyah yang dapat menyerapkan pengertian kekudusan Allah Subhanahuwata’ala dalam keperibadiannya. Dalam keperibadian ummah atau jama’ah Islamiyyah ini tertegak ad-Din yang berdasarkan kepada keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Hakikat ini perlulah berterusan dan menjadi garis pemisah dengan kehidupan masyarakat yang lain.

Tamayyuz (perbezaan) yang lengkap dan unggul itu tidak boleh lahir secara kebetulan sahaja. Bahkan kelahiran tamayyuz atau ummah Islamiyyah itu sendiri mestilah melalui proses-proses tertentu yang menuju ke arahnya. Proses penanaman ‘Aqidah Islamiyyah yang betul dan tepat yang mencetuskan natijah dalam realiti kehidupan, dalam syariah, akhlak dan seluruh sistem kehidupan, perlu berjalan.

No comments:

Post a Comment