Saturday, November 06, 2010

Keperibadian Salahuddin Al-Ayyubi

Salahuddin Al-Ayyubi adalah seorang pahlawan dan raja yang gagah berani. Beliau terkenal dengan kewarakan dan keberanian yang luar biasa sehingga berjaya mengalahkan tentera Salib yang memang terkenal dengan kezaliman dan keperkasaannya.

Pada tahun 1187 berlakulah Perang Salib di antara tentera Islam yang dipimpin oleh Salahuddin Al-Ayyubi dengan tentera Kristian yang diketuai oleh King Richard (Raja England) setelah beberapa tindakan provokasi yang dilakukan oleh pihak Kristian. Mereka bukan sahaja mengancam negara-negara Islam, malah telah merampas beberapa wilayah umat Islam di Baitul Muqaddis dan dijadikan negeri-negeri Kristian.

Dalam peperangan tersebut, tentera Islam telah berjaya merampas Baitul Muqaddis dan 10,000 tentara Salib terkorban. Di sini Salahuddin Al-Ayyubi telah menunjukkan ketinggian budi dengan tidak membalas perbuatan tentera Salib yang zalim semasa menawan Baitul Muqaddis dan negeri-negeri yang dilalui. Beliau telah memberi perlindungan kepada semua tawanan perang, perempuan, orang tua dan anak-anak tentera Salib dan memberi mereka tempoh 40 hari untuk meninggalkan Baitul Muqaddis.

Akhirnya seluruh tanah Palestin dapat ditawan semula. Walau bagaimanapun, orang-orang Kristian dibenarkan mengunjungi Baitul Muqaddis melalui satu perjanjian damai yang ditandatangani pada 1192.


Pada suatu hari, ketika Sultan Salahuddin berjalan-jalan di kota Baitul Muqaddis, beliau telah berjumpa dengan seorang lelaki tua Nasrani (Kristian). Lalu lelaki tua tersebut bertanya kepada beliau : "Wahai pahlawan agung ! Sesungguhnya tuan telah berjaya mengalahkan musuh-musuh tuan. Tetapi mengapakah tuan tidak membalas seperti tindakan yang dikenakan ke atas tentera-tentera tuan ?"

Jawab Salahuddin : "Wahai orang tua ! Agama kami melarang menyiksa manusia. Bahkan hati kecil sayapun melarang melakukan pembalasan yang luar batas perikemanusiaan seperti yang pernah mereka lakukan"

Orang tua itu berkata lagi : "Apakah agama tuan melarang melakukan pembalasan terhadap orang yang memulakan pemusuhan dan menyiksa kaum tuan"Jawab Salahuddin seterusnya : "Memang benar ! Agama yang saya anuti ini melarang perbuatan kejam seperti yang dilakukan oleh musuh-musuh kami. "

Tambah beliau : "Islam meyuruh kami menepati janji, memaafkan kesalahan orang lain dan melupakan kekejaman pihak musuh ketika mereka berkuasa "

Orang tua itu berkata lagi : "Alangkah indahnya agama tuan !" Saya sangat ingin agar sisa-sisa hidup saya ini dapat menikmati kehidupan yang bahagia". "Apakah yang patut saya lakukan untuk memeluk agama tuan yang mulia ini ".

Jawab Salahuddin seterusnya : "Mempercayai bahawa Allah itu Maha Esa dan Muhammad itu RasulNya. Kemudian kerjakan apa yang Allah perintahkan dan tinggalkan apa yang dilarangNya".

Setelah itu, lelaki itu terus mengucap dua kalimah syahadah tanpa berbelah bahagi……

Pengajaran:

i. Untuk melakarkan sebuah kejayaan memerlukan persiapan yang rapi dan masa yang panjang.


ii. kekuatan yang ada pada daulah Islam zaman dahulu membolehkan mereka membalas ancaman musuh dengan melancarkan peperangan untuk menegakkan Islam.

iii. perjuangan untuk membebaskan Baitul Muqaddis (Palestin) adalah perjuangan akidah. Ianya mesti diteruskan sehingga berjaya dikembalikan ke tangan umat Islam.


iv. Islam mengajar umatnya bersikap lemah lembut kepada manusia dan bersikap keras kepada sesiapa yang menghalang perkembangan Islam. Islam bukan sahaja memberi kesejahteraan kepada manusia bahkan kepada binatang, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.

v. Dakwah Islam lebih berkesan melalui perbuatan seperti akhlak mulia yang ditunjukkan berbanding percakapan. Rasulullah merupakan peribadi mulia yang perlu dijadikan contoh ikutan. Islam itu indah ibarat sebuah permata tetapi keindahan itu diselaputi oleh 'lumpur' (perbuatan buruk yang dilakukan oleh umat yang mengaku Islam).


vi. Keindahan Islam akan lebih terserlah apabila Islam dihayati dalam kehidupan umat Islam secara keseluruhannya bukan sahaja dalam bentuk ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji tetapi termasuk juga bidang politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. (Sudah menjadi sunatullah usaha untuk menegakkan Islam secara keseluruhan akan ditentang oleh musuh Islam)


Sumber:

http://tayibah.com/eIslam/Tokoh/salahuddin.htm

No comments:

Post a Comment