Tuesday, April 29, 2008

Kepentingan Khusyuk

Solat tidak berkesan tanpa khusyuk. Mengikut al Hakim dan Tirmizi pada suatu masa ketika nabi ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya semasa sedang bersolat maka beliau pun berkata, “ Jika khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya,” Berhubung dengan khusyuk Abu Dardak berkata, “(Khusyuk) ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah daripada syaitan.” Pendapat ini disebutkan di dalam al-Asas fi al-Tafsir oleh Said Hawa.

Asas kepada khusyuk adalah kebersihan hati. Justeru, untuk khusyuk penekanan perlu diberikan kepada ibadah hati tanpa mengabaikan rukun-rukun yang berkaitan dengan anggota badan. Unsur-unsur ibadah hati yang ditekankan ada enam. Keenam-enam itu, mengikut Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, adalah “Kehadiran hati, pemahaman, pengagungan, merasai kehebatan, harap dan malu.” Kehadiran hati bermaksud, hati tidak menerawang memikirkan perkara yang lain daripada solat. Pemahaman bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan di dalam solat. Pengagungan dan merasai kehebatan bermaksud berasa takut kepada Allah hasil daripada kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran Ilahi. Harap bermaksud mengharapkan pahala daripada Allah kerana dialah sahaja tempat penggantungan bagi manusia. Malu bermaksud berasa malu dengan ibadah yang dilakukan ini kerana pastinya terdapat kekurangan padanya.


[Petikan dari buku Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Millennia Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2007, p 273-274.]

Tuesday, April 22, 2008

Ibadah Yang Paling Utama

Antara ibadah paling penting yang sering diabaikan oleh umat Islam adalah meninggalkan yang haram. Dalam Ihya Ulumuddin, diriwayatkan peringatan yang pernah dibuat oleh Ummul Mukminin, Aisyah, yang berkata, “Kamu melupakan satu ibadah yang utama iaitu warak.”

Warak bermaksud menjauhi sesuatu yang haram serta yang mempunyai unsur syubhah (iaitu yang meragukan)

Pengambilan benda yang meragukan ataupun haram merosakkan ibadah. Sahabat Abdullah Bin Omar berkata, “Sekiranya kamu mengerjakan solat seperti busur yang melengkung dan kamu berpuasa sehingga menjadi kurus seperti anak panah, amalan kamu tidak diterima melainkan apabila disertakan dengan warak yang mendinding.”

Imam Sufwan at-Thauri juga mengingatkan umat Islam mengenai perkara yang sama. Beliau berkata, “Sesiapa yang membelanjakan sesuatu yang haram, dia diumpamakan seperti seorang yang cuba membersihkan sehelai kain berlumuran najis dengan air kencing. Dosa tidak dapat dibersihkan melainkan dengan perkara halal.”

Ibadah dan warak berkait rapat dengan tahap iman seseorang. Imam Sahl Bin at-Tusturi berkata, “Seseorang tidak sampai kepada hakikat iman sehingga ada padanya empat perkara iaitu mengerjakan ibadah yang wajib dan yang sunat, memakan benda yang halal dengan warak, menjauhi perkara yang dilarang sama ada zahir ataupun batin dan bersabar di atas yang demikian itu sehingga mati.”
[Petikan dari buku Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Millennia Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2007, p 172.]

Padah Maksiat

Bersikap warak dan meninggalkan sesuatu yang haram tidak merugikan umat Islam sedikit pun sebaliknya ia mendatangkan keuntungan. Hal ini disebabkan, setiap sesuatu yang diharamkan pasti mempunyai kemudaratannya. Dalam surah al-A’raf ayat 157, Allah menjelaskan, “Dan (Dia) menghalalkan bagi mereka segala yang baik serta mengharamkan bagi mereka segala yang keji.”

Justeru, rugilah mereka yang bergelumang dengan maksiat. Berhubung dengan ini Nabi bersabda, “Sesungguhnya Allah mengharamkan rezeki ke atas seseorang yang melakukan maksiat. Dan tidak ada sesuatu yang mampu menolak takdir melainkan doa, dan tidak akan bertambah umur melainkan dengan melakukan kebaikan.” Hadis ini direkodkan oleh Ahmad, an Nasai dan Ibnu Majah.

Demikian juga keadaannya dengan kota atau negeri yang penduduk-penduduknya bergelumang dengan maksiat. Allah menimpakan bala serta menyempitkan pintu-pintu rezeki ke atas penduduk-penduduk itu. Berhubung dengan ini Allah menjelaskan dalam Surah An Nahl ayat 112 yang bermaksud, “ Dan Allah membuat satu perumpamaan dengan sebuah negeri yang dulunya aman lagi tenteram, rezeki datang secara mencurah-curah daripada segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat Allah. Kerana itu Allah menimpakan pakaian kelaparan dan ketakutan ke atas mereka, disebabkan apa yang mereka lakukan,”

Antara contoh yang dapat kita jadikan iktibar adalah kaum Lut di Kota Sodom. Nabi Lut diutus bagi menyampaikan risalah Allah kepada mereka. Namun, mereka menolak dakwah Nabi Lut dan bergelumang dengan amalan seks bebas. Kesannya adalah Allah memusnahkan mereka dan kesan kehancuran kaum Lut ini ditemui di kawasan Laut Mati.

Berhubung dengan ini, dalam surah Hud ayat 82, Allah menjelaskan, “Maka apabila datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu yang di atas ke bawah (yakni Kami balikkan) dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar secara bertubi-tubi.”

Azab yang menyebabkan kota kaum Lut dibalikkan selari dengan kejadian gempa bumi dan azab berbentuk hujan batu tanah yang terbakar pula selari dengan kejadian letupan gunung berapi . Semasa mengkaji kesan kehancuran kaum Lut di kawasan Laut Mati, pakar arkeologi dari Jerman, Werner Keller mengesahkan kejadian kedua-dua malapetaka ini. Beliau berkata, “Kehancuran kaum Lut berlaku disebabkan oleh satu gempa bumi yang kuat diikuti dengan letupan besar, kebakaran dan pengeluaran gas.” Hal ini dinyatakan oleh Harun Yahya di dalam Perished Nations.

[Petikan dari buku Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Millennia Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2007, p 173-174.]


Media Massa Merangsang Seks Bebas

Pornografi menjadi sebuah industri yang besar pada hari ini. Segala bentuk media massa digunakan bagi menyalurkan adegan-adegan lucah. Pada tahun 2003, 83 peratus episod yang ditayangkan dalam 20 rancangan TV yang diminati remaja belasan tahun di Amerika mengandungi gambar-gambar lucah dan 20 peratus daripadanya menunjukkan adegan hubungan seks secara jelas. Di samping itu, unsur-unsur seks juga terdapat dalam lagu-lagu yang diminati remaja pada hari ini. Sebagai contoh pada tahun 1999, 42 peratus daripada lagu-lagu Inggeris yang popular mengandungi lirik-lirik lucah dan 19 peratus daripadanya menceritakan mengenai hubungan seks. Hal ini dinyatakan di Fokus Adolescent Services (On line) di http://www.focusas.com/.

Pada hari ini, antara media yang begitu ghairah memaparkan gambar-gambar dan adegan lucah adalah internet. Mengikut Internet Filter Reviews 2006, di bawah tajuk Internet filter Statistics, terdapat 4.2 juta laman web dengan 372 juta helaian keseluruhannya (pages) yang memaparkan adegan-adegan lucah di seluruh dunia. Dalam masa setahun, jumlah mereka yang menziarahi laman-laman web lucah ini mencecah 72 juta orang. Kebanyakan pelanggan yang menziarahi laman-laman ini adalah remaja dalam lingkungan umur 12 hingga 17 tahun.

Kajian yang dilakukan oleh MSNBC pada tahun 2004 ke atas 15,000 pengguna internet mendapati, 32 peratus daripada golongan wanita dan 13 peratus daripada pihak lelaki berpendapat internet menggalakkan penzinaan. Dalam kajian yang lain yang dimuatkan di BBC News Online, 30 peratus pengguna internet yang bercinta melalui internet kemudiannya menemui kekasih mereka dan berzina di alam nyata.

Kajian di Britain menunjukkan, fenomena ini menjadi sebab musabab meningkatnya peratus perceraian dalam masyarakat. Hal ini didedahkan di dalam buku bertajuk In Bed with the Web: internet And The New Adultery. Salah seorang penulis buku ini adalah Yannick Chatelain.

Industri pornografi begitu menguntungkan. Ia mendatangkan pulangan haram yang lumayan. Mengikut Internet Filter Revies 2006, industri pornografi mengaut keuntungan keseluruhan berjumlah $57 billion dalam masa setahun, majoritinya (iaitu $20 billion) melalui video-video seks lucah.

Benarlah kata Nabi yang bermaksud, “Akan muncul daripada umatku mereka yang menghalalkan perbuatan zina, menghalalkan sutera bagi lelaki, minuman arak dan lagu-lagu yang melalaikan.” Hadis ini direkodkan oleh Bukhari.

Secara dasarnya Islam mengutuk segala bentuk penzinaan dan segala perkara yang membawa kepadanya diharamkan oleh Islam. Allah menjelaskan dalam Surah Israk ayat 32, “Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

Justeru, ajaran Islam didatangkan Allah bagi menjaga lima maslahat utama iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Kelima-lima ini dikenali sebagai maslahat daruriyat. Ia adalah keperluan asas dalam kehidupan. Sekiranya perkara-perkara ini luput, kehidupan pasti hancur dan segala apa yang dinikmati akan musnah. Di samping itu, ia mendatangkan seksaan pada Hari Kiamat.

Oleh sebab aspek pemeliharaan keturunan adalah penting dalam Islam, syariat Islam memeliharanya dengan mengizinkan pergaulan serta percampuran antara lelaki dengan perempuan melalui perkahwinan yang sah. Sebaliknya, mereka yang berzina dihukum dengan keras oleh agama.

Sebenarnya, alat kelamin adalah amanah. Justeru, ia perlu dipelihara berpandukan berpandukan landasan syariat. Berhubung dengan ini sahabat Abdullah Bin Amr Bin al-As berkata: “Amanah adalah alat kelamin manusia. Sekiranya manusia mampu menjaga amanah itu Allah akan memelihara dirinya dan keturunannya.”


[Petikan dari buku Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Millennia Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2007, p 177 - 178.]

Wednesday, April 16, 2008

Islam Pemangkin Sains

Penghormatan yang Allah berikan kepada golongan yang suka mengkaji alam, sehingga menggelar mereka sebagai ulul albab, begitu signifikan bagi umat Islam. Ia adalah rangsangan yang istimewa daripada Allah supaya umat Islam mendekati alam bagi mengkajinya. Dengan itu ketaqwaan mereka kepada Allah akan meningkat. Secara khusus, antara ciri yang terdapat pada ulul albab adalah suka mengkaji dan bertafakur mengenai penciptaan langit dan bumi. Pada hari ini golongan yang banyak mengkaji mengenai kejadian langit dan bumi adalah pakar-pakar sains dalam bidang astronomi dan astrofizik. Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Surah Ali Imran Ayat 190 – 191)

Justeru, ayat 190 dalam surah Ali Imran berhubung ulul albab merangsang umat Islam supaya menjadi saintis. Saintis yang mahu dihasilkan mengikut formula Quran adalah saintis yang mengingati Allah di mana sahaja dia berada. Bukannya saintis yang ateis.

Quran sememangnya mahu umat Islam memiliki minda yang saintifik. Minda yang saintifik adalah minda yang kuat berfikir, kritikal dan mampu menganalisis data dan fakta, serta mampu membuat andaian dan kemudiannya kesimpulan kepada apa yang dicerap. Minda saintifik menolak sebarang laporan dan pandangan yang tidak berlapikkan bukti dan dalil.

Sebenarnya minda seperti inilah yang mahu dilahirkan oleh Islam kerana Islam menyuruh umatnya supaya tidak mengikut sesuatu yang tidak bersandarkan bukti dan dalil. Dalam surah Al Israk ayat 36 Allah menyatakan yang bermaksud: “Janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.”

Berhubung dengan ayat ini, Syed Qutub berkata dalam Fi Zilal al Quran, “Janganlah kamu mengikut sesuatu tanpa berpandukan ilmu yang meyakinkan dan (janganlah mengikut sesuatu) yang tidak terbukti kesahihannya.”

[Petikan dari buku Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Millennia Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2007, p 9.]

Tuesday, April 15, 2008

Berfikir dan Berzikir

Sesungguhnya mengenali Allah merupakan akidah yang paling tinggi di dalam Islam. Rasa takut seorang hamba terhadap Allah, sesuai dengan kadar makrifat terhadapNya. Suatu ketika Nabi Musa as bertanya kepada Allah, “Ya Tuhanku, siapa hamba yang paling takut kepadaMu?” Allah swt menjawab, “Dia adalah orang yang paling mengenaliKu.” (Hadis riwayat Ibnul Mubarak)

Jalan yang mudah bagi kita untuk mengenali Allah ialah sebagaimana ditunjukkan al Quran iaitu dengan cara berfikir. Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Surah Ali Imran Ayat 190 – 191)

Pada ayat tersebut, Allah memotivasi kita untuk memikirkan para makhlukNya yang di langit dan di bumi, serta memikirkan keagungan penciptaanNya. Ketika memikirkan perkara ini dengan berzikir maka akan tercetus rasa takut dan bertaubat kepada Allah swt:
“Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”
(Surah Ali Imran Ayat 191)

Ketika ayat-ayat di atas diturunkan, Rasulullah menangis. Melihat Rasulullah menangis, Bilal ra berkata, “Merugilah orang yang membaca ayat-ayat ini kemudian tidak memikirkannya” (Hadis Riwayat Abu Hatim dan Ibnu Hibban).

Melalui perbuatan bertafakur (berfikir) yang sebenar, seseorang akan mengenali Tuhannya, lalu mengungkapkan pengetahuannya itu dengan banyak berzikir kepadaNya. Oleh kerana itu, Hasan al Basri pernah berkata, “Berfikir sebentar, lebih baik daripada bangun malam.” Ketika Abu Darda’ ditanya, “Apakah menurutmu tafakkur (berfikir) termasuk ibadah?” Abu Darda’ menjawab, “Ya, ia adalah keyakinan”.

Dengan demikian, tujuan tertinggi dari berfikir adalah mengenali Allah. Kerana mengenali Allah dapat menimbulkan rasa takut, tunduk, penyerahan diri, cinta, pengharapan dan tawakal kepadaNya.

Berfikir adalah kunci pengetahuan, manakala berzikir pula adalah amalan yang sangat tinggi nilainya sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Taimiyah tentang keperluan zikir itu sepertimana air bagi ikan. Bagaimana keadaan ikan tanpa air?

[Petikan dari buku Ath-Thariq ila ar-Rabbaniyyah; Manhajan wa Sulukan, Dr Majdi al-Hilali (Judul Terjemahan: Pribadi Yang Dicintai Allah; Menjadi Hamba Rabbani, terjemahan A.Ikhwani) Maghfirah Pustaka, Jakarta, 2005, p 104-105.]

Tamadun

Tamadun ialah anda membina kemajuan dengan iktibar anda sebagai seorang manusia yang mempunyai akal, hati sanubari, akhlak. Dalam membina tamadun anda perlu mengawal syahwat.

Tamadun ialah apabila engkau mengatakan ‘tidak’ ketika engkau dapati sesuatu yang bercanggah dengan sifat kemanusiaan yang ada dalam diri. Tamadun ialah apabila engkau mengucapkan ucapan yang telah diucapkan oleh Nabi Yusuf Bin Yaakob Bin Ishak Bin Ibrahim a.s: “Aku berlindung dengan Allah” tatkala baginda dipelawa melakukan maksiat. Beginilah sikap yang sepatutnya dipunyai oleh manusia.

Perkara yang sangat menyedihkan kita lagi ialah percikan tamadun barat telah berpindah kepada kita sebagai orang-orang Islam. Kita telah mula mengikut perlakuan mereka secara membuta tuli. Kita mahu mengikut jejak langkah mereka. Kita ingin mengikut cara hidup mereka sedikit demi sedikit. Kita ingin mengikut mereka sejengkal demi sejengkal, sedepa demi sedepa sekalipun mereka masuk ke dalam lubang biawak kita akan mengikutnya sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:
“Kamu akan mengikut cara hidup orang yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun kamu akan mengikut sama masuk ke dalamnya. Kami bertanya: “Adakah masuk orang sebelum kami itu orang Yahudi atau Nasrani?

Setengah dari kalangan kita ingin berjalan mengikut Barat dengan memberikan kebebasan mutlak, membiarkan pemuda dan pemudi menjalinkan hubungan sesama mereka supaya setiap dari mereka dapat merasai nikmat seks. Kita biarkan pemuda dan pemudi kita berhubung secara bebas dengan rakan-rakan mereka di barat agar mereka dapat belajar perkara-perkara seksual melalui jalan pemikiran yang menyesatkan, dengan cara bergaul dengan kaum yang sesat itu di negara mereka.

Ketika orang-orang yang pergi ke barat atau ke negeri timur jauh, ke Bangkok dan sebagainya dan apabila mereka kembali mereka telah tercemar dengan penyakit pada badan dan akal mereka. Begitulah kita mula pergi kepada mereka untuk mengambil bala, wabak atau mereka datang kepada kita dengan berbagai bentuk dan cara.

Allah telah melindungi kita sebagai orang Islam dengan ajaran agamaNya. Dia telah melindungi kita dengan hukum-hukum syariatNya. Dia telah melindungi kita dengan akidah yang boleh menjadikan seorang mukmin berdiri teguh di hadapan hawa nafsu, syahwat dan perkara-perkara yang memberahikan.

Seorang mukmin tidak rela dirinya dikotori. Sesungguhnya Islam telah mendidik mukmin semenjak kukunya lembut supaya menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Firman Allah dalam Surah An Nur ayat 30 – 31 yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang mukmin lelaki supaya menundukkan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka. Tindakan sedemikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. Dan katakanlah (wahai Muhamad) kepada orang-orang mukmin perempuan supaya mereka menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan mereka melainkan yang nampak jelas pada mereka, dan labuhkanlah kain tutup kepala mereka sehingga ke paras bawah buah dada mereka.”

Sesungguhnya Allah mahu manusia muslim terdidik dengan sifat menjaga kehormatan, memelihara kesucian dan berakhlak dengan sifat malu. Allah tidak redha manusia mukmin bergelumang dengan maksiat dan terjunam ke dalam lubuk maksiat.

[Petikan dari buku Khutbah Jumaat, Dr Yusuf Al Qardhawi , As Syabab Media, Bandar Baru Bangi, 2002, p 172 - 175.]

Kehidupan Yang Baik

Sesungguhnya taatkan Allah, istiqamah di atas landasan agamaNya dan takutkan Allah merupakan punca yang memberikan kehidupan yang baik dan tenang kepada manusia di dunia serta akan menghasilkan ganjaran yang baik di akhirat. Firman Allah di dalam Surah An Nahlu ayat 97 yang bermaksud:
“Barangsiapa yang melakukan amal soleh dari kalangan lelaki dan perempuan sedang dia seorang mukmin maka Kami akan memberikan kepada kehidupan yang baik dan Kami akan memberikan pembalasan yang baik terhadap amalan soleh yang telah mereka kerjakan”.

Kehidupan yang baik bukanlah bermakna mempunyai harta yang banyak dan hidup dalam keadaan yang mewah. Rakyat di Negara Qatar sebelum zaman petrol dan sebelum zaman kekayaan yang melimpah ruah yang telah menyebabkan manusia menjadi lalai telah hidup dalam keadaan yang baik. Mereka sentiasa tolong menolong dalam keadaan susah dan senang. Mereka mengasihi sesama sendiri. Mereka rasa cukup dan redha dengan nikmat yang sedikit. Mereka hidup dalam keadaan tenang.

Setiap orang sentiasa memelihara diri, harta dan kehormatan saudaranya. Kehidupan masa itu amat baik. Apa pula yang dilakukan oleh manusia dalam negara ini apabila kekayaan melimpah ruah kepada mereka, Allah meluaskan rezeki mereka, bumi di bawah tapak kaki mereka memuntahkan minyak?

Apakah yang dilakukan oleh manusia dengan nikmat-nikmat ini? Adakah mereka memeliharanya? Adakah mereka kekal seperti sebelumnya? Atau mereka telah melakukan seperti yang kita dengar, kita baca dan kita lihat perlakuan orang-orang kaya yang bermain judi berjuta-juta ringgit di negara kafir, mereka membelanjakan kekayaan itu untuk minum arak, berjudi dan berseronok dengan perempuan?

Mereka telah membazirkan harta dan telah mengabaikan hak-hak yang sepatutnya ditunaikan. Mereka telah mengabaikan hak Allah dan hak hamba-hambaNya. Maka habislah segala perkara selepas mereka memperolehi kekayaan ini.

Maksiat mempunyai kesan yang buruk terhadap individu, masyarakat, seluruh manusia, binatang-binatang ternakan dan semua makhluk yang mempunyai nyawa. Sehingga Abu Hurairah pernah berkata: “Sesungguhnya pendeta yang sedang berada di dalam tempat ibadahnya akan terkena kesan kezaliman orang yang zalim.”
Mujahid telah berkata: “Sesungguhnya binatang-binatang melaknat anak Adam yang melakukan maksiat apabila hujan tidak turun. Binatang itu berkata: “Ini adalah hasil keburukan maksiat dilakukan oleh anak Adam”.

Imam Ibnu Qaiyim mempunyai satu buku yang bertajuk “Penyakit dan Ubat”. Di dalam buku ini beliau menyebut kesan-kesan buruk dari maksiat lebih seratus kesan. Kitab ini perlu dibaca oleh ramai orang sebagai peringatan terhadap keburukan maksiat di dunia sebelum berhadapan dengannya di akhirat.

[Petikan dari buku Khutbah Jumaat, Dr Yusuf Al Qardhawi , As Syabab Media, Bandar Baru Bangi, 2002, p 142 - 143.]

Mulia Dengan Islam

Kita orang Islam telah dimuliakan dan dilindungi oleh Allah dengan agama Islam. Kita tidak perlu mengikut orang lain yang tidak mengikut agama Islam. Sekiranya kita hendak juga mengambil sesuatu daripada barat maka ambillah ilmu dan teknologinya kerana ilmu itu sebenarnya adalah hak kita, maka tidak salah sekiranya kita mengambilnya semula.

Orang-orang barat telah mengambil manhaj ilmu daripada umat Islam. Maka oleh itu kita perlu mengambilnya semula dan memanfaatkannya untuk diri kita.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “ Ilmu yang berguna adalah barang kepunyaan mukmin yang telah hilang, maka di mana sahaja dia menjumpainya maka dia lebih berhak mendapatkannya”.

Manakala suara yang mengajak kita mengambil semua yang ada pada orang barat samada baik atau buruk adalah suara yang sesat dan tidak boleh dipakai.

Walau dalam keadaan mana sekalipun umat Islam tidak boleh menghancurkan keperibadiannya dengan mengikut mereka yang telah dimurkai Allah dan orang-orang yang sesat. Allah telah mengajar umat Islam supaya mengatakan kata-kata yang diulang tidak kurang dari 17 kali dalam sehari semalam. Firman Allah dalam Surah Al Fatihah ayat 6 – 7 yang bermaksud:
“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus iaitu jalan mereka yang telah Engkau beri nikmat, bukannya jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan juga jalan mereka yang sesat”.

Kita sebagai orang Islam hendaklah mempunyai perbezaan dengan orang lain dari kita. Kita menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang diharamkan olehNya. Apa yang menyedihkan kita ialah setengah undang-undang dalam negara orang Islam masih menghalalkan perkara yang telah diharamkan oleh Allah. Ia menghalalkan zina secara terang-terangan. Ia menghalalkan hubungan jenis yang tidak diakui oleh syarak selagi ia berlaku dengan kerelaan kedua-dua belah pihak. Dalam keadaan ini undang-undang tidak boleh mengambil tindakan ke atas pelaku zina tersebut seperti mana yang dikatakan oleh pujangga: “Aku rela, bapa aku rela, adakah engkau hendak menghukum aku wahai pemerintah?”.

Dalam setengah negara undang-undang melarang lelaki mempunyai isteri dua orang tetapi mereka mengharuskan lelaki mempunyai teman wanita dan perempuan simpanan yang ramai. Begitulah yang telah dilakukan oleh manusia masa kini. Mereka telah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Mereka telah menentang syariat Allah secara terang-terangan.

Kita sebagai orang Islam perlu berpegang teguh dengan syariat Allah. Ia merupakan bahtera penyelamat dan perahu yang boleh menyelamatkan kita di dunia dan akhirat.

Agama Islam bukanlah satu jalan untuk mencapai kebahagiaan di akhirat sahaja, tetapi ia juga adalah satu jalan untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kejayaan tidak akan terhasil melainkan dengan mengikut syariat Allah. Kemenangan dan kekuatan tidak akan terhasil tanpa mengikut syariat Allah.


[Petikan dari buku Khutbah Jumaat, Dr Yusuf Al Qardhawi , As Syabab Media, Bandar Baru Bangi, 2002, p 183 - 185.]

Cinta Dunia

Siapa di antara kita yang ingin menjadi manusia yang dicintai dan diredhai Allah swt?

Inginkah kita menjadi insan yang bersegera pergi ke masjid dan menunggu waktu solat berikutnya setelah menunaikan solat sebelumnya?

Insan yang bangun di tengah malam untuk bermunajat dan menumpahkan air mata. Insan yang bersedekah dengan tangan kanan tanpa diketahui oleh tangan kiri; insan yang ikhlas bersedekah. Insan yang khusyuk dalam solatnya dan menghadap Tuhan dengan sepenuh hati. Insan yang banyak berdoa dan berzikir. Insan yang tidak mengejar dunia melainkan mencari kebahagiaan akhirat. Insan redha dengan qadha dan qadar Allah. Insan yang bersegera melakukan kebaikan, selalu membantu yang memerlukan dan berusaha membela yang teraniaya. Insan yang menyambung tali silaturahim dengan yang memutuskannya, memberi kepada yang tidak mahu memberi dan memaafkan yang menzalimi.

Ya, kita semua menginginkannya. Akan tetapi, sulit bagi kita merealisasikannya. Tatkala memulakan solat, suasana dunia muncul dalam pemikiran kita. Ketika memulakan bacaan Al Quran, hati-hati kita berlarian menuju lembah-lembah kehidupan. Ketika membaca dan mendengarkan hal-hal yang wajib dilakukan, kita pun terpengaruh untuk melakukannya. Kita merasa sedih atas keadaan kita ini. Namun, kita masih tidak berubah, masih lagi jauh dari menjadi insan yang dicintai dan diredhai Allah. Kita berusaha untuk membaiki dan melakukan muhasabah diri, akan tetapi kita tidak mampu untuk meningkatkan diri kita.

Apakah penyebab semua ini? Bukahkah dalam hati kita terdapat iman? Lalu mengapa iman itu tidak mampu mendorong kita untuk melakukan amal soleh? Mengapa selama berabad-abad, amalan para sahabat, kalangan salaf dan orang-orang soleh dari umat ini, sesuai dengan ucapan mereka; sedangkan kita hanya berbicara, berangan-angan dan bermimpi, tetapi tidak mampu untuk menunaikannya?

Hal ini tentunya kerana ada jurang antara akal dan hati kita. Akal yang memiliki fungsi membaca, mendengar dan merasa yakin, serta memberi isyarat kepada hati. Sementara hati yang dipengaruhi isyarat akal, seringkali tidak mampu memerintah anggota tubuh untuk menunaikannya. Tahukah anda mengapa? Kerana ia tertawan oleh hawa nafsu dan cinta dunia, serta terikat di bumi dan terkekang oleh syahwatnya.

Benar dalam hati terdapat iman kepada Allah dan Hari Akhirat. Hal ini kelihatan dalam perbuatan baik yang kita lakukan. Kita juga dapat mengetahui dengan jelas kadar dunia di dalam hati kita, yakni melalui berbagai perbuatan yang memperlihatkan sejauh mana keterikatan kita dengan dunia.

Berdasarkan hal ini, saya katakan bahawa kita tidak akan mampu melakukan apa yang kita inginkan dan diredhai Allah, kecuali kita dapat membebaskan kehendak kita dan membersihkan hati dari belenggu kekuasaan hawa nafsu serta menyerahkannya kepada Allah semata.

[Petikan dari buku Ath-Thariq ila ar-Rabbaniyyah; Manhajan wa Sulukan, Dr Majdi al-Hilali (Judul Terjemahan: Pribadi Yang Dicintai Allah; Menjadi Hamba Rabbani, terjemahan A.Ikhwani) Maghfirah Pustaka, Jakarta, 2005, p 7-8.]

Wednesday, April 09, 2008

Islam Adalah Cara Hidup Yang Komprehensif

Islam adalah agama yang lengkap lagi komprehensif. Konsep kesempurnaan ini dikenali sebagai syumuliyah dalam Islam. Hal ini dinyatakan Allah dalam Surah Al Maidah ayat 3, “Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untuk kamu dan Aku sempurnakan nikmatKu ke atasmu dan Aku redai Islam menjadi agamamu,”

Berhubung dengan perkara ini, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir Al Quran Al Azim berkata, “Ini adalah nikmat paling agung yang dikurniakan Allah kepada umat ini. Apabila Allah menyempurnakan agama ini, umat Islam tidak memerlukan agama lain selain Islam dan mereka juga tidak memerlukan nabi lain (selepas Nabi Muhammad)”.

Bagi memperincikan lagi konsep ini, dalam Usul 20 Imam Hasan Al-Banna berkata, “Ajaran Islam adalah menyeluruh mencakupi kesemua bidang kehidupan. Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia juga adalah pengetahuan dan undang-undang ataupun ilmu dan kehakiman. Islam juga menekankan aspek kebendaan dan harta ataupun usaha dan kekayaan. Di samping itu Islam mementingkan jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Islam adalah akidah yang benar dan ibadah yang sah”

Oleh itu Islam adalah lengkap dan sempurna ia tidak menerima sebarang campur aduk dengan sebarang ideologi dan falsafah. Inilah yang Allah maksudkan dalam perintahNya yang terdapat dalam surah Al Baqarah ayat 42, “ Jangan kamu campuradukkan yang hak dengan yang batil dan jangan kamu sembunyikan kebenaran sedang kamu mengetahui.”

Berhubung dengan ini, Imam Qatadah menegaskan, “Janganlah kamu campuradukkan ajaran Islam dengan ajaran Yahudi dan Nasrani sedangkan kamu mengetahui agama yang diterima Allah hanyalah Islam.” Hal ini disebut dalam al-Asas fi al-Tafsir.

[Petikan dari buku Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Millennia Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2007, p 2.]