Tuesday, October 20, 2009

KONSEP HIJRAH DAN JIHAD (Siri 1)

PENGERTIAN HIJRAH

Hijrah pada umumnya ialah perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat dan perubahan dari suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lain. Ini merangkumi perpindahan atau perubahan fizikal dan spiritual.

PEMBAHAGIAN HIJRAH

Hijrah boleh dibahagikan kepada tiga (meskipun ia berlaku pada masa, tempat dan keadaan yang berlainan, namun kesemuanya mempunyai matlamat yang sama)

1. Hijrah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dari Makkah ke Yathrib

Hijrah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabatnya dari kota Makkah ke Yathrib, berlaku pada tahun 622M. Tujuannya ialah untuk menyelamatkan aqidah, meluaskan medan dakwah dan membangunkan pemerintahan berteraskan tauhid kepada Allah Subhanahuwata’ala. Hijrah ini berakhir dengan kejayaan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam membuka kota Makkah pada tahun 630M, di mana baginda menyatakan bahawa tidak ada hijrah selepas pembukaan Makkah.

2. Hijrah umat

Hijrah umat ialah perpindahan umat Islam dari mana-mana negeri atau negara yang di dalamnya aqidah umat ditindas ke mana-mana tempat di bumi Allah Subhanahuwata’ala demi menyelamatkan aqidah. Pintu hijrah seperti ini belum tertutup dan tidak akan tertutup hingga hari Qiamat selagimana berlaku penekanan dan kezaliman ke atas umat Islam yang memaksa mereka berpindah bagi menyelamat dan memelihara aqidah.

Hijrah seperti ini, dari satu aspek, adalah sama seperti hijrah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dari Makkah ke Yathrib, iaitu perpindahan daripada bumi yang penuh penindasan dan kezaliman ke atas aqidah Islam dan penganut-penganutnya ke tempat yang lebih selamat bagi menyelamatkan aqidah Islam dan memelihara kehormatan penganut-penganutnya. Dengan ini mereka akan dapat melakukan ibadah kepada Allah Subhanahuwata’ala dan melaksanakan segala tuntutan aqidah secara bebas dan terpelihara.

Hijrah bentuk ini terus terbuka kepada umat Islam apabila pemerintah di dalam sesebuah negeri atau negara di mana umat Islam berada, berlaku zalim dan menolak hukum-hukum Allah, sedang umat Islam di situ tidak mempunyai kekuatan untuk bertahan atau melawan. Dalam keadaan seperti ini, berpindah ke suatu tempat lain yang selamat adalah wajib ke atas setiap umat Islam kecuali yang dhaif dan sakit. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
”Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya: "Dalam keadaan bagaimana kamu ini?", mereka menjawab: "Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Makkah)", para malaikat berkata: "Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?", orang-orang itu tempatnya neraka Jahanam, dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali mereka yang tertindas baik laki-laki atau wanita ataupun anak-anak yang tidak mampu berdaya upaya dan tidak mengetahui jalan (untuk hijrah). Mereka itu, mudah-mudahan Allah memaafkannya, dan adalah Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”
(Surah An-Nisaa’:97 – 99)

3. Hijrah hati dan akhlak

Hijrah bentuk ini ialah perpindahan jiwa daripada yang buruk kepada yang baik, suci dan benar. Atau, perpindahan jiwa daripada yang baik kepada yang lebih baik, lebih suci dan lebih benar. Hijrah bentuk ini tidak kurang mulianya daripada hijrah bentuk pertama dan kedua di atas. Ia merupakan penerusan bagi ikatan perjanjian di antara seorang hamba dengan Allah Subhanahuwata’ala agar hidupnya sentiasa di dalam keadaan bersih dan mengamalkan akhlak terpuji sebagai bukti kepada kebenaran imannya.

Inilah hijrah ma’nawi dalam pembentukan syakhsiyah, di mana seseorang itu mendaki anak-anak tangga kebersihan dan kesucian menuju kepada Allah Subhanahuwata’ala. Beliau menjalani hidup dalam keadaan suci dan mulia.

Hijrah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda dari Makkah ke Yathrib, walaupun kelihatan seperti perpindahan jasmani, namun ia engandungi nilai-nilai perpindahan hati, jiwa dan akhlak kepada kesucian, keikhlasan, keadilan dan kebenaran.

Hijrah dalam semua bentuk di atas merupakan pernyataan tepat dari aqidah yang tertanam di dalam jiwa seseorang mukmin. Tujuannya ialah untuk mendapatkan suasana yang membolehkan seseorang itu berpegang dengan aqidah Islam dan bebas melakukan ibadah kepada Rabnya serta jauh daripada keburukan, kejahatan dan kezaliman.

Konsep hijrah pada umumnya adalah merupakan satu revolusi yang berterusan di dalam kehidupan seseorang mukmin yang bertujuan untuk menolak segala bentuk kejahatan dan menegakkan kebenaran.

HIJRAH RASULULLAH SALLALLAHU’ALAIHIWASALLAM

Kembali membincangkan hijrah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda dari Makkah ke Yathrib (Madinah al-Munawwarah), peristiwa ini merupakan fajar baru kepada Islam dan umatnya. Ia juga merupakan kemenangan abadi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan umat Islam dalam mempertahankan aqidah dan menyebarkan dakwah. Di Madinah, umat Islam memulakan kehidupan baru yang penuh dengan nilai-nilai kemanusiaan yang murni. Umat Islam membangunkan penghidupan di atas asas aqidah dan din. Mereka bebas dan aman melakukan ibadah kepada Allah Subhanahuwata’ala, mengamalkan tuntutan din dan menyebarkan dakwah Islamiyah hingga ke peringkat antarabangsa dalam keadaan tidak takut kepada sesiapa selain daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Kejayaan yang besar ini adalah kurniaan Allah Subhanahuwata’ala hasil dari perjuangan dan pengorbanan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat. Di Madinah, peribadi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam lahir di tengah-tengah medan penghidupan sebagai seorang yang terus menyeru kepada Allah Subhanahuwata’ala, yang memiliki sifat-sifat kesabaran dan ketahanan, sebagai seorang mursyid dipimpin oleh wahyu, sebagai seorang hakim yang adil lagi saksama dan sebagai seorang ketua tentera yang berani lagi bijaksana.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berjaya menerapkan al Quran ke dalam kehidupan masyarakat secara teori dan amali, dan meliputi semua aspek kehidupn - politik, kemasyarakatan, ibadah, akhlak dan pentadbiran. Kesemuanya berteraskan tauhid. Maka, tertegaklah Daulah Islamiyah yang berdaulat lagi ulung dan menjadi mercu tanda bagi tamaddun kemanusiaan di muka bumi.

No comments:

Post a Comment