Wednesday, April 22, 2009

SULTAN MUHAMMAD AL FATIH DAN PEMBUKAAN CONSTANTINOPLE

Di bawah ini adalah satu artikel yang dipetik dari Blog Ustaz Muhammad Fauzi

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah. Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.
Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.
Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

PENGENALAN

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki - Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 - 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.
PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.
KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja
Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.
Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.
MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
Menara Bergerak
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.
Bantuan Dari Pope Vatican

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.


Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.
Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.
Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.
Penawanan Constantinople
Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”.
Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.

http://satuperkongsian.wordpress.com/2007/06/26/sultan-muhammad-al-fateh-dan-pembukaan-costantinople/#comment-93

Monday, April 20, 2009

Peperangan Balat al Shuhada’

Pada akhir bulan Sha’ban tahun ke 104 H Abdul Rahman Al Ghafiqi (seorang panglima agung Islam yang memerintah bumi Andalus di zaman kegemilangan Islam), bersama tenteranya yang gagah perkasa mara menuju ke Kota Poitiers. Di sinilah mereka bertemu dengan angkatan tentera Eropah yang dipimpin oleh Charles Martel. Berlakulah pertempuran sengit yang membuka lembaran baru bukan sahaja dalam sejarah umat Islam atau Eropah malah manusia seluruhnya. Peperangan ini dikenali sebagai peperangan Balat al Shuhada’.

Walaupun pada ketika itu, tentera Islam berada di kemuncak kemenangan yang amat membanggakan. Namun bebanan yang ditanggung kini semakin berat akibat harta perolehan perang yang mencurah-curah ibarat hujan, bertimbun di tangan tentera Islam.

Abdul Rahman Al Ghafiqi melihat segala kekayaan yang melimpah ruah ini dengan penuh kebimbangan dan takut. Abdul Rahman bimbang harta ini bakal menggugatkan kekuatan umat Islam . Beliau bimbang harta ini akan mengganggu hati mereka ketika bertemu musuh. Hati mereka mungkin berbelah bahagi jika sesuatu keburukan menimpa mereka. Mereka mungkin melihat musuh dengan sebelah mata sementara mata satu lagi sibuk melihat harta milik mereka.

Oleh itu beliau berhasrat untuk mengarahkan tenteranya membuang sahaja segala harta yang bertimbun ini tetapi beliau takut tindakan itu tidak diterima oleh mereka. Mereka mungkin tidak bersedia untuk menyerahkan segala kekayaan ini. Jadi hanya satu sahaja pilihan yang terbaik iaitu mengumpulkan semua harta ini dalam satu khemah khas. Khemah ini ditempatkan di bahagian belakang markas sebelum sesuatu peperangan meletus.

Selama beberapa hari, kedua-dua belah pihak angkatan tentera ini saling berhadapan dengan penuh tenang. Dalam diam-diam, masing-masing memerhati antara satu sama lain ibarat dua banjaran gunung yang saling berhadapan. Masing-masing merasa bimbang dengan kekuatan lawan dan mengambil pelbagai perhitungan sebelum memulakan serangan.

Keadaan ini berlangsung beberapa lama. Akhirnya melihat kepada semangat tentaranya yang berkobar-kobar untuk mara, Abdul Rahman Al Ghafiqi mengambil keputusan untuk memulakan dahulu serangan dengan bergantung sepenuhnya kelebihan yang dimiliki oleh tenteranya dan keyakinannya bahawa kemenangan akan memihak kepadanya.

Abdul Rahman Al Ghafiqi bersama tentera berkudanya melancarkan serangan ke barisan musuh ibarat singa yang mengganas. Tentera Perancis pula membalas serangan ini dengan semangat yang tinggi ibarat gunung.

Hari pertama dalam peperangan ini tidak memihak kepada mana-mana pihak. Hanya kegelapan malam sahaja yang mampu menghentikan peperangan hari itu. Hari berikutnya, peperangan kembali meletus. Umat Islam melancarkan serangan hebat ke atas tentera Eropah. Namun mereka masih gagal untuk mencapai matlamat mereka.

Peperangan kini berlanjutan selama tujuh hari dan masa terasa bergerak terlalu lambat. Pada hari kelapan, umat Islam melancarkan serangan besar-besaran ke atas musuh. Mereka berjaya membuka ruang yang besar di pihak musuh, seolah-olah mereka dapat melihat kemenangan melalui ruang ini ibarat cahaya mentari yang mencelah kegelapan subuh.

Namun dalam masa yang sama, sekumpulan pasukan musuh telah melancarkan serangan hendap ke atas khemah harta perolehan perang milik tentera Islam. Apabila melihat harta mereka diserang dan hampir jatuh ke tangan musuh, kebanyakan tentera Islam mula berundur ke belakang untuk menyelamatkan harta masing-masing. Tindakan ini menyebabkan barisan serangan mereka porak peranda dan kekuatan mereka mula goyah.

Panglima agung tentera ini, kini terpaksa bertindak pantas untuk mengerahkan kembali tentera yang berundur ini sambil terpaksa menahan serangan musuh dan menutup ruang yang terbuka. Dalam keadaan ini, pahlawan Islam yang agung, Abdul Rahman Al Ghafiqi terpaksa memacu kudanya ke hadapan dan ke belakang. Ketika itulah beliau terkena panahan musuh yang menyebabkannya rebah ke bumi ibarat helang yang gugur dari puncak gunung. Rebah syahid di medan peperangan.

Apabila melihat malapetaka ini, umat Islam mula diserang rasa takut dan goyah. Ditambah pula dengan serangan hebat oleh musuh. Kegelapan malam sahaja yang mampu menyelamatkan mereka.

Menjelang pagi, Charles Martel mendapati seluruh tentera Islam telahpun berundur daripada Poitiers. Walau bagaimanapun, Charles tidak berani untuk mengejar mereka. Sedangkan, jika dia mengejar, dia boleh memusnahkan mereka. Charles sebenarnya takut pengunduran ini hanyalah sebahagian daripada taktik perang yang terancang. Jadi, Charles mengambil keputusan untuk kekal sahaja dan berpuas hati dengan kemenangan besar yang telah diperolehinya.

Peperangan Balat Al Shuhada’ ini merupakan hari penting dalam sejarah. Pada hari tersebut, umat Islam gagal mencapai impian besar yang dicitakan selama ini. Malah mereka kehilangan seorang pahlawan agung. Tradegi Uhud berulang kembali. Inilah sunnah Allah di alam semesta ini dan sunnah ini tidak mungkin dapat diubah.

Menurut cendikiawan Eropah, kemenangan datuk nenek mereka mengalahkan umat Islam di Poitiers merupakan satu bencana besar yang merugikan seluruh bangsa manusia.

Suatu kerugian yang terpaksa ditanggung oleh Eropah. Suatu bencana yang memalapkan suatu tamadun. Henry De Shamboone, Pengarah Majalah Rivi Barlmintier berbahasa Perancis pernah menyebut tentang malapetaka di Balat Al Shuhada’ ini:
”Jika Charles Martel tidak mencapai kemenangan ke atas umat Islam, sudah tentu negara kita tidak terjerumus ke dalam zaman kegelapan di kurun pertengahan. Jika Charles tidak menang, sudah tentu kita tidak akan merasai kedahsyatan zaman itu. Sudah tentu tidak akan berlaku peperangan saudara yang disebabkan oleh fanatik agama kemazhaban.”

”Benar, jika tidak kerana kemenangan barbarian ke atas umat Islam di Poitiers itu, sudah tentu Sepanyol masih menikmati keadilan Islam. Sudah tentu Sepanyol akan terselamat daripada Mahkamah Taftish (mahkamah yang diwujudkan oleh Ferdinand dan Ratu Isabella untuk menghukum umat Islam Sepanyol dan memahat sejarah hitam bangsa manusia). Sudah tentu perjalanan tamadun manusia tidak akan terbantut selama lapan kurun.”

”Walau apa sekalipun perasaan kita terhadap kemenangan ini, kita sebenarnya masih berhutang budi kepada umat Islam yang telah banyak berjasa kepada tamadun ilmu, teknologi dan industri kita. Kita perlu mengakui bahawa mereka adalah contoh manusia yang unggul. Dalam masa yang sama kita adalah contoh manusia barbarian,”

”Apa yang kita dakwa hari ini bahawa zaman telah kembali berulang adalah suatu pembohongan. Termasuklah juga dakwaan kita bahawa umat Islam di zaman ini sama seperti keadaan kita di zaman pertengahan.”
[Petikan dari 37 Kisah Kehidupan Tabi’in 1 Dr Abdul Rahman Ra’fat al Basha, terjemahan Ustaz Salehan Bin Ayub, Pustaka Salam Sdn Bhd, Batu Caves, Kuala Lumpur, Jun 2003, p 22-25.]

Abdul Rahman Al Ghafiqi

Abdul Rahman Al Ghafiqi seorang panglima agung Islam yang memerintah bumi Andalus di zaman kegemilangan Islam, pada suatu hari menjemput seorang tokoh ahli zimmi yang merupakan penduduk asal Perancis. Beliau kemudiannya menimbulkan satu persoalan: “ Mengapa raja kamu, Charles Martel tidak cuba menyerang kami atau tidak cuba membantu pemerintah-pemerintah wilayah untuk menyerang kami?”

Dengan tenang ahli zimmi itu menjawab: “Wahai gabenor, oleh kerana engkau telah tunaikan segala janjimu kepada kami, kini menjadi tanggungjawab saya pula untuk memberikan jawapan yang jujur kepada soalan engkau itu.”

[Janji Abdul Rahman Al Ghafiqi ialah “sesiapa sahaja yang dizalimi oleh mana-mana pemerintah atau hakim atau oleh sesiapa sahaja, hendaklah membuat aduan kepada gabenor.” Dalam usahanya ini, beliau tidak membezakan antara orang Islam dan ahli zimmi.

Beliau seterusnya meneliti setiap aduan satu persatu dan mengembalikan hak yang dirampas kepada orang yang lemah tanpa memihak kepada mereka yang berkuasa. Beliau kemudiannya menghukum orang yang zalim bagi pihak mereka yang dizalimi

Masalah gereja-gereja yang telah dirampas dan yang baru dibina juga diteliti. Gereja-gereja ini dikembalikan semula kepada pemiliknya menurut perjanjian yang sah. Manakala gereja-gereja yang ada kaitan dengan rasuah akan dimusnahkan

Setelah itu beliau meninjau pula setiap pegawainya seorang demi seorang. Mana-mana pegawai yang didapati tidak amanah dan menyeleweng akan dipecat dan tempatnya diganti pegawai yang diyakini kebijaksanaan dan kelayakannya
]

Kata ahli zimmi itu lagi, “Pemimpin kamu, Musa bin Nusair telah mengukuhkan cengkamannya di Sepanyol, kemudian dia mula mengalihkan tumpuan untuk menakluk Pergunungan Pyrennes yang memisahkan dengan negeri kami yang indah.”

Ahli zimmi menyambung: “Apabila mengetahui hasrat tersebut pemerintah wilayah dan paderi mengadu kepada raja kami: “Tuanku, telah sekian lama kami dan anak cucu kami menanggung kesedihan. Semenjak sekian lama kami dengar mengenai umat Islam. Kami bimbang mereka akan menyerang kami dari arah timur tetapi kini mereka mara ke arah kami dari arah barat. Mereka telah menakluk seluruh Sepanyol dan memiliki seluruh kelengkapan yang ada di sana. Selepas itu mereka berjaya pula menakluk gunung yang memisahkan kami dengan mereka. Sedang bilangan mereka sedikit. Kebanyakan mereka tidak mempunyai perisai untuk mempertahankan diri daripada hayunan pedang. Mereka juga tidak mempunyai kuda untuk digunakan di medan perang.”

Raja mereka melepaskan pandangannya jauh-jauh lalu berkata: ”Saya telah teliti sedalam-dalamnya masalah yang kamu fikirkan itu dan saya telah berfikir panjang. Saya berpendapat kita tidak boleh menyekat serangan mereka kali ini. Mereka kini ibarat air bah yang menelan apa saja yang menghalang arusnya. Malah arus ini akan menghanyutkan segala-segalanya.”

”Saya melihat mereka ini adalah manusia yang mempunyai pegangan dan keikhlasan. Dengan dua perkara ini mereka tidak memerlukan jumlah yang ramai atau senjata yang cukup. Mereka mempunyai keyakinan dan kejujuran yang sudah cukup untuk menggantikan perisai dan kuda.”

”Kita akan tunggu hingga mereka mula mengaut kekayaan. Apabila mereka mula memiliki rumah dan istana. Apabila mereka mula bersaing memiliki amah dan khadam. Apabila mereka mula berlumba untuk merebut kuasa. Ketika itu kita akan berjaya kalahkan mereka dengan cara yang sangat mudah tanpa perlu bersusah payah”.

Abdul Rahman Al Ghafiqi tertunduk hiba mendengar kata-kata itu. Dia mengeluh panjang lalu bangun: ”Marilah kita sembahyang kerana waktu sudah hampir tiba.”

[Petikan dari 37 Kisah Kehidupan Tabi’in 1 Dr Abdul Rahman Ra’fat al Basha, terjemahan Ustaz Salehan Bin Ayub, Pustaka Salam Sdn Bhd, Batu Caves, Kuala Lumpur, Jun 2003, p 13-14.]

Thursday, April 09, 2009

Suami Soleh, Isteri Solehah

Petikan dari Blog Ustaz Muhammad Muzakkir (http://tinta-tarbawi.blogspot.com)

Assalamualaikum,
Alhamdulillah, dengan izin Allah swt Puan Rasha (Ummu Muhammad) isteri kepada As Syahid Dr. Abdul Aziz Ar Rantisi telah dapat hadir di dalam satu program di Stadium Malawati, Shah Alam tengahari semalam, Ahad 22.3.09.

Beliau sangat bersyukur kerana buat pertama kalinya dapat sampai ke Malaysia. Setelah mendengar penyampaian oleh Puan Hashimah Salleh, Tokoh Maulidur Rasul Negeri Selangor, 2008, beliau memberitahu hadirin bahwa beliau seolah-olahnya mendengar penyampaian itu bukan dari orang Malaysia bahkan terasa macam disampaikan oleh orang Palestin sendiri kerana isinya benar-benar menyentuh hati dan itulah sebenarnya yang diperjuangkan oleh orang-orang Palestin termasuk suaminya As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi.

Beliau kemudiannya memberi penyampaian dan amanat kepada semua hadirin dengan suara yang begitu bersemangat tanpa ada kelihatan tanda-tanda kesedihan di atas pemergian suaminya lima tahun yang lepas. Ini sungguh membuktikan keteguhan iman beliau dan kesabaran yang cukup tinggi yang hanya mengharapkan redha Allah swt.
Sempena kedatangan beliau ke sini, marilah kita cuba meneliti liku-liku kehidupan beliau bersama suami tercinta melalui wawancara yang diadakan setelah kesyahidan suami beliau, As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi. Kita semua sudah tahu akan syahidnya Dr Abdul Aziz Ar Rantisi pada 17 April 2004.
Setiap kehebatan seorang suami pasti ada pendorong yang tidak lain tidak bukan isterinya yang bernama Puan Rasha (Ummu Muhammad). Mari kita sama-sama selami akan ketabahan hidup beliau sebagai seorang isteri kepada pejuang yang hebat ini.
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan perolehi dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu." (Al-Baqarah : 120)

Kata-kata beliau (isteri as-Syahid) menggambarkan kesabaran yang luar biasa dan pendirian yang mengkagumkan. Sinar suara yang tidak ternilai serta tutur katanya yang lemah lembut. Apa yang lebih penting, sifat tawadhu' yang terhimpun dalam percakapannya, perbualannya dan juga tindak-balasnya.
Kami katakan kepadanya :Sesuailah ungkapan kepada puan ( Di sebalik setiap lelaki hebat pasti ada seorang wanita).Kata beliau ? TIDAK! Demi Allah, jika ada di sana wanita yang menjadi sebab kejayaan Dr. Rantisi dan menjadi sebab sampai matlamatnya, ianya tidak lain dan tidak bukan adalah ibunya yang membimbing dan mendidiknya, ibunyalah jua yang menanamkan kewibawaan dan rasa izzah. Maka dengan kalimat inilah bermulanya wawancara dengan Puan Rasha (Ummu Muhammad) isteri as-Syahid Dr. Abdul Aziz ar-Rantisi.

1. Bagaimana titik perkenalan puan dengan as-Syahid?

Saya seorang gadis yang telah tamat pendidikan menengah dan ketika itu saya bukanlah pendokong utama kepada gerakan Islam tetapi saya menyokong ke arahnya, tidak seperti sahabat-sahabat yang sebaya dengan saya yang menjadi pendokong utama kepada gerakan Islam.
Saya sangat berkeinginan untuk menyempurnakan pengajian di universiti tetapi kedua ibu bapa saya membantah kerana niat saya adalah untuk ke Mesir bagi meneruskan pengajian saya. Semasa Abu Muhammad (Dr. Rantisi) masuk meminang saya, saya dapati padanya terdapat sifat-sifat yang menjadi idaman gadis-gadis, lebih-lebih lagi kerjayanya sebagai seorang doktor.

Beliau tidak pernah menyakiti atau melukai saya walaupun hanya dengan satu kalimah dan beliau sentiasa menjaga kebenaran, oleh itu beliau menjadi amat istimewa di kalangan masyarakat.
2. Apakah cabaran, mehnah dan tribulasi yang dihadapi oleh as-Syahid?
Saya telah bersedia dengan masalah penahanannya samada pada intifadah pertama atau kedua, perkara ini pastilah amat sukar bagi saya pada permulaannya tetapi apa yang membuatkan saya teguh dan cekal ialah keimanan bahawa Allah s.w.t yang telah mentakdirkannya sebegitu. Sesungguhnya gerakan ini adalah tanggungjawab kita samada beliau bersama atau tidak.

Ketika percubaan membunuh beliau pada 10.6.2003, ketika itu saya sedang bekerja, saya menjadi kaku dan segala kerja saya terhenti lalu saya memohon untuk pulang ke rumah. Saya yakin adalah sukar untuk sampai ke Hospital Shifa' yang dipenuhi dengan ramai orang dan saya telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
Harus kita ketahui sesungguhnya jalan yang dilalui oleh Abu Muhammad (as-Syahid) sepanjang kehidupan jihadnya selama lebih 30 tahun adalah semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t. Hanya dengan itu akan tercapai kebahagiaan yang hakiki. Jalan ini bukanlah jalan yang dihampar dengan permaidani merah. Ia penuh dengan halangan dan pengorbanan tetapi matlamat mulia yang diimpikan menjadikan manusia itu jauh daripada rasa rendah diri dan hina dengan apa yang dibawa. Ini adalah sunnatullah dalam dakwah semenjak Saidina Adam a.s. sehinggalah ke hari ini.

3. Bagaimanakah cara Dr. Rantisi dalam mendidik anak-anak?

Dalam kemuncak kesibukannya, walaupun dikritik dan ditekan oleh pelbagai pihak termasuk media, sewaktu beliau di rumah, jika ada sesuatu yang ingin diambil dan masuk ke bilik, apabila terlihat cucunya atau menantunya ataupun salah seorang daripada anak-anaknya maka cepat-cepat beliau tersenyum dan bertanya khabar akan keadaan mereka.

Beliau amat mengambil berat walaupun perkara yang kecil kepada setiap orang yang bersamanya sepertimana telah saya jelaskan tadi bahawa beliau sangat menjaga hubungan silaturahim walaupun hanya berhubung melalui telefon. Tambahan pula beliau adalah seorang yang amat menyayangi kanak-kanak terutama cucunya yang seramai 14 orang.

Anak beliau Ahmad 21 tahun, yang terlibat dalam operasi pembunuhan tersebut amat menyerupai ayahnya samada dari segi luaran mahupun dalaman. Dia bercita-cita mengikut jejak langkah bapanya. Ahmad juga seorang pemuda yang amat menjaga kesatuan bersama rakan-rakannya serta sentiasa menekankan sifat tawadu' dan kepercayaan kepada diri sendiri.
4. Bagaimana penerimaan Dr. Rantisi tentang berita syahidnya Syeikh Ahmad Yasin?
Dr. Rantisi amat terkesan dengan kesyahidan pemimpin yang juga sahabatnya. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas ketka majlis memperingati as-Syahid Syeikh Ahmad Yasin. Saya lihat beliau menangis ketika mana disebut nama sahabat beliau itu. Beliau merasakan amat berat unutk memikul tanggungjawab meneruskan perjuangan yang amat penting dan berat ini. Akhirnya, beliau bersetuju meneruskan hadaf perjuangan beliau dan para sahabatnya.
5. Adakah Dr. Rantisi terkesan dengan operasi pembunuhan Syeikh Ahmad Yasin?
Saya teringat kata-katanya pada majlis peringatan tersebut, dia tidakmenyalahkan Sharon atas tindakan biadap tersebut tetapi sebagai seorang insan seperti Syeikh Ahmad Yasin, jika beliau tidak dibunuh beliau akan tetap mati. Sesiapa yang tidak mati dengan mata pedang, pasti akan mati juga dengan sebab lain, sebab kematian itu berbagai-bagai dan mati itu hanyalah satu.

Saya tidak akan lupa kalimah suami saya dan ia amat mempengaruhi diri saya katanya, Wahai Syeikh! Kami pasti akan menyusuli setelah pemergianmu...
6. Apakah wasiat Dr. Rantisi kepada puan sekeluarga sebelum pemergiannya?
Sepanjang kehidupan beliau iaitu berjuang dan berjihad lebih dari 30 tahun, beliau adalah seorang mujahid, penyuluh ke jalan Allah samada dari segi muamalaat, akhlak, jihad, ibadat, kemasyarakatan, politik dan perhubungan adalah merupakan satu wasiat yang paling besar buat kami... kami akan berpegang dengan didikan beliau, Insya-Allah.
7. Bagaimana penerimaan puan terhadap berita kesyahidan Dr Rantisi?
Perasaan yang sama sepertimana isteri orang lain kehilangan suami.. Walaupun saya telah kehilangan suami tetapi saya tidak kehilangan iman dan pendirian saya terhadap Allah s.w.t, maka ini adalah suatu kelebihan pemberian Allah s.w.t.

Setelah beliau keluar dari rumah, beberapa minit kemudian saya terdengar beberapa letupan (tembakan) ketika itu, saya yakin bahawa letupan itu ditujukan kepada suami saya. Beberapa ketika kemudian saya bertambah yakin apabila mendengar radio, Suara Aqsa, pada waktu itu berkumandang azan Isya' dan kemudiannya mengumumkan tembakan yang berlaku ke atas kereta beliau di mana beliau sendiri serta pengiringnya telah syahid.

Lidah saya ketika itu mengulang-ulang kalimah Alhamdulillah kemudian saya terus berwudu' dan mendirikan solat Isya'. Saya berdoa kepada Allah agar menetapkan pendirian saya dan anak-anak dan Allah s.w.t sendiri telah memberi jaminan akan memperkenankan doa hambanya apabila berdoa..
8. Adakah Dr. Rantisi sendiri merasakan bahawa dirinya telah dekat dengan syahadah?
Tidak ada apa-apa tanda ke arah itu dan persediaan beliau adalah setiap saat, masa, jam dan seluruh hidupnya adalah menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh ikutan terbaik. Setiap pekerjaan yang dilakukannya dibina atas asas taqwa kepada Allah, ikhlas serta menggunakan masa dengan sebaik-baiknya. Beliau mengamalkan Islam secara sempurna dan memberikan setiap yang berhak akan haknya?

9. Setiap para syuhada' akan ada tanda-tanda kemuliaannya. Maka apakah karamah Dr. Rantisi?
Darah as-Syahid terus mengalir keluar walaupun setelah 20 jam selepas beliau syahid, haruman kasturi menyelimuti seluruh jasad beliau. Di samping itu, kami sekeluarga merasakan bahawa Allah telah memberikan keteguhan hati dan ketabahan kepada kami selepas beliau syahid. Akhirnya, senyuman yang tergambar jelas di bibirnya bagi saya itu adalah karamah as-Syahid.
10. Bagaimana kehidupan Dr. Rantisi sebagai seorang bapa, suami, datuk dan pejuang?
As-Syahid merupakan seorang berperibadi Islam yang unggul sesuai dengan sepotong ayat yang bermaksud :

"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu."
(QS Az-Zariyat : 56).

Beliau mencontohi Rasulullah s.a.w samada dari segi akhlak, hubungan masyarakat, kekeluargaan dan perjuangannya di mana kesemua ini pada as-Syahid adalah satu ibadah, samada mentaati ibunya, pergaulan bersama isterinya, memuliakan anak-anak, gurauan bersama cucu-cucunya dan bersikap tegas terhadap kuffar serta musuh Islam. Manakala di pejabatnya beliau bersifat tawadu' dengan sesiapa yangbermuamalah dengannya.
11. Sikap atau sifat as-Syahid yang tidak akan puan lupakan?
Keseluruhan kehidupan suami saya adalah sikap yang tidak dapat dilupakan selamanya tetapi di sana ada satu situasi yang saya ingin kongsi bersama.Ketika saya sedang mengemas rumah dengan tidak sengaja televisyen yang saya angkat terjatuh dan menyebabkan ia tidak berfungsi lagi.

Saya rasa amat bersalah di atas peristiwa tersebut kerana selepas keluarnya Dr. Rantisi dari tahanan memang sukar untuk kami membeli barang-barang rumah yang baru. Tanpa saya sedari, beliau datang kepada saya dan bertanya sebab kerisauan hati saya. Apabila saya menceritakan segalanya lantas beliau berkata, tiap-tiap sesuatu ada ajalnya yang telah Allah tetapkan, apa yang dikehendakiNya maka pasti akan berlaku, kata beliau dalam keadaan tersenyum.

12. Bagaimanakah saat-saat terakhir Dr. Rantisi bersama keluarga, apakah kalimah terakhir as-Syahid dan bagaimana keadaan diri beliau pada hari syahidnya beliau?

Saat akhir hidup beliau, tidak nampak perubahan yang ketara ketika bersama kami. Beliau sentiasa memberikan setiap yang berhak itu akan haknya walaupun beliau dalam keadaan sibuk...tentang hal-hal keluarga dan perkahwinan anak kami, iaitu Ahmad yang turut terkorban bersama ayahnya, mengenai persiapan perkahwinan, tempat tinggal dan sebagainya beliau kelihatan sangat gembira. Kalimah terakhir ketika beliau bersama kami ialah.."Tuhanku, masukkan aku ke syurga mu.Inilah kemuncak impianku.."

13. Apakah cita-cita Dr. Rantisi?
Cita-cita beliau ialah dapat bertemu dengan Allah dalam keadaan syahid dan tidak ada yang lebih dari itu.
14. Bagaimana kehidupan as-Syahid ketika mana mengiringi kesyahidan Syeikh Ahmad Yasin?

Saya memang tidak akan menyangka bahawa hidup beliau boleh berubah kerana sesungguhnya beliau sememangnya tahu hadaf hidupnya dan jalan terakhir yang akan di laluinya iaitu jalan Istisyhad (mempersiap diri untuk syahid) dan Jihad.

15. Apa yang ingin puan katakan kepada muslimat Palestin yang sedang menunggu giliran syahidnya suami, bapa dan anak-anak mereka?

Saudari-saudariku yang dikasihi: Sesungguhnya peranan wanita bukan sekadar yang kamu sumbangkan sekarang sahaja, bahkan peranan kita adalah bersama para lelaki dan Rasulullah s.a.w yang mulia telah bersabda :

"Setiap kamu adalah ketua, dan setiap ketua pasti akan dipertanggungjawabk an ke atas orang bawahannya.. dan wanita itu adalah dipertanggungjawabk an di rumah suaminya dan ia akan dipersoalkan akan apa yang di bawahnya".

Sesungguhnya telah terakam contoh terbaik wahai saudari-saudariku yang dikasihi di lembaran-lembaran terdahulu, maka peranan kamu setelah syahidnya suami ataupun anakmu, ialah menyempurnakan peranan kamu dalam kehidupan mereka. Semoga Allah menetapkan pendirian dan menjaga serta menghimpunkan kamu bersama siapa yang kamu sayangi di bawah payung rahmatNya.

16. Kalimah taujihaat untuk pemerintah negara-negara Arab, pemuda-pemudi Palestin khasnya dan pemuda-pemudi Arab umumnya?

"Dan peliharalah dirimu (dari azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya."

(QS al-Baqarah : 281)

Untuk muda-mudi ingin saya katakan kepada mereka: Pulanglah kepada panduan asal kamu. Kembalilah semula kepada rasa izzah dan kemuliaan kamu. Kembalilah kepada Islam, berpegang teguhlah dengan kitab Allah dan jadikanlah ia sebagai perlembagaan hidup.Ya Allah, terimalah amal-amal mereka yang telah Syahid di jalanMu. Sesungguhnya kami juga akan menyusul mereka. Kurniakanlah kematian yang paling baik kepada kami iaitu Syahid di jalanMu.

Thursday, April 02, 2009

Sebarkan Islam

Para sahabat RAsulullah S.A.W. sejak awal lagi telah beriman dengan Allah, berpegang teguh dengan Islam. Jiwa mereka amat mencintai ajarannya (Islam). Hati mereka tepu (sepenuhnya) mempercayai dengannya. Jiwa-jiwa mereka sudah sebati dengan tuntutannya.

Justeru itu, mereka mendapati Islam sebagai sumber kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, lambang hidayah dan keagungan. Lantaran itu, mereka mewakafkan (mengorbankan) jiwa raga mereka untuk Islam, menyerah kesenangan mereka untuk da’wahnya, mereka mengorbankan seluruh milik mereka untuk menegak panji-panjinya (Islam).

Untuk kesemuanya itu, mereka telah mengerah anak-anak dan isteri-isteri, bapa-bapa, ibu-ibu, saudara-mara, kawan-kawan dan manusia-manusia lain untuk kepentingannya. [Seluruh kehidupan mereka digunakan untuk kepentingan Islam. Di sebelah siangnya mereka merupakan pahlawan di medan perang atau para pendakwah yang melaksanakan kerja-kerja dakwah & tarbiah. Manakala di sebelah malamnya mereka merupakan ahli ibadah yang bermunajat memohon keampunan serta keredhaan Allah, berzikir, membaca Quran dan mengerjakan solat malam. Di samping itu mereka berusaha sendiri mencari rezeki dengan berniaga, berternak atau bertani. Pendek kata seluruh kehidupan mereka adalah dalam rangka mengabdikan diri kepada Allah]

Mereka berpegang dengan firman Allah yang menjadi slogan dan pendorong sepertimana dalam Surah Fussilat: ayat 33 yang bermaksud:
“Dan tiada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengEsakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)”

Rasulullah S.A.W bersabda: “Lantaran (atas usaha) engkau, Allah hidayahkan seorang lelaki adalah lebih baik bagi kamu dari seluruh apa yang diterangi cahaya matahari ini.”

Dan sabda Rasulullah S.A.W. lagi: “Semoga Allah membahagiakan seseorang yang telah mendengar sesuatu dari kami, lantas beliau menyampaikannya kepada orang lain seperti mana yang beliau dengar itu.”

[Petikan dari buku Suri Teladan Kehidupan Para Sahabat (Radiyallahu ‘Anhum), Dr ‘Ali Shurbaji, terjemahan Ustadh Mohd Darus Senawi ‘Ali, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2009, p 113-114.]

Nasihat Abu Darda’ – Kepentingan Ilmu

Ibnu ‘Abd Al Bar menerbitkan suatu perkhabaran di dalam kitab Jami’nya dari periwayatan Humaid dari Al Hasan, bahawa Abu Al Darda’ R.A. telah berkata: “Jadilah seorang alim atau pelajar atau mencintai ilmu atau pengikut seorang alim dan jangan pula jadi orang yang kelima kelak kau akan binasa.”
Kemudian aku bertanya kepada al Hasan: “Siapakah yang kelima itu?”
Jawab Al Hasan: “Beliau itu adalah pembuat bid’ah.”

Abu Nu’aim pula mengeluarkan perkhabaran di dalam kitabnya Al Hilyah dari periwayatan Ad Dhahhak yang berkata: Abu Darda’ telah berkata: Wahai penduduk Damsyik! Kamu adalah saudara seagama. Kamu adalah jiran tetangga, pembantu menentang musuh, lantaran apakah yang menyekat kamu untuk berkasih sayang denganku? Namun makananku bukan kamu menanggung bebannya. Kenapa ku dapati alim ulama kamu berlalu saja (tidak berperanan sebagai ulama serta tidak melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiah), sedang orang-orang jahil kamu pula tidak mahu belajar? Kenapa aku melihat kamu ini berlumba-lumba pada perkara yang sudahpun dijamin pemberiannya kepada kamu (menghabiskan sebahagian besar hidup dengan mencari nafkah dan kesenangan dunia), tetapi kamu meninggalkan apa yang diperintahkan kepada kamu.

Apakah halnya ini? Ramai dari kamu yang bersungguh-sungguh mengumpul harta kekayaan, berangan-angan panjang, hingga kediaman mereka menjadi kubur-kubur persemadian. Angan-angan mereka memperdayakan mereka, harta longgokan mereka menjadi hancur lebur. Tidakkah sebaik-baiknya kamu belajar kemudiannya mengajar kerana yang mengajar dan belajar sama-sama mendapat ganjaran yang sama. Sebenarnya tidak ada kebaikan selain dari dua jenis manusia ini.”

[Petikan dari buku Suri Teladan Kehidupan Para Sahabat (Radiyallahu ‘Anhum), Dr ‘Ali Shurbaji, terjemahan Ustadh Mohd Darus Senawi ‘Ali, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2009, p 88-89.]

Nasihat Mu’adz Bin Jabal – Kepentingan Ilmu

Abu Nu’aim mengeluarkan perkhabaran di dalam kitabnya Al-Hilyah dari Mu’adz Bin Jabal R.A. telah berkata: “Belajarlah ilmu kerana natijahnya membawa kita takutkan Allah. Manakala menuntut ilmu itu pula sebagai ibadah, mengulangkajinya adalah sebagai tasbih. Berusaha mencarinya adalah sebagai jihad. Mempelajarinya bagi orang yang belum mengetahuinya adalah sebagai sadaqah. Perbelanjaan untuk menuntutnya adalah sebagai bertaqarrub dan mendekatkan diri kepada Allah kerana ilmu itu adalah batu-batu tanda kepada halal dan haram. Ianya sebagai menara rumah api menyuluh jalan kepada penghuni-penghuni syurga. Ilmu adalah teman diketika kesunyian, kawan diperantauan, pembicara di masa kesepian, petunjuk di waktu kesusahan dan kesenangan. Ianya senjata menentang musuh, hiasan di hadapan kawan.

Dengan ilmu Allah mengangkat darjat sesuatu kaum menjadikan mereka sebagai penganjur dan pimpinan di masa kesejahteraan, teladan peninggalan mereka dipungut, amalan tindakan mereka diteladani, pendapat mereka adalah kata putus.

Setiap yang kering dan basah hinggakan ikan-ikan dilautan memohon keampunan untuk mereka yang belajar. Berbahagialah golongan yang menerimanya dan celakalah golongan yang menolaknya.”

[Petikan dari buku Suri Teladan Kehidupan Para Sahabat (Radiyallahu ‘Anhum), Dr ‘Ali Shurbaji, terjemahan Ustadh Mohd Darus Senawi ‘Ali, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2009, p 86-87.]