Sunday, October 11, 2009

AL QURAN MENDIDIK UMMAH (Siri 3)

AT-TASYRI’ AL KAMIL

At-Tasyri' al-Kamil membawa maksud suatu perundangan yang telah sempurna disyariatkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasih dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada Ku. Pada hari ini (hari 'Arafah, 10 Hijrah) Aku (Allah) telah sem­purnakan bagi kamu Din kamu dan Aku sempurnakan ni'mat-Ku ke atas dan Aku redha Islam sebagai Din kamu."
( Surah al-Maidah: ayat 3)

Al-Quran telah diturunkan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam secara beransur-ansur melalui dua tahap, iaitu Tahap Mekah dan Tahap Madinah. Kewujudan tahap-tahap itu menunjukkan adanya pemeringkatan syari­'at mulai awal kerasulan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam hingga saat hampir kewafa­tan baginda.

Syari'at Islam kini telah lengkap dan sempurna. Oleh itu dalam konteks pembangunan semula Ummah Islamiyyah kini, syari'at itu tidak boleh dibataskan berasaskan Tahap Mekah dan Tahap Madinah. Hukum-hukum dan undang-undang Islam sudah lengkap dan sempurna dengan tamatnya wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

PERLAKSANAAN SYARIAT DALAM JAMAAH KINI

Bagaimanakah syari'at Islam yang lengkap hendak dilaksanakan oleh jama'ah Islam dalam suasana atau realiti kini ? Iaitu realiti yang tidak membolehkan jama'ah melaksanakan semua tuntutan syari­'at Islam.

Dalam hal ini, perlaksanaannya adalah terhenti kepada suasana kelemahan (ad-Da'if) dan suasana kekuatan (al-Quwwah) jama'ah atau Ummah Islamiyyah yang dibentuk. Suasana kelemahan umat Islam yang tidak melaksanakan semua tuntutan syari'at mengharuskan jama'ah Islam mengambil Rukhsah dalam ertikata melaksanakan tuntutan syari'at sekadar kemampuan yang dimiliki oleh jama'ah. Namun penentuan mampu atau tidak mampu itu adalah di bawah tang­gungjawab barisan kepimpinan (as-Saf al-Qiyadi) yang mengendali­kan jama'ah Islam.

Bagaimanapun jama'ah Islam tidak boleh berpuas hati dengan men­gambil rukhsah selama-lamanya. Bahkan sewajibnya kemampuan jama­'ah Islam itu dipertingkatkan kerana matlamat besarnya ialah untuk menegakkan Khilafah Islamiyyah. Khilafah dalam pengertian mengurus semua urusan dan memimpin semua makhluk berpandukan syari'at Islam serta melaksanakan semua tuntutan syara' demi keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.

JAMAAH ADALAH ‘ JALAN ‘

Jama'ah adalah `jalan' yang mesti dilalui untuk menegakkan Khila­fah Islamiyyah. Oleh itu pembentukannya adalah wajib. Tahap kekuatan (al-Quwwah) jama'ah Islam perlu ditingkatkan sehingga ia boleh mengambil 'azimah, bukan rukhsah. Yakni 'azimah dalam melaksanakan semua hukum yang dituntut oleh syari'at Islam, kecuali dalam keadaan dharurah yang datang kemudian.

Khilafah merupakan natijah (hasil) daripada pembentukan jama'ah atau ummah yang berasaskan didikan iman. Inilah sunnah Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:

"Allah menjadikan bagi orang-orang yang beriman antara kamu serta melaksanakan amalan-amalan yang saleh bahawa mereka akan menjadi khalifah di muka bumi sebagai mana orang-orang terdahulu telah menjadi khalifah. Juga Allah telah menetapkan Din mereka yang Allah telah redha bagi mereka dan Allah akan tukarkan suasana ketakutan dengan keamanan; mereka memperhambakan diri kepada Aku (Allah) tanpa syirik sedikitpun dengan Aku. Barang siapa yang kufur selepas itu maka mereka itu sebenarnya orang-orang yang fasiq ."
(Surah an-Nur: ayat 55)

No comments:

Post a Comment