Thursday, December 02, 2010

Bagaimana Menghilangkan Kegelisahan atau stress?

Kadangkala jiwa kita tidak tenteram. Rasa gelisah atau tidak dapat mengawal emosi. Apabila tekanan dalaman tidak dapat dikawal timbullah tindakan melampau seperti amuk atau stress..Bagaimana Islam menangani isu stress ini? Marilah kita melihat kisah sahabat Nabi bernama Abdullah Bin Mas’ud menasihati seorang lelaki yang menghadapi stress..

Pada suatu masa, seorang lelaki berjumpa dengan Abdullah Bin Mas’ud dan berkata: “Wahai Ibn Mas’ud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku. Buat masa ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut, tidurku tidak nyenyak dan seleraku hilang.”

Abdullah bin Mas’ud menjawab, “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat. Pertama, ke tempat orang membaca Quran tidak kira sama ada kamu ikut membacanya ataupun kamu sekadar mendengar bacaan orang lain. Kedua, kamu menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah dan ketiga, kamu mencari satu waktu yang sunyi, contohnya pada waktu malam, dan pada masa itu kamu bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepadaNya supaya diberikan ketenangan dan kedamaian hati kepadamu.”

“Jika selepas melakukan kesemua ini jiwamu masih juga tidak tenteram, mintalah kepada Allah agar digantikan hatimu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukannya hatimu.”

Lelaki itu pun kembali ke rumahnya dan terus mengambil wuduk dan membaca Quran dengan penuh khusyuk seperti dinasihatkan oleh Abdullah Bin Mas’ud. Selesai membaca Quran, didapati jiwanya berubah menjadi tenang. Fikirannya menjadi jernih dan kegelisahan yang selama ini melanda hatinya hilang sama sekali.

Justeru, apabila kita berdepan dengan masalah dan tekanan, ambillah pendekatan Islam seperti yang disarankan oleh Abdullah Bin Mas’ud. Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 153 yang bermaksud:
“Wahai mereka yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Allah bersama-sama dengan orang yang sabar.”

Rujukan:

Dr Danial Zainal Abidin, 7 Formula Individu Cemerlang, PTS Millennia Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2008

Thursday, November 25, 2010

Keperluan kepada cahaya petunjuk Allah

Keperluan kita kepada cahaya petunjuk Allah lebih utama dari keperluan kita kepada makanan dan minuman. Jika kita meninggalkan makanan dan minuman maka akan matilah badan. Sedangkan, kalau kita jauh dari cahaya keimanan ini matilah hati dan ruh-ruh kita.

Firman Allah dalam Surah al An’am ayat 122:

أَوَمَن كَانَ مَيۡتً۬ا فَأَحۡيَيۡنَـٰهُ وَجَعَلۡنَا لَهُ ۥ نُورً۬ا يَمۡشِى بِهِۦ فِى ٱلنَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُ ۥ فِى ٱلظُّلُمَـٰتِ لَيۡسَ بِخَارِجٍ۬ مِّنۡہَا‌ۚ كَذَٲلِكَ زُيِّنَ لِلۡكَـٰفِرِينَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ (١٢٢)

“Dan apakah orang yang sudah mati, kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berasal dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat dapat keluar daripadanya.” (Surah al An’am ayat 122).

Sayyid Qutb berkata dalam mentafsir ayat ini:

“Sesungguhnya aqidah ini menghidupkan hati setelah matinya, dan memberikan cahaya setelah kegelapan, kehidupan yang memberikan dengannya perasaan terhadap sesuatu, pandangan segala sesuatu dan penentuan segala sesuatu dengan perasaan yang lain yang belum pernah terjadi sebelum kehidupan ini, dan cahaya yang kelihatan segala sesuatu yang ada di bawah sinarnya.”

Apabila cahaya keimanan bersinar di dalam hati maka ia akan memberi kekuatan dan dorongan kepada pemilik hati itu untuk mengajak orang lain kepada cahaya Islam dan memberi petunjuk kepada manusia yang sesat. Ia akan memberi ketenangan kepada manusia lain yang didampinginya. Seterusnya ia akan membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan semata-mata kepada Allah,

Sesungguhnya kekufuran adalah terputus dari hakikat kehidupan yang abadi. Kekufuran itu memutuskan hubungan manusia dengan Allah. Kekufuran adalah penghalang dan penutup jiwa dari merasai ketenangan. Kekufuran menyebabkan manusia itu terkeluar dari fitrahnya sebagai manusia. Ia menjadikan jiwa sentiasa cemas dan tidak tenteram.

Firman Allah dalam Surah An Nur ayat 40:

أَوۡ كَظُلُمَـٰتٍ۬ فِى بَحۡرٍ۬ لُّجِّىٍّ۬ يَغۡشَٮٰهُ مَوۡجٌ۬ مِّن فَوۡقِهِۦ مَوۡجٌ۬ مِّن فَوۡقِهِۦ سَحَابٌ۬‌ۚ ظُلُمَـٰتُۢ بَعۡضُہَا فَوۡقَ بَعۡضٍ إِذَآ أَخۡرَجَ يَدَهُ ۥ لَمۡ يَكَدۡ يَرَٮٰهَا‌ۗ وَمَن لَّمۡ يَجۡعَلِ ٱللَّهُ لَهُ ۥ نُورً۬ا فَمَا لَهُ ۥ مِن نُّورٍ

“Dan barangsiapa yang tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah, tiadalah ia mempunyai cahaya sedikitpun.” (Surah An Nur ayat 40)

Oleh itu manusia memerlukan dua perkara:

i. memerlukan kepada apa-apa yang menghidupkan hatinya.

ii. Memerlukan apa-apa yang menerangi jalannya.


Oleh kerana itu salah satu jalan untuk menghidupkan hati ialah dengan mendekati Al Quran. Membaca, memahami dan melaksanakan segala perintah suruhan dan meninggal apa sahaja larangan yang terdapat di dalam ayat-ayat Quran.

Menurut Ibnul Qayyim seseorang itu dianggap cuai terhadap Al Quran apabila:

i. cuai dalam mendengar, mengimaninya dan memperhatikannya.

ii. Cuai dalam mengamalkannya seperti tidak sensitif terhadap soal halal dan haram dalam menjalani kehidupan seharian.

iii. Cuai dalam melaksanakan hukum berlandaskan al Quran.

iv. Cuai untuk bertadabbur, memahami dan meneliti setiap tuntutan dan maksud ayat-ayat Quran.

v. Cuai dalam mengamalkan al Quran untuk digunakan sebagai penyembuh segala penyakit hati. Ini termasuk dalam firman Allah yang bermaksud:

وَقَالَ ٱلرَّسُولُ يَـٰرَبِّ إِنَّ قَوۡمِى ٱتَّخَذُواْ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ مَهۡجُورً۬ا

“Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan al Quran ini suatu yang tidak dihiraukan (diacuhkan)”. (Surah Al Furqan ayat 30)

Firman Allah dalam Surah Al Fathir ayat 29 – 30:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَتۡلُونَ كِتَـٰبَ ٱللَّهِ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُواْ مِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ سِرًّ۬ا وَعَلَانِيَةً۬ يَرۡجُونَ تِجَـٰرَةً۬ لَّن تَبُورَ (٢٩) لِيُوَفِّيَهُمۡ أُجُورَهُمۡ وَيَزِيدَهُم مِّن فَضۡلِهِۚۦۤ إِنَّهُ ۥ غَفُورٌ۬ شَڪُورٌ۬ (٣٠)

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharap perniagaan yang tidak akan rugi. Agar Allah menyempurnakan kepada mereka dan menambah kepada mereka kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.” (Surah Al Fathir ayat 29 – 30)

Sabdd Rasulullah:

“Sesungguhnya orang-orang yang tidak ada di dalam hatinya sesuatu dari Al Quran bagaikan rumah yang rosak.” (HR Tirmizi – Hadis hasan dan sahih)

Rujukan:

Abdul Barro’ Saad Bin Muhammad At Thakhisi, Penyucian Jiwa (Tazkiyatun Nafs) terjemahan Bintu Sarnap, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003.

Wednesday, November 24, 2010

Berinteraksi Secara Positif Dengan Anak-Anak

Ibu bapa yang bersedia mendengar perkataan atau pandangan anaknya bererti menghargai dan mendengar buah fikiran mereka. Anak-anak akan merasa diberi perhatian dan penghargaan. Ia akan belajar menghormati dan menghargai buah fikiran atau pendapat bapanya dan akan taat kepadanya. Selain itu anak-anak akan percaya kepada diri sendiri. Perasaan ini akan membuatkan anak-anak memiliki kemampuan yang lebih banyak dan lebih luas dalam berinteraksi dengan suasana atau peristiwa yang berlaku disekitarnya.

Perkara penting yang perlu dilakukan oleh ibu bapa ialah:
i. Hendaklah mendengar apa yang dikemukakan oleh anak-anak.
ii. Hendaklah menjauhi daripada mengkritik atau kata-kata keras yang melukai perasaan anak dan yang mematikan kreativitinya.

Ibu bapa dituntut agar menjauhi kata-kata dan ungkapan yang dapat menimbulkan pertengkaran dan permusuhan. Iaitu seruan dengan menggunakan kata-kata yang menyingggung perasaan anak-anak, hingga hal itu dipendamkan dalam hati dan sangat sulit untuk dilupakan bagitu sahaja.

Kadangkala ibu bapa menggunakan ancaman, ugutan dan peringatan tanpa menimbang risiko dan pengaruh dari sikapnya terhadap jiwa dan diri anak-anaknya. Ia tidak segan mengatakan: "Jika kamu tidak berhenti .... maka aku tidak akan memberi wang belanja."

Seringkali juga ibu bapa menuduh anak-anak tanpa ada alasan yang kuat seperti: "Kamulah punca segala masalah yang timbul selama ini... Aku tahu perangaimu.."

Adakalanya ibu atau bapa menjerit kepada anak-anaknya: "Diam! Dengar kata-kataku.."

Adegan-adegan di atas tidak lain merupakan penghinaan, makian dan peringatan. Ancaman, jeritan atau kata-kata yang keras akan menanam sesuatu yang amat pahit ke dalam fikiran anak-anak. Meninggalkan satu sifat yang negatif bagi kehidupan masa depan mereka.

Seharusnya ibu bapa berbincang, mendengar idea-idea dan perkataan anak-anaknya. Untuk mendidik anak-anak agar tidak mengeluarkan kata-kata yang negatif atau menyakitkan hati terhadap ibu bapa maka ibu bapa perlu elakkan daripada menggunakan perkataan atau nada menyerang dan mengkritik, menyakitkan hati dan menyinggung perasaan anak-anak.

Suasana kasih sayang dalam sesebuah keluarga dapat menarik anak-anak untuk lebih dekat, akrab dan nyaman berada di sisi ibu bapa. Keadaan ini akan menambah kecenderungan mereka untuk berfikir dan bertindak secara tenang.

Seseorang ibu atau bapa dalam memberi arahan dan saranan kepada anak-anak perlu menanam rasa tanggungjawab pada peribadi anak-anak mereka. Biarlah apa yang dilaksanakan oleh anak-anak lahir daripada perasaan yang bertanggungjawab dan tidak merasakan seperti dipaksa. Oleh itu perlu dikemukakan rasional atau alasan mengapa sesuatu perkara itu perlu dilakukan atau ditinggalkan.

Apabila perasaan bertanggungjawab itu lahir maka akan hilanglah sifat negatif pada diri anak-anak seperti sikap acuh tidak acuh, "ini bukan urusanku", lari dari tanggungjawab dan sebagainya.

Anak-anak sebenarnya suka jika ibu bapa menanam rasa tanggungjawab dan batasan yang jelas mengenai kewajipan di dalam hati mereka. Anak-anak perlu didik dan dilatih dari kecil sehingga ia menjadi satu kebiasaan yang baik.

Anak-anak lebih terpengaruh dengan tindakan atau contoh teladan yang ditunjukkan oleh ibu bapa. Oleh itu sekiranya ibu bapa inginkan anak-anak bersikap dengan sikap yang baik maka ia perlu terlebih dahulu menunjukkan sikap yang baik terhadap anak-anaknya.

Rujukan:

A. Mohd Azwar, Petua Membentuk Anak Pintar dan Kreatif, Jasmin Enterprise, Kuala Lumpur, 2000.

Tuesday, November 23, 2010

Kelebihan Qiyamullail

Wahai saudaraku,

Hampirkanlah diri saudara kepada Allah dengan berbagai-bagai solat sunat dan yang paling afdhal ialah qiamullail bertahajjud di tengah-tengah malam tatkala manusia tidur nyenyak, seperti yang ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W. yang sabdanya yang bermaksud:
"Semulia-mulia solat setelah solat fardhu ialah solat tahajjud di tengah malam." (HR Muslim)

Perkara yang boleh menolong saudara solat tahajjud ialah niat ikhlas, menghadirkan keazaman, memperbaharui taubat, menjauhi maksiat di siang hari, tidur cepat dan tidur sekejap selepas solat zohor (sekiranya mungkin) dan memohonlah pertolongan dari Allah.

Penting bagi setiap muslim supaya sentiasa bangun malam bertahajjud untuk mengambil bekalan yang istimewa dari solat tahajjud. Rasulullah bersabda kepada Abdullah Ibn Amru Ibnul 'Aas r.a. yang bermaksud:
"Hai Abdullah! Janganlah jadi seperti si pulan atau yang tadinya bersolat tahajjud kemudian dia meninggalkannya (amalan yang tidak berterusan)." - Muttafaq alaihi.

Aisyah r.a. berkata yang bermaksud:
"Adalah solat Rasulullah di waktu malam sepuluh rakaat dan witir satu rakaat dan kemudian dia solat dua rakaat sebelum solat Subuh. Jadi tiga belas rakaat (semuanya)".

Sesungguhnya keseronokan, kelazatan dan kebahagiaan yang sejati yang tidak dapat digambarkan yang terdapat di dalam qiamullail dan munajat dengan Allah itu telah menghilangkan segala penat tubuh badan dan keletihan kerana berdiri dengan tapak kaki bertahajjud.

Rasulullah bangun bertahajjud dan berdiri begitu lama sehingga bengkak-bengkak kakinya tetapi sedikitpun baginda tidak merasa susah dan penat kerana baginda telah karam dalam lautan cinta kepada Allah dan merasa seronok serta enak menghampiri Allah dan berbisik-bisik dengan Allah.

Para solehin pernah berkata yang bermaksud:
"Tidak ada nikmat di dunia yang menyerupai nikmat syurga kecuali nikmat yang ada di dalam qiamullail, bertahajjud di tengah-tengah malam yang hanya dirasai oleh orang-orang bertahajjud. Marilah kita bersungguh-sungguh bertahajjud supaya kita juga merasai nikmat dan bahagia yang sedemikian."

Rujukan:

Mustafa Masyhur, Bekalan Di Dalam Perjalanan Dakwah (Zadun 'Ala At Tariq) , terjemahan Hj Mohd Tahir Daeng Mengati, Pustaka Salam, Kuala Lumpur, 1985.

Saturday, November 06, 2010

Peribadi Khalifah Umar Abdul Aziz

Suatu hari Khalifah Umar Abdul Aziz berpidato di hadapan kaum muslimin. Sebagaimana biasa, pidato beliau sangant menarik dan memikat para pendengar. Akan tetapi pada kali ini, selain daripada kandungan pidatonya, gerak-gerik Khalifah pun turut menjadi perhatian. Khalifah sering memegang dan mengibas-ngibaskan bajunya ketika berpidato, sesekali di sebelah kanan dan sesekali di sebelah kiri. Dengan demikian orang ramai menyadari bahawa gerakan tangan Khalifah tidak ada hubungannya dengan kandungan pidato.


Setelah Khalifah turun daripada tempat berpidato, mereka saling bertanya dan akhirnya diketahui rahasianya. Dikatakan bahwa baju yang dipakai Khalifah baru saja dibasuh dan belum kering. Karena tidak ada baju lagi, maka baju itu dipakainya juga. karena itu beliau selalu mengerak-gerakkan bajunya ketika berpidato agar cepat kering.




Ketika Khalifah Umar sakit, pakaian yang dipakainya telah kotor. Muslimah Abdul Aziz kakak Fatimah Abul Malik datang menemui adiknya dan melihat Khalifah yang sedang sakit. “Fatimah, basuhlah pakaian Khalifah itu. Sebentar lagi orang ramai akan masuk menemuinya”, tegur Muslimah. “Demi Allah, beliau tidak punya pakaian lagi kecuali yang dipakai itu”, jawab Fatimah.


Seorang perempuan Mesir telah datang ke Damsyik kerana ingin bertemu dengan Amirul Mukminin Khalifah Umar Abdul Aziz. Dia bertanya-tanya di mana istana Khalifah dan orang ramai menunjukkannya. Sampai saja di rumah yang dimaksudkan, perempuan Mesir itu bertemu dengan seorang perempuan yang memakai pakaian yang sudah lusuh dan buruk dan seorang lelaki sedang bergelimang dengan tanah kerana memperbaiki rumahnya.



Perempuan itu bertanya lagi dan ketika mengetahui bahawa perempuan yang ditanya adalah Fatimah isteri Khalifah, dia terkejut luar biasa. Kerena mana ada seorang permaisuri raja yang berkuasa memakai baju buruk seperti itu. Dia merasa takut dan kagum. Akan tetapi Fatimah pandai melayani, sehingga tamu itu merasa suka dan tenang hatinya.


“Mengapa puan tidak menutup diri daripada lelaki tukang keruk pasir itu?” tanya perempuan Mesir itu. “Tukang keruk pasir itulah Amirul Mukminin” jawab Fatimah sambil tersenyum. Sekali lagi tamu itu terkejut dan beristighfar.



Khalifah Umar tidak mempunyai pelayan kecuali seorang anak lelaki. Dialah satu-satunya khadam dalam istana Umar. Fatimah memberinya makan kacang setiap hari sehingga si pelayan menjadi bosan. “Kacang..kacang…setiap hari kacang,” kata si pelayan merungut. “Inilah makanan tuanmu Amirul Mukminin, wahai anakanda,” kata Fatimah.

Pengajaran:

i. Khalifah sebuah negara Islam berkhidmat kepada rakyat dalam rangka melaksanakan amanah Allah untuk mendapatkan keredhaan-Nya.

ii. Kedudukan sebagai pemimpin sebuah negara tidak digunakan untuk mencari kekayaan atau kesenangan duniawi


iii. Janji-janji Allah sangat diyakini di mana mereka lebih mengharapkan ganjaran syurga yang kekal abadi berbanding keseronokan dunia sementara.

iv. Untuk melahirkan pemimpin seperti Khalifah Umar Abdul Aziz memerlukan didikan (tarbiah) yang berterusan sehingga memiliki kefahaman Islam yang jelas, akidah yang mantap, keikhlasan bekerja, sanggup berjihad dan berkorban di jalan Allah.

Sumber:

http://sunatullah.com/rahasia-kisah/khalifah-umar-abdul-aziz-yang-sederhana.html

Khalifah Umar bin Abdul Aziz

Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah seorang khalifah yang paling zuhud, wara’ dan soleh setelah 4 Khulafaur Rasyidin. Beliau memerintah negara Islam selama 2 tahun 5 bulan saja dan wafat pada umur 39 tahun sebab diracun oleh pembesar-pembesar Bani Umaiyyah.

Suatu hari Khalifah Umar bin Abdul Aziz sangat ingin memakan buah epal, tetapi tidak mempunyai wang untuk membelinya, kerana semua hartanya dan harta keluarga telah beliau berikan kepada Baitulmal ketika menjadi khalifah. Lalu ada seseorang dari kaum keluarganya menghadiahkan buah epal dan dihidangkan kepada Khalifah Umar oleh Amru bin Muhajir.


Tiba-tiba beliau berkata: “Alangkah wangi dan bagusnya epal ini. Wahai anak muda, angkat epal ini dan pulangkan kepada orang yang membawanya. Sampaikan salam kepadanya, sesungguhnya hadiahnya telah sampai kepadaku ketika aku sudah tiada selera untuk makan epal.”


Amru bin Muhajir tahu bahwa Khalifah bertindak demikian kerana wara’nya. “Wahai Amirul Mukminin! Dia adalah sepupumu dan masih ahli keluargamu, sedang engkau telah mendengar bahwa Rasulullah saw mau menerima hadiah,” kata Amru.

“Celaka engkau, sesungguhnya hadiah bagi Rasulullah saw memang hadiah. Akan tetapi hadiah pada hari ini bagi kami adalah merupakan rasuah,” kata Khalifah Umar.

Diceritakan bahwa suatu ketika Khalifah Umar bin Abdul Aziz sedang berada di pejabat untuk kerja resmi kerajaan. Keadaan ruangan sangat gelap hingga terpaksa memasang lampu pelita. Seseorang datang dan masuk pejabat Khalifah setelah diizinkan. Tiba-tiba Umar memadamkan api pelita itu, maka beliau bercakap dengan tamunya dalam keadaan gelap, membuat orang lain kehairanan.

“Mengapa Amirul Mukminin melayani tamu dalam keadaan gelap?” tanya seorang pegawai Khalifah.

“Yang datang tadi itu adalah keluargaku. Dia datang kepadaku kerana ada urusan peribadi, sedangkan lampu pelita adalah milik negara. Oleh sebab itu, ketika aku berbicara masalah pribadi, aku padamkan lampu tersebut kerana tidak mahu terpakai milik negara.” kata Umar bin Abdul Aziz.


Lihatlah betapa amanahnya seorang pemimpin Islam pada waktu itu. Beliau tidak menggunakan kedudukannya sebagai Khalifah untuk kepentingan sendiri atau kaum keluarga dan sahabat malah apa yang beliau ada disedekahkan ke Baitulmal.

Pengajaran:

i. Pemimpin yang baik dan adil tidak disukai oleh mereka yang mencari peluang untuk mendapat habuan melalui jalan yang tidak syarak seperti rasuah, pecah amanah dan sebagainya.

ii. Sifat taqwa Khalifah Umar menyebabkan baginda sangat berhati-hati agar tidak melakukan sesuatu yang syubhah. Apatah lagi perkara yang jelas haram, sudah pasti dielakkan.

iii. Sifat amanah Khalifah Umar tidak mengira samada kepada rakyat biasa atau kaum keluarga sendiri.

Sumber:

http://mypersonalpages.wordpress.com/2008/06/23/kisah-teladan-dari-khalifa-umar-bin-abdul-aziz/

Peribadi Seorang Panglima

Sultan Salahuddin Al-Ayyubi terbilang sebagai pahlawan dan panglima Islam yang besar. Pada beliau terkumpul sifat-sifat berani, warak , zuhud, khusyu , pemurah, pemaaf, tegas dan lain-lain sifat terpuji. Para ulama dan penulis sejarah telah memberikan kepujian yang melangit. Sifat pemurah dan pemaafnya diakui oleh lawan mahupun kawan.

Penulis sejarah mengatakan: Hari kematiannya merupakan kehilangan besar bagi agama Islam dan kaum Muslimin, kerana mereka tidak pernah menderita semenjak kehilangan keempat-empat Khalifah yang pertama (Khulafaurrasyidin). Istana, kerajaan dan dunia diliputi oleh wajah-wajah yang tertunduk, seluruh kota terbenam dalam dukacita, dan rakyat mengikuti keranda jenazahnya dengan tangisan dan ratapan.

Sultan Salahuddin adalah seorang pahlawan yang menghabiskan waktunya dengan bekerja keras siang dan malam untuk Islam. Hidup nya sangat sederhana. Minumnya hanya air kosong, makanannya sederhana, pakaiannya dari jenis yang kasar. Beliau sentiasa menjaga waktu-waktu solat dan mengerjakannya secara berjamaah. Dikatakan bahawa beliau sepanjang hayatnya tidak pernah terlepas dari mengerjakan solat jamaah, bahkan ketika sakit yang membawa pada ajalnya, beliau masih tetap mengerjakan solat berjamaah. Sebaik saja imam masuk berdiri di tempatnya, beliau sudah siap di dalam saf.

Beliau suka mendengarkan bacaan Al-Quran, Hadis dan ilmu pengetahuan. Dalam bidang Hadis, beliau memang mendengarkannya secara teratur, sehingga beliau boleh mengenal jenis-jenis hadis. Hatinya sangat lembut dan pemurah, sering menangis apabila mendengarkan hadis. Di dalam buku The Historians History of the World disebutkan sifat-sifat Salahuddin sebagai berikut:

Keberanian dan keberhasilan Sultan Salahuddin itu terjelma seluruhnya pada perkembangan keperibadian yang luar biasa. Sama sepert i halnya dengan Emir Imamuddin Zanki dan Emir Nuruddin Zanki, beliau juga merupakan seorang Muslim yang taat . Sudah menjadi kebiasaan bagi Sultan Salahuddin membacakan Kitab Suci Al-Quran kepada pasukannya menjelang pertempuran berlangsung. Beliau juga sangat disiplin mengqada set iap puasanya yang tert inggal dan t idak pernah lalai mengerjakan solat lima waktu sampai pada akhir hayatnya. Minumannya t idak lain dari air kosong saja, memakai pakaian yang terbuat dari bulu yang kasar, dan mengizinkan dirinya untuk dipanggil ke depan pengadilan. Beliau mengajar sendiri anak-anaknya mengenai agama Islam.......

Seluruh kaum Muslimin yang menyaksikan kewafatannya menitiskan air mata apabila Sultan yang mengepalai negara yang terbentang luas dari Asia hingga ke Afrika itu hanya meninggalkan warisan 1 dinar dan 36 dirham. Tidak meninggalkan emas, tidak punya tanah atau kebun. Padahal berkhidmat pada kerajaan berpuluh tahun dan memegang jawatan sebagai panglima perang dan Menteri Besar sebelum menubuhkan Emirat Ayyubiyah. Kain yang dibuat kafannya adalah betul-betul dari warisan beliau yang jelas-jelas halal dan sangat sederhana.

Anak beliau yang bernama Fadhal telah masuk ke liang lahad meletakkan jenazah ayahnya. Dikatakan bahawa beliau dikebumikan bersama-sama pedangnya yang dipergunakan dalam setiap peperangan agar dapat menjadi saksi dan dijadikannya tongkat kelak pada hari kiamat.

Kini Baitul Maqdis sedang berada di dalam kekuasaan Zionis Yahudi dengan negaranya Israel yang dipaksakan. Jika sekiranya ada kepala negara yang bersifat seperti Sultan Salahuddin di Timur Tengah sana, Insya Allah Baitul Maqdis dapat direbut semula oleh kaum Muslimin.

Pengajaran:

i. Pemimpin yang berjaya di dunia dan akhirat memiliki sifat berani, warak , zuhud, khusyuk , pemurah, pemaaf, tegas dan lain-lain sifat terpuji.

ii. Sifat yang terpuji merupakan natijah atau hasil proses didikan (tarbiah) yang panjang dan berterusan bermula sejak kanak-kanak lagi.

iii. Mereka sangat memelihara ibadah solat, membaca Al-Quran, mempelajari hadis dan ilmu pengetahuan.

iv. Mereka menjadikan kehidupan dunia untuk mendapatkan bekalan menuju akhirat yang kekal abadi. Mereka adalah orang yang paling bijak kerana paling banyak mengingati mati dan paling banyak membuat persiapan menghadapinya.

v. Untuk mendapatkan kejayaan sepertimana pahlawan Islam zaman dahulu memerlukan kita memiliki sifat-sifat yang ada pada mereka. Ini adalah kerana musuh yang mereka hadapi juga memiliki sifat yang sama sepertimana manusia yang ada sekarang.

Dipetik Dari Buku :

Kisah 85 Kekasih Allah (Kisah Pejuang Islam) Jilid 3, Darul Nu'man. Oleh : Hj Ahmad Muhd Abd Ghaffar

Penyembelihan Umat Islam di Baitul Maqdis

Pada tahun 1099 muncullah pasukan Salib yang dipimpin oleh anak-anak Raja Godfrey dari Lorraine Perancis, Bohemund dari Normandy dan Raymond dari Toulouse.
Mereka berkumpul di Konstantinopel dengan kekuatan 150,000 askar, kemudian menyeberang selat Bosfur dan melanggar wliayah Islam bagaikan air bah. Pasukan kaum Muslimin yang hanya berkekuatan 50,000 orang bertahan mati-matian di bawah pimpinan Sultan Kalij Arselan. Satu persatu kota dan Benteng kaum Muslimin jatuh ke tangan kaum Salib, memaksa Kalij Arselan berundur dari satu benteng ke benteng yang lain sambil menyusun kekuatan dan taktik baru.

Bala bantuan kaum Salib datang mencurah-curah dari negara-negara Eropah. Sedangkan Kalij Arselan tidak dapat mengharapkan bantuan dari wilayah-wilayah Islam yang lain, kerana mereka sibuk dengan kemelut dalaman masing-masing.

Setelah berlaku pertempuran sekian lama, akhirnya kaum Salib dapat mara dan mengepung Baitul Maqdis, tapi penduduk kota Suci itu tidak mahu menyerah kalah begitu saja. Mereka telah berjuang dengan jiwa raga mempertahankan kota Suci itu selama satu bulan. Akhirnya pada 15 Julai 1099, Baitul Maqdis jatuh ke tangan pasukan Salib, tercapailah cita-cita mereka. Berlakulah keganasan luar biasa yang belum pernah terjadi dalam sejarah umat manusia. Kaum kafir Kristian itu telah menyembelih penduduk awam Islam lelaki, perempuan dan kanak-kanak dengan sangat ganasnya. Mereka juga membantai orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian yang enggan bergabung dengan kaum Salib. Keganasan kaum Salib Kristian yang sangat melampau itu telah dikutuk dan diperkatakan oleh para saksi dan penulis sejarah yang terdiri dari berbagai agama dan bangsa.

Seorang ahli sejarah Perancis, Michaud berkata: Pada saat penaklukan Jerussalem oleh orang Kristian tahun 1099, orang-orang Islam dibantai di jalan-jalan dan di rumah-rumah. Jerussalem tidak punya tempat lagi bagi orang-orang yang kalah itu. Beberapa orang cuba mengelak dari kematian dengan cara menghendap-hendap dari benteng, yang lain berkerumun di istana dan berbagai menara untuk mencari perlindungan terutama di masjid-masjid. Namun mereka tetap tidak dapat menyembunyikan diri dari pengejaran orang-orang Kristian itu.

Tentera Salib yang menjadi tuan di Masjid Umar, di mana orang-orang Islam cuba mempertahankan diri selama beberapa lama menambahkan lagi adegan-adegan yang mengerikan yang menodai penaklukan Titus. Tentera infanteri dan kaveleri lari tunggang langgang di antara para buruan. Di tengah huru-hara yang mengerikan itu yang terdengar hanya rintihan dan jeritan kematian. Orang-orang yang menang itu memijak-mijak tumpukan mayat ketika mereka lari mengejar orang yang cuba menyelamatkan diri dengan sia-sia.

Raymond d Agiles, yang menyaksikan peristiwa itu dengan mata kepalanya sendiri mengatakan: Di bawah serambi masjid yang melengkung itu, genangan darah dalamnya mencecah lutut dan mencapai tali kekang kuda. Aksi pembantaian hanya berhenti beberapa saat saja, yakni ketika pasukan Salib itu berkumpul untuk menyatakan kesyukuran di atas kemenangan mereka. Tapi sebaik saja upacara itu selesai, pembantaian diteruskan dengan lebih ganas lagi.

Seterusnya Michaud berkata: Semua yang tertangkap yang disisakan dari pembantaian pertama, semua yang telah diselamatkan untuk mendapatkan upeti, dibantai dengan kejam. Orang-orang Islam itu dipaksa terjun dari puncak menara dan bumbung-bumbung rumah, mereka dibakar hidup -hidup, diheret dari tempat persembunyian bawah tanah, diheret ke hadapan umum dan dikorbankan di tiang gantungan.

Air mata wanita, tangisan kanak-kanak, kedengaran sungguh menyayat hati. Namun ia sama sekali tidak dapat meredhakan nafsu membunuh orang-orang yang menang itu. Penyembelihan itu berlangsung selama seminggu. Beberapa orang yang berhasil melarikan diri, dimusnahkan atau dikurangkan bilangannya dengan perhambaan atau kerja paksa yang mengerikan.

Gustav Le Bon telah mensifatkan penyembelihan kaum Salib Kristian sebagaimana kata-katanya: Kaum Salib kita yang bertakwa itu tidak memadai dengan melakukan berbagai bentuk kezaliman, kerosakan dan penganiayaan, mereka kemudian mengadakan suatu mesyuarat yang memutuskan supaya dibunuh saja semua penduduk Baitul Maqdis yang terdiri dari kaum Muslimin dan bangsa Yahudi serta orang-orang Kristian yang tidak memberikan pertolongan kepada mereka yang jumlah mencapai 60,000 orang. Orang-orang itu telah dibunuh semua dalam masa 8 hari saja termasuk perempuan, kanak-kanak dan orang tua, tidak seorang pun yang terkecuali.

Ahli sejarah Kristian yang lain, Mill, mengatakan: Ketika itu diputuskan bahawa rasa kasihan tidak boleh diperlihatkan terhadap kaum Muslimin. Orang-orang yang kalah itu diheret ke tempat-tempat umum dan dibunuh. Semua kaum wanita yang sedang menyusu, anak-anak gadis dan anak-anak lelaki dibantai dengan kejam. Tanah padang, jalan-jalan, bahkan tempat-tempat yang tidak berpenghuni di Jerusssalem ditaburi oleh mayat-mayat wanita dan lelaki, dan tubuh kanak-kanak yang koyak-koyak. Tidak ada hati yang lebur dalam keharuan atau yang tergerak untuk berbuat kebajikan melihat peristiwa mengerikan itu.

Pengajaran:

i. Orang-orang kafir sentiasa bersatu dalam menentang dan menghapuskan Islam walaupun mereka berbeza dari segi pegangan agama, negara, bangsa dan warna kulit.

ii. Musuh Islam hanya dapat mengalahkan Islam apabila umat Islam tidak bersatu dan berpecah belah. Oleh itu perancangan awal musuh Islam ialah memecah belahkan negara umat Islam berdasarkan bangsa, kedudukan geografi dan sebagainya. Lebih-lebih lagi selepas jatuhnya daulah Islam di Turki. Umat Islam ibarat anak-anak ayam yang kehilangan ibu.

iii. Umat Islam akan lemah apabila mencintai kehidupan dunia, suka bermewah-mewah, mengejar harta, mabuk kuasa, meninggalkan kerja menyeru kepada makruf (kebaikan) dan mencegah mungkar. Antara perancangan musuh Islam ialah menyogok hiburan yang melalaikan, menggalakkan pergaulan bebas, bahan-bahan lucah disebarkan berleluasa hinggakan penzinaan menjadi sesuatu yang tidak janggal dalam masyarakat.

iv. Sejarah membuktikan bahawa umat Islam menjadi mangsa keganasan kepada orang yang bukan Islam. Tohmahan dan dakwaan serta fitnah yang dilemparkan ke atas umat Islam sebagai PENGGANAS hanyalah dakyah atau propaganda untuk menutup kejahatan musuh Islam agar Islam itu dibenci dan dijauhi.

Sumber:

http://alhakimbestari.org/pdf/33%20-%20SALAHUDDIN%20AL-AYYUBI.pdf

Keperibadian Salahuddin Al-Ayyubi

Salahuddin Al-Ayyubi adalah seorang pahlawan dan raja yang gagah berani. Beliau terkenal dengan kewarakan dan keberanian yang luar biasa sehingga berjaya mengalahkan tentera Salib yang memang terkenal dengan kezaliman dan keperkasaannya.

Pada tahun 1187 berlakulah Perang Salib di antara tentera Islam yang dipimpin oleh Salahuddin Al-Ayyubi dengan tentera Kristian yang diketuai oleh King Richard (Raja England) setelah beberapa tindakan provokasi yang dilakukan oleh pihak Kristian. Mereka bukan sahaja mengancam negara-negara Islam, malah telah merampas beberapa wilayah umat Islam di Baitul Muqaddis dan dijadikan negeri-negeri Kristian.

Dalam peperangan tersebut, tentera Islam telah berjaya merampas Baitul Muqaddis dan 10,000 tentara Salib terkorban. Di sini Salahuddin Al-Ayyubi telah menunjukkan ketinggian budi dengan tidak membalas perbuatan tentera Salib yang zalim semasa menawan Baitul Muqaddis dan negeri-negeri yang dilalui. Beliau telah memberi perlindungan kepada semua tawanan perang, perempuan, orang tua dan anak-anak tentera Salib dan memberi mereka tempoh 40 hari untuk meninggalkan Baitul Muqaddis.

Akhirnya seluruh tanah Palestin dapat ditawan semula. Walau bagaimanapun, orang-orang Kristian dibenarkan mengunjungi Baitul Muqaddis melalui satu perjanjian damai yang ditandatangani pada 1192.


Pada suatu hari, ketika Sultan Salahuddin berjalan-jalan di kota Baitul Muqaddis, beliau telah berjumpa dengan seorang lelaki tua Nasrani (Kristian). Lalu lelaki tua tersebut bertanya kepada beliau : "Wahai pahlawan agung ! Sesungguhnya tuan telah berjaya mengalahkan musuh-musuh tuan. Tetapi mengapakah tuan tidak membalas seperti tindakan yang dikenakan ke atas tentera-tentera tuan ?"

Jawab Salahuddin : "Wahai orang tua ! Agama kami melarang menyiksa manusia. Bahkan hati kecil sayapun melarang melakukan pembalasan yang luar batas perikemanusiaan seperti yang pernah mereka lakukan"

Orang tua itu berkata lagi : "Apakah agama tuan melarang melakukan pembalasan terhadap orang yang memulakan pemusuhan dan menyiksa kaum tuan"Jawab Salahuddin seterusnya : "Memang benar ! Agama yang saya anuti ini melarang perbuatan kejam seperti yang dilakukan oleh musuh-musuh kami. "

Tambah beliau : "Islam meyuruh kami menepati janji, memaafkan kesalahan orang lain dan melupakan kekejaman pihak musuh ketika mereka berkuasa "

Orang tua itu berkata lagi : "Alangkah indahnya agama tuan !" Saya sangat ingin agar sisa-sisa hidup saya ini dapat menikmati kehidupan yang bahagia". "Apakah yang patut saya lakukan untuk memeluk agama tuan yang mulia ini ".

Jawab Salahuddin seterusnya : "Mempercayai bahawa Allah itu Maha Esa dan Muhammad itu RasulNya. Kemudian kerjakan apa yang Allah perintahkan dan tinggalkan apa yang dilarangNya".

Setelah itu, lelaki itu terus mengucap dua kalimah syahadah tanpa berbelah bahagi……

Pengajaran:

i. Untuk melakarkan sebuah kejayaan memerlukan persiapan yang rapi dan masa yang panjang.


ii. kekuatan yang ada pada daulah Islam zaman dahulu membolehkan mereka membalas ancaman musuh dengan melancarkan peperangan untuk menegakkan Islam.

iii. perjuangan untuk membebaskan Baitul Muqaddis (Palestin) adalah perjuangan akidah. Ianya mesti diteruskan sehingga berjaya dikembalikan ke tangan umat Islam.


iv. Islam mengajar umatnya bersikap lemah lembut kepada manusia dan bersikap keras kepada sesiapa yang menghalang perkembangan Islam. Islam bukan sahaja memberi kesejahteraan kepada manusia bahkan kepada binatang, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.

v. Dakwah Islam lebih berkesan melalui perbuatan seperti akhlak mulia yang ditunjukkan berbanding percakapan. Rasulullah merupakan peribadi mulia yang perlu dijadikan contoh ikutan. Islam itu indah ibarat sebuah permata tetapi keindahan itu diselaputi oleh 'lumpur' (perbuatan buruk yang dilakukan oleh umat yang mengaku Islam).


vi. Keindahan Islam akan lebih terserlah apabila Islam dihayati dalam kehidupan umat Islam secara keseluruhannya bukan sahaja dalam bentuk ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji tetapi termasuk juga bidang politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. (Sudah menjadi sunatullah usaha untuk menegakkan Islam secara keseluruhan akan ditentang oleh musuh Islam)


Sumber:

http://tayibah.com/eIslam/Tokoh/salahuddin.htm

Monday, November 01, 2010

Sifat Manusia Yang Suka Kepada Populariti

Jalan menuju populariti adalah jalan yang penuh dengan batu-batu tajam, ranjau dan duri yang mengakibatkan malapetaka bagi orang yang tidak berwaspada. Oleh kerana itulah Rasulullah menyarankan kepada kita bersikap tawadhu’ dan meninggalkan keinginan untuk meraih populariti. Berikut ini dinyatakan beberapa sifat manusia yang mengejar populariti dunia:-

i. Cinta Dunia

Orang yang mengejar populariti duniawi akan merasa senang bila berhasil meraih apa yang diinginkannya. Namun jika gagal dia akan marah. Rasulullah bersabda, “Celakalah budak dinar, celakalah budak dirham, celakalah budak perut, celakalah budak sutera. Jika diberi dia redha. Jika tidak diberi, dia marah. Celaka dan hinalah dirinya. Apabila tertusuk duri, maka ia tidak mampu mencabutnya.

Beruntunglah seorang hamba yang mengambil tali kekang kudanya untuk berjihad di jalan Allah. Rambutnya kusut, kedua kakinya berdebu. Jika ditempatkan di pos pertahanan dia sentiasa bersedia. Jika ditempatkan di belakang pasukan, dia sentiasa berada di belakang pasukan. Jika meminta izin, ia tidak diizinkan. Dan jika memberi pandangan, pandangannya ditolak.” (HR Bukhari)

ii. Riya’

Orang yang mengejar populariti seringkali berbuat kebaikan kerana ingin dilihat orang supaya dipuji dan mendapat penilaian yang baik dari mereka. Padahal tindakan ini boleh menyebabkan dia mensyirikkan Allah dan membuatkan amalannya ditolak serta mendapat kehinaan dunia dan akhirat. Rasulullah bersabda:

“Barangsiapa solat kerana riya’ maka dia telah melakukan syirik. Barangsiapa berpuasa kerana riya’, maka ia telah melakukan syirik. Barangsiapa bersedekah kerana riya’, maka ia telah melakukan syirik. Sesungguhnya Allah ‘AzzawaJalla berfirman, “Aku adalah sebaik-baik pemberi bagi orang yang menyekutukan Aku dengan yang lain. Jasad dan amalannya – sedikit atau banyak – akan Aku berikan kepada sekutu yang telah dijadikannya sebagai tandingannya untuk-Ku, kerana Aku tidak memerlukannya sedikitpun,” (HR Ahmad)

iii. Bangga Diri dan Bermegah-megah

Seringkali seseorang yang meraih populariti dan reputasi berbangga dengan diri sendiri dan bermegah-megah dengan bangunan, kenderaan dan harta kekayaan untuk menunjukkan kejayaan yang dicapai.

Rasulullah bersabda, “Ada tiga hal yang membinasakan; hawa nafsu yang dituruti, kebakhilan yang diikuti, dan kebanggaan seseorang pada diri sendiri, dan inilah yang paling berbahaya,” (HR Baihaqi)

Firman Allah yang bermaksud:

“Bermegah-megah telah melalaikan kamu. Sampai kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu). Dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui. Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin. Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim. Sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainul yakin (melihat dengan mata kepala sendiri). Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang nikmat (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).”
(Surah At Takatsur: 1 – 8)

iv. Hasad

Orang yang mengharapkan reputasi dan populariti duniawi seringkali merasa iri hati dan dengki kepada orang lain yang dianggap lebih popular dan lebih berjaya dari dirinya. Rasa iri hati dan dengki ini akan membakar hati dan akan melakukan apa sahaja untuk mengatasi pesaingnya walaupun terpaksa menggunakan cara yang diharamkan.

Sabda Rasulullah, “Jauhilah iri dan dengki, kerana iri dan dengki boleh memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu api.” (HR Abu Daud)

Semoga Allah memberi kekuatan kepada diri kita untuk melawan penyakit hati seperti yang diterangkan di atas agar amalan kita tidak menjadi sia-sia. Kita bukan sahaja memerlukan antibodi untuk melawan penyakit fizikal tetapi memerlukan juga kekuatan atau 'antibodi' melawan penyakit hati. Penyakit hati lebih merbahaya kerana ia mengakibatkan pengidapnya menderita di dunia dan akhirat. Fikir-fikirkanlah....

Rujukan:

Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah, Bina Insani Press Solo, September 2006.

Perkara Yang Dibenci Allah

Sabda Rasulullah, “... dan apabila Allah membenci seorang hamba, Ia memanggil Jibril seraya berfirman, “Sesungguhnya Aku membenci si fulan, maka hendaknya kamu juga membencinya.” Jibril pun membencinya lalu berseru kepada penduduk langit, “Sesungguhnya Allah Ta’ala membenci si fulan, maka hendaknya kalian juga membencinya.” Penduduk langit pun membencinya, lalu ditetapkan kebencian terhadapnya di muka bumi.” (HR Muslim)

Diantara contoh amalan yang mengundang kemurkaan Allah sehingga memberikan reputasi yang buruk di langit dan bumi ialah:

i. Membanggakan diri dan sombong

Sabda Rasulullah, “Barangsiapa membangga-banggakan dirinya dan berjalan dengan penuh kesombongan, ia akan bertemu Allah, sedang Allah murka kepadanya.” (HR Ahmad)

ii. Berdebat tanpa ilmu dan suka mencari musuh

Rasulullah bersabda,Barangsiapa berdebat dengan penuh permusuhan tanpa dilandasi ilmu, maka ia terus-menerus berada dalam kemurkaan Allah sampai ia meninggalkannya.” (HR Abu Dunya)

iii. Memakai sesuatu untuk menaikkan populariti

“Barangsiapa yang memakai pakaian kebesaran di dunia, Allah akan memakai untuknya pakaian kehinaan pada hari kiamat” (HR Abu Daud).

Pakaian yang menaikkan populariti termasuk juga pakaian yang lusuh dan kusam agar dilihat oleh orang lain sebagai orang yang zuhud dan wara’ atau memakai pakaian yang sesuai dengan sunnah tetapi disertai dengan sikap sombong.

iv. Berbuat kezaliman di muka bumi

Wahai manusia, bertaqwalah kepada Allah. Demi Allah, tidak ada seorang mukmin yang berbuat zalim kepada mukmin yang lain, melainkan Allah Ta’ala akan membalas dendam kepadanya pada hari kiamat.” (Al-Jami’)

Untuk menghindari reputasi buruk di kalangan penduduk langit dan bumi maka perlulah kita sama-sama menjauhkan diri daripada sifat-sifat di atas yang menyebabkan kemurkaan dan kebencian Allah Ta'ala. Sekiranya Allah yang membenci kita, kepada siapakah lagi kita hendak mengharapkan kasih sayang. Tidak ada maknanya jutaan manusia menyayangi kita sekiranya Allah membenci kita.

Seluruh hayat kita dan juga kehidupan di akhirat kita tidak terlepas daripada mengharapkan belas ehsan Allah. Hanya Allah yang sentiasa bersama kita sama ada ketika susah atau senang, seorang diri atau bersama rakan taulan, sama ada ketika hidup atau mati. Kita sangat-sangat mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah. Fikir-fikirkanlah...

Rujukan:

Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah, Bina Insani Press Solo, September 2006.

Sunday, October 31, 2010

Allah memberi keuntungan 10 kali ganda

Pada zaman Khalifah Abu Bakar telah berlaku kemarau panjang. Bencana yang berpanjangan ini menyebabkan ramai kaum muslimin kelaparan. Berduyun-duyun mereka yang kelaparan menuju ke kota Madinah. Mereka mengadap Khalifah Abu Bakar untuk meminta bantuan makanan.

Kata salah seorang dari mereka, “Wahai Amirul Mukminin, langit selalu cerah sejak berbulan-bulan. Tiada awan yang menjadi hujan untuk menumbuhkan bumi dengan tanaman. Kami semua datang untuk meminta pertolonganmu, ringankanlah penderitaan kami, berilah kami makan!.”

Abu Bakar dengan mantap menjawab, “Aku berharap, sebelum matahari terbenam nanti Allah akan mengirimkan pertolongannya!”

Menjelang petang, Madinah dikejutkan dengan datangnya kafilah yang terdiri dari 1000 ekor unta. Unta ini membawa muatan penuh yang terdiri dari gandum, minyak samin dan kismis. Semuanya datang dari Syam. Kafilah tersebut berhenti di rumah Saidina Othman bin Affan. Semua muatan diturunkan di situ. Saidina Othman kelihatan menguruskan penurunan muatan barang-barang tersebut. Memang, Saidina Othmanlah pemilik semua barang-barang itu.

Tidak lama kemudian datanglah beberapa orang pedagang menuju ke rumah Othman. Kemudian mereka menawar hendak membeli barang-barang tersebut dengan keuntungan yang tinggi.

“Wah, baik benar perkataanmu. Lalu berapa keuntungan yang kau tawarkan kepadaku? Tanya Othman menguji. Mereka menjawab, “Dua kali ganda!”. Othman menyanggah pula, “Sayang, telah ada pedagang yang menawarkan lebih dari tawaran tuan-tuan.

Para pedagang itu kemudiannya menaikkan tawarannya sampai 5 kali ganda. Tetapi Saidina Othman menjawab bahawa telah ada pedagang yang menawar lebih tinggi dari tawaran itu. Maka pedagang itu menyerah kalah tidak berani menawar lebih daripada 5 kali ganda.

Mereka pun bertanya dengan penuh kehairanan, “Saya rasa tidak ada pedagang yang berani menawarkan harga melebihi tawaran saya. Berapa keuntungan yang ditawarkan pedagang yang anda maksudkan itu? Siapa mereka?”

“Pedagang itu menawar denganku sepuluh kali ganda. Apakah anda berani menawar lebih tinggi dari itu?” soal Othman kepada mereka.

“Tidak. Siapa dia?” Tanya mereka lagi.
“Allah!” jawab Othman tegas. Kemudian ia melanjutkan, “Saksikanlah wahai tuan-tuan dan kaum muslimin semuanya, bahawa seluruh barang dagangan ini telah kuserahkan kepada kaum muslimin untuk mengatasi segala kesulitan mereka di tahun kemarau ini!”

Saidina Othman bin Affan pun mengagihkan segala barangan dagangan tersebut secara percuma kepada kaum muslimin.

Subhanallah.

Rujukan:

Parman Hanif M.Pd., Teladan Tarbiyah Dalam Bingkai Arkanul Bai’ah, Auliya Press Solo, Surakarta, Januari 2006.