Tuesday, October 13, 2009

RUKUN ISLAM

عن أبي عبد الرحمن عبد الله بن عمر بن الخطاب رضي الله عنهما قال: سمعت رسول الله (صلى الله عليه وسلم) يقول: "بني الإسلام على خمسٍ؛ شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمداً رسول الله، وإقام الصلاة، وإيتاء الزكاة، وحج البيت، وصوم رمضان". (رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya:

Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Umar r.a berkata : Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda : Islam itu didirikan atas lima (pekara) - menyaksikan bahawa tiada Ilah melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mendirikan solah, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah dan puasa sebulan Ramadhan.
(HR. Bukhari dan Muslim)
Keterangan hadith:

1. Binaan Islam diibaratkan sebagai penyelamat manusia yang mengeluarkannya dari daerah kekufuran, menjauhkannya dari neraka dan melayakkannya masuk ke dalam syurga. Struktur binaan yang kemas dan kukuh memerlukan asas-asas dan paksi-paksi kuat.

2. Bagi rukun-rukun Islam tersebut:
a. Bagi mereka yang sempurna imannya wajib menerima sepenuhnya kesemua rukun Islam.
b. Bagi yang menolak semuanya atau menolak salah satu dari rukun-rukun tersebut akan menyebabkannya terkeluar dari Islam (kafir).
c. Sesiapa yang menerimanya tapi malas mengamalkannya (kecuali syahadah) termasuk ke dalam golongan orang-orang yang fasiq.
d. Sesiapa yang melakukan dan beriqrar secara pura-pura termasuk dalam golongan munafiq.

3. Kesan ibadah:
a. Syahadah – syarat yang paling utama agar semua amalan dan ibadah yang lain diterima oleh Allah Subhanahuwata’ala.
b. Solah – ibadah yang pertama dihisab di akhirat nanti dan penghubung antara hamba dengan Rabbnya di dunia ini.
c. Zakat – ibadah yang akan menyucikan diri seorang hamba, menyuburkan serta membawa keberkatan kepada harta.
d. Haji – ibadah haji yang mabrur adalah sebaik-baik jihad. Tidak harus bagi seseorang yang berkemampuan untuk melewatkan pemergian menunaikan haji, bahkan wajib baginya untuk di segerakan.
e. Puasa – dengan ibadah ini, syahwat akan dikekang, maksiat akan terhindar dan membawa seseorang hamba kepada ketinggian darjah di sisi Allah Subhanahuwata’ala.

Pengajaran-pengajaran:

1. Hadith ini menerangkan rukun-rukun lslam (atau prinsip-prinsip asas Islam) lima perkara. Hadith ini mengumpamakan lslam sebagai sebuah binaan yang tertegak di atas lima tiang atau tumang yang kukuh. Tanpa lima perkara ini lslam seseorang akan goyah dan runtuh. lni membayangkan betapa rukun-rukun ini mesti dibangunkan oleh setiap muslim dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab.

2. Menegakkan rukun-rukun lslam bermakna menyediakan asas yang kuat untuk kesempurnaan, keteguhan, keutuhan dan keelokan binaan lslam, sebaliknya mengabaikan rukun-rukun ini (atau mengabaikan salah satu darinya) bererti menempah keruntuhan, kehancuran dan kemusnahan lslam.

(Dari Hadith Arbain, Imam Nawawi)

No comments:

Post a Comment