Wednesday, September 22, 2010

Kegemilangan dan Keruntuhan Andalus

Menangislah anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.”

Begitulah ucapan seorang bonda Raja dalam sejarah Islam di Andalus, Sepanyol. Ia diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, Raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharram 897 Hijrah (H) yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella (rujuk gambar).

Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah yang berkuasa selama 800 tahun.
Bani al-Ahmar adalah puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada daripada 620 H hingga 897 H, pada tahun di mana perjanjian di atas dimeterai. Perjanjian yang membabitkan 67 perkara itu termasuk jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol yang pada akhirnya tidak pernah direalisasikan. Bahkan selepas 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya selama 800 tahun.

Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian Sepanyol termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892 H. Pada masa itu ribuan umat Islam yang dijanjikan boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Dalam kejadian itu, ribuan umat Islam mati bergelimpangan bermandi darah selepas tentera Kristian membunuh mereka. Sebelum itu, ketika mereka bersembunyi di dalam rumah, dengan lantang tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman bagi membolehkan mereka menaiki kapal untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang keperluan masing-masing.

Tentera Kristian turut memaklumkan keselamatan orang Islam yang ingin meninggalkan Sepanyol terjamin. Ramai umat Islam yang meragui tawaran tentera Kristian itu. Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal yang akan membawa mereka berlabuh di pelabuhan, mereka kemudian mengambil keputusan menerima tawaran itu.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Muslim Granada keluar beramai-ramai membawa seluruh barang keperluan mereka pergi ke pelabuhan itu. Bagaimanapun, ada umat Islam yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing. Selepas ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentera Kristian menggeledah rumah yang ditinggalkan mereka sebelum membakarnya.

Ribuan umat Islam yang berada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Kapal itu kemudian tenggelam dan umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung mereka dengan pedang terhunus.

Selepas menerima arahan pemimpin, ribuan tentera Kristian itu kemudian membunuh umat Islam Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan takbir terdengar tetapi dengan buas tentera Kristian terus membunuh warga awam yang sama sekali tidak berdaya. Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam. Darah bergenang di mana-mana. Laut yang biru berubah menjadi merah kehitam-hitaman.

Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan. Banyak cerita yang menyayat hati seperti ini dibukukan seperti al-Ihatah fi Akhbar Gharnatah (Berita Menyeluruh Mengenai Granada) dan al-Muqtabas min Akhbar al-Andalus (Sekelumit Sejarah Andalus), malah seorang ulama terkenal seperti Ibn Hazam menceritakannya dalam kitab mashurnya al-Fisal fi al-Milal wa al-Nihal.

Selepas kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, tidak ada tanda atau simbol Islam yang kekal di negara itu. Umat Islam juga diugut dan diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam, mengerikan dan menakutkan dan tidak ada belas kasihan. Orang Kristian di Sepanyol tidak mahu Islam wujud lagi.

Oleh itu kita dapati umat Islam sangat tersepit sehingga ada yang mengaku Kristian padahal mereka seorang Muslim kerana terlalu perit dugaan yang dialami mereka.

Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 H di bawah kepemimpinan panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol beransur-ansur muncul menjadi sebuah negeri yang makmur. Pasukan Islam tidak saja berhenti di Sepanyol, malah terus meluaskan empayar di negeri sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan sebagainya jatuh ke tangan umat Islam.

Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, mereka masih tetap memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang juga kawasan pergunungan.
Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka ramai orang Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam.

Mereka bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Keadaan tenteram seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.

Penguasa dan pemimpin Islam pada masa itu sangat berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil, sebagai contoh, adalah orang yang mendirikan Khilafah Bani Umayyah di Andalus. Ketika dijemput pemimpin Kristian yang dibantunya dalam memerangi musuh mereka, beliau dipelawa minum arak, tetapi beliau menolak secara diplomasi dengan katanya: “Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya.”

Bagaimanapun, selama Islam berada di Andalus (rujuk gambar di bawah) berabad-abad lamanya itu, mereka tetap di keliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam di negara itu, namun mereka selalu gagal. Beberapa kali dicuba tapi selalu tidak berhasil.

Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemui cara untuk menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman mereka dengan serangan pemikiran dan budaya.

Mereka secara senyap menghantar arak dan rokok secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran.

Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya meniupkan perpecahan di kalangan umat Islam Sepanyol. Akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila satu persatu daerah di Sepanyol jatuh.

Di samping itu, antara punca lain yang membuat Andalus hilang daripada peta sejarah umat Islam adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri antara mereka sehingga menjadi lebih daripada 20 puak yang mempunyai negeri sendiri. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas, Bani Nun dan lain-lain. Dengan wujudnya ramai puak ini, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah mereka kerana mereka mengetahui kelemahan umat Islam.

Apa yang menyedihkan ada umat Islam yang menjual agama dan negara demi kepentingan peribadinya.
Sebagai contoh, Abu Zaid, gabenor daerah Balansiah ketika rakyatnya memberontak dia membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi untuk membantu memadamkan pemberontakan itu. Sebagai habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar ‘jizyah’ tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian.

Lapan ratus tahun bukan masa yang singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’ Sepanyol dan menjadikannya bangsa yang bertamadun, berbanding bangsa lain di Eropah, akhirnya ia seolah-olah tidak pernah wujud di negara itu? Peristiwa ini amat menyedihkan bagi umat Islam sepanjang zaman.

Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dahulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu. Sepanyol sekarang adalah Sepanyol yang mempunyai seorang menteri pertahanan wanita, Carme Chacon (rujuk gambar) yang boleh memeriksa barisan tentera negaranya walaupun dalam keadaan hamil seperti dilaporkan akhbar pada 14 April lalu.

Sebenarnya musuh Islam dan umatnya tetap satu. Dari dulu hingga sekarang musuh Islam tetap ada, cuma ia berbeza orang dan jenteranya. Mereka tetap ingin melenyapkan Islam sedapat mungkin dengan apa juga cara.

Dengan mengambil contoh Andalus yang hilang dan mencari sebab kehilangannya termasuk kelemahan akidah dan terlepas daripada jalur yang lurus, permusuhan sesama sendiri, berpihak kepada bukan Islam, kesenangan yang tidak terkawal dan kecintaan terhadap dunia, tidak mustahil ia juga akan berlaku di mana-mana. Dan ketika itu ucapan bonda Aisyah pada permulaan tulisan ini akan terdengar kembali. Wallahu a’lam.

INTI PATI:

Perubahan hebat berlaku ke atas tamadun di serata dunia tidak terlepas daripada pengaruh Islam dan kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di Sepanyol dan Andalusia.

Cahaya Islam pernah meresap masuk menguasai Eropah. Islam sudah berlabuh di Sepanyol hingga ke tembok Vienna. Islam tidak memisahkan agama dari negara dan menolak sekularisme dalam bentuk apapun yang bertujuan memisahkan agama daripada kehidupan yang menjadikan kehidupan lepas bebas daripada neraca agama. Apabila ketiga-tiga ciri dapat direalisasikan generasi Islam kini, konspirasi musuh Islam akan dapat diatasi.

FAKTA:

Islam memerintah Sepanyol dari 711 hingga 1492.
Banyak warisan ditinggalkan tamadun Islam di Sepanyol.
Tariq ibni Ziad mendarat di Gibralta pada 30 April 711 dan menamakan Sepanyol sebagai Al-Andalus (lihat pemandangan indah bumi Andalus).
Pemerintah Islam membina istana yang besar dinamakan Alhambra (rujuk gambar di atas) dan masjid besar dinamakan Qardoba (rujuk gambar di atas).

Hasil Nukilan :Dr. Danial Zainal Abidin
dzcsyifa@streamyx.com
http://danialzainalabidin.com/

Tuesday, September 21, 2010

Mutiara Bicara Tarbawi Allahyarham UDMZ (1934 – 2010)

Oleh : BroHamzah

Pemergian Allahyarham Ustaz Dahlan Mohd Zain (UDMZ) masih dirasai. Berbekas dihati anak-anak, kaum keluarga, sahabat handai dan juga para pelajar atau lebih akrab anak-anak didiknya. Pemergiannya adalah salah satu kehilangan yang sangat besar bagi dunia pendidikan , tarbiyah dan dakwah di Malaysia. Pemikiran, kefahaman dan didikannya meninggalkan sesuatu yang besar terhadap semua anak didiknya yang kini berada di serata Malaysia malah seantero dunia.

Jasa, sumbangan tenaga, lontaran fikiran, pengorbanan harta dan segalanya daripada UDMZ adalah untuk memberi kefahaman dan kesedaran Islam yang sebenarnya kepada masyarakat. Alhamdulillah, usaha dan kegigihan UDMZ inilah harus dicontohi dan diteladani.

Saya teringat suatu kata-kata seorang ulamak.
“ Jika engkau inginkan qudwah dan contoh, ambillah daripada individu yang telah pergi (meninggal dunia), ini kerana mereka yang masih hidup belum pasti bentuk pengakhiran mereka (sama ada baik atau sebaliknya).”
Jasa dan Sumbangan Allahyarham UDMZ

Secara peribadi, saya hanya anak didik UDMZ yang biasa sahaja. Tidak terlalu rapat secara fizikal dan luaran. Tetapi saya sangat menghormatinya.Allahyarham mengenali saya dan juga abah saya yang juga merupakan antara pelajarnya.

Dan sesuatu yang sangat akrab dalam hati saya ialah, nama saya ini adalah cadangan dan cetusan daripada UDMZ sendiri.
“ Ali Irfan”

Ketika saya lahir, abah saya telah meminta cadangan nama daripada UDMZ untuk dinamakan kepada anaknya ( saya la). Dan UDMZ telah menyenaraikan 3 nama untuk dipilih.
Ali Irfan
Muhammad Nabil
Muhammad Siddiqi
Maka, abah saya telah memilih yang pertama. Kemudian dengan izin Allah SWT, lahir anak kedua lelaki. Maka, abah saya telah meletakan dengan Muhammad Nabil. Dan pada tahun seterusnya, lahir anak ketiga, alhamdulillah juga dikurniakan anak lelaki maka abah saya meletakan dengan nama, Muhammad Siddiqi.
Dan, inilah antara perkara yang sangat menyejukan hati saya. Murabbi inilah yang telah memberikan nama untuk saya.
Apa maksud Ali Irfan?
Kata abah, ALI membawa erti ketinggian dan IRFAN memberi makna pengetahuan atau kemuliaan.
Syukran, Ustaz kerana memberi cetusan nama yang baik, indah, dan unik untuk saya.
Dengan nama inilah, semua orang memanggil – mendoakan- saya. Doa yang baik dan mensejahterakan saya. Ameen.

Namun, ada yang lebih besar peranan UDMZ dalam mendidik saya.
UDMZ, telah memberi didikan secara hidup, berkesan dan segar dalam kehidupan.

Didikan bukan teori semata-mata. Berkata-kata sahaja, berkuliah tanpa praktis dan retorik kosong.Tetapi semuanya, ialah melalui teladan, qudwah, contoh dan dijelmakan dalam kehidupannya.

Di MATRI, UDMZ adalah antara tenaga pengajar yang akan memberi kuliah umum atau ijtima’am kepada semua pelajar. Ia akan dilaksanakan secara mingguan pada setiap hari Sabtu sejam sebelum Asar.
Namun, kerana faktor kesihatan UDMZ jarang menyampaikan Ijitima’am kepada kami pada ketika itu. Kerana, arwah jarang memberi penyampaian Ijtima’am maka setiap kali penyampaiannya akan saya ingat. Dan salah satu, tajuk Ijtima’am yang saya ingat tajuknya, pengisian dan kuliahnya ialah “ MALU”.
Antara ungkapan yang saya sangat terkesan dan mendidik jiwa ketika itu ialah :
“ Rasulullah SAW adalah insan yang sangat pemalu malah mengalahkan seorang gadis sunti.”
Kenyataan ini, arwah UDMZ ulang dan ulang sambil memberi contoh. Kesan penyampaian itu, menyebabkan saya memahami apa itu erti malu dan hubungkaitnya dengan keimanan. Dan bagaimana mengaplikasikan secara nyata dalam kehidupan. Alhamdulillah.
Selain itu, allahyarham UDMZ juga telah memberikan satu penjelasan dan penyampaian berkaitan fikrah (kefahaman) Islam kepada semua anak didiknya secara mingguan di dalam perhimpunan pagi hari Isnin. Buku yang dikupas oleh arwah UDMZ ketika itu ialah, Maza Ya’ni Intima’ lil Islam atau terjemahannya ialah Apa ertinya saya menganut Islam. Karangan seorang ulama Mujahid Fathi Yakan.
Setiap minggu, selama 2 tahun bermula saya tingkatan 4 sehingga 5 Allahyarham UDMZ menyampaikannya. Dan seingat saya tajuk yang sempat di kupas ialah saya mestilah muslim di sudut aqidah, ibadah dan akhlak. Saya catat, dan Alhamdulillah Allah izin saya memiliki buku tersebut. Lantaran, buku tersebut menjadi buku utama yang disyarahkan oleh Allahyarham UDMZ saya telah membaca buku tersebut sehingga habis dan mengulanginya untuk kali ke dua.
Impaknya, ketika itu baru lah saya faham kenapa saya memeluk Islam. Kefahaman saya terbuka meluas dan banyak perkara-perkara baru yang menusuk hati. Syukran ustaz, inilah bibit-bibit awal saya memahami kefahaman Islam yang syumul, kamil dan menyeluruh.
Sumbangan Allahyarham UDMZ sangat banyak. Sehingga mendapat pengiktirafan daripada Istana Perlis dengan penganugerahan “ Dato’ Kaya Bakti.”
Benar, beliau kaya dengan bakti. Jiwanya hidup dengan budaya memberi tanpa mengharapkan imbuhan, ganjaran dan pujian.
Dan, inilah didikan UDMZ yang sangat berkesan.
Lakukan apa sahaja, dengan ikhlas kerana Allah.
Bertahun saya mendidik diri dengan perkara ini. Dan arwah UDMZ adalah seorang yang mengajar dan mendidik agar buat sesuatu jangan mengharap pujian daripada manusia. Katanya, kelak akan merana.
“ Tetapi, haraplah kepada keredhaan Allah SWT. Pasti antum bahagia.”
Sukar, payah, dan sangat-sangat mustahil.
Tetapi UDMZ terus mendidik.
Teruskan, proses hati, proses dan proses. Dan proses lah sehingga menjadi malaqah (darah daging) kita.InsyaAllah.”
Kata arwah UDMZ sambil tersenyum.
Beliau pergi dijemput Ilahi dengan amal-amal yang nyata. Kita pula bagaimana?

Saturday, September 04, 2010

Taubat Yang Bersungguh-Sungguh (Siri 2)

Seringkali kita tidak serius dengan taubat yang kita lakukan. Selalu juga kita dengar mereka yang bertaubat kembali melakukan dosa. Seharusnya kita segera bertaubat kembali dan tidak melayani bujukan serta bisikan hawa nafsu.Antara ciri-ciri taubat yang rosak ialah:

i. Lemah tekadDia tidak mempunyai tekad yang kuat untuk melakukan kebaikan. Selalu mengabaikan ibadah fardhu. Sebagai contoh, jika dia bersungguh-sungguh dan jujur dengan taubatnya maka dia tidak akan terus lena apabila azan Subuh dikumandangkan dan bersedia untuk menghadapi air yang dingin untuk berwuduk.

ii. Hati cenderung terhadap dosa
Dari masa ke semasa hati cenderung untuk melakukan dosa. Selalu berjinak-jinak dengan perbuatan zina, tidak menjaga pandangan mata kepada perkara yang haram, mendengar nyanyian yang melalaikan, mengambil dadah atau cenderung kepada dosa meminum arak.

iii. Terlalu meyakini diri
Allah berfirman yang bermaksud:“Dan Allah Maha Berkuasa terhadap urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya.”(Surah Yusuf ayat 21)

Ada orang yang merasa yakin dengan dirinya, kononnya mempunyai iman yang kuat dan tidak mungkin terjerumus ke lembah kehinaan dan maksiat. Bersama-sama di dalam suasana pergaulan bebas, bercampur lelaki & perempuan atau tempat maksiat seperti pusat hiburan/ kelab malam atau majl
is yang dihidangkan arak. Lambat laun akan terdorong untuk melakukan dosa dan kemungkaran.

iv. Mata yang tidak sensitif
Matanya tidak pernah mengeluarkan air mata dan tidak pernah menangis. Ini menunjukkan hatinya keras dan rosak.

v. Tetap lalai walaupun seringkali diberi peringatan
Seringkali diberi peringatan oleh Allah dengan pelbagai peristiwa dalam hidupnya. Melihat kematian dan musibah yang menimpa kawan atau saudara mara. Menghantar jenazah ke kubur tetapi tidak mengambil peringatan daripadanya. Seringkali mendengar ceramah dan khutbah tetapi tidak mendatangkan kesan di hatinya

vi. Tidak melakukan amal soleh sedikitpun.

Ia tetap bergelumang dengan dosa dan tidak pernah menambah amal soleh serta tidak berusaha untuk menebus kesalahan pada masa silam.

Mudah-mudahan Allah menjauhkan diri kita daripada sifat-sifat di atas.

Rujukan:

Dr A’idh al Qarni M.A., Jadilah Pemuda Kahfi – Ekspresi Cinta Seorang Ulama kepada Pemuda, terjemahan H. Sarwedi M.Amin Hasibuan, Lc, Solo; Aqwam, 2005

Taubat Yang Bersungguh-Sungguh (Siri 1)

Rabi’ Bin Khutsaim mengatakan, “Tahukah kamu apa yang dimaksudkan dengan penyakit, obatnya dan bagaimana cara penyembuhannya?” Mereka mengatakan, “Tidak.” Rabi’ menjelaskan, “Penyakit itu adalah dosa-dosa. Ubatnya adalah istighfar (minta ampun kepada Allah). Terapinya adalah hendaknya kamu bertaubat kepada Allah dan tidak mengulangi kembali.”
Kita memerlukan taubat yang bersungguh-sungguh atau taubat nasuha. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.”
(Surah An Nur: ayat 31)
Hasan Basri mengatakan: “Hati itu kadang-kadang hidup dan kadang-kadang mati. Dia sentiasa hidup dengan ibadah-ibadah yang wajib dan sunnah, tetapi ia boleh mati dengan pelbagai dosa dan kemaksiatan.”

Sesungguhnya yang dapat mengangkat kelemahan ini dari kita adalah taubat nasuha kepada Allah Yang Maha Tunggal. Allah sentiasa akan menerima taubat hambaNya, memaafkan segala kesalahan, dan mengetahui segala sesuatu yang kita kerjakan.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka. Siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.”
(Surah ali Imran ayat 135)
Ibnul Qayyim mengatakan, “syarat-syarat taubat itu ada tiga:
i. penyesalan terhadap perbuatan jahatnya
ii. menghapuskan semua perbuatan jahatnya
iii. meminta ampun dan maaf.

Beliau turut mengatakan, “Awal mula penyesalan adalah menganggap semua kejahatan yang telah dilakukan sebagai yang besar dan serius.”

Kita mengetahui dan menyedari bahawa kita telah melakukan sebuah kesalahan yang besar kepada Allah yang memberikan berbagai kurnia dan nikmat kepada kita. Allah memberikan usia muda dan tubuh badan yang gagah kepada kita. Dia memberikan tubuh badan yang cantik dan indah kepada kita. Kemudian tanpa rasa malu sedikit pun kita berbuat kesalahan dan dosa kepadaNya.

Oleh kerana itu, Allah sangat murka kepada tiga golongan manusia, salah satunya kerana mereka meremehkan atau memandang ringan kejahatan. Mereka berkeyakinan bahawa apa yang mereka lakukan adalah sesuatu yang sedikit, kecil dan tidak mendatangkan kesan yang buruk kepada diri mereka. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
“Ada tiga golongan manusia yang Allah tidak sudi berbicara, melihat dan mensucikan mereka pada hari Kiamat, dan mereka akan mendapat siksa yang pedih: iaitu orang tua yang berzina, raja yang berbohong dan orang miskin yang menyombong diri”. (HR Muslim)

Rujukan:

Dr A’idh al Qarni M.A., Jadilah Pemuda Kahfi – Ekspresi Cinta Seorang Ulama kepada Pemuda, terjemahan H. Sarwedi M.Amin Hasibuan, Lc, Solo; Aqwam, 2005