Monday, February 28, 2011

Pengajaran Dari Surah Al Insan (Ayat 1 – 3)


هَلۡ أَتَىٰ عَلَى ٱلۡإِنسَـٰنِ حِينٌ۬ مِّنَ ٱلدَّهۡرِ لَمۡ يَكُن شَيۡـًٔ۬ا مَّذۡكُورًا (١) إِنَّا خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن نُّطۡفَةٍ أَمۡشَاجٍ۬ نَّبۡتَلِيهِ فَجَعَلۡنَـٰهُ سَمِيعَۢا بَصِيرًا (٢) إِنَّا هَدَيۡنَـٰهُ ٱلسَّبِيلَ إِمَّا شَاكِرً۬ا وَإِمَّا كَفُورًا (٣)

“Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang dia (masih belum wujud lagi dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)? (1) Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat. (2) (Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). (3)” (Surah Al Insan Ayat 1 – 3)

Ayat di dalam Surah Al Insan dimulakan dengan satu bentuk pertanyaan kepada manusia. Satu pertanyaan seolah-olah meminta manusia bertanya kepada diri sendiri. Tidakkah dia melalui satu zaman di mana pada masa itu dia belum lagi menjadi sesuatu yang boleh disebut. Zaman sebelum dia dilahirkan.

Kalau dilihat dari perspektif yang lebih luas, cuba renungkan zaman sebelum manusia ini diciptakan. Alam ini telah wujud sekian lama tanpa manusia. Manusia adalah satu makhluk yang baru berbanding alam ini yang wujud berjuta-juta tahun yang lalu. Manusia kebanyakannya adalah makhluk yang angkuh. Mereka lupa bahawa alam ini telah sekian lama ada sebelum mereka diciptakan.

Cuba renungkan detik kelahiran manusia. Itulah detik waktu yang menambahkan satu lagi makhluk baru kepada alam. Satu makhluk yang direncanakan kewujudannya. Satu makhluk yang mempunyai peranan di atas muka bumi ini. Manusia perlu menyedari ada tujuan, matlamat dan perancanaan Ilahi dalam penciptaan manusia, dalam perjalanan hidup manusia dan di dalam kesudahan hidupnya.

Seterusnya ayat kedua dalam Surah Al Insan yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.”

Mungkin kata-kata ‘nutfah yang bercampur’ bermaksud percantuman sperma dan telur, percampuran genetik ibu dan bapa yang membawa kepada warisan sifat-sifat ibu dan bapa ke atas anak-anak.

Manusia bukan diciptakan sia-sia atau main-main sahaja. Malah ia diciptakan untuk diuji dan dicuba oleh Allah SWT. Allah tahu apakah ujian akan diberikan. Allah tahu kesan daripada ujian yang diberikan. Allah juga tahu balasan yang akan dikenakan mengikut natijah ujian yang dilaluinya.

Oleh itu Allah jadikan daya kebolehan mendengar dan melihat. Allah membekalkan daya kefahaman kepada manusia supaya mereka dapat menerima dan menyambut dakwah. Supaya manusia memahami benda-benda dan nilai serta dapat membuat keputusan dan pilihan yang tepat. Nilai baik dan nilai jahat. Amalan baik dan amalan yang buruk. Agar manusia melalui ujian itu mengikut kefahaman dan pilihan masing-masing.

Allah inginkan kehidupan manusia silih berganti dan berkembang biak secara berterusan. Allah jadikannya melalui nutfah yang bercampur.

Di sebalik kejadian manusia itu ada hikmah dan tujuan. Ianya bukan kejadian secara kebetulan dan tidak diduga. Malah disebalik kejadian manusia ada ujian yang perlu ditempuh. Ujian untuk menduga manusia.

Oleh itu Allah kurniakan kepada manusia persediaan untuk menyambut dan menerima dakwah, ilmu pengetahuan dan kebebasan memilih. Akal dan ujian yang diberikan adalah mengikut ukuran yang wajar. Mengikut kemampuan dan persediaan akal yang ada pada manusia.

Di samping bekalan ilmu pengetahuan, Allah juga bekalkan manusia dengan daya kebolehan memilih jalan hidupnya. Allah tunjukkan kepada manusia jalan yang boleh sampai kepada Allah. Jalan yang selain itu adalah jalan yang sesat dan tidak membawa kepada Allah.

Seterusnya ayat ke 3 Surah Al Insan bermaksud:

“(Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).”

Allah kaitkan perkataan hidayat dengan kata-kata syukur. Kesyukuran adalah perasaan yang ada bagi orang yang mendapat hidayat. Setelah dia sedar bahawa pada satu masa dulu dia belum lagi wujud sebagai makhluk yang boleh disebut. Kemudian dengan kehendak Allah barulah dia muncul ke alam ini sebagai makhluk yang boleh disebut.

Di samping itu Allah kurniakan kepada manusia daya pendengaran dan penglihatan. Proses pembelajaran melalui pendengaran sudah pun bermula sejak di dalam kandungan ibu.

Allah kurniakan kepada manusia daya mengenal dan mengetahui. Kemudian Allah menunjukkan kepadanya jalan hidayat. Allah datangkan para Rasul dari kalangan manusia yang menyampaikan dakwah dan mendidik (tarbiah) manusia. Allah bekalkan kitab/Al Quran sebagai panduan hidup manusia. Tetapi Allah memberikan kepada manusia kebebasan untuk memilih jalan hidup. Kebebasan untuk taat atau menderhaka kepada Allah.

Jadi rasa syukur itulah merupakan perasaan yang pertama yang terlintas di dalam hati seseorang mukmin apabila merasai betapa bernilainya nikmat hidayat yang Allah kurniakan. Nikmat Islam. Nikmat iman. Dan pelbagai nikmat Allah yang amat besar dan tidak mampu untuk dinyatakan kesemuanya.

Apabila meneliti ketiga-tiga ayat dari Surah Al Insan, seharusnya manusia mengetahui betapa serius dan halusnya urusan penciptaan insan dan menyedari bahawa mereka diciptakan kerana sesuatu matlamat yang tertentu. Matlamat untuk berubudiah (beribadah) kepada Allah dalam segenap aspek kehidupan.

Manusia juga terikat kepada suatu paksi atau syariat yang tetap. Dia dibekalkan dengan ilmu pengetahuan. Oleh itu dia bertanggungjawab terhadap segala tindak tanduknya.

Manusia diwujudkan di atas muka bumi ini untuk menempuh ujian. Oleh itu selama mana dia berada di atas muka bumi ini bererti dia berada dalam tempoh ujian. Bukannya tempoh bersuka ria, bermain-main dan lalai cuai.

Pendeknya dari tiga ayat ini (Ayat 1 – 3 Surah Al Insan) manusia mendapat bekalan dari penilitian yang halus dan mendalam bahawa dibelakangnya ada tanggungjawab yang berat untuk dipikul. Di samping dia merasa serius, insaf dan tenang dalam menjalani kehidupan dunia, dia menyedari terdapat balasan disebalik ujian yang ditempuh di dunia ini. Samada balasan baik – syurga atau balasan buruk – neraka.

Rujukan:

Asy Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, Tafsir Fi Zilalil Quran – Di Bawah Bayangan Al Quran Jilid 17, terjemahan Yusoff Zaky Haji Yacob, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 2002

Thursday, February 24, 2011

Berbulan Madu Dengan Bidadari

Di zaman Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam hiduplah seorang pemuda yang bernama Zahid yang berumur 35 tahun namun belum juga menikah. Dia tinggal di Suffah masjid Madinah.

Ketika sedang memperkilat pedangnya tiba-tiba Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam datang dan mengucapkan salam. Zahid kaku dan menjawabnya agak gugup.“Wahai saudaraku Zahid….selama ini engkau sendiri saja,” Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menyapa.“Allah bersamaku ya Rasulullah,” kata Zahid.“Maksudku kenapa engkau selama ini engkau membujang saja, apakah engkau tidak ingin menikah…,” kata Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.Zahid menjawab, “Ya Rasulullah, aku ini seorang yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan wajahku hodoh, siapa yang mahu akan diriku ya Rasulullah?”” Asal engkau mahu, itu urusan yang mudah!” kata Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Kemudian Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memerintahkan sekretarisnya untuk membuat surat yang isinya adalah melamar kepada wanita yang bernama Zulfah binti Said, anak seorang bangsawan Madinah yang terkenal kaya raya dan terkenal sangat cantik jelita.

Akhirnya, surat itu dibawa ke rumah Zahid dan ia diserah sendiri oleh Zahid ke rumah Said. Disebabkan di rumah Said sedang ada tetamu, maka Zahid setelah memberikan salam kemudian memberikan surat tersebut dan diterima di depan rumah Said.“Wahai saudaraku Said, aku membawa surat dari Rasul yang mulia diberikan untukmu saudaraku.”Said menjawab, “Adalah suatu kehormatan buatku.”Lalu surat itu dibuka dan dibacanya.

Ketika membaca surat tersebut, Said agak terperanjat karena tradisi Arab perkawinan yang selama ini biasanyaseorang bangsawan harus kawin dengan keturunan bangsawan dan yang kaya harus kawin dengan orang kaya, itulah yang dinamakan SEKUFU.

Akhirnya Said bertanya kepada Zahid, “Wahai saudaraku, betulkah surat ini dari Rasulullah?”Zahid menjawab, “Apakah engkau pernah melihat aku berbohong….”Dalam suasana yang seperti itu Zulfah datang dan berkata, “Wahai ayah, kenapa sedikit tegang terhadap tamu ini…. bukankah lebih baik dijemput masuk?”“Wahai anakku, ini adalah seorang pemuda yang sedang melamar engkau supaya engkau menjadi istrinya,” kata ayahnya.

Disaat itulah Zulfah melihat Zahid sambil menangis sejadi-jadinya dan berkata, “Wahai ayah, banyak pemuda yang tampan dan kaya raya semuanyamenginginkan aku, aku tak mau ayah…..!” dan Zulfah merasa dirinya terhina.Maka Said berkata kepada Zahid, “Wahai saudaraku, engkau tahu sendiri anakku tidak mau…bukan aku menghalanginya dan sampaikan kepada Rasulullah bahawa lamaranmu ditolak.”

Mendengar nama Rasul disebut ayahnya, Zulfah berhenti menangis dan bertanya kepada ayahnya, “Wahai ayah, mengapa membawa-bawa nama rasul?”Akhirnya Said berkata, “Lamaran ke atasmu ini adalah perintah Rasulullah.”Maka Zulfah istighfar beberapa kali dan menyesal atas kelancangan perbuatannya itu dan berkata kepada ayahnya, “Wahai ayah, kenapa sejak tadiayah berkata bahwa yang melamar ini Rasulullah, kalau begitu segera aku harus dinikahkan dengan pemuda ini. Kerena ingat firman Allah dalamAl-Qur’an surah An Nur 24 : Ayat 51. “Sesungguhnya jawaban orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) diantara mereka ialah ucapan. Kami mendengar, dan kami patuh/taat”. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. (QS. An Nur 24:Ayat 51)”.

Zahid pada hari itu merasa jiwanya melayang ke angkasa dan baru kali ini merasakan bahagia yang tiada taranya dan segera melangkah pulang. Sampai di masjid ia bersujud syukur. Rasul yang mulia tersenyum melihat gerak-gerik Zahid yang berbeda dari biasanya.“Bagaimana Zahid?”“Alhamdulillah ia diterima ya Rasul,” jawab Zahid.“Sudah ada persiapan?”Zahid menundukkan kepala sambil berkata, “Ya Rasul, kami tidak memiliki apa-apa.”

Akhirnya Rasulullah menyuruhnya pergi berjumpa Abu Bakar, Uthman, dan Abdurrahman bin Auf. Setelah mendapatkan wang yang cukup banyak, Zahid pergi ke pasar untuk membeli persiapan perkawinan. Dalam keadaan itu jugalah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menyeru umat Islam untuk menghadapi kaum kafir yang akan menghancurkan Islam.

Ketika Zahid sampai di masjid, dia melihat kaum Muslimin sudah siap-siap dengan perlengkapan senjata, Zahid bertanya, “Ada apa ini?”Sahabat menjawab, “Wahai Zahid, hari ini orang kafir akan menghancurkan kita, maka apakah engkau tidak mengetahui?”.Zahid istighfar beberapa kali sambil berkata, “Wah jika begitu perlengkapan nikah ini akan aku jual dan akan ku beli kuda yang terbaik.”

Para sahabat menasihatinya, “Wahai Zahid, nanti malam kamu berbulan madu, tetapi engkau hendak berperang?”Zahid menjawab dengan tegas, “Itu tidak mungkin!”Lalu Zahid membaca ayat sebagaimana berikut, “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamuusahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih baik kamu daripada cintakan Allah dan Rasul-Nya (dengan) berjihad di jalan-Nya. Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.” (QS At Taubah: Ayat 24).

Akhirnya Zahid (Aswad) maju ke medan pertempuran dan mati syahid di jalan Allah. Rasulullah berkata, “Hari ini Zahid sedang berbulan madu dengan bidadari yang lebih cantik daripada Zulfah.”Lalu Rasulullah membacakan Al-Qur’an;“Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur dijalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal dibelakang yang belum menyusul mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Surah Ali Imran Ayat 169-170).“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahwa mereka itu) mati, bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyadarinya.” (Al Baqarah :Ayat 154).

Pada saat itulah para sahabat meneteskan air mata dan Zulfahpun berkata, “Ya Allah, alangkah bahagianya calon suamiku itu, jika aku tidak dapat mendampinginya di dunia, maka izinkanlah aku mendampinginya di akhirat”.

Sumber:
http://leharos.multiply.com/journal/item/19/12._BERBULAN_MADU_DENGAN_BIDADARI..

Wednesday, February 23, 2011

Cara Rasulullah SAW Berdakwah Kepada Orang Dewasa

Susunan: Ustaz Abu Taqiyuddin Hussein

Makna hadis:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawasanya Rasululllah SAW memasuki masjid, lalu masuk seorang lelaki ke masjid untuk melakukan solah. Selesai solah, ia mendatangi Rasulullah SAW seraya mengucapkan salam. Setelah menjawab salam, baginda berkata, “kembalilah ke tempatmu dan solahlah, kerana sesungguhnya engkau belum mengerjakan solah!”. Ia pun kembali ke tempatnya dan mengerjakan solah seperti yang telah ia kerjakan tadi. Kemudian ia mendatangi Rasulullah SAW lagi seraya mengucapkan salam. Setelah menjawab salam, baginda berkata, “kembalilah ke tempatmu dan solahlah, kerana sesungguhnya engkau belum mengerjakan solah!”.

Hal ini berulang sampai tiga kali. Lalu ia berkata, “Demi Dzat yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, aku tidak boleh mengerjakan yang lebih baik daripada ini, maka ajarilah aku!”. Baginda pun mengajarnya, “Apabila engkau berdiri untuk solah, maka bertakbirlah, kemudian bacalah yang mudah dari Al-Quran, kemudian ruku’lah sehingga engkau toma’ninah dalam keadaan engkau ruku’, kemudian bangkitlah sehingga engkau toma’ninah dalam keadaan engkau i’tidal, kemudian bersujudlah sehingga engkau toma’ninah dalam keadaan sujud, kemudian duduklah sehingga engkau toma’ninah dalam keadaan duduk. Lakukanlah hal ini dalam semua solahmu.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seni Dakwah:

1. Rasulullah SAW berhadapan dengan mad’u yang telah dewasa, iaitu mad’u yang memiliki ciri-ciri:
a. Yang telah mencapai kematangan berfikir.
b. Yang telah memiliki persepsi dan amalan kebiasaan yang kukuh serta dominan pada dirinya, sehingga agak sukar bagi seorang da’i untuk menyesuaikan persepsi dan amalan kebiasaannya itu dengan ajaran Islam sebenar.
c. Mad’u, apabila meningkat umur, sukar untuk belajar dan mengingati sesuatu pengajaran baru dengan cepat.

2. Perilaku baginda terhadap orang dewasa berbanding remaja/pemuda adalah berbeza:
a. Bagi mad’u remaja/pemuda (seperti yang dapat dapat difahami daripada hadits-hadits sebelum ini), baginda mengajak mad’u untuk duduk dekat atau hampir dengan baginda.
b. Manakala bagi mad’u yang sudah dewasa, baginda menyuruhnya kembali ke tempatnya yang agak berjauhan dengan baginda.

3. Dalam mendidik orang dewasa, baginda memberikan ruang dan jarak yang agak jauh sedikit berbanding dengan golongan remaja/pemuda. Antara hikmahnya ialah:
a. Baginda tidak mahu mendominasikan pentas da’wah apabila berhadapan dengan orang dewasa. Proses belajar bagi orang dewasa memerlukan ruang untuk berfikir sendiri, memahami sendiri dan membuat keputusan sendiri.
b. Baginda mahu mad’u baginda yang dewasa itu percaya kepada diri sendiri. Tidak mahu ia rasa dikongkong dan tertekan, bahkan memberi peluang kepadanya untuk mencari kesalahan-kesalahannya sendiri.

4. Baginda bersabar menunggu kesediaan hati mad’u untuk menerima pengislahan, ini dapat difahami dari kisah hadits di atas:
a. Lelaki itu mengulangi solahnya sebanyak tiga kali sehingga ia betul-betul bersedia untuk menerima nasihat daripada Rasulullah SAW.
b. Rasulullah SAW menunggu sehingga mad’unya berkata: ’allimni – yang bermaksud: ajarilah aku.

5. Baginda bersabar menunggu mad’u dewasa sehingga pintu hatinya benar-benar terbuka. Sebenarnya, orang dewasa tidak boleh tergesa-gesa ditegur. Sesungguhnya apabila hati telah benar-benar bersedia, maka penjelasan yang ringkas sudah boleh membawa perubahan.

6. Dalam hadits ini baginda tidak menjelaskan semua rukun solah kepada lelaki tersebut. Baginda hanya menjelaskan hal-hal yang baru dan belum diketahui. Pada umumnya orang dewasa tertarik kepada hal-hal yang baru dan belum diketahui. Dalam konteks hadits ini, antara perkara yang ingin dijelaskan oleh baginda (di samping beberapa perkara lain) ialah mengenai permasalahan toma’ninah – yakni berhenti sebentar antara beberapa rukun solah:
a. Toma’ninah semasa ruku’.
b. Toma’ninah semasa i’tidal.
c. Toma’ninah semasa sujud.
d. Toma’ninah semasa duduk antara dua sujud.

7. Baginda memberi fokus kepada beberapa kesalahan yang ketara sahaja, kerana tidak semua perkara boleh dicapai pada satu masa.

8. Pangajaran penting daripada hadits ini (dari sudut fiqh ad-daw’ah) ialah:
a. Mewujudkan kesediaan hati pada diri mad’u yang dewasa adalah penting agar da’wah dan tarbiyah berkesan.
b. Para penda’wah hendaklah bersabar menunggu zuruf yang munasabah untuk memberi nasihat dan tidak boleh tergesa-gesa dalam berda’wah. Apabila telah ada zuruf munasabah, maka penda’wah tidak boleh lagi bertangguh-tangguh untuk berda’wah kepada mad’u.
c. Para penda’wah hendaklah menyesuaikan isi da’wahnya setara dengan kemampuan mad’u.


Rujukan utama:
Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah SAW, Fakharuddin Nursyam Lc, Bina Insani.

Cara Rasulullah Berdakwah Kepada Orang Awam

Disusun oleh: Ustaz Abu Taqiyuddin Hussein

Daripada Anas RA telah berkata, “Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, tiba-tiba datang seorang arab badui (a’rabi) lalu berdiri sambil kencing di masjid. Para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pun berteriak, “Apa yang dilakukannya, apa yang dilakukannya?!”

Namun Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda, “Janganlah kalian menghentikan kencingnya, biarkanlah ia meneruskannya.” Mereka pun membiarkannya sehingga ia meneruskan kencingnya.

Kemudian Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memanggil arab badui itu dan bersabda, “Sesungguhnya masjid ini tidak patut terkena kencing dan kotoran sedikit pun. Masjid ini hanyalah untuk zikrullah ‘Azzawajalla, solah dan membaca Al-Quran.” Lalu beliau menyuruh seorang antara mereka untuk mengambil sebekas air dan menyiramkan pada tempat yang dikencingnya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Seni Dakwah:

1. Para penda’wah perlu memahami bahawa orang awam memiliki potensi yang besar untuk kemenangan dan kejayaan Islam.

Orang awam, khususnya orang-orang Islam, merupakan satu juzuk yang besar daripada umat secara keseluruhannya, yang mana pada lazimnya, memiliki ketulusan dan ketelusan yang lebih baik berbanding golongan atasan yang angkuh.

2. Orang awam, apabila memiliki kefahaman dan kesedaran Islam yang betul, akan mudah dimobilasikan untuk membangunkan ummah Islamiyah.

3. Penda’wah, dalam menyampaikan da’wahnya, hendaklah bijaksana menyingkirkan penghalang-penghalang yang mungkin menghalang keberhasilan da’wahnya.

4. Merujuk kepada hadits di atas, memang jelas warga arab badui (a’rabi) tersebut melakukan kesalahan, iaitu kencing di tempat suci, masjid Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Baginda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sangat memaklumi akan kesalahan yang dilakukan oleh orang arab a’rabi tersebut. Namun baginda tidak memberikan respon emosional sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat Radhiallahu‘anhum. Ini kerana baginda sangat memahami kejahilan dan kebodohan orang arab a’rabi tersebut. Berkaitan hal ini, kita dapat mengerti bahawa:
a. Baginda, seorang Rasul yang bersifat fatanah, sangat memahami bahawa orang a’rabi ini datang dari sebuah tempat yang terpencil dan jauh daripada peradaban Islam. Yakni sebuah perkampungan a’rabi yang masih terbelakang, penduduknya cenderung bersikap kasar dan jarang berinteraksi dengan dunia luar.

b. Baginda memahami kejahilan orang ini, berasaskan ucapannya sewaktu berdoa sebelum kencing di masjid (berdasarkan hadits riawayat Ibn Majah). Diriwayatkan bahawa ia masuk ke dalam masjid lalu berdoa: "Ya Allah, ampunilah aku dan Muhammad, janganlah Engkau mengampuni seorang pun selain kami." Baginda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam tersenyum seraya bersabda: "Sesungguhnya kamu telah menyempitkan sesuatu yang luas (yakni rahmat dan pengampunan Allah)" (Hadits Riwayat Ibn Majah).

c. Baginda menyedari akan tindakan orang ini yang agak keterlaluan, iaitu kencing di masjid, pada hal baginda dan para sahabat sedang berkumpul di tempat yang berhampiran dengan beliau, berdasarkan ucapan Anas bin Malik: "Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, tiba-tiba datang seorang arab a’rabi lalu berdiri dan kencing di masjid."

5. Justeru itu seorang da’i hendaklah memahami kadar kecerdasan dan kejahilan mad’unya (sasaran da’wahnya) dengan cara memperhatikan latar belakangnya, ucapannya dan tingkahlakunya.

Dengan ini, da’i dapat mengambil sikap yang tepat, berpatutan, penuh empati dan tidak emosional apabila berhadapan dengan mad’u. Maka InsyaAllah, da’wahnya akan terkesan di hati mad’unya, terutama dari kalangan orang awam yang merupakan juzuk terbesar dari umat.

6. Para da’i perlu bersikap sabar terhadap kejahilan mad’u.

Ini telah dipercontohkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, di mana baginda menanggapi kejahilan mad’unya berdasarkan doanya:
"Ya Allah, ampunilah aku dan Muhammad, janganlah Engkau mengampuni seorang pun selain kami."
Baginda memberikan respon senyuman sambil bersabda:
"Sesungguhnya kamu telah menyempitkan sesuatu yang luas (yakni rahmat dan pengampunan Allah)."
Baginda juga mencegah para sahabat yang hendak mengherdik dan bertindak kasar terhadapnya dengan berkata:
"Janganlah kamu menghentikan kencingnya, biarkanlah ia meneruskannya."
Justeru itu sikap sabar dan tutur kata yang baik dari seorang da’i akan membawanya meraih keberkesanan dan kejayaan dalam berda’wah.

7. Para da’i perlu bijaksana dalam menimbulkan “rasa aman dan selamat” pada diri mad’u.

Ketika orang a’rabi itu mendengar para sahabat berteriak: Apa yang dilakukannya, apa yang dilakukannya?, maka tentu ia merasa takut dan memerlukan seseorang yang melindunginya. Maka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam tampil sebagai pelindungnya.

Di petik dari hadits riwayat Imam Bukhari, baginda bersabda: "Janganlah kamu menghentikan kencingnya, biarkanlah ia meneruskannya. Kerana, sesungguhnya kamu diutuskan untuk mendatangkan kemudahan, bukan untuk mendatangkan kesusahan."

Sikap baginda ini sudah tentu akan menghadirkan rasa aman dan selamat di hati mad’unya, seterusnya akan menumbuhkan rasa tsiqah kepada baginda. Justeru itu para da’i hendaklah bijaksana menimbulkan rasa aman dan selamat pada diri mad’u dan memberikannya perlindungan daripada rasa takut. Jangan sekali-kali da’i pula menjadi sumber ketakutan. Dengan kebijaksanaan ini, mad’u akan percaya dan tsiqah kepada da’i. Sesungguhnya kepercayaan dan ketsiqahan adalah muqaddimah kepada keberkesanan da’wah.

8. Da’i adalah seorang yang sentiasa mengharapkan kebaikan untuk mad’unya. Juga mengharapkan mad’unya terhindar daripada kemudharatan atau keburukan.

Tindakan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menegah para sahabat daripada mengherdik orang a’rabi kerana kencing di dalam masjid mengisyaratkan beberapa hikmah:
a. Menyelamatkan mad’u baginda daripada rasa sakit kerana terpaksa menghentikan kencingnya secara tiba-tiba sebelum sempat menyelesaikannya.

b. Mengelakkan pakaiannya daripada terkena najis jika ia terpaksa kencing sambil berlari (atau mengelakkan semakin banyak kawasan masjid terkena najis).

Oleh itu, da’i perlu memiliki sifat mengharapkan kebaikan untuk mad’unya, di samping menjauhkan mad’u daripada perkara-perkara yang mendatangkan kemudharatan.

9. Para da’i perlu berusaha menumbuhkan kepercayaan mad’u kepada dirinya sebelum memberikan pengajaran-pengajaran.

Tindakan baginda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersikap lemah lembut dan melindungi orang a’rabi tersebut telah menumbuhkan rasa percaya dan keberpihakannya kepada baginda. Inilah langkah bijaksana baginda sebelum baginda mengajarnya - apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan di dalam masjid.

Langkah-langkah baginda ini memudahkan proses da’wah dan tarbiyah yang akan baginda laksanakan. Menumbuhkan kepercayaan adalah kunci keberhasilan dalam mendidik dan membina, terutama terhadap orang-orang awam yang sering mengukur sesuatu berasaskan ukuran emosi dan perasaan mengatasi ukuran logik dan rasional.

10. Para da’i perlu memahami bahawa pendidikan memerlukan suasana persekitaran yang tenang. Atau dengan kata yang lain, pendidikan memerlukan zuruf al-munasabah (suasana atau persekitaran pendidikan yang sesuai).

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah berjaya mewujudkan suasana yang tenang apabila berhasil meredakan emosi para sahabat. Begitu juga suasana dalaman hati mad’u baginda menjadi tenang dan kondusif apabila beliau dapat menyelesaikan hajatnya (iaitu kencingnya).

Jiwa mad’u yang tenang dan kondusif akan memungkinkannya memberikan konsentrasi (penumpuan) terhadap isi pendidikan yang akan dikemukakan oleh da’i. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menyampaikan isi pendidikannya pada saat hati mad’u telah bersedia. Oleh itu dapatlah difahami bahawa:
a. Pendidikan memerlukan suasana luar yang tenteram dan jauh daripada pergaduhan dan kegawatan.

b. Pendidikan memerlukan suasana dalaman jiwa yang tenang agar dapat memberikan konsentrasi (penumpuan) kepada isi pendidikan.

11. Kencing di dalam masjid adalah satu kesalahan yang ekstrim, maka baginda menggunakan gaya bahasa yang ekstrim juga untuk menyedarkan mad’u baginda. Baginda mengatakan: "Innama hiya li zikrillah.... (Sesungguhnya masjid ini hanyalah untuk zikrullah .....)."

Ungkapan ini ada satu penegasan dan perbatasan bahawa masjid hanyalah untuk zikrullah, seperti berzikir, melakukan solah dan membaca al-Qur’an, tidak boleh digunakan untuk tujuan yang lain. Oleh itu seorang da’i perlu memilih kata-kata dan gaya bahasa yang sesuai dengan sesuatu keadaan dan permasalahan yang dihadapi, terutama apabila berhadapan dengan orang awam.

12. Orang awam kadang-kadang sukar untuk memahami sesuatu melalui pendekatan lisan dan teori semata-mata, bahkan memerlukan contoh yang praktikal.

Setelah menjelaskan hal-hal yang sepatutnya dilakukan di dalam masjid, baginda menyusuli pendidikan lisan dengan pangajaran yang praktikal di mana baginda memerintahkan sahabat mengambil air dan menyiramkan air itu ke tempat kencing a’rabi tersebut. Ini satu contoh da’wah atau pendidikan yang praktikal.

Oleh itu seorang da’i hendaklah mengiringi da’wah secara lisan dengan da’wah secara praktikal apabila berhadapan dengan sasaran da’wah di kalangan orang awam agar da’wah dan tarbiyahnya berkesan.

13. Dengan cara dan seni da’wah yang digunakan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, akhirnya baginda berjaya memahamkan a’rabi tersebut, sebagaimana yang terdapat di dalam riwayat Abu Hurairah: Setelah memiliki pemahaman fiqh Islam, a’rabi itu berdiri dan mendekati Nabi Sallallahu’alaihiwasallam seraya berkata, ”Demi bapaku, engkau dan ibuku...”. Baginda akhirnya berjaya mendidik dan memberikan kefahaman Islam kepada mad’u baginda.

14. Begitulah seni da’wah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam berda’wah kepada orang awam yang jahil. Sudah semestinya para da’i menyerapkan seni da’wah tersebut, agar dapat memetik hasil yang diharapkan (insyaAllah), terutama ketika berhadapan dengan sasaran da’wah di kalangan orang awam.

Rujukan utama:

Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah SAW, Fakharuddin Nursyam Lc, Bina Insani.

Wednesday, February 16, 2011

Pengajaran Dari Surah Al Mukminun (ayat 1 – 11) Siri 4 (Akhir)

Firman Allah dalam Surah Mukminun ayat 9 – 11

وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَلَىٰ صَلَوَٲتِہِمۡ يُحَافِظُونَ (٩)أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡوَٲرِثُونَ (١٠) ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلۡفِرۡدَوۡسَ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ (١١)

“Dan mereka yang tetap memelihara solatnya. (9) Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. (10) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. (11)

Ayat di atas menerangkan antara ciri orang yang berjaya ialah orang yang memelihara solatnya.

Mereka yang mendirikan solat mengikut peraturan yang ditetapkan. Mereka menunaikan tepat pada waktunya dengan sempurna sama ada solat fardhu atau solat sunat. Mereka menunaikan segala rukun dan peradabannya.

Mereka solat dengan solat yang hidup, di mana mereka menumpukan seluruh hati dan perasaan. Solat merupakan perhubungan antara hati manusia dengan Allah. Orang yang tidak memelihara perhubungan ini tidak dapat diharap akan memelihara perhubungan yang baik sesama manusia. Hanya mereka yang dapat memelihara hubungan dengan Allah mempunyai hati nurani yang ikhlas serta memelihara hubungan baik (ukhwah) sesama Islam.

Pada permulaan ayat (ayat ke 2) memberi penekanan kepada solat iaitu mereka yang khusyuk dalam solat. Kemudian ditamatkan dengan solat (ayat ke 9 - “mereka yang tetap memelihara solatnya”) untuk menunjukkan betapa tinggi kedudukan solat dalam pembinaan iman. Ini adalah kerana solat merupakan satu bentuk ibadah dan menghadapkan diri (tawajjuh) kepada Allah yang paling sempurna.

Itulah sifat orang mukmin yang beruntung. Ini merupakan sifat atau ciri-ciri utama orang mukmin yang dimuliakan oleh Allah. Solat dapat meningkatkan diri orang mukmin ke tahap kesempurnaan. Sifat ini berbeza dengan kehidupan haiwan yang hanya hidup mencari kenikmatan dan makan seperti binatang ternakan.

Kehidupan di muka bumi tidak sempurna dan tidak kekal walau hebat dengan kekayaan, kenikmatan dan kekuasaan. Sedangkan Allah menghendaki supaya orang mukmin yang mengikuti jalan hidayah dari Allah menikmati syurga Firdaus yang kekal abadi. Negeri yang aman damai tanpa dilanda ketakutan dan negeri yang tetap mantap tanpa dilanda kebinasaan.

Itulah kemuncak keuntungan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada para mukminin. Inilah keuntungan dan kenikmatan yang paling tinggi dan sempurna. Selepas kemuncak ini tiada lagi matlamat lain yang dipandang mata atau diangan-angankan oleh manusia.

Firman Allah dalam surah ali Imran ayat 185:

كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَڪُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ‌ۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَ‌ۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ (١٨٥)

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (185)

Rujukan:

Asy Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, Tafsir Fi Zilalil Quran – Di Bawah Bayangan Al Quran Jilid 11, terjemahan Yusoff Zaky Haji Yacob, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 2002

Tanpa Keihkhlasan, Amalan Menjadi Sia-Sia

Kita sangat memerlukan kefahaman yang mendalam tentang Islam. Tetapi keperluan ikhlas dalam beramal kepada Allah adalah lebih diperlukan. Kalau kita lihat contoh jenerasi awal di bawah bimbingan Rasulullah, mereka sangat mementingkan keikhlasan. Mereka selalu berusaha menyembunyikan amal-amalnya seperti seorang sahabat yang memberi makan kepada orang miskin di Madinah. Perbuatannya tidak diketahui oleh orang lain kecuali selepas dia meninggal dunia.

Disebut dalam sebuah hadis; Umar Al Khattab masuk ke masjid dan melihat Mu’adz Bin Jabal sedang menangis di sisi kubur Rasulullah SAW. Umar bertanya, “Apa yang membuatmu menangis wahai Mu’adz?”. Mu’adz menjawab bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedikit riya’ adalah syirik. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa yang tersembunyi, iaitu orang-orang yang apabila mereka tidak ada maka orang merasa kehilangan dan apabila mereka hadir maka mereka tidak diketahui. Hati mereka bagaikan sinar petunjuk yang selamat dari debu yang pekat.” (HR Thabrani).

Imam Hasan Al-Bana berkata, "Ikhlas bagi seorang Muslim itu adalah apabila segala perkataan, perbuatan (amal) dan jihadnya, seluruhnya, hanya kepada Allah, untuk mencari redha Allah tanpa melihat kepada keuntungan, material, prestij, pangkat, gelaran, kemajuan atau kemunduran. Dengan demikian ia menjadi tentera aqidah atau fikrah dan bukan tentera keinginan atau manfaat."

Firman Allah dalam surah Al An’am ayat 162: 163

قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (١٦٢) لَا شَرِيكَ لَهُ ۥ‌ۖ وَبِذَٲلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا۟ أَوَّلُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ (١٦٣)

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (162) Tiada sekutu bagiNya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya).”

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya manusia yang pertama kali diadili pada hari kiamat adalah orang yang mati syahid. Maka, didatangkannya lalu diperlihatkan nikmat-Nya, dia pun tahu akan nikmat-nikmat itu. Lalu Allah SWT bertanya, “Apa yang kamu lakukan (amalkan) di dalamnya?” Orang-orang itu menjawab, “Saya berperang di jalan-Mu hingga mati syahid.” Allah SWT berfirman, “Kamu dusta! Kamu berperang, agar kamu dikatakan seorang yang berani dan pahlawan!” Maka kemudian malaikat diperintahkan untuk menyeret wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka.

Selanjutnya, didatangkan ulama: orang yang belajar ilmu, mengajarkannya, serta membaca Al Quran. Maka, didatangkanlah orang tersebut lalu diperlihatkan nikmat-Nya. Dia pun tahu akan nikmat-nikmat itu. Lalu Allah SWT bertanya, “Apa yang kamu lakukan (amalkan) di dalamnya?”. Orang itu menjawab, “Saya belajar ilmu dan mengajarkannya, serta membaca Al Quran untuk-Mu.” Allah SWT berfirman, “Kamu dusta! Kamu belajar dan mengajarkan ilmu serta membaca al Quran supaya kamu dikatakan alim, supaya kamu dikatakan seorang Qari!” Maka kemudian malaikat diperintah untuk menyeret wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka.

Berikutnya, didatangkan orang yang diluaskan rezekinya oleh Allah dan Allah memberikannya semua bentuk harta kekayaan yang beraneka ragam. Maka, didatangkannya lalu diperlihatkan nikmat-Nya, dia pun tahu akan nikmat-nikmat itu. Lalu Allah SWT bertanya, “Apa yang kamu lakukan dengan hartamu yang melimpah itu?” Orang itu menjawab, “Saya gunakan seluruh harta itu untuk berbelanja di jalanMu, ya Allah!”. Allah berfirman, “Kamu dusta! Kamu kerjakan semua itu supaya kamu dikatakan sebagai seorang dermawan!”. Maka kemudian malaikat diperintah untuk menyeret wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka. (HR Muslim)

Firman Allah dalam Surah Al Mulk ayat 2:

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ (٢)

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

Fudhail bin Iyadh berkata, “Ia adalah amal yang paling ikhlas dan paling benar”, mereka bertanya, “Wahai Abu Ali, apa yang disebut dengan amal yang paling ikhlas dan paling benar?”. Ia menjawab, “Suatu amal jika ikhlas tetapi tidak benar maka ia tidak diterima, amal yang ikhlas adalah kerana Allah, dan amal yang benar adalah mengikuti sunnah”, kemudian dia membaca firman Allah (Ayat 110 Surah Al Kahfi):


قُلۡ إِنَّمَآ أَنَا۟ بَشَرٌ۬ مِّثۡلُكُمۡ يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَـٰهُكُمۡ إِلَـٰهٌ۬ وَٲحِدٌ۬‌ۖ فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلاً۬ صَـٰلِحً۬ا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦۤ أَحَدَۢا (
١١٠)

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”

Rujukan:

  1. Parman Hanif M.Pd, Teladan Tarbiyah Dalam Bingkai Arkanul Bai’ah, Auliya Press Solo, Surakarta, 2006.
  2. Dr Majdi Al- Hilali, Rakaizud Dakwah (Konsep Dasar Gerakan Dakwah),terjemahan Ulin Nuha, LS & Nurodin Usman, Lc, Media Insani Press, Surakarta, 2003.

Tuesday, February 15, 2011

Amru Bin Jamuh – Contoh Manusia Yang Menjadikan Jihad Sebagai Jalan Hidup

Dakwah tidak akan pernah hidup dan berkembang kecuali dengan jihad. Hal ini telah direalisasikan oleh jenerasi awal di bawah bimbingan Rasulullah SAW dengan petunjuk wahyu dari Allah SWT.

Hasilnya lahir peribadi mulia sepertimana seorang sahabat yang bernama Amru Bin Jamuh. Amir Bin Jamuh adalah seorang yang tempang (pincang) kakinya. Ia mempunyai empat orang anak muda yang ikut berperang bersama-sama Rasulullah setiap kali Rasulullah berperang melawan musuh.

Ketika Rasulullah bersiap sedia untuk menghadapi perang Uhud, Amru Bin Jamuh juga ingin ikut berperang menemani baginda Rasulullah. Tetapi anak-anaknya berkata kepadanya, “Wahai ayah, sesungguhnya Allah memberimu rukhsah (keringanan) untuk tidak ikut berperang. Ayah tidak usah berangkat, kami telah menggantikanmu. Allah tidak mewajibkan orang seperti ayah (yang tua dan tempang kaki) turut berangkat berjihad.”

Kemudian Amru Bin Jamuh pergi menemui Rasulullah, dan berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya anak-anakku melarangku berjihad bersamamu. Demi Allah, aku ingin mati syahid. Aku ingin menginjak syurga dengan kakiku yang tempang ini!”. Rasulullah berkata kepada Amru, “Berkenaan dengan keadaanmu, wahai Amru, sesungguhnya Allah telah memaafkanmu dan menghapuskan kewajipan jihad darimu!.”

Kemudian Rasulullah berkata kepada anak-anak Amru, “Tidak ada salahnya jika kalian membiarkannya, semoga Allah memberi kurnia dia mati syahid,”

Maka berangkatlah Amru dalam perang Uhud, ia pun pergi menemui syahidnya dalam peperangan di sana.

Pengajaran:

i. Jihad adalah satu kewajipan yang tidak berhenti sampai hari kiamat.
ii. Jihad yang paling rendah ialah menentang sesuatu kemungkaran dengan hati dan paling tinggi ialah berperang mengangkat senjata di jalan Allah.
iii. Jihad terdapat dalam pelbagai bentuk seperti berjihad menggunakan lisan, tulisan, tangan dan berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.
iv. Dakwah tidak pernah hidup dan berkembang kecuali dengan jihad. Pahala yang diperolehi oleh orang yang berdakwah adalah besar di sisi Allah.

v. Sahabat jenerasi awal tidak pernah berkompromi dalam merebut untuk mati syahid kerana mati syahid adalah cita-cita dalam hidup mereka.

Rujukan:

Parman Hanif M.Pd, Teladan Tarbiyah Dalam Bingkai Arkanul Bai’ah, Auliya Press Solo, Surakarta, 2006.

Pengajaran Dari Surah Al Mukminun (ayat 1 – 11) Siri 3

Amanat yang dibeban kepada individu dan kelompok manusia memang banyak. Amanat yang paling utama dan terulung ialah amanat fitrah. Allah menjadikan fitrah manusia itu lurus dan selaras dengan sunatullah . Ia mengakui kewujudan Allah Tuhan Pencipta dan mengakui Wahdaniyah-Nya (keEsaan Allah) melalui perasaan dalamnya yang merasakan adanya persamaan undang-undang yang mengendalikannya dan undang-undang yang mengendalikan alam ini. Ia turut merasakan adanya persamaan iradat yang bebas bagi mentadbir alam ini.

Setiap manusia yang dilahirkan samada Islam atau bukan Islam mempunyai rasa hati yang mengakui kewujudan Tuhan Yang Satu iaitu Allah. Cuma sebilangan manusia mengotori fitrahnya dengan menafikan kehendak fitrah mereka yang mengakui keEsaan Allah. Ramai dikalangan orang yang baru masuk Islam menceritakan hati mereka terdetik untuk memeluk Islam pada peringkat awalnya apabila hati mereka tersentuh dengan laungan azan, bacaan Quran dan sebagainya. Sememangnya fitrah manusia sudah bersedia untuk menerima Islam yang dikurniakan oleh Allah kepada setiap manusia. Apabila mereka memeluk Islam bererti mereka kembali kepada fitrah.

Contoh yang lain adalah seperti seorang yang belayar di lautan. Ketika menghadapi ribut taufan dan ombak besar yang menghempas kapal; ia sedar tidak ada yang dapat menolong melainkan Allah. Walaupun dalam keadaan biasa ia tidak beriman atau tidak percaya kepada Tuhan. Tetapi dalam keadaan kritikal antara hidup dan mati, tidak ada yang terlintas di hati melainkan memohon pertongan Tuhan. Inilah fitrah yang ada pada diri manusia iaitu fitrah yang mengakui kewujudan Allah Tuhan Pencipta dan mengakui Wahdaniyah-Nya (keEsaan Allah).

Firman Allah dalam Surah Luqman ayat 32:

وَإِذَا غَشِيَہُم مَّوۡجٌ۬ كَٱلظُّلَلِ دَعَوُاْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ فَلَمَّا نَجَّٮٰهُمۡ إِلَى ٱلۡبَرِّ فَمِنۡهُم مُّقۡتَصِدٌ۬‌ۚ وَمَا يَجۡحَدُ بِـَٔايَـٰتِنَآ إِلَّا كُلُّ خَتَّارٍ۬ كَفُورٍ۬

“Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya) dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.”

Sebahagian besar orang-orang kafir membiarkan rasa hati mereka berlalu begitu sahaja tanpa mengambil tindakan untuk mencari hidayah melalui kajian tentang konsep ketuhanan yang sebenar melalui ajaran Islam.

Orang mukmin sentiasa menjaga amanat yang agung ini. Mereka tidak membiarkan fitrah mereka menyeleweng dari jalannya yang lurus supaya fitrahnya tetap kekal menunaikan amanatnya mengakui kewujudan Allah dan Wahdiyah-Nya. Kemudian barulah datang amanat-amanat yang lain mengekori amanat yang agung itu.

Janji yang sanggup dilaksanakan oleh orang beriman ialah menjadikan Allah sebagai saksinya dan menunaikannya dengan semangat taqwa dan takut kepada Allah.

Kelompok muslimin bertanggungjawab terhadap seluruh amanat dan tanggungjawab terhadap segala perjanjian dengan Allah Ta’ala dan segala tanggungjawab yang meliputi segala suruhan dan larangan Allah yang terbit daripada perjanjian itu.

Ayat 8 dari Surah al Mu’minun:

وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمۡ وَعَهۡدِهِمۡ رَٲعُونَ (٨

“Orang-orang yang memelihara amanat-amanat dan janji-janji mereka.”

Orang mukmin sentiasa patuh memelihara amanat dan janji-janji mereka. Itulah sifat mereka yang tetap di setiap masa. Kehidupan sesebuah masyarakat tidak akan betul melainkan segala amanat yang ada padanya ditunaikan dengan sempurna dan segala perjanjiannya dipelihara dan dikotakan. Masyarakat tidak akan betul melainkan apabila setiap anggotanya yakin dan percaya kepada dasar asasi kehidupan bermasyarakat, iaitu dasar amanat yang perlu untuk melahirkan kepercayaan, keamanan dan ketenteraman.

Pada hari ini kita dapati masyarakat yang rosak bermula dari institusi keluarga yang porak peranda. Mereka tidak memahami amanat yang ada pada diri masing-masing. Amanat sebagai individu muslim. Amanat sebagai suami atau isteri. Amanat sebagai anak yang bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Dan pelbagai amanat lagi. Jika amanat yang paling ulung dan utama terhadap Pencipta iaitu Allah tidak dapat dijaga dan dipatuhi mana mungkin amanat yang lain dapat dipenuhi.

Pada hari ini kita dengar pelbagai kes pecah amanah. Anak-anak menderhaka kepada ibu bapa. Suami tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak. Isteri yang curang kepada suami dan lain-lain lagi. Semuanya bermula apabila mereka tidak memelihara amanat mereka terhadap Allah.

Rujukan:

Asy Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, Tafsir Fi Zilalil Quran – Di Bawah Bayangan Al Quran Jilid 11, terjemahan Yusoff Zaky Haji Yacob, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 2002

Monday, February 14, 2011

Halangan dalam mengenal Allah - Akibat dorongan nafsu syahwat dan syubhat

Ma’rifatullah (mengenal Allah) adalah perkara utama yang harus disempurnakan oleh seseorang muslim. Dengan mengenal Allah kita akan mendapat kebaikan di antaranya adalah peningkatan iman dan taqwa. Di samping itu dengan mengenal Allah akan tumbuh ketenangan, keberkatan dan kehidupan yang baik, serta di akhirat dibalas dengan syurga Allah. Semua ini adalah bergantung kepada keredhaan Allah.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa halangan dalam mengenal Allah. Ada yang didukung oleh iblis yang menggoda anak cucu Adam agar terus berada dalam kesesatan dan jauh dari petunjuk Allah SWT dan ada yang berasal dari hawa nafsu.

Halangan dalam mengenal Allah muncul dalam bentuk penyakit syahwat seperti fasiq, takabbur, zalim dan dusta. Di samping itu halangan juga dalam bentuk salah faham atau syubhat kepada Islam dan Allah seperti jahil, ragu-ragu dan menyimpang dari perintah Allah. Kesemua sifat di atas menyebabkan berlaku kekufuran terhadap Allah SWT.

Penghalang kepada mengenal Allah akan mengakibatkan kita dimurkai Allah SWT khususnya yang diakibatkan oleh penyakit syahwat seperti adanya kesombongan dan kezaliman pada diri individu. Oleh itu perlu dilakukan mujahadah untuk mengatasi kemurkaan Allah tersebut.

Sifat sombong seringkali muncul pada diri manusia yang mempunyai sifat berikut:

i. merasa bahawa segala sesuatu merupakan hasil usahanya dan bukan kerana ketentuan Allah.

ii. Merasa diri paling benar, paling hebat dan paling mampu.

Manakala penyakit syubhat (ragu-ragu) muncul kerana kurangnya ilmu pada diri manusia khususnya ilmu terhadap nilai-nilai Islam. Kejahilan dan keraguan akan menyebabkan timbul sikap menentang Allah SWT. Hal ini berlaku kerana tiada ilmu dan bodoh. Selain itu, maklumat yang tidak lengkap dan tidak jelas juga mengakibatkan pemikiran dan sikap yang syubhat kepada Islam dan kewujudan Allah SWT.

Penghalang mengenal Allah yang diakibatkan oleh penyakit syubhat seperti adanya kebodohan, ragu-ragu dan lalai perlu diatasi dengan ilmu. Dengan ilmu kita tidak lagi menjadikan sesuatu sebagai syubhat sehingga kita tidak menjadi orang yang sesat. Oleh kerana itu setiap muslim perlu berilmu agar dapat mengatasi pelbagai penghalang dalam mengenal Allah.

Penyakit nafsu yang menghalang dalam mengenal Allah termasuklah fasiq, sombong, zalim, dusta dan banyak dosa. Penyakit nafsu banyak diceritakan dalam kisah para nabi bermula semenjak Nabi Adam hingga Nabi Muhammad SAW . Sikap mengikuti atau menuruti hawa nafsu sehingga ke tahap mempertuhankan hawa nafsu digambarkan dalam al Quran surah Al Jasiyah ayat 23:

أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ ۥ هَوَٮٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٍ۬ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَـٰوَةً۬ فَمَن يَہۡدِيهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِ‌ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ (٢٣

“Orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Allah membiarkan sesat berdasarkan ilmunya dan Allah mengunci mati pendengaran dan hatinya. Dan meletakkan tutupan atas penglihatannya.” (Surah Al Jasiyah ayat 23)

Godaan wanita juga dikaitkan dengan penyakit nafsu. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Tiada aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi kaum lelaki daripada fitnah wanita”.

Terdapat pelbagai kisah di dalam Al Quran yang menceritakan kisah godaan wanita seperti kisah Nabi Adam yang digoda untuk memakan buah khuldi yang dilarang oleh Allah. Begitu juga kisah Nabi Yusuf yang digoda oleh wanita cantik serta berkedudukan tinggi di negara Mesir sehingga baginda rela dipenjarakan daripada memenuhi nafsu wanita berkenaan.

Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa wanita yang beriman merupakan perhiasan dunia yang boleh membahagiakan seorang suami yang beriman. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Dunia merupakan harta benda, dan harta benda yang paling baik ialah wanita yang solehah. Jika dipandang, ia menyenangkannya, jika disuruh ia taat, jika ditinggal pergi ia menjaga kehormatan dirinya dan harta suaminya.”

Sebagai manusia kita sangat mudah terpengaruh dengan dorongan hawa nafsu sehingga menyebabkan fitrah atau hati nurani kita tertutup daripada nilai kebenaran yang dapat membawa kepada mengenal Allah.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 14:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٲتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَـٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِ‌ۗ ذَٲلِكَ مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُ ۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ (١٤

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)”.

Rujukan:

Dr Irwan Prayitno, Msc, Keperibadian Muslim, Pustaka Tarbiatuna, Jakarta, Jun 2010.

Friday, February 11, 2011

Watak Orang Mukmin

Setiap orang mukmin perlu mempunyai sifat sebagai seorang mujahid yang bertaubat, beribadah, sujud, memuji Allah, melawat atau berjalan dalam rangka dakwah, menyuruh kepada makruf dan mencegah mungkar serta memelihara hukum Allah.

Perasaan cinta kepada Allah akan menjadikan kehidupan orang mukmin sentiasa dihiasi dengan watak seorang mujahid iaitu:

i. sentiasa bertaubat, memohon ampun dari dosa dan menghindarkan diri dari melakukan maksiat
ii. Sentiasa mengabdikan diri kepada Allah SWT sama ada dalam keadaan lapang atau sempit dengan pengabdian yang ikhlas.
iii. Sentiasa memuji dan menyanjung dan mengagungkan Allah SWT dalam pelbagai keadaan dan kesempatan yang ada.
iv. Melawat atau berjalan dalam rangka dakwah, mencari ilmu yang memberi kemanfaatan bagi Islam dan kaum muslimin, bertafakur / tadabbur tentang alam dan realiti permasalahan umat.
v. Sentiasa ruku’ dan sujud iaitu menghinakan diri dengan tidak sombong terhadap kehendak dan kemahuan Allah SWT.
vi. Menyuruh kepada makruf (kebaikan)
vii. Mencegah mungkar dan perkara yang dibenci oleh Allah.

viii. Menjaga hukum Allah iaitu melaksanakan hukum Al Quran pada dirinya dan memperjuang agar terlaksanakan dalam masyarakat.

Firman Allah dalam Surah At Taubah ayat 112:

ٱلتَّـٰٓٮِٕبُونَ ٱلۡعَـٰبِدُونَ ٱلۡحَـٰمِدُونَ ٱلسَّـٰٓٮِٕحُونَ ٱلرَّٲڪِعُونَ ٱلسَّـٰجِدُونَ ٱلۡأَمِرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱلنَّاهُونَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ وَٱلۡحَـٰفِظُونَ لِحُدُودِ ٱللَّهِ‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ (١١٢)

(Mereka itu ialah): Orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).

Rujukan:

Dr Irwan Prayitno, Msc, Keperibadian Muslim, Pustaka Tarbiatuna, Jakarta, Jun 2010.

Thursday, February 10, 2011

Cinta kepada Allah

Hubungan seorang mukmin dengan Allah merupakan hubungan ubudiyah (pengabdian). Hubungan ini mengandungi tiga unsur iaitu cinta, perniagaan dan amal atau jihad.

Orang yang hatinya berpaut kuat dengan Allah tidak akan ada lagi ruang di sudut hatinya untuk mencintai yang lain lebih dari Allah sendiri. Kalaupun ia cinta kepada sesiapa maka cintanya itu adalah kerana Allah sama ada kasih kepada saudara, isteri, anak atau sesiapa sahaja.

Firman Allah dalam surah At Taubah ayat 24:


قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُڪُمۡ وَإِخۡوَٲنُكُمۡ وَأَزۡوَٲجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٲلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةٌ۬ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡڪُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٍ۬ فِى سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِىَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِينَ (
٢٤)

“Katakanlah: "Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalan nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan KeputusanNya". dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Kesan daripada persaksian kalimah syahadah akan lahir dalam bentuk amalan dalam kehidupan seharian. Antaranya adalah seperti bertaubat, mengabdikan diri semata-mata kepada Allah, sujud, patuh kepada segala perintah Allah, menyuruh kepada makruf dan mencegah mungkar serta memelihara hukum Allah.

Cinta kepada Allah akan melahirkan rasa kecintaan kepada apa sahaja yang dicintai oleh Allah. Di samping itu ia membuat orang mukmin redha atas apa sahaja ketentuan Allah.

Antara tanda cinta kepada Allah ialah rasa seronok untuk membaca Al Quran dan hati rasa gementar tatkala nama Allah disebut. Ibarat orang yang bercinta akan merasa seronok untuk membaca surat yang dikirim oleh kekasihnya secara berulang kali.

Firman Allah dalam Surah Al Anfal ayat 2:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُہُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتُهُ ۥ زَادَتۡہُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ (٢)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”

Pada hakikatnya semua manusia miskin dan faqir, tidak memiliki sesuatupun termasuk dirinya sendiri. Semua yang ada adalah milik Allah SWT. Allah menawarkan kepada orang mukmin suatu perniagaan yang melibatkan jualan apa-apa yang bukan dimilikinya kepada Allah. Perniagaan ini memberikan keuntungan yang sangat besar di pihak orang mukmin.

Penawaran Allah SWT untuk berjual beli kepada orang mukmin baik harta atau jiwanya dengan syurga yang dimiliki Allah merupakan suatu keuntungan besar yang dapat membawa kebebasan dari neraka. Suatu perniagaan yang tidak akan merugikan. Perniagaan yang tiada unsur penipuan atau manupulasi.

Firman Allah dalam surah As Saff ayat 10 - 12


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ (
١٠) تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (١١) يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةً۬ فِى جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ (١٢)

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (10) Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (11) (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar

Firman Allah dalam surah Fatir ayat 29:


إِنَّ ٱلَّذِينَ يَتۡلُونَ كِتَـٰبَ ٱللَّهِ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُواْ مِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ سِرًّ۬ا وَعَلَانِيَةً۬ يَرۡجُونَ تِجَـٰرَةً۬ لَّن تَبُورَ (
٢٩)

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.”

Rujukan:

Dr Irwan Prayitno, Msc, Keperibadian Muslim, Pustaka Tarbiatuna, Jakarta, Jun 2010.