Thursday, October 29, 2009

TASAWWUR KEIMANAN (Siri 1)

TASAWWUR KEIMANAN YANG SYUMUL KEPADA ALLAH

Pendahuluan

Apabila kita memperkatakan atau menganalisis tajuk ini bererti secara lansung kita menyentuh tentang ‘Aqidah Islamiyyah. Ia adalah suatu perkara yang berat dan serius. Berat dan serius kerana jika silap memberi pengertian dan kefahaman atau penganalisisan bermakna menerjunkan diri ke medan syirik. Penyelewengan ‘aqidah sekaligus adalah penyelewengan dalam kehidupan.

Syirik tidak diampun

Syirik adalah kesalahan yang besar di sisi Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampun dosa-dosa syirik dan dia mengampun segala dosa selainnya bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Barang siapa yang telah menyekutukan Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa besar.”
-Surah an-Nisa’: ayat 48

Iman atau aqidah yang benar akan memisahkan seseorang daripada syirik. Aqidah yang benar akan melahirkan amal yang soleh (al-A’mal al-Salehah) yang diterima Allah Subhanahuwata’ala dan syirik akan melahirkan jerja-kerja fasad yang ditolak Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal saleh, (bahawa) untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.”
-Surah al-Maidah: ayat 9.

“Mereka itu melakukan kerosakan di muka bumi dan mereka itulah golongan yang rugi.”
-Surah al-Baqarah: ayat 27.

Dua Golongan
Persoalan iman ini akhirnya akan menatijahkan kelahiran dua golongan manusia. Pertama ialah golongan yang taatkan Allah Subhanahuwata’ala serta mendapat keredhaan-Nya di dunia dan akhirat. Kedua ialah golongan yang ingkar dan kufur serta menjadi musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala di dunia hingga akhirat.

Empat aspek

Di sini kita akan kemukakan empat aspek penting yang berkaitan dengan iman dan dasar-dasarnya, iaitu:

1) Pengertian beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala.
2) Kefahaman yang syumul lagi berfungsi.
3) Nilai dan kesan dalam penghayatan.
4) Kesimpulan.

1) Pengertian beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala

Beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala bererti seseorang Muslim itu mempelajari, memahami dan mempercayai dengan penuh yakin akan sesuatu yang wajib bagi Allah Subhanahuwata’ala dari segala sifat-sifat kesempurnaanNya, dan sesuatu yang mustahil bagiNya dari semua yang berlawanan dengan sifat-sifat wajib itu. Begitu juga, yakin dengan sifat-sifat yang harus bagi Allah Subhanahuwata’ala. Dengan lain perkataan, secara umumnya, seseorang Muslim wajib beri’tiqad bahawa segala sifat kesempurnaan itu adalah hak Allah Subhanahuwata’ala semata-mata, samada sifat-sifat itu yang berbentuk Uluhiyyah atau pun Rububiyyah. Begitu juga sebaliknya, segala sesuatu yang tidak sempurna tidak layak diletakkan kepada Zat Yang Maha Kudus itu.

Beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala juga bermaksud seseorang Muslim wajib beri’tiqad bahawa di sebalik alam kebendaan yang nyata ini, sudah wujud suatu Zat yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera lahiriah manusia. Pada Zat itu terkumpul segala kekuasaan mutlak. PadaNya sahaja ada sifat-sifat Maha Kuasa, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Pentadbir. Zat itu adalah punca kejadian segala makhluk dan segala yang akan berlaku ke atasnya. Zat itu punca hidayah, nur dan al-Haq bagi manusia sejagat. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Tiada Tuhan melainkan Dia, Yang menghidupkan dan yang mematikan. (Dialah) Tuhanmu dan Tuhan bapak-bapakmu yang terdahulu.”
-Sirah ad-Dukhan: ayat 8.

Itulah Zat yang Qudus, Agung lagi amat Unik yang kita beriman kepadaNya dengan sepenuh keimanan. Keimanan yang tercerna ke dalam amalan-amalan hati dan amalan-amalan lahir yang iltizam dan intizam kepada Islam dalam kehidupan yang menyeluruh.

Beriman dengan kewujudan Allah Subhanahuwata’ala dan keesaan-Nya, dapat dijelaskan lagi hati yang yakin bahawa kejadian bagi semua makhluk di alam ini adalah di bawah kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala yang mutlak. Allah Subhanahuwata’ala terhindar daripada sebarang bentuk pengkongsian atau pensyarikatan dalam keesaan, keagungan dan kekuasaan-Nya. Allah Subhanahuwata’ala tersisih sama sekali daripada keserupaan dengan makhluk-makhlukNya dalam zat dan sifatNya.

Segala bentuk pengabdian, pemujaan, pengembalian, perlindungan dan kepatuhan hanya sanya kepada Allah sahaja. Tiada pencipta dan pentadbir selain daripada-Nya. Justeru itu, bersyahadah dengan kalimah tauhid mencerminkan kesempurnaan tuntutan ‘aqidah yang meliputi ciri-ciri Rububiyyah dan Uluhiyyah. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud: “Katakanlah: Dialah Allah Yang maha Esa. Allah adalah tempat pergantungan bagi segala sesuatu. Ia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak seseorang pun yang setara dengan-Dia.”
-Surah al-Ikhlas: ayat 1-4.

“Tuhan yang memelihara langit dan bumi dan apa yang terdapat di antara keduanya, jika kamu adalah orang-orang yang meyakini. Tiada Tuhan melainkan Dia, yang menghidupkan dan mematikan. (Dialah) Tuhanmu, Tuhan bapa-bapa kamu terdahulu.”
-Surah ad-Dukhan: ayat 7-8.

Beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala Yang Tunggal juga bererti kita hanya bergantung kepada Allah Subhanahuwata’ala. Ketunggalan Allah meliputi hakNya memiliki sifat-sifat Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Kuat. Ketunggalan Allah Subhanahuwata’ala juga meliputi kemampuanNya memberikan rahmat dan nikmat, atau sebaliknya. Alam dan segala makhluk di dalamnya yang begitu tersusun dan terpelihara semata-mata bergantung serta patuh kepada kekuasaan-nya Yang Maha Tunggal.

Lebih jauh dari itu, alam semesta ciptaan Allah yang rapi dan halus susunannya adalah rahmat Allah kepada semua makhluk terutama insan. Dengan ini, keyakinan dan kepatuhan kepada syari’at Allah Subhanahuwata’ala adalah wajib setelah meyakini wujudnya Allah Subhanahuwata’ala yang tunggal dan berkuasa mutlak. Atau dengan kata lain, kesempurnaan keimanan kita kepada Allah Subhanahuwata’ala adalah kesempurnaan penghayatan syari’at Allah Subhanahuwata’ala dalam kehidupan yang menyeluruh. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Sesunggunya orang-orang yang menyatakan: Tuhan kami ialah Allah. Kemudian mereka tetap istiqamah maka tiada ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka pula tidak berdukacita.”
-Surah al-Ahqaf: ayat 13.

Islam menuntut setiap penganutnya supaya beriman dengan penuh kefahaman dan keyakinan. Keimanan yang berfungsi. Kewujudan sesuatu dan semua bentuk kebaikan mestilah tunduk kepada ketentuan Allah Subhanahuwata’ala sahaja. Tiada perhambaan melainkan kepada Allah Subhanahuwata’ala jua. Tiada sebarang perantaraan di dalam semua hal di antara Allah Subhanahuwata’ala dan hamba-hamba-Nya.

Tasawwur keimanan yang benar tidak hanya terbatas dalam skop pengajian sifat dua puluh dan masalah-masalahnya sahaja. Malah skopnya meliputi perkembangan kehidupan itu sendiri. Amat tepat bahawa beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala sebagai rukun Iman pertama membataskan seluruh pengabdian manusia berada dalam rangkaian dua kalimah syahadah. Keimanan yang istiqamah akan mampu membawa manusia hidup dengan jaya dan menemui Allah Subhanahuwata’ala dengan rasa puas, senang dan tenang. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang mengatakan bahawa: Tuhan kami adalah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah maka tiada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka pula tidak berdukacita. Mereka itulah penghuni-penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya, sebagai balasan atas apa yang mereka telah kerjakan.”
-Surah al-Ahqaf: ayat 13-14.

“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan mereka: “Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?” Tentulah mereka akan menjawab: “Allah”, maka betapalah mereka (dapat) dipalingkan (daripada jalan yang benar). Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia pula yang menyempitkan baginya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka; “Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”, Katakanlah: “Segala pujian bagi Allah,” tetapi kebanyakkan mereka tidak mengetahuinya.”
-Surah al-Ankabut: ayat 61-63.

Setiap hati yang beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala hendaklah tetap yakin segala tindakan dalam hidupnya mestilah berdiri di atas aqidah ini. Semua ciri keimanan samada yang pokok, cabang mahu pun ranting tidak boleh bangun tegak tanpa berdiri di atas asas aqidah. Begitu juga, semua unsur Islam yang berupa pokok, cabang, ranting dan sebagainya tidak boleh diterima sebagai Islam kiranya tidak dibangunkan atau didirikan di atas tapak ‘aqidah dan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Beriman kepada malaikat-malaikat Allah Subhanahuwata’ala, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-nya, hari akhirat dan qadar baik serta buruk-Nya akan gugur dengan sendirinya tanpa wujud keimanan yang jelas kepada Allah Subhanahuwata’ala terlebih dahulu, meski pun perkara-perkara tersebut dikira sebagai rukun-rukun iman juga.

Ibadah-ibadah khusus seperti solah, zakat, puasa dan haji, amalan-amalan yang halal dan haram, semua bentuk muamalah dan keseluruhan ibadah umum dengan sendirinya akan terbatal andainya semua itu tidak didasarkan kepada keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Hanya hati yang bercahaya, fikiran yang dibimbing oleh hidayah, perasaan yang terbentuk dengan nur Allah Subhanahuwata’ala dan nafsu yang terdidik, yang akan sujud kepada Allah Subhanahuwata’ala sepenuhnya. Perkara-perkara sebegini telah benar-benar berlaku dalam masyarakat Islam pertama yang dikenali sebagai generasi al-Quran yang unik. Kehidupan generasi ini bangun di atas kaedah yang jelas. Asas keimanan dan tauhid yang masuk ke dalam lubuk hati mereka menguasai kehidupan.

Inilah sahaja satu asas atau kaedah bagi umat Islam untuk hidup. Tiada kehidupan Islam tanpa ditegakkan di atas keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala terlebih dahulu. Begitu juga, tiada kehidupan Islam jika dibangunkan di atas kaedah yang lain. Juga, tiada kehidupan Islam sekiranya sebahagian sahaja daripada kehidupan itu ditegakkan atas asas aqidah Islamiyyah sedangkan sebahagian yang lain pula ditegakkan atas aqidah yang bukan Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Kamu tidak menyembah yang selain Allah, kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyang kamu membuat-buatnya. Allah tidak menurun sesuatu keteranganpun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah keputusan Allah. Dia telah memerintahkan kamu agar tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
-Surah Yusuf: ayat 40.

No comments:

Post a Comment