Sunday, October 11, 2009

AL QURAN MENDIDIK UMMAH (Siri 2)

PROSES PEMBENTUKAN ADALAH IRADAH ALLAH

Ummah terbaik itu dikenali sebagai generasi al-Quran. Ummah itu natijah daripada tarbiyyah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berdasarkan wahyu Allah Subhanahuwata’ala. Tarbiyyah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berjalan selama 23 tahun - 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Tiga belas tahun di Mekah adalah masa pembinaan dan pengukuhan aqidah Islamiyyah. Sepuluh tahun di Madinah adalah masa penegakan undang-undang dan hukum-hukum yang mengurus dan mengatur masyara­kat dan daulah Islamiyyah yang dibentuk Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Al-Quran membina dan mendidik aqidah ummah itu dalam jangka masa yang begitu lama kerana menurut iradah (kehendak) Allah Subhanahuwata’ala. Jika Allah Subhanahuwata’ala mahu, Allah Subhanahuwata’ala boleh menurunkan ayat-ayat al-Quran secara lengkap sekaligus lalu dibiarkan ummah itu mempelajari dan memahaminya. Sebenarnya iradah Allah Subhanahuwata’ala tidak sedemikian. Allah Subhanahuwata’ala menghendaki satu sistem tertentu dan unik dalam pembi­naan ummah. Pembentukan aqidah berjalan serentak dengan kematan­gan ummah dan selaras dengan penurunan ayat-ayat al-Qur'an yang beransur-ansur. Allah Subhanahuwata’ala menghendaki agar ummah itu dibina dengan aqidah Islamiyyah, selepas itu Islam yang syumul dapat dipraktikkan dengan baik.

Din al-Islam adalah Din Rabbani. Sistem untuk melaksanakannya juga Rabbani. Sistem ini tidak boleh dipisahkan atau diketepikan. Lantaran Din al-Islam didatangkan oleh Allah Subhanahuwata’ala untuk membina aqidah dan membentuk ummah, maka sudah tentu sistem pembinaan dan pembentukan itu merupakan perencanaan atau perancangan Allah Subhanahuwata’ala yang tidak boleh dipandang sepi.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit. "
(Surah al-Isra': ayat 106)

Cara penurunan al-Quran merupakan perencanaan Allah Subhanahuwata’ala dalam proses pembentukan dan pembinaan ummah agar aqidah Islam benar-benar terbentuk, menjadi pegangan dan lahir dalam pergerakan hidup, bukan sekadar teori atau pengetahuan semata-mata.

KEMUNCAK NATIJAH

Terbukti dalam sejarah kemanusiaan, didikan al-Qur'an telah melahirkan generasi yang benar-benar mendokong al-Quran dan as-Sunnah. Itulah proses didikan yang telah menghasilkan generasi Muslimin sejati dan berwibawa mengepalai pimpinan alam ke arah kesejahteraannya. Generasi yang melengkapi sifat-sifat kepimpinan yang tinggi dan mulia, yang mengandungi pemuda-pemuda yang berji­wa Tauhid dan tidak dipengaruhi atau terpengaruh dengan nilai-nilai keduniaan. Cita-cita mereka ialah memenangi keredhaan Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Mereka sentiasa bersedia menyahut panggilan Iman dan memandang kehidupan jahiliyyah tidak bernilai. Nilai mereka sebenar ialah nilai Allah Subhanahuwata’ala.

Setiap wakil atau delegasi yang dikirimkan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ke sesuatu tempat akan bertindak menurut apa yang dikehendaki Allah Subhanahuwata’ala dan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Perhatikanlah sikap Mu'az bin Jabal r.a. yang menjadi wakil Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ke Negeri Yaman. Sebelum beliau bertolak ke Yaman, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah menguji beliau dengan katanya yang bermaksud:

"Wahai Mu'az! Bagaimanakah kamu hendak lakukan jika dikemu­kakan sesuatu masalah kepadamu?"

Jawab Mu'az, "Saya akan berhukum dengan apa yang tersebut di dalam Kitab Allah."

Baginda bertanya lagi, "Bagaimana pula jika tidak kedapatan di dalam Kitab Allah?"

Jawab Mu'az, "Saya akan berhukum menurut Sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam."

Baginda bertanya lagi, " Bagaimana jika tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam?"

Jawab Mu'az, "Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan."

Kemudian Rasulullah SAW berkata, "Alhamdulillah, Allah yang telah memberi pertunjuk kepada utusan Rasu­lullah mengikut cara yang diperkenankan Rasulullah."

Jawapan yang diberikan oleh Mu'az itu membuktikan bahawa pegangan hidup generasi sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah syari'at Allah Subhanahuwata’ala sahaja. Mereka meletakkan tuntutan al-Quran di tempat pertama dalam hidup mereka. Mereka benar-benar terdidik dengan al-Quran bahkan kebanyakkan dari meraka adalah Huffaz (penghafaz-penghafaz) al-Quran. Dalam tragedi Bi'r al-Ma'unah terdapat 70 orang sahabat huffaz telah gugur syahid. Dalam peristiwa al-Yamamah pada zaman Khalifah Abu Bakr as-Siddiq terdapat 70 para huffaz telah syahid di suatu masa seperti yang pernah dijelaskan oleh Imam al-Qurthubi.

No comments:

Post a Comment