Saturday, October 31, 2009

ERTI MENERIMA ISLAM

Ragam manusia hari ini menerima Islam

Ramai orang telah berpuas hati dengan mengakui menganut Islam. Persoalan yang kita perlu fikirkan, apakah telah memadai dengan pengakuan sahaja? Jawapannya, apabila kita menganut din Islam tidaklah memadai dengan pengakuan sahaja tanpa memenuhi tuntutan-tuntutannya.

Ramai juga orang yang menganggap bahawa apabila ibubapa mereka Islam maka mereka pun terus menjadi Islam sebenar walau pun tidak melaksanakan hak-haknya. Sesungguhnya, Islam itu bukanlah suatu warisan. Juga, Al-Quran bukanlah suatu warisan daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam semata-mata. Al Qur’an merupakan kitab Allah Subhanahuwata’ala yang diturunkan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam untuk difahami dan dijadikan panduan hidup ummat manusia.

Ramai juga orang yang memeluk Islam seperti suatu hobi atau suatu fesyen yang mempamerkan diri secara zahir sahaja melalui pakaian atau beberapa amal ibadah seperti solah.

Erti menerima Islam

Islam adalah din (peraturan hidup) yang ditentukan Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala yang menjaga kepentingan Islam. Manusia yang menerima Islam bererti mengambil Allah Subhanahuwata’ala sebagai Ilah dan Rabb. Dia tidak mempunyai pilihan lain melainkan mesti melahirkan Islam dalam praktik kehidupan meliputi semua lapangan hidup

Manusia yang menolak Islam bererti menolak Allah Subhanahuwata’ala sebagai Ilah. Bermakna, dia telah memindahkan Ilahnya daripada Allah Subhanahuwata’ala kepada yang lain, berkemungkinan hawa nafsu atau pemikiran atau perasaan atau syaitan serta kuncu-kuncunya.

Sesungguhnya apabila seseorang memeluk Islam, dia mestilah menganut Islam sepenuhnya, iaitu dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Apa sahaja yang dilakukannya samada berfikir, bercakap dan bertindak mestilah mengikut cara Islam. Begitu juga, daripada urusan peribadi hinggalah urusan pemerintahan mestilah mengikut cara Islam. Dengan kata lain, semua tingkahlakunya hendaklah tidak terkeluar daripada Islam. Apabila seseorang memeluk Islam, dia mestilah berpegang teguh dengannya dalam apa keadaan sekali pun. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah menggambarkan bahawa di akhir zaman seorang muslim mesti berpegang dengan sunnah baginda walau pun hingga terpaksa menggigitnya dengan geraham sampai mati.

Kita perlu memenangkan Islam dalam setiap masa dan tindakan. Kita perlu berkeyakinan penuh bahawa Islam mempunyai masa depan yang cemerlang. Masa depan adalah untuk Islam, bukan untuk sistem hidup yang lain.

Sesuaikan diri dengan Islam

Manusia yang menerima Islam mestilah menyesuaikan diri dengan Islam. Adalah suatu kesilapan bagi orang yang menyesuaikan Islam dengan kehendak dirinya. Atau dia mengambil Islam sebagai tempelan-tempelan sahaja dan tidak mengambil Islam sebagai suatu cara hidup yang syamil dan kamil.

Islam adalah din yang lengkap dan menyeluruh yang ditentu dan diturunkan Allah Subhanahuwata’ala. Islam mencakupi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia. Manusia yang menerima Islam mestilah menyesuaikan dirinya dengan kehendak Islam dalam semua urusan kehidupan.

Hati yang cemas

Din Islam tidak lahir dalam praktik hidup masyarakat kini. Hati yang beriman perlu merasa cemas apabila melihat sistem Islam tidak wujud di muka bumi. Hati yang cemas tidak akan berdiam diri daripada bertindak untuk menyelamatkan manusia yang berada dalam keadaan sedemikian. Sesungguhnya hati yang beriman hendaklah mengambil Islam sebagai sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Pada masa yang sama mengenepikan sistem-sistem hidup yang lain secara keseluruhannya. Islam tidak mungkin dapat mengisi suatu tempat yang masih terisi sistem jahiliyyah kecuali tempat itu dikosongkan dahulu.

Hati-hati akan berkumpul

Hati yang sedar dan insaf mula mencari hati-hati yang turut merasai hakikat yang sama. Mereka akan berhubung dan berkumpul untuk membentuk suatu kehidupan yang diredhai Allah Subhanahuwata’ala. Inilah tindakan hati-hati yang beriman. Allah Subhanahuwata’ala mengetahui segala rahsia hati. Mereka berkumpul semata-mata untuk mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Mereka gugurkan segala tujuan yang lain.

Wajib mengikuti jalan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam

Islam tidak akan lahir semula melainkan dengan mengikuti jalan yang asal. Jalan yang asal ialah jalan yang telah dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang dibimbing oleh Allah Subhanahuwata’ala. Kita mesti faham dan yakin kepada jalan Rabbani ini. Ia dirancang oleh Pencipta Din itu sendiri. Kita tidak berhak untuk membuat sebarang pindaan terhadap cara (uslub)nya. Kita hanya wajib untuk mematuhi dan mengikut jalan-jalan yang telah dianjurkan itu.

Kita mestilah bermula dengan langkah yang telah di mulakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Jalan tarbiyyah yang kita perlu ikuti ialah jalan tarbiyyah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Tarbiyyah Islamiyyah memerlukan hati-hati yang menyerah sepenuhnya untuk dididik. Hati-hati yang tidak diserahkan sepenuhnya kepada tarbiyyah Islamiyyah tidak akan berkesan dengan sempurna. Ini kerana hati-hati itu sedang mengalami penyakit-penyakit hati seperti sombong, takabbur, riya’ dan sebagainya.

Begitu juga, Islam sebagai din bukanlah boleh diwujudkan dalam praktik hidup secara kebetulan tetapi ia adalah satu natijah (hasilan) daripada tarbiyyah (pendidikan). Tarbiyyah yang dirancang, direncana dan disusun dengan rapi serta berhati-hati dan melalui ransangan-ransangan serta bimbingan-bimbingan yang bertujuan untuk melahirkan manusia yang Islam dalam pemikiran, aqidah, akhlaq, jiwanya dan segala tindakan.

Islam perlukan pejuang

Sesungguhnya setiap sistem memerlukan rijal-rijal (pejuang-pejuang). Marilah kita menyahut panggilan untuk menjadi pejuang-pejuang Din Islam, bukan pejuang-pejuang taghut. Allah Subhanahuwata’ala akan membantu orang yang membantu Din-Nya.

No comments:

Post a Comment