Wednesday, October 21, 2009

SISTEM AKHLAK ISLAM (Siri 6 - Akhir)

CARA-CARA MEMBENTUK AKHLAK

Dalam usaha merubah dan meningkatkan akhlak, terdapat beberapa cara yang terpenting:

1) Berilmu. Yang dimaksudkan dengan ilmu di sini ialah ilmu tentang pelbagai akhlak baik yang diperintahkan dan akhlak keji yang dicela oleh din Islam. Ilmu ini sangat penting kerana tanpa ilmu seseorang tidak akan tahu mana akhlak yang harus diamalkan dan mana akhlak yang harus ditinggalkannya. Islam sentiasa mendorong seseorang muslim untuk mengenal pelbagai aspek akhlak sehingga dia dapat memilih akhlak yang baik dan meninggalkan akhlak yang buruk.

2) Tidaklah mencukupi bagi seorang muslim sekadar mengetahui semua akhlak yang baik, bahkan beliau perlu mengetahui betapa pentingnya akhlak yang baik itu. Ini kerana akhlak yang baik mempunyai hubungan yang rapat dengan iman dan takwa kepada Allah, dan menyebabkan beliau mendapat redha Allah dan dapat memasuki syurgaNya.

Begitu juga, perlulah difahami akhlak yang buruk kerana akhlak yang buruk adalah tanda kemunafikan dan lemahnya iman, dan menyebabkan kemurkaan Allah.

Setiap orang yang inginkan sesuatu tentulah akan gigih berusaha untuk mendapatkan apa yang diingininya. Sebaliknya, orang yang takutkan sesuatu tentulah akan berusaha menyingkirkan dirinya daripada apa yang ditakutinya.

3) Namun, belumlah mencukupi sekadar mengetahui semua akhlak yang baik dan kesannya. Bahkan ilmu itu perlu sentiasa ditanam agar tidak terlupa. Bencana bagi ilmu ialah lupa. Lupa akan menyebabkan manusia menganggap remeh akhlak yang baik dan hatinya menjadi kurang mencintai akhlak yang baik. Sedangkan hati merupakan masdar bagi amalan.

Sebab itulah Al-Qur’an menyebutkan tentang akhlak dalam pelbagai ayat dan diterangkan juga akibatnya, seperti apa yang telah menimpa datuk kita Nabi Adam ‘Alaihissalam lantaran lupa. Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak kami dapati padanya kemahuan yang kuat.
(Thaha : 115)

Di kala Umar bin Al-Khattab marah kepada seorang lelaki yang menuduhnya menghukum secara tidak adil, maka sahabat-sahabat beliau berkata kepada beliau: “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala telah berfirman yang bermaksud:
“Jadilah engkau pema'af dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang jahil.”
(Al-‘Araaf : 199)

Orang yang membuat tuduhan terhadap Umar itu ialah orang yang jahil. Apabila Umar mendengar ayat itu dibacakan kepadanya, maka beliau berkata “Kamu semua benar”, maka hilanglah kemarahannya.

Begitulah pentingnya akhlak agar selalu diingatkan. Akhlak adalah sebagian daripada iman. Akhlak adalah tanda iman dan Islam.

4) Mengukuhkan keimanan dalam hati terhadap Allah, Hari Kiamat dan Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam. Juga, menyedari bahawa dunia ini bukanlah tempat yang kekal dan manusia pasti akan menghadap Allah. Semua amal yang baik dibalas dengan kebaikan dan kemuliaan. Dan, amal yang buruk akan dibalas dengan siksaan (jika tidak mendapat keampunan dari Allah).

Apabila iman bertambah, maka akhlak akan bertambah baik. Seorang yang kuat imannya tidak akan terjerumus ke dalam akhlak yang hina kerana dia telah mendapat kekuatan daripada Allah Yang Maha Mulia sepertimana firman-Nya yang bermaksud:
“Janganlah kamu sedih oleh perkataan mereka. Sesungguhnya kekuasaan itu seluruhnya adalah kepunyaan Allah, Dialah yang Maha Mendengar Lagi Maba Mengetahui.”
(Yunus : 65)

Allah juga akan melimpahkan kemuliaan kepada setiap orang yang beriman sepertimana dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui.”
(Al-Munafiqun : 8)

Orang mukmin tidak akan merasa takut terhadap sesama makhluk kerana orang yang beriman akan merasa mulia dengan imannya. Semua perkara berada di tangan Allah samada yang baik, buruk, rezeki, hidup atau mati. Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia, dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tak ada yang dapat menolak kurnia-Nya, Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Yunus : 107)

Seorang mukmin yang merasai dirinya mulia tidak bererti beliau sombong, takabur dan ‘ujub. Ini kerana kemuliaan orang yang beriman bersumberkan imannya kepada Allah. Yang takabur, mulia dan hebat ialah Allah. Sedang yang lain sentiasa berhajat kepada-Nya dan dikuasai-Nya. Manusia adalah fakir dan tidak layak untuk takabur.

Jiwa yang tenang lahir dari iman. Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah, ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”
(Ar-Ra’d : 28)

Orang mukmin tidak gelisah atau berputus asa, bahkan beliau bertawakkal kepada Allah kerana apa yang terjadi adalah berdasarkan ketentuan dan ketetapan Allah. Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami, Dialah pelindung kami. Dan, hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal."
(At-Taubah : 51)

Orang mukmin bersifat berani dan mencintai kebenaran. Sifat ini merupakan kekuatan bagi mukmin selagimana jiwanya dikuasai oleh keimanan. Beliau tidak akan merasa dirinya hina, tidak takut atau gentar, dan tetap di atas kebenaran. Sesungguhnya kematian pasti akan datang kepada setiap yang bernyawa. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati, Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya), dan hanya kepada kamilah kamu dikembalikan”.

“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah.”
(Al Imran 145)

Merasa cukup dengan apa yang ada di tangannya adalah hasil iman, kerana seorang mukmin yakin kepada firman Allah yang berbunyi:
“Katakanlah: Sesungguhnya karunia itu di tangan Allah, Allah memberikan kurnia-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha luas kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui"
(Ali-Imran : 73)

Belaiu yakin bahawa rezeki di tangan Allah. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
“Allah meluaskan rezki dan menyempitkannya bagi sesiapa yang dia kehendaki”
(Ar-Ra’d : 26)

Begitulah, akhlak yang baik itu akan kuat dan kukuh apabila iman kuat dan kukuh. Dari iman yang kuat juga, akan tercegahlah seseorang daripada akhlak yang jahat dan buruk.

5) Membiasakan diri dengan amalan yang baik dan berakhlak baik akan mendorong jiwa untuk menerima yang baik dan menolak yang jahat. Ilmu tanpa amal tidak akan menghasilkan apa-apa. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu”
(As-Syams : 9)

Dalam ayat di atas Allah Subhanahuwata’ala tidak menyatakan bahawa beruntunglah orang-orang yang mengetahui cara-cara membersihkan jiwanya. Tetapi apa yang dikehendaki dari ayat di atas bahawa jiwa hendaknya dibersihkan dengan amal perbuatan dan membiasakan diri beramal dengan amalan-amalan yang membawa kepada kebersihan jiwa dan tersingkir dari kejahatan.

Orang sakit yang telah diberitahukan oleh doktor akan ubat yang harus dimakannya, namun jika ia sekadar mengetahui ubat itu dan tidak memakannya, maka sudah tentu dia tidak akan sembuh.

6) Melakukan ibadah yang fardhu dan yang sunat juga akan dapat membentuk akhlak. Ini kerana setiap ibadah bertujuan untuk membersihkan jiwa dan memudahkan seseorang untuk menerima akhlak yang baik serta menyingkirkan akhlak yang jahat. Ibadah adalah pembersih jiwa dan pelindung manusia daripada kejahatan. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
“Sesungguhnya shalat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.”
(Al-Ankabut : 45)

“Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka”.
(At-Taubah : 103)

Zakat akan membersihkan jiwa orang-orang kaya daripada penyakit kikir dan bakhil. Puasa mendidik manusia agar bersifat sabar, kuat kemahuan dan menghapuskan riya’. Haji mendidik jiwa secara amali. Haji adalah latihan yang aktif untuk menguasai jiwa, membina keikhlasan dan melepaskan diri daripada sifat-sifat tercela. Haji juga melatih agar bersabar, berakhlak baik, menguasai nafsu syahwat, membelanjakan harta di jalan Allah, menghapuskan sifat sombong atau bangga diri, dan menghapuskan sifat suka meremehkan orang lain.

Pelbagai ibadah, apabila diamalkan sungguh-sungguh mengikut syara’, akan membaiki jiwa dan menguatkan iman serta takwa. Semua ini akan melahirkan akhlak mulia. Sesungguhnya akhlak yang baik tidak akan tumbuh, melainkan dari jiwa yang bersih.

Oleh itu, jalan terbaik dan praktikal untuk membersihkan jiwa ialah melalui ibadah. Ibadah menggerakkan manusia agar beramal dengan akhlak yang baik dan mencegah akhlak yang buruk. Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah. Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir. Kecuali orang-orang yang mengerjakan shalat. Yang mereka itu tetap mengerjakan shalatnya. Dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bagian tertentu.”
(Al-Maa’rij: 19-24)

7) Melaksanakan amalan yang bertentangan dengan akhlak keji yang ingin dijauhi. Atau, berakhlak dengan akhlak yang bertentangan dengan kehendak syaithan. Syaithan akan gembira dengan akhlak keji dan berusaha agar akhlak keji menetap dalam diri manusia. Akhlak yang keji diperhiasi oleh syaithan agar manusia tertarik dengannya.

Apabila seorang muslim berusaha menentang akhlak buruk, maka syaithan akan marah dan lemah kerana tidak dapat menyeret manusia kepada kejahatan atau mencintai akhlak buruk. Maka, kekuatan syaithan akan berkurangan. Inilah kaedah atau ubat yang sangat mujarab untuk mengubati penyakit akhlak. Dalam sebuah hadith diterangkan seorang lelaki mengeluh kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di atas sifat keras hatinya, maka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

“Sapulah kepala anak yatim dan beri makanlah orang-orang miskin.”

Contohnya, orang yang memiliki perasaan dengki kepada orang lain harus meminta maaf dan mendoakan agar orang yang beliau dengki itu agar mendapat kelapangan. Pada masa yang sama beliau berusaha menghilangkan perasaan dengki dalam hatinya.

Orang yang sombong harus berusaha untuk menghilangkan kesombongannya dengan cara berada di tengah-tengah orang miskin dan membuat sesuatu yang dianggap hina oleh orang-orang sombong, seperti mengangkat kayu api, menyuci tandas dan sebagainya.

Semua usaha itu akan memperbaiki jiwa seperti yang diterangkan dalam hadith-hadith berikut (yang bermaksud):

“Apabila salah seorang kamu marah sedangkan ia berdiri, maka hendaklah ia duduk. Yang demikian itu akan dapat menghilangkan marahnya. Apabila tidak hilang juga, maka hendaklah ia baring.”

“Apabila salah seorang kamu marah maka hendaklah ia berwudhu’ dengan air, karena marah itu berasal dari api, sedang api hanya dapat dipadamkan dengan air.”

8) Seorang muslim yang ingin memiliki akhlak tertentu, maka hendaklah beliau melatih dirinya agar berakhlak sepertimana yang diingininya. Misalnya, jika beliau ingin menjadi seorang penyantun, maka hendaklah beliau melatih dirinya berulang-ulang dengan akhlak tersebut hinggalah jiwanya terbentuk sedemikian dan akhirnya menjadi kebiasaannya. Dalam sebuah hadis dhaif diterangkan (yang bermaksud):

“Ilmu itu diperolehi dengan belajar dan lemah lembut itu diperolehi dengan berlemah lembut”

Semasa melakukan latihan yang berulang-ulang dengan sesuatu sifat, maka beliau perlulah bersabar. Kesabaran sangat penting. Orang yang sakit akan sembuh dengan meminum ubat yang pahit dan bersabar. Apabila beliau bersabar dan berlatih terus menerus, maka akhirnya akan terkesanlah dalam jiwanya, sehingga akhlak yang dihajatinya senang dan mudah dilaksanakan. Seseorang yang inginkan tulisan yang baik, maka harus bagi beliau berulang-ulang berlatih menulis dan memperbaiki tulisan sehingga akhirnya beliau dapat menulis dengan baik serta mudah dan senang.

9) Bergaul dengan orang-orang beriman yang berakhlak baik dan mendengar nasihat-nasihat mereka. Melihat dan bergaul dengan orang-orang yang berakhlak baik dan mendengar nasihat-nasihat mereka akan mempengaruhi dan mendorong seseorang untuk mencontohi dan meniru akhlak mereka. Sepertimana pepatah ada menyatakan: Perilaku itu diambil dari perilaku juga. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi bahawa Abu Sa’id telah mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

“Janganlah kau berteman melainkan dengan orang yang beriman dan janganlah makanan kamu dimakan melainkan oleh orang yang bertaqwa”

Manusia akan meniru contoh tauladan dan sifat-sifat orang-orang yang berteman dan bergaul dengannya. Karena itulah para ulama’ salaf berpesan agar jangan bersahabat dengan ahli bid’ah, pelaku maksiat dan orang-orang yang berakhlak buruk.

10) Mencontohi contoh tauladan yang baik dan sebaik-baik contoh tauladan ialah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah.”
(Al-Ahzab : 21)

Meskipun kita tidak berkesempatan melihat amalan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, namun kita masih berkesempatan mempelajari sejarah hidup baginda. Justeru itu kita dianjurkan agar mengkaji dan mengingati sejarah hidup Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sehinggalah seolah-olah kita sedang berhadapan dengan baginda Sallallahu’alaihiwasallam.

Kita juga boleh mengambil contoh-contoh yang baik dari sejarah hidup para sahabat besar yang berakhlak tinggi, terutamanya Khulafa’ ar-Rasyidin dan sepuluh sahabat yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Kemudian, kita boleh mengambil contoh-contoh dari para sahabat yang ikut serta dalam peperangan Badar, Bai’atur Ridwan dan semua sahabat baik dari golongan Ansar mahupun dari golongan Muhajirin.

11) Menjauhkan diri daripada persekitaran yang buruk laksana menjauhkan diri daripada daerah yang dilanda wabak penyakit. Seperti, berpindah tempat dan hidup bersama-sama orang-orang yang saleh dan beriman. Dengan berada di tempat yang baik, maka akan bertambah baiklah akhlak kita dan tersingkirlah kita daripada akhlak yang buruk.

Janganlah sekali-kali kita mencuba untuk bergaul dengan orang yang jahat atau masyarakat yang jahat dengan anggapan bahawa akhlak kita telah kuat dan tidak akan terpengaruh dengan persekitaran. Anggapan sedemikian sebenarnya adalah suatu yang keliru, samalah sepeti orang yang mencuba tinggal di daerah yang dilanda wabak penyakit dengan alasan dirinya kebal daripada penyakit. Hal ini diterangkan dalam sebuah hadis yang mengisahkan seorang lelaki yang telah membunuh seratus orang dan dia bertanya kepada seorang yang ‘alim dalam din - apakah masih ada peluang baginya untuk bertaubat? Maka orang ‘alim itu menjawab:

Ya dan siapakah yang akan menghalangi engkau daripada bertaubat? Pergilah engkau ke lembah itu dan di sana engkau akan temui orang-orang yang menyembah Allah, maka sembahlah Allah bersama-sama mereka dan janganlah engkau kembali lagi ke tempat asalmu, karena tempat itu adalah sejahat-jahat tempat.

Hadis di atas menunjukkan pentingnya meninggalkan masyarakat yang jahat dan berpindah kepada masyarakat yang baik dan beriman. Karena hidup bersama-sama mereka akan membawa kita menjadi baik dan terhindar daripada kejahatan. Bi’ah masyarakat yang buruk akan membawa kita kepada kemaksiatan dan akhlak yang buruk, sebaliknya bi’ah masyarakat yang baik akan membawa kita menjadi orang-orang yang baik, taat dan bertakwa kepada Allah Subhanahuwara’ala.

12) Keinginan dan keazaman untuk berakhlak baik hendaklah selalu kita tanamkan ke dalam jiwa kita. Akhlak yang baik itu umpama permata yang sangat berharga dan perlu kita pelihara serta tidak boleh dipersia-siakan. Kita jangan sekali-kali memuji akhlak yang buruk walaupun sedikit. Ini karena seorang muslim tidak boleh sama sekali meninggalkan akhlak yang baik dan juga tidak boleh sama sekali mencuba akhlak yang buruk. Akhlak yang jahat akan menyeret manusia ke jurang kehinaan dan kehancuran. Allah Subhanahuwata’ala memuji seorang muslim yang menepati janjinya sepertimana firman-Nya yang bermaksud:
“Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepada mereka) kisah Ismail (yang tersebut) di dalam Al Quran, sesungguhnya dia adalah seorang yang benar janjinya”.
(Maryam : 54)

Dalam sebuah hadis diterangkan (yang bermaksud):

“Hindarkanlah dirimu daripada api neraka sekalipun dengan setengah biji tamar”

Akhlak yang baik, apabila dipupuk, dipelihara dan dijaga, maka ia akan berkembang dan melekat dalam jiwa seseorang. Akhlak yang baik akan membawa kepada kebaikan, akhlak yang buruk akan membawa kepada keburukan. Kebaikan akan membawa kepada kebaikan dan kejahatan akan membawa kepada kejahatan. Dalam sebuah hadis diterangkan (yang bermaksud):

“Kamu hendaklah berlaku benar, karena kebenaran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan akan memimpin ke arah syurga. Seorang lelaki yang benar dan sentiasa berada di atas kebenaran, akan ditulis oleh Allah sebagai orang yang benar. Janganlah berdusta karena kedustaan membawa kepada kejahatan dan kejahatan akan memimpin ke arah neraka. Seorang hamba yang berdusta dan sentiasa berdusta, akan ditulis oleh Allah sebagai pendusta.”

13) Seorang muslim perlu membiasakan diri menerima nasihat daripada orang-orang yang ahli dalam din, wara’ dan benar. Ini kerana seorang beriman, berilmu, wara’ dan benar akan lebih mampu melihat kelemahan seseorang daripada seseorang yang melihat kelemahan dirinya sendiri. Oleh itu, sangat baik seorang muslim bergaul dan mendengaf kata-kata orang yang saleh. Umar bin Khattab Radhiallahu’anhu pernah berkata:

“Mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang menunjuki kekurangan-kekuranganku.”

Setiap orang yang telah menerima nasihat hendaknya berterima kasih kepada mereka yang memberi nasihat. Sepertimana kita perlu berterima kasih kepada orang yang memberitahukan kita bahawa ada kala jengking sedang merayap menghampiri kita atau sedang bersembunyi dalam baju kita. Apabila kita mengetahui sedemikian, maka bersegeralah kita melemparkan kala jengking itu jauh-jauh. Akhlak yang buruk adalah racun bagi hati laksana bisa seekor kala jengking adalah racun bagi tubuh badan.

No comments:

Post a Comment