Thursday, October 29, 2009

TASAWWUR AL IMAN AL KAMIL

Muqaddimah

Dalam rangka tarbiyyah, ilmu memainkan peranan yang sangat penting. Bahkan di dalam rukun da’wah itu sendiri mengandungi ilmu. Di mana rukun da’wah adalah:

1) Ilmu
2) Tarbiyyah
3) Jihad.

Juga, di dalam arkanul bai’ah, yang pertama adalah Al Fahmu, bermakna kita perlukan ilmu. Sebenarnya, di dalam tarbiyyah kita memberikan ilmu. Pepatah Arab ada menyatakan yang bermaksud:
“Seseorang yang tidak mempunyai sesuatu, tidak boleh memberikan sesuatu”.

Iman

Iman itu banyak cabang-cabangnya. Antara cabang-cabangnya, ada yang usul dan ada yang kecil. Ibarat pokok, banyak cabang-cabang dan ranting-rantingnya. Tidak ada suatu bahagian daripada pokok itu yang terputus hubungan dengan akarnya. Begitulah juga dalam kehidupan ini, tidak ada suatu yang terputus hubungan dengan iman.

Iman terdiri daripada tiga bahagian yang dituntut, iaitu:
1) Al Ilmu
2) Al Amal
3) At Tarku (Meninggalkan)

Al Ilmu

Al Ilmu pula ada dua bahagian, iaitu:
1) Al Ma’rifah
2) At Thaqafah

Mengenai Al Ma’rifah terdapat pembahagian-pembahagiannya:
1) Mengenali Allah Subhanahuwata’ala (Ma’rifatulLah). Allah Rabbul ‘Aalamin. Allah sebagai Ilah. Allah yang Maha Esa. Allah Yang Maha Mengeta­hui yang zahir dan yang bathin. Allah yang Maha Melihat. Allah yang Maha Lembut. Allah yang Maha Tinggi, dan seumpamanya.

2) Mengenali Rasul (Ma’rifatur Rasul). Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam adalah utusan Allah Subhanahuwata’ala. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah contoh bagi seseorang yang ingin berubudiyyah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Melalui jalan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah tuntutan ke atas umat baginda. Beriman kepada Rasulullah adalah bahagian yang penting daripada syahadatain. Semakin banyak kita mengetahui tentang Allah dan Rasul maka semakin kuatlah iman kita.

3) Mengenali Islam (Ma’rifatul Islam). Islam adalah din yang Allah redhai. Din yang terakhir untuk semua manusia. Semakin kita memahami tentang Islam, semakin meningkatlah keimanan kita.

4) Mengenali insan (Ma’rifatul Insan). Kita perlu tahu siapakah diri kita. Apakah hakikat diri kita sendiri? Kita asal daripada tanah, kemudian Allah Subhanahuwata’ala menyambung zuri’at insan melalui air mani. Dahulu kita tidak berpakaian, tidak berilmu, hanya air yang hina, tetapi Allahlah yang memberikan pakaian, ilmu dan kemu­liaan. Hatta diri kita sendiri sebenarnya kepunyaan Allah SWR. Kemudian, Apakah pula makna hidup dan mati manusia?

5) Ma’rifatul Hayah. Kita perlu memahami tentang hakikat kehidu­pan kita. Adakah hidup ini senda gurau? Kebetulan? Adakah hidup ini berakhir di dunia? Manusia kini seperti berada dalam mimpi, dia hanya akan sedar hakikat hidupnya yang sebenar apabila dia berada di pintu maut. Sebenarnya kehidupan ini adalah ujian daripada Allah Subhanahuwata’ala.

6) Ma’rifatu’ A’dat. Mengetahui tentang musuh manusia yang terdiri daripada As syaithan dan Al Jahiliyyah.

Mengenali semua di atas memberi kesan kepada keimanan kita. Oleh semua ma’rifah ini perlu diulang-ulangkan dalam tarbiyyah dan tazkirah kita. Pengulangan adalah penting sebab manusia itu bersifat pelupa.

Mengenai At Thaqafah secara umumnya terbahagi dua:

1) Ilmu syara’ (Al ‘Ulum Assyar’iyah)
Ilmu syara’ terdiri daripada bermacam-macam bahagian seperti ilmu tafsir dan ilmu fiqh. Ilmu ini adalah penyokong kepada ma’rifah. Thaqafah sahaja tanpa ma’rifah tidak ada gunanya.

2) Ilmu Waqi’ (Al ‘Ulum Al Waqi’iyah)
Ilmu waqi’ seperti sains juga akan menyokong ma’rifah.

Ada banyak cara untuk mendapatkan thaqafah seperti belajar di institusi pengajian, membaca buku dan mengikut kursus-kursus. Kita perlu tingkatkan thaqafah untuk mantapkan diri. Contohnya, seorang ahli perubatan akan bertambah keimanannya kepada Allah Subhanahuwata’ala apabila ada ma’rifah.

Al Ma’rifah perlu melalui proses tarbiyyah manakala At Thaqafah diperolehi dengan menambahkan maklumat-maklumat.

Al Amal

Iman menuntut kepada amalan. Jika tidak beramal seolah-olah tidak ada iman. Amal itu secara umumnya terbahagi kepada dua:
1) Amalan fardhu atau wajib
2) Amalan sunat.

Amal fardhu sekali-kali tidak boleh dipisahkan dengan iman. Iman menuntut untuk beramal. Fardhu pula terdiri daripada fardhu ‘ain dan fardhu kifayah.

Aman yang minima melaksana yang fardhu. Iman yang kuat mendorong untuk melaksanakan yang sunat. Semakin tinggi keimanan maka semakin tinggilah kepekaan seseorang untuk melaksanakan amal yang sunat.

Al Amal akan lahir dengan lebih subur dengan adanya usaha-usaha menyuruh kepada ma’ruf.

At Tarku (Meninggalkan)

Iman juga mengarahkan kita untuk meninggalkan sesuatu. Meninggal­kan sesuatu itu secara umumnya terbahagi dua:
1) Meninggalkan perkara-perkara yang haram.
Meninggalkan sesuatu yang haram memberi kesan kepada keimanan. Yang haram terdiri dua bahagian pula:
a) Haram pada asalnya, seperti arak, babi, judi dan seumpamanya.
b) Haram disebabkan sesuatu yang lain, seperti makanan yang dicuri, harta melalui judi dan seumpamanya.

2) Meninggalkan yang Syubhat.
At Tarku akan lebih subur dengan adanya usaha-usaha mencegah kemungkaran.

Oleh: Umair Siddiq.

No comments:

Post a Comment