Monday, February 28, 2011

Pengajaran Dari Surah Al Insan (Ayat 1 – 3)


هَلۡ أَتَىٰ عَلَى ٱلۡإِنسَـٰنِ حِينٌ۬ مِّنَ ٱلدَّهۡرِ لَمۡ يَكُن شَيۡـًٔ۬ا مَّذۡكُورًا (١) إِنَّا خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن نُّطۡفَةٍ أَمۡشَاجٍ۬ نَّبۡتَلِيهِ فَجَعَلۡنَـٰهُ سَمِيعَۢا بَصِيرًا (٢) إِنَّا هَدَيۡنَـٰهُ ٱلسَّبِيلَ إِمَّا شَاكِرً۬ا وَإِمَّا كَفُورًا (٣)

“Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang dia (masih belum wujud lagi dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)? (1) Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat. (2) (Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). (3)” (Surah Al Insan Ayat 1 – 3)

Ayat di dalam Surah Al Insan dimulakan dengan satu bentuk pertanyaan kepada manusia. Satu pertanyaan seolah-olah meminta manusia bertanya kepada diri sendiri. Tidakkah dia melalui satu zaman di mana pada masa itu dia belum lagi menjadi sesuatu yang boleh disebut. Zaman sebelum dia dilahirkan.

Kalau dilihat dari perspektif yang lebih luas, cuba renungkan zaman sebelum manusia ini diciptakan. Alam ini telah wujud sekian lama tanpa manusia. Manusia adalah satu makhluk yang baru berbanding alam ini yang wujud berjuta-juta tahun yang lalu. Manusia kebanyakannya adalah makhluk yang angkuh. Mereka lupa bahawa alam ini telah sekian lama ada sebelum mereka diciptakan.

Cuba renungkan detik kelahiran manusia. Itulah detik waktu yang menambahkan satu lagi makhluk baru kepada alam. Satu makhluk yang direncanakan kewujudannya. Satu makhluk yang mempunyai peranan di atas muka bumi ini. Manusia perlu menyedari ada tujuan, matlamat dan perancanaan Ilahi dalam penciptaan manusia, dalam perjalanan hidup manusia dan di dalam kesudahan hidupnya.

Seterusnya ayat kedua dalam Surah Al Insan yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.”

Mungkin kata-kata ‘nutfah yang bercampur’ bermaksud percantuman sperma dan telur, percampuran genetik ibu dan bapa yang membawa kepada warisan sifat-sifat ibu dan bapa ke atas anak-anak.

Manusia bukan diciptakan sia-sia atau main-main sahaja. Malah ia diciptakan untuk diuji dan dicuba oleh Allah SWT. Allah tahu apakah ujian akan diberikan. Allah tahu kesan daripada ujian yang diberikan. Allah juga tahu balasan yang akan dikenakan mengikut natijah ujian yang dilaluinya.

Oleh itu Allah jadikan daya kebolehan mendengar dan melihat. Allah membekalkan daya kefahaman kepada manusia supaya mereka dapat menerima dan menyambut dakwah. Supaya manusia memahami benda-benda dan nilai serta dapat membuat keputusan dan pilihan yang tepat. Nilai baik dan nilai jahat. Amalan baik dan amalan yang buruk. Agar manusia melalui ujian itu mengikut kefahaman dan pilihan masing-masing.

Allah inginkan kehidupan manusia silih berganti dan berkembang biak secara berterusan. Allah jadikannya melalui nutfah yang bercampur.

Di sebalik kejadian manusia itu ada hikmah dan tujuan. Ianya bukan kejadian secara kebetulan dan tidak diduga. Malah disebalik kejadian manusia ada ujian yang perlu ditempuh. Ujian untuk menduga manusia.

Oleh itu Allah kurniakan kepada manusia persediaan untuk menyambut dan menerima dakwah, ilmu pengetahuan dan kebebasan memilih. Akal dan ujian yang diberikan adalah mengikut ukuran yang wajar. Mengikut kemampuan dan persediaan akal yang ada pada manusia.

Di samping bekalan ilmu pengetahuan, Allah juga bekalkan manusia dengan daya kebolehan memilih jalan hidupnya. Allah tunjukkan kepada manusia jalan yang boleh sampai kepada Allah. Jalan yang selain itu adalah jalan yang sesat dan tidak membawa kepada Allah.

Seterusnya ayat ke 3 Surah Al Insan bermaksud:

“(Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).”

Allah kaitkan perkataan hidayat dengan kata-kata syukur. Kesyukuran adalah perasaan yang ada bagi orang yang mendapat hidayat. Setelah dia sedar bahawa pada satu masa dulu dia belum lagi wujud sebagai makhluk yang boleh disebut. Kemudian dengan kehendak Allah barulah dia muncul ke alam ini sebagai makhluk yang boleh disebut.

Di samping itu Allah kurniakan kepada manusia daya pendengaran dan penglihatan. Proses pembelajaran melalui pendengaran sudah pun bermula sejak di dalam kandungan ibu.

Allah kurniakan kepada manusia daya mengenal dan mengetahui. Kemudian Allah menunjukkan kepadanya jalan hidayat. Allah datangkan para Rasul dari kalangan manusia yang menyampaikan dakwah dan mendidik (tarbiah) manusia. Allah bekalkan kitab/Al Quran sebagai panduan hidup manusia. Tetapi Allah memberikan kepada manusia kebebasan untuk memilih jalan hidup. Kebebasan untuk taat atau menderhaka kepada Allah.

Jadi rasa syukur itulah merupakan perasaan yang pertama yang terlintas di dalam hati seseorang mukmin apabila merasai betapa bernilainya nikmat hidayat yang Allah kurniakan. Nikmat Islam. Nikmat iman. Dan pelbagai nikmat Allah yang amat besar dan tidak mampu untuk dinyatakan kesemuanya.

Apabila meneliti ketiga-tiga ayat dari Surah Al Insan, seharusnya manusia mengetahui betapa serius dan halusnya urusan penciptaan insan dan menyedari bahawa mereka diciptakan kerana sesuatu matlamat yang tertentu. Matlamat untuk berubudiah (beribadah) kepada Allah dalam segenap aspek kehidupan.

Manusia juga terikat kepada suatu paksi atau syariat yang tetap. Dia dibekalkan dengan ilmu pengetahuan. Oleh itu dia bertanggungjawab terhadap segala tindak tanduknya.

Manusia diwujudkan di atas muka bumi ini untuk menempuh ujian. Oleh itu selama mana dia berada di atas muka bumi ini bererti dia berada dalam tempoh ujian. Bukannya tempoh bersuka ria, bermain-main dan lalai cuai.

Pendeknya dari tiga ayat ini (Ayat 1 – 3 Surah Al Insan) manusia mendapat bekalan dari penilitian yang halus dan mendalam bahawa dibelakangnya ada tanggungjawab yang berat untuk dipikul. Di samping dia merasa serius, insaf dan tenang dalam menjalani kehidupan dunia, dia menyedari terdapat balasan disebalik ujian yang ditempuh di dunia ini. Samada balasan baik – syurga atau balasan buruk – neraka.

Rujukan:

Asy Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, Tafsir Fi Zilalil Quran – Di Bawah Bayangan Al Quran Jilid 17, terjemahan Yusoff Zaky Haji Yacob, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 2002

No comments:

Post a Comment