Thursday, October 29, 2009

TUNTUTAN IMAN TERHADAP RASULULLAH

Kita hendaklah mendidik diri kita dengan tarbiyyah yang berterusan. Kita perlulah mendidik hati dan diri dari hari ke sehari hingga kita sebati (malakah) dengan Islam. Sekaligus menanggalkan jahiliyyah yang terdapat pada diri kita.

Realiti sekarang, manusia menjadi serba boleh tanpa mengira samada halal atau haram. Tetapi kita perlu mengambil Islam sepertimana yang Allah Subhanahuwata’ala kehendaki. Apa yang Islam kata baik itulah yang baik bagi kita. Apa yang Islam kata buruk itulah yang buruk bagi kita, walaupun masyarakat mengatakan sebaliknya.

Beriman dengan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sebenarnya menuntut kita supaya menyerahkan hidup kepada arahan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Iaitu mentaati apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang olehnya dengan senang hati. Ini semua memerlukan tarbiyyah yang betul. Lebih-lebih lagi dalam realiti sekarang di mana Islam tersangat dagang. Islam yang minima pun kadang-kadang tidak lahir dalam masyarakat.

Di zaman Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam kehebatan Islam kelihatan dengan jelas. Manakala zaman kini, masyarakat mengaku Islam, tetapi kehebatan Islam tidak kelihatan. Justeru itu kita mestilah melaksanakan kembali Islam dan meninggalkan jahiliyyah.

Untuk meredhai perintah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dengan senang hati kita perlukan tarbiyyah yang berterusan. Jika tidak, mungkin kita menerima dan melaksanakan amalan Islam tetapi hati tidak senang. Ketaatan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sebenarnya adalah untuk kebaikan manusia jua. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Hendaklah kamu mentaati Allah dan Rasul-Nya mudah-mudahan kamu mendapat rahmat. "
(Surah ali Imran : 132)

" Katakanlah: Jika kamu kasihkan Allah ikutlah aku nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu . Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. "
(Surah ali Imran : 31 )

Tanggungjawab kita terhadap Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ialah membenarkan apa yang disampaikan oleh baginda dan mentaati segala suruhannya dalam semua aspek. Kita hendaklah mengikut dengan apa yang Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam redha dan jauhkan apa yang Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam benci.

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud):
"Bertuahlah orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah melihatku. "

Dalam realiti sekarang apabila kita beriman dengan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam kita tetap merasa bahagia walaupun manusia tidak menyukai kita.

Bagi manusia, hanya terdapat dua keadaan samada mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala atau mensyirikkan-Nya. Samada taat atau engkar.

Dalam konteks beriman kepada Rasulullah, terdapat beberapa tuntutan
1) Kita perlu didik hati kita hingga redha dengan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam Redha bukan sahaja dari segi perkataan kita tetapi juga dari tindakan seharian kita, dalam setiap tempat dan ketika mengikuti ajaran Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam

2) Kita menghormati Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam walaupun baginda telah wafat. Menghormati apa yang ditinggalkan oleh baginda, iaitu Islam yang merupakan ajaran wahyu Allah Subhanahuwata’ala.

Dalam satu sirah, Tabib bin Qais pernah bercakap dengan suara yang tinggi di hadapan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Turunlah ayat Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi. Dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedari. "
(Surah al Hujurat : 2 ) .

Mendengar ayat tersebut Tabib bin Qais menangis dan hanya duduk dalam rumah, tidak keluar. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam suruh sahabat-sahabat baginda menziarahinya untuk mengetahui mengapa dia tidak keluar dari rumah. Apabila tiba di rumah Tabib, dia berkata kepada sahabat yang datang:

"Aku telah mengangkat suaraku lebih daripada suara Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan Allah Subhanahuwata’ala telah menurunkan ayat tersebut. Aku rasa Allah Subhanahuwata’ala memarahiku dan tentulah aku akan dimasukkan ke dalam neraka. "

Para sahabat membawa menceritakan hal Tabib kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Maka baginda bersabda: (yang bermaksud)
" Sesungguhnya dia (Tabib) ialah ahli syurga."
Kemudian, berita itu disampaikan kepada Tabib.

3) Kita perlu mencontohi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam membentuk ummah atau generasi. Generasi awal yang dididik oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dikenali sebagai Generasi al-Quran yang Unik. Mereka menerima arahan sepertimana komando menerima arahan daripada ketua, malah lebih daripada itu.

Dalam realiti yang tenat kini, kita perlu satu generasi yang berdaya dan mampu untuk mendokong Islam. Oleh itu kita amat perlu kepada pendidikan yang berterusan. Semoga lahir, InsyaAllah satu generasi yang taat kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam segenap aspek kehidupan dan sanggup memikul tugas yang berat iaitu taklif Rabbani.

4) Kita perlu sentiasa terikat dengan Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Dengan cara ini, InsyaAllah kita akan dapat merasai nikmat Islam seperti yang dijanjikan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Para sahabat r.a. meninggalkan harta ketika berhijrah untuk mengikuti Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam kerana mereka dapat merasai kenikmatan Islam.

5) Kita perlu beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Dalam satu sirah, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ditanya: "Apakah erti Ehsan?" Jawab baginda: "Kamu mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu."

No comments:

Post a Comment