Monday, October 26, 2009

TANGGUNGJAWAB KEPADA IBU BAPA

TANGGUNGJAWAB ANAK TERHADAP IBUBAPA

1. Berbuat baik kepada ibubapa

Sesungguhnya berbuat baik dan berjasa kepada kedua ibubapa adalah suatu amalan yang mulia dalam Islam. Bahkan redha Allah kepada anak bergantung kepada redha kedua ibubapa terhadapnya. Sabda Rasulullah Salallahu’alihiwasallam (bermaksud):
“Redha Allah itu berada dalam redha kedua orang tua dan murka Allah itu berada dalam murka kedua orang tua”.
(Riwayat Abdullah bin ‘Amr)

Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash Radhiallahu’anhu, bahawa ia berkata:
“Seorang lelaki datang menghadap Rasulullah seraya berkata, ‘Aku mengadakan perjanjian denganmu untuk berhijrah dan berjihad demi mencari pahala daripada Allah’.
Nabi bertanya, ‘Apakah ada seorang di antara kedua orang tuamu yang masih hidup?’.
Ia menjawab, ‘Bahkan keduanya masih hidup.’
Rasulullah bertanya lagi, ‘Apakah engkau mahu mencari pahala daripada Allah?’.
Ia menjawab, ’Ya’. Nabi bersabda, ‘Kembalilah kepada kedua orang tuamu dan pergaulilah (layanlah) mereka dengan baik.’

Dikisahkan bahawa Jahamah radhiallahu’anhu telah mendatangi Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam seraya berkata, “Wahai Rasulullah, aku ingin berperang dan aku datang untuk bermusyawarah denganmu.”
Nabi bertanya, “Apakah engkau mempunyai ibu?”
Ia menjawab, “Ya”. Beliau bersabda, “Tinggallah dan berbaktilah kepadanya kerana sesungguhnya syurga itu berada di bawah tapak kaki ibu.”

Maka, nyatalah bahawa berbuat baik dan berbakti kepada ibubapa itu sangat diutamakan.

2. Menghargai dan mengetahui tanggungjawab terhadap ibubapa

Islam telah mengangkat tinggi darjat kedua ibubapa sehingga sifat ihsan (berbuat baik) kepada kedua ibubapa telah diletakkan sebagai darjat kedua selepas darjat iman kepada Allah dan beribadah kepadaNya. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa.”
(An-Nisaa’ :36)

Al-Qur’anul karim memandang mulia terhadap orang yang bersifat ihsan dan berbuat baik terhadap kedua ibubapa. Malah setiap anak dituntut agar berakhlak dengan akhlak yang mulia tatkala bergaul dan berbicara dengan kedua ibubapa, lebih-lebih lagi setelah keduanya mencapai umur tua, lemah dan nyanyuk. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan perkataan ‘ah’ dan jangan­lah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan-perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh rasa kasih sayang dan ucapkanlah “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.”
(Al-Isra’:23-24)
3. Berbakti kepada ibubapa sekali pun mereka bukan Muslim

Asma’ binti Abu Bakar Radhiallahu’anhuma telah berkata (yang bermafhum):
“Aku pergi kepada ibuku padahal dia masih musyrik (belum masuk Islam) di zaman Rasulullah Salallahu’alaiwasallam, lalu aku minta fatwa daripada Rasulullah saw. Aku berkata, “Aku telah bertemu dengan ibuku dan dia meminta sesuatu kepadaku, adakah aku boleh menghubungi dia?” Jawab Rasulullah, “ya, hubungilah ibumu, ini bererti berbaktilah kepadanya.”
(Muttafaq alaihi)

Hendaklah setiap anak memuliakan kedua ibubapa sekali pun mereka bukan Muslim. Berbicara kepada mereka dengan penuh kelembutan dan sopan santun. Ibn Sirin bercakap dengan ibunya dengan suara yang lemah lembut seolah-olah suara orang sakit lantaran menghormati dan memuliakan ibunya.

4. Takut menderhakai ibubapa

Hendaklah setiap anak takut menderhakai ibubapa kerana sikap tersebut membawa akibat yang hina sehingga boleh setaraf dengan orang-orang musyrikin, iaitu orang-orang yang menyekutukan Allah. Ia dosa yang paling besar dan kesalahan yang paling keji. Sabda Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam (yang bermafhum):

“Adakah tidak aku beritahu kepada kamu tentang sebesar-besar dosa?”. Baginda mengulanginya tiga kali. Kami berkata, “Bahkan tidak, ya Rasulullah.” Sabda Baginda, “Syirik kepada Allah dan derhaka kepada kedua ibubapa.”

Derhaka kepada ibubapa bererti melakukan maksiat, menentang dan tidak melaksanakan hak-hak mereka. Di antara perbuatan derhaka itu ialah:

a. Anak memandang dengan tajam kepada ibu atau ayahnya ketika marah.
b. Anak memandang dirinya sama dengan ibu atau ayahnya.
c. Anak mengagungkan dirinya tidak mahu menghormati mereka.
d. Anak tidak mahu atau malu untuk dikenali dengan nama ayahnya. Apalagi jika anak itu mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat.
e. Anak tidak melaksanakan hak dengan memberikan nafkah kepada kedua ibubapanya yang fakir. Sehingga keduanya terpaksa mengadu kepada hakim agar anak menunaikan tetap berkewajipan memberikan nafkah kepada mereka berdua.
f. Satu daripada derhaka ialah anak mengatakan “ah” (membentak) kedua ibubapanya.
g. Merasa jemu terhadap mereka berdua, menyombongkan diri dan menegur keduanya dengan kata-kata yang menyakitkan, melukai perasaan atau menghina.

Anak-anak yang berbuat derhaka kepada kedua ibubapa bukan saja mendapat dosa besar, bahkan amalnya menjadi sia-sia dan akan diberi balasan yang buruk oleh Allah, baik di dunia mahupun di akhirat.

Sabda Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam:
“Ada tiga macam orang yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala untuk memasuki syurga, iaitu peminum arak, orang yang derhaka kepada kedua ibubapanya dan orang hina yang menempatkan keburukan di dalam keluarganya.”

5. Mengutamakan berbuat baik kepada ibu kemudian kepada bapa.

Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam:
“Siapakah yang lebih berhak menerima perkhidmatanku? Lalu Rasulullah menjawab, ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi, ‘Kemudian siapa’? Rasulullah menjawab, ‘Kemudian ibumu’. ‘Kemudian siapakah lagi?’ Soal lelaki itu lagi. Jawab Rasulullah saw, ‘Ibumu’. ‘Kemudian siapakah lagi?’ Soal lelaki itu. Rasulullah menjawab: ‘Bapamu’.
(Muttafaq Alaihi)

Islam sangat mengutamakan berbuat baik kepada ibu dibandingkan dengan bapa kerana:
a. Perhatian ibu kepada anak ketika mengandung, melahir dan menyusuinya serta urusan pembesaran dan pendidikannya, lebih banyak dibandingkan ayah.

b. Sesungguhnya ibu itu (dengan perasaan kasih sayang dan cintanya yang menggunung) telah lebih banyak mencurahkan kasih sayang, pemeliharaan dan perhatian kepada anak.

6. Berdoa untuk kedua ibubapa setelah meninggal dunia dan berbuat baik dengan sahabat-sahabat mereka.

Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan yang bermaksud:
“Dan rendahkan dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, ‘Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”.
(Al Isra’:24)

Dalam Islam, anak-anak bukan saja dituntut supaya berkhidmat dan berlaku baik terhadap kedua ibubapanya. Bahkan anak-anak juga dituntut supaya berbuat baik kepada sahabat karib kedua ibubapanya.

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam (yang bermafhum):
“Ya Rasulullah, adakah tinggal sesuatu kebaikan yang mesti saya buat terhadap ibubapa saya setelah kematian mereka?”, “Ya” , jawab Rasulullah, “Iaitu empat perkara: mendoakan keduanya, meminta ampun untuk keduanya, menyempurnakan janji keduanya dan memuliakan sahabat keduanya serta menghubungkan silaturrahim yang tidak ada silaturrahim kecuali dengan keduanya”.
(Riwayat Bukhari)

Menghubungi sahabat-sahabat ibubapa, samada sewaktu mereka masih hidup atau telah mati, adalah setinggi-tinggi darjah cinta setia dan penghormatan kepada mereka. Oleh itu, hendaklah setiap anak mengukuhkan ikatan kasih sayang dan menjalinkan persahabatan yang baik dengan sahabat kedua ibubapanya.

7. Adab berbuat baik kepada kedua ibubapa

Hendaklah setiap anak merendahkan suara, hormat, sopan santun, berlembut dan dengan wajah berseri-seri tatkala berbicara dengan ibubapa, tanpa dicampuri perkataan kasar yang mengguris hati. Apabila kedua ibubapa mendatangi suatu majlis, dia terus bangun menghormati dan mencium tangan mereka.

Mafhum sebuah hadith:
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam dengan membawa seorang tua. Baginda bertanya kepadanya, ‘Hai lelaki, siapakah orang yang bersamamu ini?’ Lelaki itu menjawab,’Ayahku’. Baginda bersabda, ‘Janganlah engkau berjalan di hadapannya, jangan duduk di hadapannya, jangan panggil dia dengan namanya dan janganlah engkau samakan dia dengan sesuatu”.

Seterusnya, hendaklah setiap anak memperhati dan melaksanakan arahan-arahan berikut dalam rangka melaksanakan kebaktian kepada ibubapa demi mencari keredhaan Allah SWT.

a. Mentaati perintah ibubapa kecuali dalam perkara maksiat.
b. Berbicara kepada ibubapa dengan penuh kelembutan dan kesopanan.
c. Berdiri menghormati kedua ibubapa ketika mereka masuk atau menghampiri anak.
d. Mencium tangan ibubapa di dalam beberapa kesempatan.
e. Memuliakan ibubapa dengan memberikan apa yang mereka pinta (permintaan yang sesuai dengan syara’).
f. Memelihara nama baik, kehormatan dan harta benda ibubapa.
g. Mengajak ibu bapa bermusyawarah di dalam sesuatu perkara.
h. Banyak berdoa dan mohon ampun untuk ibubapa.
i. Apabila ibubapa didatangi tetamu, hendaklah anak duduk dekat pintu dan memerhatikan pandangan ibubapa. Kerana mungkin mereka hendak memerintahkan sesuatu.
j. Membuat perkara-perkara yang menyenangkan hati ibubapa tanpa disuruh oleh mereka.
k. Jangan mengeraskan suara sewaktu memanggil ibubapa di depan pintu rumah.
l. Jangan memutuskan perkataan atau menyampuk ketika ibubapa berbicara.
m. Jangan keluar rumah tanpa keizinan ibubapa.
n. Jangan mengganggu ketika ibubapa tidur.
o. Jangan lebih mengutamakan isteri dan anak-anak daripada ibubapa.
p. Jangan mencela apabila ibubapa melakukan perkara yang tidak disenangi.
q. Dilarang ketawa di hadapan ibubapa jika tidak ada sesuatu yang perlu diketawakan.
r. Dilarang makan sebelum ibubapa makan.
s. Jangan menghulurkan tangan mengambil makanan sebelum ibubapa.
t. Jangan tidur atau baring sedang ibubapa duduk kecuali mereka izinkan.
u. Jangan menjulurkan kaki di hadapan ibubapa.
v. Tidak masuk ke sesuatu rumah mendahului ibubapa.
w. Segera menyahut panggilan ibubapa.
x. Mengormati sahabat-sahabat ibubapa semasa ibubapa masih hidup dan juga setelah mereka meninggal dunia.
y. Mendoakan untuk ibubapa terutama setelah mereka meninggal dunia kerana doa itu bermanfaat bagi mereka.
z. Banyak mengucapkan Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Ya Tuhanku, kasihilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidik aku semasa kecil”.

No comments:

Post a Comment