Tuesday, July 28, 2009

Berbakti Kepada Ibu Bapa (Siri 1)

Perintah untuk berbakti kepada ibu bapa merupakan satu wasiat yang diturunkan oleh Allah kepada manusia. Dalam keadaan Islam yang dagang sekarang (Islam tidak dipraktik dalam kehidupan secara keseluruhan), masyarakat sangat berhajat kepada wasiat dari Allah dan perlu diulang-ulangkan.

Melalui perjalanan hidup Rasulullah dapat dilihat bagaimana Rasulullah sangat mengambil berat tentang berbakti kepada ibu bapa.

Islam menjadikan berbuat baik kepada ibu bapa sabagai darjah yang kedua selepas darjah iman kepada Allah dan beribadah kepadaNya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibu bapa.”
(Surah An Nisaa’: 36)

Seorang muslim yang sebenar merupakan manusia yang paling berjasa, paling berbakti kepada kedua ibubapanya di antara sekelian manusia di dunia ini. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
”Berbaktilah kepada ibumu, ayahmu, saudara perempuanmu, saudara lelakimu, kemudian yang terhampir denganmu dan yang terhampir.”

Pernah Rasulullah s.a.w. ditanya oleh seseorang: ”Wahai Rasulullah! Adakah lagi yang masih diwajibkan ke atas saya untuk berbakti kepada kedua ibu bapa saya, setelah keduanya meninggal dunia?
Rasulullah s.a.w. menjawab: ”Ya, iaitu memohonkan kerahmatan kepada keduanya, menunaikan segala janji-janjinya, memuliakan semua rakan-temannya, serta menyambungkan silaturahim (saudara mara yang ada hubungan darah) yang tidak boleh terhubung melainkan dengan keduanya.

Bersabda Rasulullah lagi yang bermaksud:
”Sesungguhnya setinggi-tinggi darjat kebaktian, ialah bila seseorang itu suka menghubungi keluarga kesayangan ayahnya, sesudah ia meninggal dunia”.

Sabdanya lagi:
”Allah merahmati seseorang ayah yang mendorong anaknya untuk berbakti kepadanya (menolong anaknya agar ia tidak menderhaka kepada ayahnya).

Didikan perlu diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak agar mereka mengasihi, menghormati dan mentaati kepada kedua ibu bapa.

Sabda Rasulullah lagi:
”Samakan antara anak-anakmu dalam pemberian”.

Rasulullah turut sabda:
”Adalah menjadi hak bagi anak ke atas ayahnya, agar ia memperelokkan budi pekertinya dan memperbaguskan namanya”.

Selain itu hendaklah menunjukkan belas kasihan kepada anak-anak sekalian.

Al Aqra’ Bin Habis suatu hari melihat Rasulullah s.a.w. mencium cucunya Al Hasan r.a. lalu ia berkata kepada Nabi s.a.w. : ”Saya mempunyai 10 orang anak, tetapi tidak pernah saya mencium seorang pun dari mereka. Maka Rasulullah s.a,w. Berkata: ”Sesungguhnya orang yang tiada perasaan belas kasihan tiada akan dibelas kasihani”.

Rujukan:
i. Keperibadian Muslim (1), Mohd Ali Hashimi terjemahan Haji Tahir Daeng Mengati, Pustaka Salam, Petaling Jaya, 1986, p 85-102.
ii. Bimbingan Mukminin – Imam Ghazali disesuaikan oleh Syaikh Muhammad Jamaluddin Al –Qasimi terjemahan Syed Ahmad Semait, Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura, 1990, p 343-345.

Sunday, July 26, 2009

MENGIKHLASKAN NIAT KEPADA ALLAH (Siri 3)

KEPENTINGAN IKHLAS

Abu Hamid Al-Ghazali dalam Mukaddimah An-Niyyah Wal-Ikhlas Qash-Shidq berkata:

“Dengan hujah iman yang nyata dan cahaya al-Quran, orang-orang yang mempunyai hati mengetahui bahawa kebahagiaan tidak akan tercapai kecuali dengan ilmu dan ibadah. Semua orang pasti binasa kecuali orang-orang berilmu. Orang-orang berilmu pasti akan binasa kecuali orang aktif beramal. Semua yang aktif beramal akan binasa kecuali yang ikhlas”

Amalan tanpa niat adalah kebodohan. Niat tanpa ikhlas adalah riyak dan sia-sia. Allah Subhanahuwata’ala berfirman tentang amal yang dimaksudkan selain daripada-Nya akan menjadi sia-sia:
“Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu sebagai debu berterbangan”
(Al-Furqan:23)

Ada pendapat mengatakan bahawa ilmu laksana benih, amal laksana tanaman dan airnya adalah ikhlas. Kerja yang tidak disertai ikhlas, ibarat gambar yang mati dan tubuh tanpa jiwa. Allah Subhanahuwata’ala melihat hakikat amal yang ikhlas, bukan rupa dan bentuknya semata-mata. Dia menolak pelakunya yang tertipu dengan amalnya.

Dalam hadis sahih riwayat Abu Hurairah, daripada Nabi Sallallahu’alaihiwasallam, baginda bersabda, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad dan rupa kamu, tetapi Dia melihat kepada hati kamu.”
(Riwayat Muslim)

Allah berfirman tentang orang-orang berkorban yang menyembelih haiwan yang bermaksud:
“Daging-daging dan darah itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi taqwa daripada kamulah yang dapat mencapai keredhaan-Nya”
(al-Hajj:37)

Secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa ikhlas sangat penting kerana ianya adalah:

1. Asas iman dan Islam.
2. Garis pemisah sama ada amalan atau kera-kerja diterima atau ditolak oleh Allah Subhanahuwata’ala. Kerja yang diteriman oleh Allah Subhanahuwata’ala mempunyai dua rukun iaitu:
a. Ikhlas atau niat yang betul.
b. Cara-cara beramal yang bertepatan dengan sunnah atau syara’.

Contoh-contoh amalan atau kerja yang bercampur dan tidak ikhlas semata-mata kerana dan kepada Allah Subhanahuwata’ala:

1. Menuntut ilmu dengan tujuan meningkatkan profesionalisma atau kerjaya atau dipandang mulia oleh masyarakat.
2. Mengajar atau berbincang-bincang tentang ilmu pengetahuan dengan tujuan mendapat penghormatan dari kalangan ilmuan, mempertajamkan pemikiran, kepetahan berbicara atau melepaskan diri daripada kesunyian.
3. Menziarahi pesakit dengan tujuan agar ia sendiri diziarahi jika ia sakit nanti.
4. Melakukan kebaikan dengan tujuan supaya ia dikenali sebagai orang baik, berhati mulia, disegani dan dihormati.


KESIMPULAN

Allah Subhanahuwata’ala tidak menerima amal tanpa keikhlasan sebagaimana yang dikatakan oleh Sulaiman ‘Alaihissalam dalam al-Quran yang bermaksud:
“Ya Rab-ku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal salih yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang salih”
(An-Naml:19)

Allah Subhanahuwata’ala meredhai amalan yang baik jika disertai dengan keikhlasan, terlepas daripada syirik, sama ada kecil mahu pun besar, sama ada kelihatan mahu pun tersembunyi. Firman-Nya yang bermaksud:
“Barangsiapa mengharapkan perjumpaan dengan Rab-nya, maka hendaklah dia mengerjakan amal salih dan janganlah dia menyekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Rab-nya.”
(Al-Kahfi:110)

Keikhlasan tidak akan sempurna kecuali dengan niat yang tulus semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala dan terlepas daripada kecenderungan individu atau duniawi. Dalam erti kata lain manusia mestilah bergantung kepada Rab-nya. Hanya dengan cara itu Allah Subhanahuwata’ala akan memberinya kekuatan sebagai ganti kelemahan, keamanan sebagai ganti ketakutan dan kecukupan sebagai ganti kemiskinan.

Hanya keikhlasan dapat membantu manusia mengawal diri dan syahwat (atau keinginan) yang tersembunyi, kerana sesungguhnya keinginan yang tersembunyi itu lebih merbahaya daripada apa-apa yang kelihatan. Hendaklah setiap muslim melakukan sesuatu perkara tulus ikhlas kerana Allah Subhanahuwata’ala. Semua yang ada pada dirinya hanya untuk Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya yang bermaksud:
“Dan, barangsiapa menyerahkan diri kepada Allah, sedang dia adalah orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang pada tali yang kukuh. Dan hanya kepada Allahlah kesudahan segala sesuatu.”
(Luqman:22)

Rujukan:

Kertas kerja Muhammad Ghani Salleh bertajuk IKHLAS, (dengan merujuk kepada: Kitab Dr Yusuf Al-Qaradhawy, Niat dan Ikhlas, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta (1999)).

MENGIKHLASKAN NIAT KEPADA ALLAH (Siri 2)

PENGERTIAN IKHLAS

Ikhlas adalah salah satu daripada amalan hati. Maksud ikhlas ialah melakukan sesuatu semata-mata mencari keredhaan Allah, tanpa dicampuri dengan tujuan lain seperti keinginan hawa nafsu, keuntungan, pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan, meminta pujian atau lari dari kejian, mengikut hawa nafsu tersembunyi atau lain-lain yang bukan kerana Pencipta. Orang yang iklas melakukan kerja-kerja semata-mata untuk taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala).

Mengikut Profesor Dr Yusof Al-Qardhawi ikhlas ialah:

“Menghendaki keredhaan Allah dengan suatu amal, membersihkan dari segala noda individu dan duniawi. Tidak ada maksud yang lain untuk melakukan suatu amal kecuali kerana Allah dan demi hari akhirat. Tidak ada noda yang mencampuri suatu amal seperti kecenderungan kepada dunia, untuk kepentingan diri sendiri sama ada secara jelas mahu pun tersembunyi, menghendaki harta rampasan, syahwat, kedudukan, harta benda, supaya dihormati atau disanjungi oleh orang ramai, takut dicela, mengambil kesempatan di hadapan orang-orang tertentu, menyimpan rasa dengki yang tersembunyi, melayani rasa dengki tidak kelihatan, kesombongan yang terselubung, atau kerana alasan-alasan lain tidak terpuji, intipatinya ialah menghendaki selain Allah dengan suatu amal, siapa pun dan apa pun.”

Landasan amal ikhlas ialah memurnikan niat kerana Allah semata. Maksud niat di sini adalah pendorong kehendak manusia untuk mewujudkan suatu tujuan yang dituntutnya. Maksud pendorong adalah penggerak kehendak (force drive) manusia yang mengarah kepada amal. Sedangkan tujuan pendorongnya amat banyak dan bermacam ragam. Ada yang bersifat kebendaan, kerohanian, bersifat individu atau sosial.

Muslim yang ikhlas adalah jika pendorong di dalam hatinya mengalahkan pendorong hawa nafsu dan kepentingan akhirat mengalahkan kepentingan dunia. Ia mementingkan apa yang ada di sisi Allah daripada apa yang ada di sisi manusia. Ia menjadikan niat, perkataan dan amalnya untuk Allah Subhanahuwata’ala (seperti solah, ibadah, hidup dan matinya adalah untuk Allah Subhanahuwata’ala, Rab sekelian alam). Inilah ikhlas.

Rujukan:
Kertas kerja Muhammad Ghani Salleh bertajuk IKHLAS, (dengan merujuk kepada: Kitab Dr Yusuf Al-Qaradhawy, Niat dan Ikhlas, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta (1999)).

MENGIKHLASKAN NIAT KEPADA ALLAH (Siri 1)

PENDAHULUAN

Ikhlas merupakan perkara asas dan natijah iman yang tinggi. Ia satu kedudukan yang tinggi dalam din dan akhlak para insan Rabbani. Allah tidak menerima satu amal atau perbuatan tanpa disertai keikhlasan.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus"
(Al-Bayyinah:5)

“Ingatlah hanya kepunyaan Allah din (cara hidup) yang bersih daripada syirik”
(Az-Zumar:3)

“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Rabnya maka hendaklah ia mengerjakan amal salih dan janganlah ia menyengutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya”
(Al-Kahfi:110)

Setiap muslim dituntut supaya mengikhlaskan kerjanya kerana Allah Subhanahuwata’ala.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasa-i, menjelaskan (yang bermaksud):

“Sesungguhnya Allah Azzawajalla tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kepadaNya, dan ditujukan hanya untukNya”

Dalam hadis riwayat Ahmad dijelaskan tentang kepentingan niat dan ikhlas serta implikasinya dalam realiti kehidupan (yang bermaksud):

“Barangsiapa menikahi wanita dengan mas kahwinnya, sedangkan ia tidak berniat memberinya, maka ia berzina. Dan sesiapa berhutang, sedangkan ia tidak berniat untuk membayarnya, maka ia adalah pencuri”

Al-Bukhari dan Muslim pula meriwayatkan:

“Hanyasanya amalan-amalan itu dengan niat, dan hanyasanya setiap urusan dengan apa yang diniatkannya”

Muslim yang ikhlas dalam kerjanya akan terhindar daripada sombong, riyak dan mengharapkan penghargaan makhluk. Ali bin Abi Talib ra pernah berkata (yang bermaksud):

“Orang riyak itu memiliki empat tanda:
1. Malas ketika bersendirian
2. Bersemangat ketika berada di tengah manusia ramai
3. Bertambah amalannya jika dipuji, dan
4. Berkurangan amalan jika tidak mendapat pujian”

Rujukan:
Kertas kerja Muhammad Ghani Salleh bertajuk IKHLAS, (dengan merujuk kepada: Kitab Dr Yusuf Al-Qaradhawy, Niat dan Ikhlas, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta (1999)).

Saturday, July 25, 2009

PADAN MUKA ATAU KASIHAN

SHAH ALAM: Cubaan dua beradik melarikan beg tangan selepas meragutnya daripada seorang wanita gagal apabila kedua-duanya terbunuh apabila motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dikejar mangsa di Persiaran Subang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 petang, seorang daripada dua beradik terbabit memecahkan cermin tingkap kiri Mercedes Benz CLK 200 dipandu mangsa, dipercayai menggunakan topi keledar sebelum menyentap beg tangan berjenama Louis Vuitton.” (Petikan berita muka depan Harian Metro 24 Julai 2008)

Mungkin tanggapan awal apabila membaca berita di atas dengan rasa geram kita akan berkata: “Padan muka!”. Maklum sahajalah sejak akhir-akhir ini begitu banyak sekali kejadian ragut berlaku. Biasanya yang menjadi mangsa ialah wanita. Ada mangsa ragut yang cedera parah. Tetapi yang lebih malang adakalanya perbuatan ragut ini telah menyebabkan kematian kepada mangsa yang diragut.

Berbalik kepada kisah peragut yang kecundang tadi. Amat malang sekali mereka mengakhiri kehidupan di dunia ini dalam keadaan melakukan perbuatan mungkar, keji dan hina. Tentu sedih dan malu kepada kaum keluarga mereka. Lebih-lebih lagi kepada ibu yang melahirkan mereka. Bayangkan jika ianya berlaku kepada ahli keluarga kita, anak kita, adik beradik kita (Semoga dijauhkan oleh Allah)

Alangkah rugi dan menyesal yang teramat sangat. Mereka dilahirkan dalam keadaan Islam. Diberi peluang untuk hidup serta diberi nikmat Islam oleh Allah. Malangnya mereka enggan menerima kenyataan bahawa kehidupan di dunia ini hanya satu persinggahan dari satu perjalanan yang jauh.

Firman Allah yang bermaksud:
”Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”
(Surah Al Mulk ayat 2)

Agaknya sebagai orang muda mereka terlalai dan leka kerana mengikut hawa nafsu dan mencari keseronokan sementara. Syaitan memainkan peranan dengan menghiasi perkara-perkara keji dan mungkar supaya kelihatan seronok dan menghiburkan.

Masing-masing beranggapan umur masih muda, sihat dan bertenaga biasanya lambat lagilah nak mati..Jadi ’enjoy’ puas-puas. Firman Allah yang bermaksud:
”Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)
(Surah Al-’Ankabut ayat 64)

Harus diingat ajal itu tidak akan dipercepatkan atau ditangguhkan walau satu detik. Firman Allah yang bermaksud:
”Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu satu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan balasannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur”
(Surah Ali’ Imraan ayat 145)

”Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan). Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh (iaitu) mereka yang sabar, dan mereka pula berserah diri bulat-bulat kepada Allah.”
(Surah Al-’Ankabut ayat 57-59)

Fenomena sebegini sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia. Hawa nafsu menjadi pembimbing dalam membuat keputusan. Hati menjadi hitam dan kotor diselaputi dosa. Kehidupan akhirat yang kekal abadi kelihatan begitu jauh dan malas hendak difikirkan.
Firman Allah yang bermaksud:
”Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam, kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat Allah, dan mereka mempunyai mata, tetapi tidak dipergunakannya untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Allah, dan mereka mempunyai telinga, tetapi tidak dipergunakannya untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu sebagai binatang-binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai!.”
(Surah Al’ Araf: Ayat 179)

Sedangkan dihadapan kita diancam oleh azab neraka yang sangat dashyat dan tidak mampu ditanggung oleh kita.

Firman Allah yang bermaksud:
”Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): ”Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalilah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.”
(Surah As Sajdah ayat 12).

Hanya manusia yang dimuliakan Allah sahaja yang mendapat ganjaran syurga. Terlalu sedikit manusia yang terlepas dari neraka Allah berbanding manusia yang akan memasukinya.

Apakah kita terlalu yakin akan terlepas dari azab Allah? Sedangkan hisab Allah itu sangat terperinci dan adil. Tiada sebarang dosa atau kebaikan yang tidak kira walaupun sebesar zarah. Firman Allah yang bermaksud:
”Dan "kitab-kitab amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya: dan mereka akan berkata:"Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil, melainkan semuanya dihitungnya!" Dan mereka mendapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya): dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.
(Surah Al Kahfi ayat 49)

Masihkah kita merasa tenang dan tenteram dengan bekalan taqwa yang kita ada?

Sedangkan Saidina Umar yang begitu hebat keimanannya dan diiktiraf oleh Rasulullah keimanannya pun masih tidak merasa selamat dari api neraka Allah. Beliau menyatakan sekiranya semua manusia masuk syurga melainkan seorang; dia bimbang bahawa yang seorang itu adalah dirinya.

Firman Allah yang bermaksud:
”Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)”. (Lalu dikatakan kepada mereka: ”Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Dan sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”
(Surah As Sajdah ayat 13 – 14)

Di dalam sebuah hadis Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:
”Hiduplah selama yang kamu suka, maka kamu tetap akan mati. Cintalah dengan siapa yang kamu suka, maka kamu akan tetap meninggalkannya. Dan lakukanlah apa yang kamu suka, maka kamu akan dibalas dan dipertanggungjawab tentangnya!”

Umur manusia terlalu singkat kerana setiap yang hidup akan berakhir dengan mati. Biarpun cita-cita manusia terlalu panjang di masa hayat dikandung badan, tetapi ia hanya dapat bernafas dalam beberapa hari yang boleh dibilang. Selepas itu maut tetap datang meragut nyawanya. Yang tinggal hanya nama dan riwayat di masa hidupnya sahaja!!

Wallahu’aklam.