Sunday, May 08, 2011

Mengawal dan Menguasai Sifat Marah

Rasulullah S.A.W. bersabda, “Orang yang kuat bukanlah orang yang mampu mengalahkan lawannya. Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah.” (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Rasulullah juga bersabda: “ Orang yang lemah adalah orang yang menyerahkan dirinya kepada hawa nafsunya dan banyak berangan-angan kepada Allah.” (HR Ahmad dan Tirmidzi dari Syadad Bin Aus)

Kedua-dua hadis di atas menjelaskan bahawa pada diri manusia terdapat tiga kekuatan jiwa: kekuatan amarah, kekuatan syahwat dan kekuatan akal. Kebaikan jiwa seorang muslim sangat ditentukan oleh kebaikan tiga kekuatan ini.

Oleh kerana itu Rasulullah menyeru kepada setiap muslim supaya memiliki kemampuan untuk mengawal dan mengendalikannya. Jangan sampai ia menjadi orang yang lemah dan tidak berdaya menguasai dan mengendalikan tiga kekuatan tersebut.

Rasulullah menyebut “Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah.”

Sesungguhnya seorang Muslim hendaklah mampu menguasai kekuatan amarah agar tidak menjerumuskan dirinya ke dalam pelbagai kemudaratan dan hal-hal yang merugikan. Sepatutnya dia menggunakan sifat amarah untuk hal yang positif dan mendatangkan ridha Allah.

Untuk menguasai kekuatan amarah ini, seorang muslim hendaknya ‘memaksa diri’ agar memiliki sifat santun dan pemaaf agar lama kelamaan sifat santun dan pemaaf menjadi sifat peribadinya .

Cara-Cara Untuk Mengendalikan dan Menguasai Kekuatan Amarah.

i. Merenung ayat-ayat al Quran dan hadis-hadis Rasul.


Keutamaan menahan marah, bersikap sabar dan memaafkan orang lain adalah sifat peribadi orang-orang mukmin.


Diriwayatkan bahawa seorang Arab Badwi berkata kepada kepada Umar r.a. “Demi Allah, engkau tidak menghukum dengan adil dan sedikit dalam memberikan kebaikan kepada rakyat.”


Umar pun marah sehingga kelihatan perasaan marah diwajah beliau sehingga salah seorang sahabatnya berkata kepadanya, “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah engkau mendengar firman Allah Ta’ala, “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh.” (Al ‘Araf ayat 199)dan si Badwi itu termasuk orang-orang yang bodoh.” Umar pun terdiam dan memaafkan orang Badwi tersebut.


Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barang siapa menahan marah sedangkan ia mampu melampiaskannya, maka Allah akan memanggilnya pada hari Kiamat di depan semua makhlukNya dan menawarkan kepadanya bidadari syurga yang ia sukai.” (HR Ahmad)


Rasulullah juga bersabda:

“Tidak ada seorang hamba yang menahan amarahnya melainkan Allah akan memenuhi hatinya dengan keamanan dan keimanan.” (HR Abu Dawud)


Sabda baginda lagi:

“Janganlah kamu marah, nescaya kamu akan masuk syurga.” (HR Thabrani)


ii. Mengingat kekuasaan Allah Ta’ala


Kekuasaan Allah ke atas diri kita adalah lebih besar daripada kekuasaan kita ke atas orang yang kita marah. Seandainya kita melepaskan rasa marah kepada orang berkenaan, kita tidak akan merasa aman dari murka Allah kepada kita pada hari kiamat. Ini bererti kita harus memaafkan orang lain agar kita mendapat keampunan dan kemaafan dari Allah.


iii. Mengetahui bahawa menahan marah dan memaafkan bukan bererti lemah.


Menahan marah dan memaafkan orang lain bukan bererti suatu kelemahan dan kehinaan, bahkan merupakan suatu kekuatan dan kemuliaan, baik di mata Allah mahu pun di mata manusia yang berakal. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

“orang yang kuat bukanlah orang yang mampu mengalahkan lawannya. Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah.” (Muttafaqun ‘Alaih)


iv. Mengingat Akibat Buruk Melepaskan Rasa Marah


Memperingatkan diri akibat buruk permusuhan, dendam dan komplot jahat orang yang dimarahinya melakukan pembalasan dendam.


Jika seseorang tidak terpengaruh dengan balasan buruk di akhirat, maka ia perlu membayangkan bahawa bahaya di dunia akan dialaminya akibat melepaskan perasaan marah.


v. Berlindung kepada Allah.

Kita perlu memohon perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk kerana amarah adalah bisikan syaitan.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh.” (Surah Al ‘Araf ayat 99)


Diriwayatkan bahawa ada dua orang yang sedang bertengkar di depan Nabi S.A.W. Salah seorang di antara keduanya melontarkan cacian dengan penuh amarah hingga merah padam mukanya. Beliau lalu bersabda:


“Aku mengetahui satu kalimat yang seandainya orang ini mengucapkannya nescaya amarahnya akan hilang. Jika ia mengucapkan, “A’uzudzu billahi minasy-syaithaanir-rajii m.” (HR Bukhari dan Muslim)



vi. Mengubah Posisi Badan


Nabi S.A.W. bersabda:

“Apabila salah seorang kamu marah, sedangkan ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Jika dengan duduk marahnya belum reda, maka hendaklah berbaring.”


Pentingnya mengubah posisi badan kerana dalam keadaan berdiri seseorang itu lebih bersiap untuk melepaskan marahnya dan lebih mudah untuk melakukan tindakan pembalasan. Berbeza dengan posisi duduk dan berbaring yang relatih lebih jauh untuk melakukan semua itu.


Oleh kerana itu Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya orang yang berbaring lebih baik daripada orang yang duduk. Orang yang duduk lebih baik daripada orang yang berdiri. Orang yang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan. Orang yang berjalan lebih baik daripada orang yang berlari.” (HR Muslim).


vii. Diam


Bila seseorang marah, berusahalah untuk tetap diam dan tidak berkata-kata. Ini adalah kerana apabila seseorang berkata-kata ketika sedang marah, maka hal itu akan lebih mempengaruhi emosinya dan emosi orang yang menjadi lawannya. Di samping itu ia boleh menimbulkan penyesalan ketika emosinya telah reda.


Rasul S.A.W. bersabda:

“Apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia diam (beliau mengucapkannya tiga kali).” (HR Abu Dawud)


viii. Berwudhuk

Marah akan menaikkan suhu badan, sehingga darah ‘mendidih’ dan emosi memuncak. Maka dengan berwudhuk, air akan mampu menyejukkannya dan mengembalikannya kepada keadaan normal. Dalam sebuah khutbah, Rasulullah bersabda:

“Ketahuilah bahawa marah adalah bara yang menyala-nyala dalam hati anak Adam.” (HR Ahmad)


Di samping itu oleh kerana marah datangnya dari syaitan dan syaitan diperbuat daripada api, maka airlah yang boleh memadamkannya.


Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya marah itu dari syaitan, sedang syaitan diciptakan dari api, dan yang dapat memadamkan api hanyalah air. Oleh kerana itu, apabila salah seorang diantara kamu marah, maka hendaklah ia berwudhuk.” (HR Ahmad).


Mengendalikan kekuatan amarah bukan bererti menghilangkan sama sekali. Kerana kekuatan amarah ini diciptakan oleh Allah untuk sesuatu hikmah yang besar; iaitu agar manusia terdorong untuk mempertahankan haknya, menolak kejahatan orang lain yang merugikan dirinya, serta menegakkan jihad fisabilillah bagi membela dan meninggikan kalimah Allah yang merupakan amalan yang paling utama.

Rujukan:

Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

4 comments:

  1. Asalamualaikum Tuan... rencana yg sangat2 menarik.. mohon share kat blog saya.. Terima kasih

    ReplyDelete
  2. Tuan, terima kasih atas naskah ilmu ini. Moga Allah merahmati tuan sekeluarga. aminn..

    ReplyDelete