Tuesday, October 13, 2009

MENJAUHI AMALAN SIA-SIA

عن أبي هريرة رضي الله تعالى عنه قال: قال رسول الله (صلى الله عليه وسلم) : "من حسن إسلام المرء تركه مالا يعنيه". (حديث حسن رواه الترمذي وغيره هكذا)
Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu‘anhu, katanya: Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah bersabda: "Sebahagian daripada keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan apa yang tiada kena mengena (tidak berfaedah) dengannya. (Hadis ini hadis hasan, diriwayatkan oleh al-Tarmizi dan lain-lain sedemikian)

Keterangan hadith:

1. Antara tanda-tanda keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan amalan yang sia-sia. Misalnya menjaga lidah daripada perkataan yang sia-sia, sepertimana peringatan Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada didekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir"
(Qaaf : 18)

2. Antara langkah untuk meninggalkan perkara yang sia-sia ialah tidak mengikut runtunan hawanafsu.

3. Salah faham terhadap hadis ini menyebabkan sesetengah orang meninggalkan perkara yang wajib atau yang sunat di atas sangkaan perkara-perkara tersebut tidak ada kaitan dengannya.

Pengajaran hadis:

1. Seseorang mukmin dikira elok, indah dan tinggi akhlaknya apabila beliau hanya melakukan perkara-perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

2. Antara perkara yang tidak berfaedah ialah bercakap kosong, berhibur dengan hiburan yang melalaikan, duduk-duduk di jalan, bertandang ke rumah orang hanya untuk untuk berbual-bual kosong tanpa niat ziarah atau tanpa ada suatu kepentingan dan suka mengambil tahu perkara-perkara yang tiada kaitan dengan dirinya.

3. Anjuran ini menyerlahkan ajaran lslam yang amat baik ke arah pembangunan umat. Sekiranya umat lslam meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah, nescaya umat Islam akan berjaya.

No comments:

Post a Comment