Sunday, October 11, 2009

EMPAT ISTILAH DALAM AL QURAN (Siri 1)

KEPENTINGAN MEMAHAMI EMPAT ISTILAH ASAS DALAM AL-QURAN

Muqaddimah

Ilah (اله), Rabb ( رب ), ‘Ibadah ( عبادة ) dan Din ( د ين) adalah empat istilah asas bagi keseluruhan pengajaran di dalam al-Quran. Al-Quran berulangkali menekankan bahawa Allah Subhanahuwata’ala sahaja yang Maha Berkuasa, Dialah Rabb dan Dialah Ilah, Tiada Ilah melainkan Dia dan Tiada Rabb melainkan Dia. Tidak pernah Dia berkongsi sifat-sifat kekuasaan dan kemuliaan-Nya dengan yang lain. Hanya Dia sahajalah yang semestinya diterima oleh manusia sebagai Ilah dan Rabb. Tidak seharusnya wujud mana-mana individu ataupun golongan yang berani mengakui mempunyai sifat-sifat kekuasaan dan kemuliaan, yang sebenarnya menjadi milik Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.

Kita dituntut agar beribadah hanya kepada Allah Subhanahuwata’ala, tidak kepada yang lain. Juga, menerima Din sebagaimana yang dikehendaki-Nya sahaja dan menolak segala din yang lain.

Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
"Dan Kami tidak mengutuskan Rasul sebelummu melainkan Kami wahyukan kepadanya: Bahawasanya tidak ada Ilah melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku."
(Surah al-Anbiyaa’ : 25)

"Mereka mengambil orang-orang alim (pendita-pendita) dan padri-padri mereka menjadi Ilah, bukan Allah dan juga mereka (mempertuhankan) al-Masih Anak Mariam, sedangkan mereka hanya disuruh (oleh Allah) supaya beribadah kepada Ilah Yang Maha Esa, tidak ada Ilah selain daripadaNya, Maha Suci Dia (Allah) dari apa yang mereka persekutukan."
(Surah at-Taubah : 31)

Mengambil manusia sebagai Ilah dan mengambil din rekaan manusia sebagai din yang dianuti adalah penyelewengan dan kesesatan yang nyata.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Sesungguhnya (agama tauhid) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku."
(Surah al Anbiyaa’ : 92)

"Katakanlah: Apakah aku akan mencari Rabb selain Allah, padahal Dia adalah Rabb bagi segala sesuatu. Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Rabbmulah kamu kembali dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan."
( Surah al-An’aam : 164)

"Katakanlah: Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: Bahawa sesungguhnya Ilah kamu itu adalah Ilah yang Esa. Barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Rabbnya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Rabbnya."
(Surah al-Kahfi : 110)

"Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada Nyalah menyerahkan diri segala yang ada di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allah lah mereka dikembalikan."
(Surah ali-‘Imran : 83)

"Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada Nya dalam (menjalankan) agama."
(Surah az-Zumar : 11)

"Sesungguhnya Allah, Rabbku dan Rabbmu, kerana itu sembahlah Dia. Inilah jalan yang lurus."
(Surah ali-‘Imran : 51)

Firman-firman Allah Subhanahuwata’ala di atas ada kaitan dengan konsep Ilah, Rabb, ‘Ibadah dan Din.

Oleh itu Allah adalah llah dan Rabb bagi seluruh manusia. Tidak ada sesiapa pun selain Allah Subhanahuwata’ala mempunyai sifat-sifat Kekuasaan dan Penentuan yang Paling Tepat ke atas sesuatu. Oleh sebab itu manusia wajib beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Dan, din bagi manusia ialah Din Islam semata-mata dan tidak dikongsikan dengan din yang lain.

Pentingnya memahami Konsep Ilah dan Rabb

Orang yang tidak memahami tauhid (keyakinan kepada KeEsaan Allah semata-mata) dan tidak memahami musuh-musuh tauhid, iaitu syirik (pengakuan atau keyakinan kepada yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala), maka tidak akan mampu untuk beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala dan melaksanakan Din-Nya semata-mata.

Orang yang tidak faham dengan jelas terhadap istilah-istilah Ilah dan Rabb, maka pengajaran al-Quran akan terus menjadi tidak jelas dan lengkap baginya.

Tanpa memahami istilah-istilah Ilah dan Rabb, seseorang itu akan terus menerus melafazkan kalimah: لا اله الا الله (Tiada Ilah yang disembah melainkan Allah), sedangkan pada praktiknya dia tetap melayan kehendak-kehendak ilah yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Dia akan mengaku dengan sungguh-sungguh dan penuh ikhlas bahawa dia tidak ber‘ibadah kepada yang lain melainkan Allah Subhanahuwata’ala, tetapi pada praktiknya dia terus menerus ber‘ibadah kepada yang lain selain daripada Allah Subhanahuwata’ala tanpa sedar.

Jika ada pihak yang cuba menunjukkan kepadanya akan kesalahannya mencintai din yang lain daripada Din Allah, maka dia akan rasa tersinggung dan melawan kembali. Dalam keadaan tidak insaf dan tidak sedar, dia akan terus memberikan kesetiaan kepada perintah-perintah din yang lain selain Islam. Tanpa sedar, dia akan terus yakin kepada undang-undang dan peraturan-peraturan bukan Islam. Dia akan terus merasa senang dengan pendokong-pendokong din yang lain tanpa mengesyaki atau mencurigai bahawa pendokong-pendokong itu telah mensyirikkan Allah Subhanahuwata’ala.

Rujukan: Empat Istilah Dalam Al-Qur’an, Al-Maududi

No comments:

Post a Comment