Tuesday, October 13, 2009

TANDA BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله (صلى الله عليه وسلم) قال: "من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيراً أو ليصمت، ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم جاره، ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم ضيفه". (رواه البخاري ومسلم)
Yang bermaksud:
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah bersabda: Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran
tetangganya. Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. (Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan hadith:

1. Pergaulan yang baik dengan menyebarkan kasih sayang antara kaum muslimin akan mengeratkan lagi ikatan mahabbah.

2. Untuk memelihara lidah seseorang itu perlu berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata. Sekiranya perkara yang ingin dikatakan itu berfaedah, maka bercakap adalah lebih diutamakan. Sekiranya perkara yang ingin dikatakan itu tidak berfaedah, maka diam adalah lebih diutamakan.

3. Memuliakan jiran sangat dituntut oleh Islam:
a. Diberitakan bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah diwasiatkan oleh Jibril untuk berbuat baik dengan jiran sehingga baginda menyangka bahawa jiran boleh mewarisi harta pusaka.
b. Islam melarang menyakiti hati jiran seperti mengumpat dan berbuat fitnah.
c. Muslim dituntut berlaku ihsan dengan jiran seperti memberi hadiah, menyebarkan salam, senyum ketika berjumpa, menolong ketika susah dan seumpamanya.


4. Martabat jiran:
a. Jiran muslim yang mempunyai pertalian keluarga – mempunyai hak sebagai jiran, hak sebagai muslim dan hak sebagai kaum kerabat.
b. Jiran muslim – mempunyai hak sebagai jiran dan hak sebagai muslim.
c. Jiran bukan muslim – mempunyai hak sebagai jiran.

5. Memuliakan tetamu:
Islam menuntut agar tetamu dimuliakan dalam tempoh tiga hari.

Pengajaran hadith:

1. Hadith ini menerangkan beberapa tuntutan lman, antaranya ialah berkata hanya dalam perkara-perkara yang benar dan berfaedah, menghormati jiran tetangga dan memuliakan tetamu.

2. Seorang yang benar-benar beriman akan menjaga lidahnya daripada berbicara perkara-perkara haram kerana beliau akan dipersoalkan pada hari qiamat nanti. Beliau lebih senang berdiam daripada bercakap dengan perkara-perkara yang buruk seperti mengumpat, mencaci, memaki dan berkata-kata keji

3. Seorang yang benar-benar beriman akan menghormati jiran tetangga dan tetamunya serta menyempurnakan hak mereka dan tidak menyakiti mereka.

4. Jiran tetangga adalah golongan yang mendapat perhatian yang besar dalam lslam. Hormat menghormati, tolong menolong dan hidup bermuafakat dengan jiran-jiran adalah asas keamanan, kemajuan dan keharmonian sesebuah masyarakat.

No comments:

Post a Comment