Thursday, October 15, 2009

MUSLIM DI SUDUT ‘AQIDAH (Siri 1)

SAYA MESTILAH MUSLIM DI SUDUT ‘AQIDAH

Berpegang dengan aqidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama bagi seorang yang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung dalam Kitabullah (al-Quran) dan sunnah Rasululllah Sallallahu’alaihiwasallam. Ia mestilah beriman dengan apa yang telah diimani oleh orang-orang Islam terdahulu yang terdiri dari kalangan Salafussoleh serta para imam penyampai agama ini yang telah diakui kebaikan, kebaktian serta ketakwaan mereka.

Bagi memastikan saya benar-benar muslim dalam aqidah, maka saya mestilah beriman dengan perkara–perkara berikut:

1) Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Rabb yang maha bijaksana lagi berkuasa, maha mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapa pun. Buktinya jelas pada kejadian alam ini yang penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan, saling perlu memerlukan di antara satu juzu’ dengan juzu’ yang lain. Adalah mustahil semua kejadian ini akan kekal dan berterusan sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Rabb yang maha tinggi lagi maha berkuasa.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah tentulah kedua-duanya itu telah rosak binasa. Maka maha suci Allah yang mempunyai ‘arasy daripada apa yang mereka sifatkan”.
(Al-Anbiya’, 21 : ayat 22)

2) Saya mestilah beriman bahawa Rabb yang maha mulia tidaklah mencipta segala kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Kerana mustahil bagi Allah yang bersifat dengan sifat kesempurnaan itu mencipta sesuatu secara sia-sia. Adalah mustahil seseorang itu dapat memahami maksud tujuan Allah menjadikan sesuatu secara terperinci melainkan melalui penjelasan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan wahyu dari Allah Subhanahuwata’ala itu sendiri.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka maha tinggi Allah, Raja yang sebenarnya, tiada tuhan selain Dia, tuhan (yang memounyai) ‘arasy yang mulia”.
(Al-Mu’minun, 23 : ayat 115-116)

3) Saya mestilah beriman bahawasanya Allah Subhanahuwata’ala telah mengutuskan Rasul-rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka, mengetahui asal-usul mereka dan ke mana mereka akan kembali. Saya juga beriman bahawa rasul terakhir dari kalangan rasul-rasul yang mulia itu ialah nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam yang Allah kurniakan kepadanya Al-Qur’an Al-Karim sebagai satu mu’jizat yang berkekalan.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah thaghut itu”, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)”.
(Surah An-Nahl, 16: Ayat 36)

4) Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah mengenali Allah sepertimana yang Allah Subhanahuwata’ala sendiri menjelaskannya, memberi penuh ketaatan kepada-Nya dan mengabdikan diri kepada-Nya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya, Allah Dialah pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh”.
(Surah Az-Dzariyat, 51 : Ayat 56-58)

5) Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mu’min yang taat kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi durhaka ialah api neraka.
Allah menerangkan yang bermaksud :
“...satu golongan memasuki syurga dan satu golongan lagi memasuki neraka sa’ir”.
(Surah Al-Syura, 42 : Ayat 7)

6) Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikan dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun demikian kebaikan yang dilakukan itu tidaklah berlaku, melainkan dengan taufiq dan ‘inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk dalam batasan keizinan dan kehendak-Nya.
Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Dan jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya”.
(Surah Al-Syams, 91 : Ayat 7-10)

Dan firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah diperbuatnya”.
(Surah Al-Muddaththir, 74: ayat 38)

7) Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan dan penetapan hukum itu adalah hak mutlak Allah Subhanahuwata’ala. Tidak harus sama sekali manusia itu mendahului atau membelakanginya. Apa yang dibolehkan ialah ilmuan muslim atau para ulama’ berijtihad mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas syari’at dalam batas-batas yang diizinkan.
Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Tentang sesuatu apa pun yang kamu berselisih, maka keputusannya (terserahlah) kepada Allah, (yang mempunyai sifat-sifat sedemikian) itulah Allah Tuhanku, kepada-Nyalah aku bertawakkal dan kepada-Nya aku kembali.”
(Surah Al-Syura, 42 :Ayat 10)

Rujukan: “Apa Ertinya Saya Menganut Islam” (Terjemahan dari kitab: Maza Ya’ni Intima’i Lil-Islam), oleh: Fathi Yakan.

No comments:

Post a Comment