Monday, August 17, 2009

MELATIH DIRI UNTUK BANGUN MALAM

Rasulullah menjelaskan tentang keutamaan ibadah solat di waktu malam yang amat besar dalam kehidupan dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Tunaikanlah solat dua rakaat dalam kegelapan malam, demi kesunyian kubur."
Hadis di atas mengisyaratkan agar kita sentiasa berusaha untuk bangun pada sebahagian malam untuk melakukan qiyamulail. Sesuatu yang tidak ringan, sehingga perlu latihan dan membiasakan diri.

Solat malam tidak boleh ditandingi oleh sebarang ibadah. Solat malam membekalkan para mukmin dengan potensi dan daya juang yang tidak dapat digambarkan kehebatannya. Kenyataan ini diperkuatkan oleh firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya jiwa (orang) yang terbentuk di waktu malam itu lebih mantap (keperibadiannya) dan lebih jitu kata-katanya".
(Surah al Muzammil ayat 6)

Sabda Rasulullah yang bermaksud:
”Hendaklah kalian mengerjakan solat di waktu malam, justeru itu adalah amalan orang-orang yang soleh sebelum kamu dan mendekatkan kamu kepada Tuhanmu. Ia penebus segala dosa, pencegah dari segala keburukan. Ia dapat menghapuskan penyakit yang ada di dalam badan seseorang.” (Hadis riwayat Tabrani dan Tarmizi)

Diriwayatkan bahawa Jibril datang menemui Rasulullah s.a.w. Beliau berkata kepada baginda:
”Hai Muhammad, hiduplah seperti mana yang engkau mahu, namun engkau pasti mati. Berbuatlah apa yang engkau mahu, namun engkau pasti berpisah dengannya. Ketahuilah bahawa keutamaan seseorang mukmin itu ialah dengan qiyamullail (solat malam) manakala kemuliaan nya ialah dengan sikap berdikari (tidak bergantung kepada orang lain).”
(Hadis riwayat Tabrani)

Solat malam dapat membentuk manusia menjadi hamba Allah yang Rabbani, kerap berhubung dengan Allah, berjiwa cerah, mempunyai hati yang peka, kewaspadaan yang tinggi serta berfikiran kritis.

Solat malam tidak akan dapat dijadikan amalan kebiasaan kecuali dengan menggagahkan diri, melawan syaitan dan nafsu khasnya pada peringkat awal. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
”Apabila seseorang hendak menunaikan solat malam, datanglah malaikat seraya berkata kepadanya: ”Bangunlah, hari telah pagi, solat dan ingatlah Tuhanmu”. Syaitan pun datang juga dan memujuknya. ”Malam masih panjang, engkau boleh tidur lagi, nanti engkau boleh bangun”. Kalau ia bingkas dari tempat tidurnya mendirikan solat, maka badannya akan menjadi ringan (cergas) dan sihat. Kalau ia patuh kepada syaitan, tidur hingga ke siang, syaitan akan kencing di dalam telinganya.” (Hadis riwayat Tabrani)

Rasulullah mengaitkan antara solat tengah malam dengan mendapat ketenangan dan kedamaian jiwa di dalam kubur. Baginda menyatakan:
”Orang yang mencerahkan malamnya dengan ibadah dan patuh kepada Allah, nescaya Allah akan menerangkan kuburnnya dengan rahmat dan kurniaanNya.”

Alangkah hebatnya kurnia dan ganjaran Allah terhadap hambaNya. Dengan beberapa raka’at yang dikerjakan di waktu malam, ia boleh selamat dari siksa kubur, kesepian dan kelengangannya (kesunyiannya). Ia merasa sejahtera dan damai.

Selamatlah orang yang tidak nyenyak tidurnya kerana ibadah. Selamatlah mereka dari kesengsaraan kesepian dalam kubur. Sesungguhnya suasana di dalam kubur amat sepi dan penuh dengan penanggungannya.

Rasulullah pernah membayangkan tentang kubur dan siksanya. Baginda menyatakan yang bermaksud:
”Kubur adalah anak tangga pertama ke akhirat. Jika seseorang boleh selamat (dari siksanya), maka peringkat selepas itu akan lebih mudah. Tetapi kalau ia tidak selamat, maka apa yang akan dihadapinya selepas itu lebih payah.”

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
”Apabila seseorang itu hendak dihimpit di dalam kuburnya dari sebelah kepalanya, maka datanglah ibadat tilawatul Quran (yang telah dilakukan semasa di dunia) menghalangnya. Apabila himpitan itu datang dari depannya, ia dihalang oleh ibadat sedekahnya, dan apabila himpitan itu datang dari arah kakinya, ia dihalang oleh (ibadah) pemergiannya ke masjid-masjid”

Perkara yang perlu dilakukan untuk membiasakan diri untuk bangun malam:

i. Biasakan tidur awal.

Rasulullah telah melarang tidur sebelum solat Isyak dan bercengkerama setelahnya.” (HR Thabrani)

ii. Tidak makan malam terlalu kenyang sehingga memerlukan tidur yang panjang.

Ulamak menyatakan: ”Barangsiapa banyak makan, maka ia akan banyak minum. Barangsiapa banyak minum, maka ia akan banyak tidur. Barangsiapa yang banyak tidur maka ia tidak mempunyai makna dalam kehidupan ini.”

iii. Berwuduk, berdoa dan membaca wirid sebelum tidur.

Hal ini akan melindungi diri dari godaan syaitan yang sentiasa mendorongnya untuk tidur sampai ke pagi. Apabila tidur sampai ke pagi, Rasulullah S.A.W. bersabda: ”Setan telah kencing di kedua telinga orang itu,” (HR Bukhari)

Rasulullah apabila hendak tidur merapatkan kedua telapak tangannya kemudian meniup keduanya seraya membaca, ”Qulhuwallah hu ahad”, ”Qul a’udzu birabbil falaq” dan ”Qul a’uudzu birabbinnaas”. Kemudian beliau mengusapkan kedua telapak tangannya keseluruh bahagian tubuh yang mampu dijangkau. Beliau memulai dengan mengusap kepala, wajah dan bahagian depan badannya. Beliau lakukan hal itu sebanyak tiga kali. (HR Bukhari)

iv. Menggunakan alat bantu seperti jam loceng atau pesan kepada rakan, isteri, keluarga untuk mengejutkan kita sampai menjadi kebiasaan untuk bangun malam sehingga tidak memerlukan alat atau sesiapa untuk mengejutkan kita.

Rujukan:
i. Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah, Fathi Yakan terjemahan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Ustaz Zawawi Ali, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, 1985.

ii. Syarah Lengkap Arba’in Tarbawiyah – Refleksi 40 hadith Muwashofat Tarbiyah Untuk Membentuk Profil Kader, Fakhruddin Nursyam, Lc, Penerbit Bina Insani Press, Surakarta, Mac 2006)

1 comment:

  1. http://almukhlisinalamdamai.blogspot.com/

    Saudara Sabri tolong link kan blog kariah masjid al-mukhlisin

    ReplyDelete