Tuesday, May 31, 2011

Bentuk Jihad Melawan Hawa Nafsu

Ada beberapa bentuk jihad melawan hawa nafsu yang harus dilakukan oleh seorang muslim agar termasuk dalam golongan mujahid sejati.


Pertama, melakukan jihad melawan nafsu terhadap hal-hal yang diinginkannya. Hal-hal yang diinginkan nafsu sangat banyak di antaranya ialah seperti keselamatan, kesihatan, kekayaan, pengikut yang ramai dan semua kesenangan duniawi.


Seorang Muslim harus melakukan jihad melawan hawa nafsu terhadap semua ini sehingga jangan sampai ia diperhambakan oleh semua itu dan terjerumus dalam perangkap syahwat. Akibatnya ia tidak lagi memperhatikan hak-hak Allah di dalamnya dan akhirnya semua itu menyebabkan ia menjadi sombong, angkuh dan melampaui batas. Jihad melawan nafsu bagi perkara di atas sangat sukar hinggakan ramai yang gagal menghadapinya.


Abdul Rahman bin Auf r.a. berkata: “Kami diuji dengan kesusahan, kami mampu bertahan. Dan kami diuji dengan kesenangan, namun kami tidak mampu bertahan.”


Kedua, melakukan jihad melawan nafsu terhadap perkara yang dibenci seperti:-


i. Berjihad melawan hawa nafsu dalam melakukan ketaatan.


Tabiat nafsu manusia sentiasa membenci untuk berubudiah dan merasa berat memikul amanah Allah. Kebencian terhadap ibadah kadangkala disebabkan oleh rasa malas seperti solat, rasa bakhil untuk mengeluarkan zakat, dan gandingan rasa malas dan bakhil dalam menunaikan haji.


Berjihad melaksanakan ketaatan perlu dilakukan secara berterusan, di samping memperbetulkan niat agar ikhlas kepada Allah. Perlu berusaha agar jangan sampai melalaikan suruhan Allah dan malas dalam melaksanakan adab-adab serta mengikut sunnah Rasulullah.


Setelah melakukan ibadah kepada Allah, perlu berusaha supaya tidak timbul perasaan sombong dan menunjuk-nunjuk ke atas amalan yang dilaksanakan. Di samping itu perlu mempastikan selepas melakukan amal ibadah, kita tidak melakukan perbuatan zalim dan maksiat agar segala pahala tidak gugur begitu sahaja.



ii. Jihad melawan nafsu agar meninggalkan maksiat.


Jihad ini sangat berat kerana nafsu sentiasa merindu dan menginginkan maksiat terutama maksiat lisan yang sangat mudah untuk dilakukan seperti mengumpat, berbohong, bertengkar dan menghasut.


iii. Jihad melawan nafsu agar redha dengan ketentuan dan takdir Allah.


Kita perlu bersabar dalam menghadapi musibah yang menimpa dan bersyukur atas nikmat yang diberikan Allah kepada kita. Jihad melawan nafsu agar redha dengan ketentuan dan takdir Allah termasuk juga bersabar atas gangguan orang lain dan berterima kasih atas kebaikan-kebaikannya. Di dalam hadis Qudsi Allah berfirman yang bermaksud:


“Barangsiapa yang tidak bersyukur atas nikmat-Ku, tidak bersabar atas musibah-Ku, maka hendaknya ia keluar dari kawasan langit dan bumi ini, dan mencari Tuhan selain-Ku.” (Tahdzibul Akhlaq: 84:85)

Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007

Peringkat-Peringkat Jihad Melawan Nafsu

Menurut Ibnul Qayyim, jihad melawan nafsu mempunyai 4 peringkat iaitu:


i. Pertama, berjihad melawan nafsu agar mempelajari petunjuk dan kebenaran Islam yang menjadi satu-satunya sumber kebahagiaan dan keselamatan jiwa dalam kehidupan dunia dan akhirat. Apabila seseorang itu tidak melakukan jihad melawan nafsu ini, maka ia akan celaka di dunia dan akhirat.


ii. Kedua, berjihad melawan nafsu agar mengamalkan apa yang dipelajari dan diketahuinya. Ilmu tanpa amal seringkali membahayakan keselamatan jiwa seseorang di dunia dan akhirat. Jika tidak membahayakan diri sekalipun maka ilmu yang dipelajari sama sekali tidak mendatangkan kemanfaatan kepada dirinya.


iii. Ketiga, berjihad melawan nafsu agar berdakwah kepada orang lain berdasarkan ilmu yang dipelajari dan diamalkan. Jika seseorang tidak melakukan jihad untuk menyampaikan kepada orang lain maka ia termasuk orang-orang yang menyembunyikan petunjuk dan ajaran Islam yang diturunkan Allah. Oleh itu ilmunya sama sekali tidak bermanfaat bagi dirinya dan tidak mampu menyelamatkannya dari siksa api neraka.


iv. Keempat, berjihad melawan nafsu agar bersabar dalam memikul beban dakwah kepada Allah dan menghadapi gangguan dari musuh dakwah. Ia perlu menghadapi segala gangguan dan halangan demi untuk meraih keredhaan dan pahala dari Allah.


Apabila seorang muslim dapat melaksanakan keempat-empat peringkat jihad hawa nafsu ini, maka ia termasuk orang-orang Rabbani. Ulamak salaf telah sepakat bahawa orang yang alim tidak berhak mendapat gelaran Rabbani sehingga ia mengetahui kebenaran, mengamalkannya dan mengajarkan kepada orang lain.


Barangsiapa yang memiliki ilmu dan mengamalkannya serta mengajarkan kepada orang lain maka ia akan dipanggil sebagai “orang yang agung” di kerajaan langit (Al Bayan fi Madakhilisy-syaithan: 169- 170)


Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

Monday, May 30, 2011

Jihad Yang Paling Utama dan Tertinggi

Artikel ini mengajak kita bersama-sama melihat kepentingan memerangi hawa nafsu. Satu tajuk yang penting untuk kita fahami kerana hawa nafsu merupakan sifat yang ada pada diri manusia dan haiwan. Berbeza dengan malaikat yang mempunyai akal tetapi tidak mempunyai hawa nafsu.


Setiap hari di dada akhbar terpampang pelbagai kejadian atau permasalahan yang timbul berpunca daripada hawa nafsu. Kejadian jenayah, gejala sosial, masalah rumah tangga, dan lain-lain kalau diteliti akar umbinya perpunca kerana menuruti hawa nafsu.


Rasulullah S.A.W. bersabda, “Jihad yang paling utama adalah jihad seseorang melawan hawa nafsunya.” (HR Abu Nu’aim dan Abu an Najjar dari Abu Dzar r.a.)


Hadis ini menunjukkan kepentingan memerangi hawa nafsu kerana untuk memperbaiki masalah yang dihadapi oleh masyarakat perlu bermula dengan membaiki individu. Kebaikan dan kerosakan masyarakat ditentukan oleh kebaikan dan kerosakan individu. Oleh kerana itu jihad melawan hawa nafsu merupakan jihad paling utama yang patut dilakukan oleh setiap muslim. Kebaikan diri seseorang ditentukan oleh kemampuan seseorang dalam mengendalikan nafsu dan menjauhkannya dari pelbagai keinginan yang kotor dan keji.


Para ulamak sepakat bahawa jihad termasuk amalan yang paling utama berdasarkan beberapa hadis. Seorang lelaki bertanya, “Ya Rasulullah, amalan apakah yang paling utama?” Rasulullah menjawab, “Iman kepada Allah dan Rasul-Nya,“ Ia bertanya, “Kemudian apa?“ Beliau menjawab, “Jihad di jalan Allah.“ Ia bertanya lagi, “Kemudian apa?“ Beliau menjawab, “Haji mabrur.“ (HR Bukhari dan Muslim)


Ibnul Qayyim berpendapat bahawa jihad yang paling utama adalah jihad yang paling sesuai mengikut tuntutan masa dan keadaan. Ketika dalam suasana peperangan atau diserang kaum kafir maka jihad yang terbaik adalah jihad dengan mengangkat senjata melawan kaum kafir.


Rasulullah S.A.W. pernah ditanya, “Jihad apakah yang paling utama?” Beliau menjawab, “Seseorang yang berperang hingga kuda kenderaannya mati dan ia sendiri gugur bersimbah darah.“ (HR Bukhari)


Bagi orang tua dan wanita maka jihad yang paling utama adalah haji mabrur kerana ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam dan merupakan kombinasi antara ibadah harta dan ibadah tubuh badan Oleh itu keupayaan melaksanakan haji dengan sempurna merupakan jihad yang paling utama. Rasulullah bersabda, “Jihad orang tua dan wanita adalah haji dan umrah.” (HR Ahmad)


Dalam keadaan negara aman dari serangan kaum kafir , namun tidak aman dari kezaliman penguasa, maka jihad yang terbaik adalah menyampaikan nasihat kebenaran kepada pemimpin yang zalim.


Rasul S.A.W. bersabda: “Jihad yang paling utama adalah kalimat yang benar di hadapan penguasa yang zalim (culas).” (HR Ahmad)


Hadis ini menerangkan kepentingan seorang pemimpin dalam membawa kebaikan yang besar bagi seluruh rakyat dan bangsanya. Kezaliman dan kejahatan pemimpin akan membawa kesengsaraan yang besar bagi seluruh rakyat dan bangsanya hinggakan usaha untuk memperbetulkan pemimpin merupakan jihad yang paling utama.


Manakala ketika keadaan negara yang aman dari gangguan musuh dan kezaliman pemimpin maka jihad yang terbaik bagi seorang muslim adalah jihad melawan nafsu.


Jihad apapun tidak akan tertegak tanpa melakukan jihad melawan nafsu terlebih dahulu. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang mujahid adalah orang yang berjihad melawan nafsunya.” (HR Tirmidzi)


Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

Saturday, May 28, 2011

Perkara Yang Merosakkan Hati

Kita biasanya mengambil berat mengenai penyakit yang menimpa tubuh badan kita. Tetapi jarang sekali kita meneliti kesihatan hati kita. Sukar bagi kita untuk mendapatkan pakar dalam mendiagnosis penyakit hati.


Namun begitu Rasulullah S.A.W. mengajar kita supaya membuat pemeriksaan hati sepertimana sabda baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam jasad terdapat segumpal daging. Jika ia baik, maka seluruh tubuh akan menjadi baik, dan jika ia rosak maka seluruh tubuh akan menjadi rosak. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” (HR Bukhari)


Kebaikan sesebuah masyarakat dinilai dari dua aspek iaitu jasmani (tubuh badan) dan rohani. Kebaikan fizikal banyak ditentukan oleh kebaikan hati. “Hati mau baik”. Itulah antara ungkapan yang sering kita dengar. Sebab jika hati seseorang itu baik, maka ia akan meninggalkan perkara-perkara yang merosakkan tubuh badan seperti mabuk, menagih dadah, melanggani pelacur dan semua tindakan yang membahayakan diri dan orang lain.


Hati yang rosak tidak akan mampu membawa manusia kepada kebaikan dunia dan akhirat. Bahkan sebaliknya, ia akan menjerumuskan manusia dalam kebinasaan dan kehancuran dunia dan akhirat. Oleh itu penyakit hati jauh lebih merbahaya dan amat dahsyat kesannya berbanding penyakit tubuh badan yang hanya memberi penderitaan di dunia sahaja.


Mungkin mengikut perubatan moden, makan paracetamol (PCM)tanpa kawalan boleh merosakkan hati secara fizikal. Tapi pada kali ini kita mahu melihat punca kerosakan hati yang lebih parah lagi. Marilah sama-sama kita meneliti punca yang menyebabkan hati kita rosak iaitu:


i. Dosa dan Maksiat


Dosa dan maksiat dapat meninggalkan noda hitam di hati. Semakin banyak dosa dilakukan, semakin banyak pula noda hitam yang menutupi hatinya, sehingga menjadi hati yang hitam kelam dan terhalang dari Allah Ta’ala. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang mukmin apabila melakukan suatu dosa, maka noda hitam akan muncul di hatinya. Jika ia bertaubat, meninggalkan dosa, dan beristighfar, maka hatinya kembali berkilat. Jika ia menambahkan perbuatan dosanya, maka bertambah pula noda hitamnya sehingga menutupi hati. Itulah noda yang disebutkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dalam Al Quran, “Sekali-kali tidak (demikian, sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.”(Surah Al Muthaffifin ayat 14) (HR Ahmad).


Hasan Al Basri dalam mengupas hadis di atas mengatakan, “dosa di atas dosa akan membutakan hati lalu mati.”


ii. Melupakan Allah dan sIbuk dengan selain-Nya.


Hati kita apabila sibuk kepada sesuatu perkara akan mengurangkan penumpuan kepada perkara yang lain. Sedikit mengingat Allah dan menyibukkan diri dengan urusan duniawi akan merosakkan hati seorang muslim. Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud: “Janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Surah Al Kahfi Ayat 28)


Oleh itu, orang yang lalai dalam mengingati Allah dan menyibukkan diri dengan pelbagai keinginan syahwat, hatinya akan rosak sehingga menjadi orang yang melewati batas. Oleh itu ia tidak layak menjadi pemimpin.


iii. Bergaul dengan orang yang berakhlak buruk


Kawan yang berakhlak buruk akan memberi pengaruh yang buruk kepada sesiapa yang bergaul dengannya. Rasulullah bersabda: “Perumpamaan teman yang buruk adalah seperti tukang pembuat arang. Jika kamu tidak terkena arangnya, maka kamu akan terkena asapnya.” (HR Abu Daud)


“Seseorang akan mengikuti agama teman akrabnya, maka hendaknya salah seorang di antara kamu memperhatikan siapa yang akan dijadikan sebagai teman akrabnya.” (HR Abu Daud)


iv. Berlebihan Makan dan Minum


Fudhail Bin ‘Iyadh berkata, “Ada dua hal yang akan mengeraskan hati; banyak berbicara dan banyak makan.”


Imam Syafi’I berkata, “Aku tidak pernah kenyang sejak enam belas tahun lalu, kecuali sekali, lantas aku memasukkan tanganku untuk memuntahkannya. Kerana kenyang memberatkan badan, mengeraskan hati, menghilangkan kecerdasan, mengajak tidur dan melemahkan semangat beribadah.”


Abu Sulaiman Ad Darini berkata: “Tiap-tiap sesuatu mempunyai karat dan karatnya hati adalah kekenyangan.”


v. Banyak ketawa


Banyak ketawa tidak hanya merosak hati, bahkan akan mematikannya. Rasulullah S.A.W. bersabda, “Janganlah kamu memperbanyakkan ketawa. Kerana banyak ketawa akan mematikan hati.” (Ash-Shahihah: 1418)


Seorang yang banyak ketawa akan susah untuk merasa empati dan boleh menyakiti hati orang lain sedangkan ia tidak menyedarinya. Seringkali ia berbohong untuk mencipta jenaka agar orang ketawa sehingga menjerumuskan dirinya dalam kebinasaan.


Rasulullah S.A.W. bersabda: “Celakalah orang yang berbicara dengan berdusta untuk mengundang ketawa sekelompok orang. Celakalah dia, celakalah dia.” (HR Ahmad)


vi. Banyak Tidur


Rasulullah S.A.W. bersabda, “Hai Aisyah, sesungguhnya kedua mataku tertidur, namun hatiku tidak tidur.” (Muttafaqun ‘Alaih).


Hadis ini menunjukkan bahawa apabila kedua mata seseorang tertidur maka hatinya turut tertidur kecuali Rasulullah, di mana hati baginda tetap terjaga dan mengingati Allah.


Sebenarnya tidur adalah kematian kecil. Seseorang yang banyak tidur melebihi keperluannya bererti ia telah menghantar hatinya kepada kematian. Oleh itu para ulamak salaf berusaha untuk mengurangkan tidur mereka. Bahkan ada dikalangan mereka seperti Imamul Haramain tidak makan dan tidur kecuali apabila sangat memerlukan makan (lapar) dan tidak dapat melawan rasa mengantuk samada malam atau siang.


Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

Memperbaiki Kualiti Hati

Kita harus memperbaiki kualiti hati sebagaimana kita menjaga jasad kita keseluruhannya. Kita mungkin prihatin dalam soal menjaga kesihatan fizikal dengan memastikan pengambilan makanan kesihatan, beriadah dan sebagainya. Namun begitu mungkin kita kurang memberi perhatian kepada anggota yang dominan dalam menentukan tindak tanduk kita iaitu hati.


Peranan hati digambarkan dalam potongan hadis bermaksud: “…apabila segumpal daging (hati) ini baik, maka menjadi baik pula seluruh tubuhnya…” (HR Bukhari).


Oleh itu, menjadi perkara utama dalam kehidupan kita untuk mempastikan hati kita adalah berkualiti. Hanya hati yang berkualiti sahaja yang mampu melahirkan amal kebaikan, mengajak kepada makruf dan menghalang diri kita daripada melakukan kemungkaran. Hanya hati sebegini sahaja yang akan membawa pemiliknya menempa kejayaan di dunia dan akhirat.


Untuk itu kita perlu mengenali kaedah untuk membaiki dan menjaga kualiti hati sebagaimana berikut:


i. Berzikir kepada Allah.


Manfaat zikir bagi hati sangatlah besar. Umpama ikan memerlukan air untuk hidup. Begitu juga hati akan hidup bila diberikan makanan berupa zikir kepada Allah. Orang yang berzikir dengan penuh kekhusyukan akan menghidupkan hatinya. Hati akan bercahaya, selamat daripada kerosakan dan kematian.


Amat malang sekali bila hati sudah mati, walaupun jasad pada hakikatnya masih hidup tetapi ia tidak berguna di sisi Allah. Tidak berupaya melihat kebenaran. Tidak mampu melihat kebesaran Allah. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang berzikir (menyebut dan mengingati) Tuhannya dan orang yang tidak berzikir adalah seperti orang yang hidup dan orang yang mati.” (HR Bukhari).


ii. Mengingat kematian.


Barangkali kita malas untuk mengingat kematian kerana kematian akan menurunkan keghairahan kita untuk merebut kemewahan dunia. Mungkin ramai yang melihat kematian ini merupakan satu takdir yang akan tetap dihadapi. Tidak perlu fikir. Hidup ini perlu diteruskan.


Tetapi kita tidak boleh alpa. Kerana kematian suatu yang pasti dan ia datang pada waktu yang kita tidak boleh jangka.


Kalau kita renung kehidupan kita ini, berapa lamakah kita boleh bertahan. Paling panjangpun mungkin umur kita menjangkau 80 tahun…? Tetapi selepas itu kita akan menghadapi suatu kehidupan di akhirat yang berkekalan. Wajarkah atau berbaloikah kita hanya senang, mewah, seronok, bahagia hanya dalam jangkamasa yang singkat sahaja di dunia ini? Sedangkan dalam kehidupan kita yang berkekalan di akhirat kita terpaksa bergelumang di dalam azab Allah???


Orang yang mengingat kematian akan sedikit berangan-angan, banyak beramal kebaikan dan memiliki rasa takut yang besar untuk berbuat dosa. Rasulullah S.A.W. memerintahkan kita mengingatkan kematian dengan bersabda yang bermaksud: “Perbanyakkanlah mengingati penghancur kenikmatan iaitu kematian.” (HR Tirmidzi)


Said bin Jubair berkata: “Sekiranya hatiku berpisah dari mengingat kematian, maka aku benar-benar khuatir hal itu dapat merosak hatiku.”


iii. Ziarah Kubur


Ziarah kubur akan mengingatkan kita perjalanan hidup ini. Satu proses kehidupan bermula dari alam ruh. Kemudian berpindah ke alam rahim di dalam perut ibu kita. Seterusnya kita menghirup kehidupan dunia dalam jangka waktu yang telah ditetapkan Allah.


Dalam kehidupan dunia ini kita akan mencari bekalan sebanyak-banyaknya untuk menghadapi satu kehidupan yang berkekalan. kIta perlu selalu ‘bersoal jawab’ dengan diri kita. Melihat ‘penyata untung (pahala) dan rugi (dosa)’ berkaitan amalan harian,bulanan dan tahunan kita.


Aktiviti ziarah kubur ini akan menyuntik semangat untuk meningkatkan amal kebaikan yang akan menerangi dan menghidupkan hati. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Dulu aku pernah melarangmu ziarah kubur. Sekarang berziarahlah ke kubur, kerana ia akan melembutkan hati, menitiskan air mata, mengingatkan akhirat, dan membuatkan kamu tidak mengucapkan perkataan yang buruk.” (HR Al Hakim)


Ada dikalangan orang-orang yang soleh seperti Shafwan bin Sulaim yang sering mengunjungi perkuburan Baqi’ apabila merasakan hatinya mulai keras. Ia bukan hanya mengunjugi kubur saudara atau keluarga sendiri sahaja.


iv. Mengunjungi Orang-Orang Soleh.


Mengunjungi orang yang soleh dan melihat amal kebaikan mereka sangatlah memberi manfaat kepada hati kita. Jaafar bin Sulaiman berkata, “Apabila aku mendapati hatiku mulai mengeras, aku pergi melihat wajah Muhammad bin Wasi’. Ia seolah-olah menjadi pelipur lara bagiku.” Rasulullah S.A.W. bersabda: ” Perumpamaan teman duduk yang soleh itu seperti penjual minyak wangi. Jika ia tidak memberimu sebahagian dari minyak wanginya, maka kamu sudah mendapatkan bau yang wangi darinya.” (HR Abu Dawud).


v. Mengasihi Orang Miskin dan Menyayangi Anak Yatim


Apabila mengasihi orang miskin dan menyayangi anak yatim, hati kita akan menjadi lembut, tawadhu’; jauh dari keangkuhan, kesombongan dan kekesatan hati. Rasulullah S.A.W. bersabda: “Apakah kamu ingin hatimu menjadi lembut dan dapat memenuhi hajatmu? Sayangilah anak yatim, usaplah kepala mereka, dan berikan kepada mereka sebahagian dari makananmu, nescaya hatimu akan menjadi lembut dan dapat memenuhi hajatmu.” (HR Thabrani)


Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

Friday, May 27, 2011

Ibadah Hati

Sebagaimana ibadah jasmani, ibadah hati juga melibatkan lima hukum iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram.


i. Ibadah hati yang wajib ialah seperti ikhlas, tawakal, mahabbah (kasih sayang), sabar, takut (Khauf) kepada Allah dan mengharap kepada Allah (raja’).


ii. Ibadah hati yang bersifat sunat adalah seperti khusyuk dalam solat, menginginkan kebaikan untuk kaum muslimin, niat yang baik dan sebagainya.


iii. Ibadah hati yang berkaitan dengan meninggalkan perkara yang diharamkan ialah seperti sombong, riya’, ujub, hasad, lalai dan kemunafikan. Hal yang diharamkan bagi hati ada bentuk:


a. Ada yang menjerumuskan diri kepada kekafiran seperti keraguan, kemunafikan, kesyirikan, menginginkan kesyirikan dan kekufuran serta hal-hal yang berkaitan dengannya.


b. Ada yang berbentuk kemaksiatan iaitu


· Dosa besar seperti riya’, sombong, putus asa dari rahmat Allah, merasa aman dari siksa Allah, merasa senang dengan musibah yang menimpa kaum muslimin, merasa senang dengan kekejian yang bermerajalela, merasa iri hati dengan anugerah kebaikan atau nikmat yang diberi oleh Allah kepada kaum muslimin, menginginkan perbuatan bid’ah dan sebagainya.


· Dosa kecil seperti mengingin dan mengangan-angankan beberapa perbuatan terlarang seperti bersentuhan dengan perempuan bukan mahram, berciuman dan sebagainya yang berbentuk zina hati.


iv. Ibadah hati dengan meninggalkan perbuatan hati yang makruh seperti memikir dan menginginkan hal-hal yang tidak bermanfaat.


v. ibadah hati yang bersifat harus adalah seperti mengingin dan mengangan-angankan perkara yang dibolehkan. Apabila kita berniat atau menginginkan perkara yang ada manfaat untuk dunia dan akhirat maka kita akan mendapat pahala. Sebaliknya apabila kita berniat menyokong dan mempertahankan perkara maksiat maka kita akan mendapat dosa.


Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

Saturday, May 21, 2011

Pengorbanan

Sesungguhnya di dunia ini tidak ada jihad tanpa pengorbanan. Pengorbanan melibatkan jiwa raga, harta, masa dan segala sesuatu yang disayangi dalam rangka mencapai tujuan. Kita jangan merasakan bahawa segala pengorbanan di jalan Allah akan hilang begitu sahaja. Yakinilah bahawa setiap pengorbanan pasti akan mendapat ganjaran dan pahala yang besar.

Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan balasan syurga….” (Surah At Taubah: 111)

“Katakanlah, ‘Jika bapa-bapa, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang disukai, lebih kamu cintai daripada Allah, Rasul-Nya, dan berjihad di jalan-Nya…" (Surah At Taubah: 24)

Para sahabat yang mendapat didikan daripada Rasulullah meyakini segala janji-janji Allah. Perkara ini boleh dilihat dalam tindakan mereka menyahut seruan untuk berkorban mengikut kemampuan masing-masing.

Ketika kaum muslimin berhijrah dari Makkah ke Madinah, mereka menghadapi masalah kesulitan mendapatkan bekalan air. Kaum Yahudi mengambil kesempatan di atas hijrah kaum muslimin dengan mengenakan bayaran ke atas pengguna air perigi yang dikuasai mereka.

Ketika kaum muhajirin berhijrah, mereka tidak membawa sebarang harta. Oleh itu air yang diperdagangkan oleh pihak Yahudi menambahkan kesulitan hidup mereka. Rasulullah sangat berharap ada sahabat yang membeli perigi berkenaan untuk kegunaan kaum muslimin.

Saidina Othman Bin Affan pergi ke rumah orang Yahudi yang memiliki perigi tersebut dengan tujuan untuk membeli separuh hak penguasaan ke atas perigi berkenaan. Selepas tawar menawar maka orang Yahudi itu bersetuju menjual dengan harga 12,000 dirham. Penggunaan perigi secara bergilir-gilir iaitu sehari untuk Othman dan keesokan harinya untuk Yahudi.

Pada masa giliran Saidina Othman, kaum muslimin mengambil air sebanyak mungkin. Hal ini dilakukan untuk memenuhi keperluan keesokan harinya yang menjadi hak Yahudi. Keadaan ini menyebabkan Yahudi menjadi rugi disebabkan tiada orang yang membeli air pada hari perigi dikuasai oleh Yahudi.

Akhirnya, orang Yahudi itu mengeluh kepada Saidina Othman. Ia menawarkan lagi separuh hak penggunaan perigi berkenaan dengan harga 8,000 dirham. Saidina Othman dengan hartanya sendiri telah membeli dan mensedekahkan kepada orang muslimin perigi berkenaan untuk mendapatkan ganjaran yang melimpah dan pahala yang besar.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan balasan syurga….” (Surah At Taubah: 111)

Rujukan:

Parman Hanif M.Pd, Teladan Tarbiyah Dalam Bingkai Arkanul Bai’ah, Auliya Press Solo, Surakarta, 2006.

Friday, May 20, 2011

Negara Islam Pertama

Berdasarkan prinsip-prinsip sistem kemasyarakatan al-Quran yang mulia ini, tertegaklah sebuah negara Islam pertama yang mengimani Islam yang sebenar, melaksanakan Islam secara menyeluruh dan menyebarkan Islam ke seluruh alam. Malah khalifah Islam yang pertama pernah berkata: “Jika saya kehilangan satu tali unta nescaya saya akan temuinya dalam kitab Allah.” (Kiasan ini bermaksud sekiranya berlaku apa-apa permasalahan maka jalan penyelesaian boleh diperolehi di dalam Al Quran).

Malah beliau telah melancarkan serangan terhadap golongan yang enggan membayar zakat dan meletakkan mereka sebagai golongan yang murtad kerana mereka menghancurkan salah satu rukun sistem ini. Beliau berkata: “Demi Allah, jika mereka enggan membayar kepada saya walaupun seutas tali unta yang pernah mereka bayar kepada Rasulullah s.a.w. nescaya saya akan perangi mereka selagi pedang ini berada di tangan saya.”

Segala elemen perpaduan dan penghayatannya wujud dalam diri ummah yang baru lahir ini. Perpaduan masyarakat begitu menyeluruh kerana semuanya disatukan di bawah sistem al-Quran dan bahasa al-Quran. Perpaduan politik pula wujud kerana semuanya disatukan di bawah naungan Amirul Mukminin, di bawah panji khalifah yang berada di ibu kota. Perpaduan ini tidak akan dapat dihalang walaupun wujud desentralisasi dalam ketenteraan, urusan kewangan Baitul Mal dan tindakan para gabenor. Ini kerana semua pihak bekerja dengan satu akidah dan
satu arahan.

Prinsip al-Quran ini telah berjaya menyingkir amalan penyembahan berhala yang menyesatkan di semenanjung Tanah Arab dan bumi Parsi. Malah prinsip ini berjaya menghapuskannya sama sekali. Prinsip ini juga berjaya menyingkir bangsa yahudi yang jelek dan meminggirkannya ke satu sudut yang sempit serta berjaya menghapus sama sekali segala kuasa agama dan politik mereka. Prinsip ini juga berjaya mencabar agama Kristian hingga kuasanya di dua benua, Asia dan Afrika berjaya dinyahkan dan akhirnya terhad di benua Eropah di bawah naungan negara Rom Timur di Constantinople. Dengan perubahan ini kuasa rohani dan politik
negara Islam mula mengambil alih dua benua terbesar tersebut.

Prinsip ini seterusnya mengorak langkah untuk menembusi benua ketiga dan menyerang Kota Constantinople dari arah timur seterusnya mengepung kota tersebut sehingga mereka terpaksa menanggung kesengsaraan akibat kepungan tersebut. Eropah juga diserang dari arah barat, apabila Andalus berjaya ditembusi dan tentera Islam yang gagah perkasa berjaya mara sehingga ke tengah Perancis serta di bahagian utara dan selatan Itali.

Di sebelah barat Eropah, berdiri megah sebuah negara yang tersergam indah dengan kegemilangan cahaya ilmu. Akhirnya Kota Constantinople jatuh dan Kristian kini dipinggirkan ke suatu ceruk di tengah Eropah. Armada Islam membelah gelombang dua lautan; Laut Merah dan Laut Mediterranean (Laut Putih) yang kini disenaraikan sebagai lautan Islam. Dengan ini juga bermakna angkatan tentera negara Islam berjaya menguasai pintu laut timur dan barat dan menguasai sepenuhnya lautan dan daratan.

Bangsa-bangsa Islam mula berhubung dengan bangsa-bangsa lain dan berjaya mengaut pelbagai teknologi. Walaupun demikian kekuatan iman dan keutuhan sistem Islam tetap berjaya menguasai bangsa-bangsa ini hingga mampu mengubah bangsa-bangsa ini menjadi bangsa Arab atau hampir menjadi Arab. Bangsa-bangsa ini berjaya dicorak dan dikuasai oleh bahasa Arab dan agama Islam yang indah, bertenaga dan menarik ini. Malah umat Islam bebas mencedok elemen yang baik dalam teknologi ini tanpa sedikitpun memberi kesan kepada perpaduan masyarakat dan politik mereka.

Petikan:
Himpunan Risalah – Imam Hassan Al Banna

Pelan Tindakan Islam

Sistem al-Quran berbeza dengan sistem-sistem ciptaan manusia atau falsafah teoritikal yang lain kerana segala prinsip dan ajaran al-Quran yang berbentuk teori bukan hanya bertempat dalam jiwa atau sekadar pandangan yang tertera dalam buku atau ungkapan yang diucap di mulut atau bibir sahaja. Sebaliknya demi memantap, mengukuh dan merealisasikan kesan serta hasilnya, Islam meletakkan beberapa bentuk tindakan.

Islam juga mewajibkan umat yang mengimani dan menganutinya supaya berusaha bersungguh-sungguh mengamalkannya. Malah Islam meletakkan amalan-amalan ini sebagai suatu kewajipan yang tidak boleh dipandang ringan atau diabaikan.

Islam juga memberikan ganjaran kepada mereka yang mengamalkannya dan menghukum sesiapa yang cuai hingga ke tahap menyingkirkannya daripada masyarakat ini dan mencampakkannya ke tempat yang menyeksakan.

Antara amalan terpenting yang diwajibkan oleh sistem ini sebagai benteng dalam usaha memantapkan prinsipnya ialah:
a. Sembahyang, zikir, taubat, istighfar dan sebagainya.
b. Puasa, bersederhana dan berwaspada dengan kemewahan.
c. Zakat, sedekah dan memberi sumbangan untuk kebajikan.
d. Haji, pelancongan, lawatan, penerokaan dan melihat alam ciptaan Allah.
e. Mencari rezeki, bekerja dan mengharamkan amalan mengemis.
f. Jihad, berperang, mempersiapkan angkatan tentera, menjaga keluarga para pejuang dan kepentingan mereka semasa ketiadaan mereka.
g. Menyuruh perkara yang baik dan memberikan nasihat.
h. Mencegah perkara yang tidak baik serta memulaukan tempat dan pelakunya.
i. Membekalkan setiap lelaki dan wanita Islam dengan ilmu dan pelbagai
kemahiran hidup yang sesuai dengan fitrah masing-masing.
j. Bergaul dengan baik dan memiliki sepenuhnya akhlak yang baik.
k. Menjaga kesihatan badan dan pancaindera.
l. Tanggungjawab sosial antara pemerintah dan rakyat, iaitu antara
tanggungjawab memelihara rakyat dan kewajipan mentaati pemerintah.

Setiap orang Islam dituntut melaksanakan segala kewajipan ini dan memastikan perlaksanaannya sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Mereka juga tidak boleh mengabaikan mana-mana kewajipan ini. Semua kewajipan ini telah dinyatakan dalam al-Quran al-Karim.

Malah telah dijelaskan dengan cukup terperinci melalui amalan Nabi s.a.w., para sahabat dan generasi berikutnya dengan cara yang amat mudah dan jelas. Setiap satu atau beberapa amalan tersebut di atas berperanan bagi memantap dan mengukuhkan satu-satu prinsip atau beberapa
prinsip yang telah dinyatakan oleh teori sebelum ini yang hendak dicapai oleh Islam dan membolehkan manusia merasai hasil serta kesannya.

Petikan:
Himpunan Risalah – Imam Hassan Al Banna

Pendekatan al-Quran dalam merubah masyarakat

Al-Quran mengandungi segala kaedah ke arah perubahan masyarakat yang menyeluruh. Al-Quran telah turun sedikit demi sedikit kepada Nabi s.a.w. dan dibentangkan kepada orang-orang yang beriman dari semasa ke semasa mengikut keperluan, keadaan dan peristiwa tertentu.

Firman Allah yang bermaksud:
“Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu. Dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang sebaik-baiknya (untuk menangkis segala yang mereka katakan itu).” (Al-Furqan: 32-33)

Akhirnya sempurnalah penurunan wahyu dan kini ia terpelihara dalam dada dan lembaran dalam tempoh lebih dua puluh dua tahun. Dalam kitab ini Allah muatkan segala keterangan yang diperlukan untuk umat ini. Termasuklah dasar-dasar yang perlu bagi melakukan perubahan yang menyeluruh kepada masyarakat.

Hampir semuanya boleh disimpulkan dalam dasar-dasar berikut:
a. Ketuhanan (rabbani).
b. Mengangkat martabat manusia.
c. Mengesahkan wujudnya hari pembalasan.
d. Melaungkan ikatan persaudaraan seluruh manusia.
e. Mengajak kaum lelaki dan wanita supaya bangkit bersama. Mengisytiharkan kerjasama dan kesaksamaan antara lelaki dan wanita serta menggariskan peranan masing-masing secara terperinci.
f. Menjamin kestabilan masyarakat dengan cara memperakui hak-hak untuk hidup, memiliki harta, bekerja, sihat tubuh badan, bebas, berilmu, keselamatan setiap individu dan hak menentukan sumber pendapatan.
g. Mengawal dua naluri manusia iaitu naluri menjaga keselamatan nyawa dan naluri menjaga kesinambungan zuriat, di samping mengatur keperluan mulut dan seks.
h. Tegas dalam memerangi jenayah yang sebenar.
i. Memelihara perpaduan umat Islam dan menghapuskan segala bentuk dan punca yang membawa perpecahan.
j. Mewajibkan umat Islam melaksanakan jihad demi menegakkan prinsip kebenaran yang diketengahkan oleh sistem ini.
k. Meletakkan negara sebagai wakil kepada gagasan (fikrah) ini dan bertindak sebagai penjaga gagasan ini. Negara ini juga bertanggungjawab mencapai matlamat gagasan ini dalam sebuah masyarakat dan kemudian menyampaikan gagasan ini ke seluruh manusia.

Petikan:
Himpunan Risalah – Imam Hassan Al Banna

Pesanan Imam Hassan Al Banna

Apa yang ingin saya ketengahkan di sebalik ucapan saya ini ialah supaya saya dapat paparkan gagasan kamu di hadapan mata kamu kerana mungkin detik-detik yang mencabar sedang menanti kita. Mungkin kita akan dipisahkan. Ketika itu saya tidak lagi berpeluang untuk bercakap dengan kamu atau menulis kepada kamu.

Jadi saya berpesan agar kamu berikan perhatian betul-betul kepada ucapan saya ini. Ingatlah seboleh mungkin dan bersatu padulah. Setiap perkataan dalam ucapan ini mengandungi makna yang mendalam.

Wahai Ikhwan, kamu bukan pertubuhan kebajikan, bukan parti politik, bukan badan yang ditubuhkan untuk tujuan yang terbatas. Kamu adalah semangat baru yang mengalir di hati umat ini dan menghidupkan umat ini dengan al-Quran. Kamu adalah cahaya baru yang bersinar menghapuskan kegelapan materialisme ke arah mengenali Allah. Kamu adalah suara yang berkumandang bergema melaungkan dakwah Rasulullah s.a.w..

Tidak keterlaluan jika kamu merasakan bahawa kamu adalah orang-orang yang memikul beban ini setelah semua manusia membelakangkannya. Jika kamu ditanya, ke arah manakah halatuju kamu? Jawablah, kami menyeru manusia ke arah Islam yang dibawa oleh Muhammad s.a.w.. Kerajaan adalah sebahagian daripada Islam dan kebebasan adalah salah satu hak yang wajib diberikan.

Jika kamu diberitahu ini adalah politik! Jawablah, ini adalah Islam dan kami tidak tahu wujudnya pemisahan itu. Jika kamu dituduh, kamu adalah penggerak revolusi. Jawablah, kami adalah penggerak kebenaran dan kesejahteraan. Kami yakini dan kami berbangga dengan kebenaran ini. Jika kamu menentang kami dan kamu halang jalan dakwah kami maka Allah telah benarkan kami untuk mempertahankan diri dan kamulah orang
yang membuat kekacauan dan kezaliman.

Jika kamu dituduh, kamu mendapat bantuan individu atau pertubuhan tertentu. Jawablah sepertimana firman Allah yang bermaksud:
“Kami beriman kepada Allah semata-mata, dan kami kufur ingkar kepada
benda-benda yang dengan sebabnya kami menjadi musyrik. (Ghafir: 84)

Jika mereka terus bertindak jahat, katakanlah:
“Selamat tinggallah kamu; kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil. (Al-Qasas: 55)

Wahai Ikhwan,

Berimanlah dengan Allah, berbanggalah kerana kamu mengenali-Nya. Bergantunglah kepada-Nya dan letakkanlah harapan kamu kepada-Nya. Janganlah kamu takut kepada yang lain, tunaikanlah perintah-Nya dan jauhilah larangan-Nya.

Amalkanlah akhlak yang mulia dan berusahalah ke arah kesempurnaan. Mantapkanlah peribadi kamu. Berbanggalah kerana kemuliaan dan penghormatan yang Allah berikan kepada kamu sebagai orang yang beriman dan soleh.

Tatapilah dan pelajarilah al-Quran, kajilah sirah Rasulullah s.a.w., jadilah orang yang beramal bukan orang yang bercakap sahaja. Apabila Allah memberi hidayah kepada manusia, Dia akan pimpin mereka supaya beramal. Manusia yang diberikan hidayah tidak akan sesat kecuali setelah mereka sentiasa berdebat.

Pupuklah kasih sayang sesama kamu. Peliharalah sebaik-baiknya hubungan kamu kerana ia adalah rahsia kekuatan kamu dan teras kejayaan kamu. Bersabarlah hingga Allah menentukan kedudukan kamu dengan kaum kamu danAllah sebaik-baik penentu.

Dengar dan taatilah pemimpin kamu di ketika susah dan senang, rela atau terpaksa. pemimpin adalah simbol gagasan kamu dan penghubung antara kamu. Nantikanlah sentiasa bantuan dan kemenangan daripada Allah. Masanya pasti akan tiba.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira - Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (Ar-Rum: 4-5)

Semoga Allah memberi taufik kepada saya dan saudara sekalian supaya kita dapat melakukan apa yang disukai dan diredai-Nya. Semoga Allah memimpin saya dan saudara sekalian ke arah jalan orang-orang yang baik dan mendapat petunjuk.

Semoga Allah anugerahkan kita hidup yang mulia dan bahagia. Semoga Allah menggolongkan kita sebagai seorang pejuang dan syahid. Sesungguhnya Allah adalah Pelindung dan Penolong yang terbaik

Petikan:
Himpunan Risalah – Imam Hassan Al Banna

Catatan Sejarah Mengenai Usaha Menghancurkan umat Islam.

Usaha untuk menghancurkan Islam bukan suatu yang baru. Malah ianya bermula sejak di zaman Rasulullah lagi. Cuma apa yang dinyatakan dalam catatan ini adalah usaha yang dilaksanakan oleh musuh-musuh Islam bermula dari zaman pemerintahan Bani Abbasiah.

Bangsa-bangsa yang ditakluk oleh Khalifah Abbasiah merasakan sudah tiba masanya untuk mereka membalas dendam dan menghancurkan negara Islam yang pernah suatu ketika dahulu menakluk negara mereka dan mengubah semua elemen utama dalam hidup mereka.

Bangsa Tartar mula menyerang umpama bah melanda negara Islam dan mencarik-carik tubuh negara ini satu demi satu hingga mereka berjaya mara ke Baghdad, pusat pemerintahan Khalifah Abbasiah. Malah mereka menghenyakkan kaki mereka ke tubuh Khalifah al-Mu’tasim. Akibatnya robohlah kekuatan negara Islam dan buat pertama kalinya rangkaian negara ini berkecai menyebabkan bangsa-bangsa Islam berpecah kepada negara-negara kecil.

Masingmasing memilih Amirul Mukminin dan haluan sendiri. Kristian di Eropah turut menyedari hakikat ini. Mereka mengumpulkan segala kekuatan untuk menggempur Islam di timur, iaitu di Asia dan Afrika melalui sembilan siri Perang Salib yang disertai oleh para satria, raja dan orang awam. Angkatan tentera ini berjaya membina sebuah negara Salib di Baitul Maqdis yang mengancam bangsa Islam di timur dan barat. Malah mereka turut menyerang Mesir, sebuah negara paling berkuasa ketika itu.

Kemenangan demi kemenangan.

Namun Allah masih belum mengizinkan kesesatan mengalahkan kebenaran. Mesir akhirnya berjaya menggabungkan beberapa buah negara-negara kecil di sekitarnya seterusnya memimpin mereka menyerang tentera salib di bawah pimpinan Salahuddin. Baitul Maqdis berjaya diambil kembali dan tentera salib terpaksa menerima kekalahan mereka di Hittin (pada tahun 583 Hijrah) Selepas itu di bawah pimpinan al- Zahir Baibars mereka berhadapan pula dengan Tartar dan menghalau mereka keluar di Ain Jalut (pada tahun 658 Hijrah).

Setelah itu khalifah Islam kembali bertakhta dan dengan izin Allah, Islam kembali bernaung di bawah sebuah negara yang memiliki pengaruh yang luas dan kuat. Negara ini berjaya menyatukan kekuatan umat Islam dan menggabungkan kebanyakan bangsa-bangsa Islam di bawah naungannya.

Sebagai sebuah negara yang berwibawa, negara ini mengorak langkah untuk menyerang Kristian di pusat pemerintahannya seterusnya berjaya menakluk Constantinople. Negara ini berjaya menyebarkan sayapnya hingga ke tengah Eropah dan berjaya sampai hingga ke Vienna. Inilah negara Turki Othmaniah.

Bibit-bibit kebangkitan Eropah.

Negara Islam merasa selesa dan alpa di bawah naungan kerajaan Othmaniah dan sultan-sultan Othmaniah hingga terleka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Dalam masa yang sama, Eropah yang pernah mengecapi sinaran Islam di Barat melalui Andalus dan Timur melalui angkatan salib tidak pernah mensia-siakan peluang.

Mereka tidak pernah lupa untuk belajar daripada pengalaman silam. Dengan itu, Eropah mula mempertingkatkan kekuatannya dan bergabung di bawah pimpinan bangsa Frank di Portugal. Mereka akhirnya berjaya menyekat kemaraan tentera Islam di Barat. Mereka berjaya menimbulkan pergeseran di kalangan umat Islam Andalus.

Kesannya umat Islam Andalus sentiasa bercakaran sesama sendiri sehingga akhirnya umat Islam Andalus berjaya diusir ke negara-negara jajahan Inggeris dan Perancis atau terpaksa melarikan diri ke bumi Afrika. Tertegaklah sebuah negara baru iaitu negara Sepanyol menggantikan tempat umat Islam. Eropah terus mempertingkatkan kekuatan mereka; mereka bergabung, merencana dan belajar. Mereka menjelajah dan meneroka negara dan benua baru.

Penemuan Amerika merupakan salah satu usaha yang dilakukan oleh Sepanyol. Sementara penemuan laluan ke India merupakan hasil usaha Portugis. Setelah itu, muncul pelbagai suara yang menuntut perubahan yang diterajui oleh ramai pejuang perubahan. Mereka mula beralih ke arah ilmu sains dan ilmu yang produktif.

Revolusi ini akhirnya membentuk fahaman kebangsaan dan terbentuklah sebuah negara kuat yang meletakkan seluruh matlamatnya untuk menghancur leburkan negara Islam. Mereka membahagi-bahagikan negara Islam dan menguasai sepenuhnya Afrika dan Asia. Negara-negara yang masih baru ini membuat pelbagai perjanjian sesama mereka. Mereka berpegang teguh kepada perjanjian ini sehingga ada kalanya perjanjian ini dianggap amat suci.

Serangan-serangan baru

Melalui dasar meneroka, menjelajah dan mengembara ke hujung dunia, Eropah berjaya meluaskan sayap mereka ke seluruh negara-negara Islam yang jauh seperti India dan negara-negara Islam yang berjiran dengan India. Mereka berusaha gigih untuk mencapai cita-cita mereka menghancur leburkan negara Islam yang gagah dan agung. Mereka merencana pelbagai agenda yang adakalanya diungkapkan sebagai “masalah timur” atau “agihan warisan orang sakit”.

Setiap negara Eropah mengambil kesempatan yang terbuka luas ini dan mengada-adakan pelbagai alasan yang tidak kukuh. Mereka menyerang negara yang sudah tidak bermaya ini. Hingga berjaya mengambil alih beberapa bahagian negara ini atau mengancam sebahagian
struktur negara ini.

Serangan ini berterusan dalam tempoh yang lama hingga mereka berjaya memisahkan kebanyakan negara-negara Islam daripada pengaruh kerajaan Othmaniah. Beberapa negara Islam seperti di Barat jauh (Maghribi) dan utara Eropah jatuh ke tangan kuasa Eropah. Dalam masa yang sama beberapa negara bukan Islam yang sebelum ini tunduk di bawah kuasa Othmaniah seperti Greek dan negara Balkan mula memisahkan diri.

Pusingan akhir dalam pertembungan ini ialah pada Perang Dunia I tahun 1914-1918 yang membawa kepada kekalahan Turki dan sekutunya. Kekalahan ini membuka peluang sepenuhnya untuk kuasa besar Eropah iaitu Britain dan Perancis selain Itali untuk menguasai bangsa-bangsa Islam yang kini hanya tinggal sebagai warisan agung.

Mereka memperkukuhkan kuasa mereka menggunakan pelbagai istilah seperti penjajahan, pemakmuran, perjanjian dan persefahaman. Mereka membahagibahagikan negara-negara Islam menurut pembahagian berikut:
1. Utara Afrika iaitu Maghribi, Algeria dan Tunisia menjadi jajahan Perancis.
Tangier diletakkan di bawah kuasa antarabangsa dan kawasan pedalaman di bawah jajahan Sepanyol.
2. Tripoli dan Barca dijajah oleh Itali yang sememangnya tidak mahu sebarang kesan peninggalan Islam kekal di sana. Itali mewajibkan setiap rakyat Tripoli mendapat kerakyatan Itali malah Tripoli dinamakan sebagai Itali Selatan. Pemerintahan Itali menyebabkan beribu-ribu keluarga dan rakyat kelaparan.
3. Mesir dan Sudan berada di bawah jajahan Inggeris serta kehilangan segala kuasa.
4. Palestin dijajah oleh Inggeris dan kemudian membenarkan pula bumi Palestin ini dijual kepada Yahudi untuk dijadikan sebuah negara Zionis.
5. Syria dijajah oleh Perancis.
6. Iraq dijajah oleh Inggeris.
7. Hijaz hanyalah sebuah kerajaan yang lemah dan tidak bermaya, hanya mengharapkan sedekah dan terpaksa bergantung kepada janji-janji manis dan perjanjian yang tidak sah.
8. Yaman, sebuah kerajaan yang terpinggir, rakyatnya miskin dan diancam oleh peperangan di segenap tempat dan pada bila-bila masa.
9. Kawasan-kawasan Semenanjung Tanah Arab yang lain hanyalah wilayahwilayah kecil di mana pemerintahnya hidup dengan hasil bantuan konsul Inggeris. Mereka hidup dengan hasil sisa-sisa makanan Inggeris dan hati mereka sentiasa membara dengan sifat hasad dengki. Dalam masa yang sama wujud perjanjian dan persefahaman erat yang telah dimeterainya antara sekutu-sekutu Eropah bersama pemerintah Semenanjung Tanah Arab, Raja al-Husin bahawa mereka akan membantu beliau untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Arab dan menyalurkan bantuan untuk ketuanan Khilafah Arab.
10. Iran dan Afghanistan pula merupakan kerajaan yang tidak stabil dan sentiasa dipengaruhi oleh pelbagai kepentingan. Adakalanya berpihak kepada umat Islam dan adakalanya berpihak kepada musuh Islam.
11. India dijajah oleh Inggeris.
12. Turkistan dan negara-negara di sekitarnya pula dijajah oleh Rusia. Negaranegara ini terpaksa menanggung keperitan angkara Bolshevik. Selain daripada itu, minoriti Islam yang berada di beberapa negara tidak mendapat tempat untuk berlindung ataupun bantuan mana-mana kerajaan yang dapat memelihara identiti mereka sebagai orang Islam. Inilah yang berlaku kepada umat Islam di Habsyah, China, Balkan, negara-negara Afrika Tengah, Afrika Tenggara dan Afrika Barat.

Dengan situasi yang sedia ada ini pertembungan politik ini kini berpihak kepada Eropah. Mereka berjaya merealisasikan impian mereka untuk menghancur leburkan empayar Islam dan melenyapkan sama sekali negara Islam. Dari sudut politik, mereka telah berjaya menyingkirkan negara Islam daripada senarai negara yang wujud dan agung.

Kembali berkuasa.

Pencabulan yang dilakukan secara terang-terangan atau berselindung di sebalik pelbagai perjanjian dan persefahaman ini mengguris luka di dada dan hati umat Islam. Lantas bangsa-bangsa Islam ini segera bangkit menuntut kemerdekaan dan berjuang untuk mengembalikan kemerdekaan serta maruah mereka.

Pelbagai pemberontakan tercetus untuk mencapai maksud ini. Turki memberontak. Mesir memberontak. Iraq dan Syria memberontak. Pemberontakan demi pemberontakan berlaku di Palestin dan kawasan pedalaman di Maghribi.

Kesedaran umat Islam semakin meluas di setiap tempat. Hasilnya bangsa-bangsa Islam ini berjaya memperolehi semula sebahagian hak mereka. Turki mula berpisah menurut sempadan barunya. Mesir dan Iraq kini merupakan dua negara berasingan.

Di Hijaz dan Najd muncul sebagai negara al-Saud. Yaman, Iran dan Afghanistan berusaha memelihara identiti mereka yang tersendiri. Syria kini hampir-hampir mencapai kemerdekaannya. Palestin menarik perhatian dunia melalui isu yang diperjuangkannya. Umat Islam mula mengorak langkah yang betul walaupun kecil dan perlahan tetapi tetap menuju ke arah matlamat yang suci. Ke arah mengembalikan semula kemerdekaan dan harga diri. Ke arah membina semula negara mereka.

Walaupun langkah-langkah ini menuju ke arah perkauman yang sempit di mana setiap bangsa menuntut hak mereka secara berasingan dan kebanyakan penggerak ke arah kebatilan ini secara sengaja mengabaikan gagasan penyatuan ummah namun seluruh langkah ini tidak syak lagi akan menuju ke arah penyatuan. Umat Islam akan kembali sebagai sebuah negara yang bersatu menggabungkan pelbagai bangsa di dunia Islam.

Sebuah negara yang akan mengibarkan semula panji Islam dan mendokong dakwah Islam. Tidak wujud di dunia ini satu ummah yang disatukan bersama satu bahasa, mempunyai kepentingan fizikal dan rohani yang sama serta berkongsi segala suka dan duka seperti umat Islam.

Perang baru

Negara-negara Eropah kini baru keluar daripada kancah perang dunia. Namun hasad dengki dan dendam kesumat masih wujud dalam hati mereka. Bagi sesetengah bangsa, segala persidangan dan perjanjian ini menjadi tamparan hebat buat mereka.

Bagi kebanyakan mereka pula semua ini hanya menghancurkan impian mereka. Malah muncul pelbagai ideologi dan fahaman fanatik yang baru. Keadaan ini pasti akan mencetuskan semula persengketaan dan peperangan sengit yang akan menghancur leburkan perpaduan mereka. Keadaan ini akan menyedarkan mereka untuk kembali ke jalan yang benar dan menolak kezaliman mereka sendiri.

Keadaan ini juga akan memberi peluang kepada bangsa-bangsa Islam menyusun semula barisan mereka, menggabungkan kekuatan mereka, mengembalikan sepenuhnya kemerdekaan mereka, mewujudkan semula negara mereka dan bersatu di bawah naungan seorang amirul mukminin.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). (Al-Qasas: 5)

Petikan:
Himpunan Risalah – Imam Hassan Al Banna

Kesedaran

Sepertimana ancaman politik yang mampu membangkitkan sentimen perkauman, ancaman sosial juga telah menghidupkan semula gagasan Islam. Hasilnya, pelbagai suara bangkit menuntut supaya umat Islam kembali kepada Islam; Kembali kepada memahami dan melaksanakan hukum serta sistem Islam.

Sudah pasti tidak lama lagi akan tiba masanya tamadun materialisme ini jatuh tersembam di atas batu jemala pendokong dan penganutnya. Ketika itu mereka merasa betapa hati dan rohani mereka begitu dahaga. Namun di sana hanya ada satu sumber sahaja yang mampu memberikan santapan dan rawatan untuk mereka iaitu Kitab Allah.

Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal).” (Yunus: 57-58)

Wahai Ikhwan, Allah mahu kita mewarisi tanggungjawab yang besar ini. Allah mahu supaya sinar dakwah kamu terpancar menerangi seluruh kegelapan ini. Allah melahirkan kamu untuk memartabatkan kalimah-Nya, mendokong syariat-Nya dan menegakkan semula negara-Nya.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugama-Nya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Al-Haj: 40)

Matlamat utama kita

Wahai Ikhwan, apakah yang kita mahu? Adakah kita mahu mengumpulkan harta sedangkan harta itu akan lenyap? Adakah kita mahukan pengaruh sedangkan ia suatu yang tidak bererti? Adakah kita mahu bermaharajalela di muka bumi?

Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya. (Al-A’raf: 128)
Bukankah kita pernah membaca firman Allah Taala yang bermaksud:
“Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Qasas: 83)

Allah menjadi saksi bahawa kita tidak pernah sedikitpun mahukan semua ini. Bukan itu tujuan kita bekerja dan bukan ke arah itu dakwah kita. Namun ingatlah sentiasa bahawa kamu mempunyai dua matlamat besar:
Membebaskan Dunia Islam daripada semua cengkaman kuasa asing yang sememangnya merupakan hak semulajadi semua manusia. Hanya orang yang bersikap kejam dan diktator sahaja yang akan menafikannya.

Menegakkan sebuah negara Islam yang bebas di bumi ini. Negara yang mampu melaksanakan hukum-hukum dan sistem sosial Islam. Sebuah negara yang dapat menampilkan ajaran Islam yang sebenar dan dapat menyebarkannya secara bijaksana kepada semua manusia.

Selagi negara ini tidak wujud, selagi itulah seluruh umat Islam berdosa. Umat Islam akan dipertanggung jawabkan di hadapan Allah kerana mereka dianggap cuai dan tidak berusaha mewujudkannya. Adalah suatu pencabulan kepada hak-hak kemanusiaan terutama dalam keadaan yang tidak menentu ini apabila wujudnya sebuah negara yang melaungkan dasar-dasar yang kejam dan menyebarkan fahaman-fahaman yang sesat namun tidak wujud sesiapapun yang berusaha menegakkan sebuah negara yang berpegang kepada kebenaran, keadilan dan keharmonian.

Kita mahu kedua-dua matlamat ini tercapai di lembah Nil ini, di negara-negara Arab dan di seluruh muka bumi yang Allah berikan anugerah untuk mengecapi nikmat Islam sebagai suatu agama, suatu identiti, dan suatu akidah yang menyatukan seluruh umat Islam.

Matlamat khusus kita

Selain kedua-dua matlamat tadi kita mempunyai matlamat khusus. Sebuah masyarakat akan hanya menjadi sebuah masyarakat Islam yang sempurna apabila matlamat ini tercapai. Wahai Ikhwan, sedarlah bahawa 60% rakyat Mesir hidup lebih rendah daripada taraf haiwan. Mereka terpaksa bersusah payah untuk mendapat sesuap nasi. Mesir juga diancam kebuluran dan berhadapan dengan pelbagai kegawatan ekonomi yang hanya Allah sahaja tahu kesudahannya. Di Mesir juga terdapat 320 buah syarikat asing yang memonopoli kesemua kemudahan dan kepentingan awam di seluruh pelusuk Mesir.

Aliran urusniaga, industri dan sektor ekonomi semuanya berada di tangan orang asing yang mengamalkan riba. Hartanah berpindah dengan begitu pantas daripada rakyat tempatan kepada rakyat asing. Mesir merupakan negara moden di dunia yang paling teruk dilanda wabak dan penyakit. Lebih 90% rakyat Mesir dijangka berhadapan dengan ketidak upayaan fizikal, kecacatan pancaindera serta pelbagai kecacatan dan penyakit. Mesir sehingga kini masih dibelenggu kejahilan apabila tidak sampai satu perlima sahaja yang mendapat pendidikan. Dengan jumlah itu hanya seratus ribu orang sahaja yang mendapat pendidikan melebihi tahap sekolah rendah. Kejadian jenayah bertambah berlipat ganda dan semakin meningkat dengan peratus yang amat tinggi hingga menyebabkan lepasan penjara lebih ramai daripada lepasan sekolah.

Sehingga kini Mesir masih tidak mampu mewujudkan satu pasukan tentera yang mempunyai kelengkapan senjata yang secukupnya. Situasi yang sama berlaku pada mana-mana negara Islam di seluruh dunia. Jadi salah satu matlamat kamu ialah kamu berusaha untuk memulihkan sistem pendidikan, menghapuskan kemiskinan, kejahilan, penyakit, jenayah, membentuk masyarakat contoh yang layak mendokong syariat Islam.

Petikan:
Himpunan Risalah – Imam Hassan Al Banna

Materialisme Melanda Negara Islam

Eropah giat berusaha mengembangkan arus materialisme ini bersama budaya dan kuman perosaknya ke seluruh negara Islam yang berada dalam genggaman mereka dan setiap bumi Islam yang jatuh ke dalam kuasa mereka. Dalam masa yang sama mereka berusaha memastikan segala elemen kuasa seperti ilmu pengetahuan, kepakaran dan sistem yang baik disekat daripada umat Islam.

Mereka merencana segala serangan sosial ini dengan amat bijak menggunakan segala kelicikan politik dan kuasa ketenteraan mereka. Sehingga mereka berjaya mencapai apa yang mereka inginkan. Mereka memperdaya pemimpin-pemimpin umat Islam dengan memberikan pinjaman dan menjalankan urusniaga bersama. Malah mereka memudahkan segala urusniaga ini. Dengan cara ini mereka berhak campur tangan dalam hal ehwal ekonomi negara Islam.

Mereka berjaya melambakkan modal, bank-bank dan syarikat-syarikat mereka. Mereka menentukan aliran ekonomi menurut kehendak mereka. Mereka mengaut segala keuntungan dan kekayaan. Seterusnya mereka berkuasa mengubah dasar politik, kehakiman dan pendidikan. Mereka mempunyai kuasa menentukan sistem politik, perundangan dan pendidikan supaya menurut acuan mereka sepenuhnya termasuk di negara Islam yang terkuat.

Mereka membawa masuk wanita-wanita yang tidak berpakaian, arak-arak, teater-teater, kelab malam, hiburan, filem-filem, akhbar, novel, fiksyen serta cara mereka berhibur dan membuang masa. Mereka membenarkan jenayah dilakukan walaupun jenayah yang sama tidak dibenarkan di negara mereka. Mereka menjadikan dunia yang penuh dengan hiburan, dunia yang bergelumang dengan dosa dan noda ini begitu menarik ditonton oleh umat Islam yang kaya-raya, umat Islam yang berpengaruh dan berkedudukan tetapi berfikiran cetek.

Bukan setakat itu sahaja malah mereka membina sekolah-sekolah serta pusat pengajian ilmu dan sains dalam negara Islam. Institusi ini berperanan mendidik umat Islam supaya ragu dan menolak agama mereka. Mereka mendidik umat Islam supaya merendahkan diri sendiri, memperlekeh agama dan negara sendiri, membuang budaya dan akidah sendiri sebaliknya mengagung-agungkan segala yang datang daripada Barat. Sehingga umat Islam berkeyakinan bahawa segala yang dihasilkan oleh Eropah adalah contoh yang terbaik untuk hidup ini.

Sekolah-sekolah ini hanya menerima masuk anak-anak kelas atasan dan dikhususkan untuk golongan ini sahaja. Anak-anak kelas atasan ini adalah anak-anak para pembesar dan pemimpin, dan urusan umat ini tidak lama lagi akan berada di tangan mereka. Jika institusi boneka ini belum cukup mematangkan mereka, maka program-program susulan akan menyempurnakannya. Serangan sosial yang diatur begitu kemas dan intensif ini beroleh kejayaan besar. Serangan seperti ini sesuai dengan manusia, dekat dengan jiwa manusia, bersifat jangka panjang dan amat berkesan.

Oleh kerana itulah serangan seperti ini jauh berkali ganda lebih merbahaya daripada serangan politik dan ketenteraan. Beberapa bangsa Islam begitu ghairah dengan tamadun Eropah sehingga mereka merasa tidak selesa dengan identiti mereka sebagai Islam. Malah rakyat Turki terdorong untuk mengakui bahawa Turki bukan negara Islam. Mereka begitu bersemangat meniru apa sahaja yang dilakukan oleh Eropah.

Amanullah Khan, Raja Afghanistan cuba melakukan usaha yang sama, namun usahanya itu menyebabkan dia kehilangan takhta. Budaya meniru ini semakin menular di Mesir sehinggakan seorang tokoh yang agak berpengaruh secara terus terang menyatakan bahawa tiada jalan lain untuk maju melainkan dengan cara kita mencedok tamadun ini sama ada yang baik atau yang buruk, yang manis mahupun yang pahit, yang disukai mahupun yang dibenci, yang dipuji mahupun yang dicaci. Kesan ini begitu cepat menular daripada Mesir ke negara-negara jiran hingga sampai ke hujung barat (Maghribi dan kawasan sekitarnya) dan menggoyah nilai-nilai suci satu perempat tanah Hijaz. Negara-negara Islam yang terpengaruh dengan tamadun materialisme ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori:

1. Negara yang terlalu terpengaruh hingga mengubah hati dan perasaan mereka. Malah mengubah segala budaya dan penampilan mereka. Negara-negara ini antaranya ialah Turki dan Mesir. Di negara-negara ini, gagasan Islam telah dipinggir daripada budaya masyarakat dan hanya terperosok di masjid-masjid dan tempat-tempat keagamaan.

2. Negara yang terpengaruh dengan tamadun Eropah dalam aspek budaya dan penampilan tetapi tidak berjaya mempengaruhi sentimen mereka. Negara - negara ini seperti Iran, negara-negara di bahagian barat dan utara Afrika.

3. Negara yang hanya kelompok tertentu di kalangan golongan berpendidikan dan pemerintah sahaja terpengaruh dengan budaya Eropah seperti Syria, Iraq, Hijaz, sebahagian besar Semenanjung Tanah Arab dan beberapa negara Islam yang lain.

Namun demikian arus ini begitu cepat tersebar hingga akhirnya berjaya mempengaruh semua lapisan masyarakat dan budaya. Musuh-musuh Islam telah berjaya memperdaya para cendikiawan Islam serta mengaburi pandangan umat Islam yang lain. Mereka menggambarkan seolah-olah Islam hanyalah membabitkan beberapa amalan akidah, ibadat dan akhlak. Selain itu Islam digambarkan hanya merupakan beberapa upacara, amalan karut dan penampilan yang kosong. Muslihat mereka ini dibantu oleh kejahilan umat Islam yang tidak memahami agama mereka yang sebenar. Fenomena ini menyebabkan sebahagian besar umat Islam merasa selesa dan setuju dengan gambaran seperti ini. Seterusnya apabila masa berlalu, agak sukar untuk kita menerangkan kepada mereka bahawa Islam adalah suatu sistem sosial yang lengkap mencakupi seluruh aspek hidup manusia.

Dengan ini, kita terpaksa akui bahawa tamadun Barat yang bertunjangkan fahaman materialisme telah berjaya menguasai pertembungan sosial ini menentang tamadun Islam yang bertunjangkan fahaman yang menggabungkan antara roh dan jasad. Mereka telah berjaya di bumi Islam sendiri. Mereka berjaya dalam pertembungan di lapangan yang sebenar iaitu jiwa, rohani, akidah dan akal manusia. Mereka juga telah berjaya di lapangan politik dan ketenteraan. Semua ini tidak menghairankan kerana hidup ini sebenarnya satu; suatu kekuatan adalah tetap suatu kekuatan dalam semua aspek hidup, dan suatu kelemahan adalah tetap
suatu kelemahan dalam semua aspek hidup.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan dan kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia. (Ali Imran: 140)

Walau bagaimanapun dasar dan ajaran Islam masih tetap kukuh sebagaimana asalnya, masih segar dan bernyawa, masih mampu menarik perhatian melalui kehebatan dan keindahannya. Islam tetap segar kerana Islam adalah agama yang benar. Malah hayat insan tidak akan sempurna tanpa Islam. Juga kerana Islam adalah ciptaan Allah dan dijaga oleh-Nya.

Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Al-Hijr: 9)

“Sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (At-Taubah: 32)

Petikan: Himpunan Risalah – Imam Hassan Al Banna

Sunday, May 15, 2011

KIsah Ibnu Taimiyah

Syeikh Ahmad Taqyudin atau lebih dikenali dengan sebutan Ibnu Taimiyah merupakan seorang syeikhul Islam yang tidak pernah beristirehat melainkan selepas menemui ajal di dalam penjara. Kira-kira 100,000 orang menyertai pengkebumian beliau sehingga jalan-jalanraya dipenuhi manusia yang meratapi kematian beliau. Keranda yang diusung hampir-hampir tidak dapat bergerak kerana melalui lautan manusia.

Ibnu Taimiyah adalah seorang ulama yang gigih menentang fahaman sesat, mengusir penjajah, menyemarakkan semangat jihad, penulis yang handal, penyandang ilmu dan amal. Pedang dan pena tidak pernah berhenti disepanjang hidup beliau lantaran tidak pernah berhenti beramal.

Ketika tentera Tartar menyerang Damsyik pada era tahun 680an H, Ibnu Taimiyah pada masa itu berumur 22 tahun. Mereka merompak, membunuh dan menimbulkan malapetaka di setiap jengkal bumi yang dipijak. Kelihatan mayat-mayat bergelimpangan di setiap penjuru kota, terutamanya orang tua, kaum wanita dan kanak-kanak.

Ibnu Taimiyah melihat suasana pada ketika itu dengan perasaan luka yang mendalam. Hatinya terasa seperti disayat-sayat. Beliau segera membangkitkan semangat jihad di kalangan kaum muslimin di Damsyik. Raja Mesir dan tentera khalifah diyakinkan bahawa kemenangan pasti berada di pihak orang-orang yang tertindas kerana mereka yang seharusnya mendapat pertolongan Allah.

Ibnu Taimiyah bergerak ke seluruh pelusuk daerah dan negeri memberi kefahaman kepada umat Islam, kewajipan untuk berjihad. Ketika peperangan meletus, ia bertepatan dengan bulan Ramadhan. Ibnu Taimiyah mengeluarkan fatwa dibolehkan berbuka puasa. Beliau sendiri berkunjung menemui pasukan tentera Islam sambil membawa sebiji kurma yang dimakan sebagai bukti dirinya tidak berpuasa dengan terus membaca dalil Quran dan Hadis.

Pada hari kedua bulan Ramadhan pasukan tentera Islam bertemu dengan pasukan tentera Tartar. Ibnu Taimiyah bersama-sama bertempur dengan semangat jihad bersama-sama pasukan muslimin.

Tidak beberapa lama kemudian tentera Tartar semakin terdesak dan lari bertempiaran. Pada malam harinya mereka cuba meninggalkan pertempuran secara diam-diam, namun pasukan muslimin tidak memberi peluang. Panah-panah menghujani ke atas tentera Tartar. Mereka tewas dan bumi Damsyik kembali aman.

Ibnu Taimiyah meneruskan usaha menyebarkan pengetahuan, mengajar ilmu dan hikmah. Beliau memerangi khurafat dan bid’ah yang merebak di dalam masyarakat Islam. Di samping itu usaha memerangi pemikiran kristianisasi yang secara terang terangan mengejek kitabullah dan sunnah Nabi. Ibnu Taimiyah menghadapi tentangan dalam usaha melawan keras fahaman wahdatul wujud. Padahal, para penguasa mendukung dan mengamalkan ajaran Ibnu Arabi itu. Hal ini menyebabkan Ibnu Taimiyah ditangkap dan dipenjarakan.

Namun demikian, dalam penjara tersebut beliau tetap mengajar, menulis dan member fatwa. Dalam penjara beliau dipujuk supaya menarik balik fatwanya. Tetapi Ibnu Taimiyah tidak pernah berganjak dari kebenaran pendapatnya. Dia tetap bertahan dengan ijtihad dan pemikirannya. Kerana protes para ulamak dan umat yang mencintai beliau penguasa terpaksa membebaskan Syeikh Ibnu Taimiyah. Akhirnya beliau berpindah ke Mesir.

Mesir pada ketika itu adalah pusat fahaman wahdatul wujud. Kelantangan beliau menentang kesesatan fahaman tersebut menyebabkan beliau sekali lagi dipenjarakan. Ketika di penjara ulamak ini tidak pernah beristirehat. Beliau tetap memberi fatwa, mengajar dan menulis.

Melihat keistiqamahan Ibnu Taimiyah, penguasa semakin membatasi kegiatan beliau di penjara. Kertas dan alat tulis dilarang masuk ke penjara. Maka Syeikh Ibnu Taimiyah menulis dengan arang di tembok-tembok penjara. Begitulah ulamak ini tidak pernah mengenal rehat. Kegigihan beliau memelihara kemurnian Islam membuat dirinya digelar Syeikhul Islam. Di penjara itulah beliau menghembuskan nafas yang terakhirnya. Sebuah detik yang benar-benar menghentikannya dari aktiviti amal. Ia telah menemui syahadah dengan tenteram….

Rujukan:

Parman Hanif M.Pd, Teladan Tarbiyah Dalam Bingkai Arkanul Bai’ah, Auliya Press Solo, Surakarta, 2006.

Friday, May 13, 2011

Menjaga Kesolehan Hati


Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya pada diri anak Adam terdapat segumpal daging. Apabila segumpal daging ini baik, maka menjadi baik pula seluruh tubuhnya. Apabila ia rosak, maka menjadi rosak pula seluruh tubuhnya. Ketahuilah, sesungguhnya segumpal daging itu adalah hati.” (Muttafaqun ‘Alaih)


Hadis ini menegaskan bahawa bahagian tubuh yang paling penting ialah hati, bukannya rupa paras, warna kulit, ramping, sasa dan sebagainya. Hatilah yang menentukan baik atau buruk seluruh aspek kehidupan kita. Oleh kerana itu kita perlu mengenali hati, menjaga dengan baik dan memberi bekal dengan pelbagai ibadah hati yang menghidup dan menerangi cahayanya.


Kita wajib memelihara hati dari pelbagai maksiat dan dosa yang akan mengotori dan merosakkannya. Kerana apabila hati kita baik, maka akan menjadi baik pula seluruh tubuh kita. Apabila rosak hati maka rosak pula tubuh badan kita.


Keutamaan Hati Berbanding Bahagian Lain Tubuh Manusia


i. Hati adalah sasaran yang menghubungkan manusia dengan Allah.


Allah memperlakukan hati manusia sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Allah meneguhkan hati orang-orang yang beriman sehingga mereka bersabar. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata,”Tuhan Kami adalah Tuhan langit dan bumi.“ (Al Kahfi ayat 14)


Allah telah memasukkan ketakutan dalam hati musuh-musuh Islam. Firman-Nya, “Dan Allah memasukkan ketakutan dalam hati mereka.” (Al Hasyr ayat 2)


ii. Hati Adalah Sasaran Taklif Diniyah


Hati adalah sandaran takli diniyah (bebanan tugas agama) Islam, iman, ihsan dan segala ibadah berbentuk batiniah yang mengiringinya. Oleh kerana itulah hati menjadi pusat perhatian Allah Ta’ala. Rasulullah bersabda: “Sesunggguhnya Allah tidak akan melihat tubuhmu dan tidak pula rupamu. Akan tetapi ia akan melihat hatimu.” (HR Muslim)


iii. Hati Memiliki Daya Tarikah Yang Kuat


Tarikan-tarikan hati adakalanya menyelamatkan manusia dan adakalanya membinasakannya. Kadang kala dalam hati seseorang ada tarikan yang mulia sehingga ia selamat. Ada kalanya terdapat tarikan yang merosakkan sehingga ia merugikan kehidupan dunia dan akhirat.


Sabda Rasulullah: “Seorang wanita dari Bani Israel masuk neraka kerana seekor kucing peliharaannya. Ia mengikatnya dan tidak memberinya makan, serta tidak melepaskannya sehingga dapat memakan serangga bumi. ” (HR Muslim)


Rahmah atau kasih sayang adalah salah satu tarikan yang mulia sehingga apabila tarikan kasih sayang ini ada dalam hati seseorang maka ia akan selamat.


Nabi S.A.W bersabda: “(Pada suatu hari yang panas terik) seorang wanita pelacur melihat seekor anjing mengelilingi sebuah perigi dengan menjelir-jelir lidahnya kerana kehausan, lalu wanita itu menggunakan kasutnya untuk mengisi air dan memberi anjing itu minum, lalu Allah kemudiannya mengampuni dosanya.” (HR Muslim)


iv. Hati adalah kunci kebaikan


Hati yang baik adalah pendorong kebaikan suatu masyarakat. Sebab kebaikan masyarakat ditentukan oleh kebaikan individu, dan kebaikan individu ditentukan oleh kebaikan hatinya sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. “Sesungguhnya di dalam jasad terdapat segumpal daging, jika ia baik, maka seluruh tubuh akan menjadi baik, dan jika ia rosak maka seluruh tubuh akan menjadi rosak. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.” (HR Bukhari)


Kebaikan masyarakat melibatkan aspek rohani dan jasmani. Kebaikan jasmani ditentukan oleh kebaikan hati. Sebab jika seseorang itu baik, meninggalkan segala perkara buruk yang merosakkan tubuh badan seperti minum arak, merokok, menagih dadah, pelacuran dan semua tindakan yang membahayakan diri sendiri dan orang lain.


Jika tubuh badannya baik maka ia akan menjadi aset yang baik bagi kebaikan umat manusia, produktif dan membangunkan negara. Kebaikan rohani juga ditentukan oleh kebaikan hati. Sebab hati yang baik akan sentiasa mendorong seseorang untuk tetap konsisten dalam melaksanakan hak-hak Allah dengan sebaik-baiknya seperti solat, puasa, berjihad di jalan Allah serta berdakwah.


Jadi, kebaikan masyarakat, samada dalam aspek jasmani mahupun rohani sangat ditentukan oleh kebaikan hat setiap individu yang menjadi elemen masyarakat.


Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.