Sunday, October 18, 2009

DEFINISI ISLAM (Siri 3 - Akhir)

DEFINISI KEENAM

Islam adalah ruh yang sebenar, petunjuk dalam kehidupan dan penawar bagi mengatasi masyarakat yang rosak sekiranya bersedia untuk mengikuti ajaran Islam. Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
“Dan demikianlah kami wahyukan kepadamu wahyu (Al-Quran) dengan perintah kami, sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al-Kitab (Al-Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi kami menjadikan Al-Quran itu cahaya, yang kami tunjuki dengan dia siapa yang kami kehendaki di antara hamba-hamba kami, dan sesungguhnya kamu benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus. (Iaitu) jalan Allah yang Kepunyaan-Nya segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Ingatlah, bahwa kepada Allah-lah kembali semua urusan.”
(Asy-Syura: 52-53)

“Dan kami turunkan dari Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
(Al-Isra’: 82)

“Katakanlah! Al-Qur’an itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman.”
(Fushilat: 44)

DEFINISI-DEFINISI LAIN

Definisi-definisi yang telah dikemukakan di atas hanya merupakan contoh sahaja. Kemungkinan dapat ditambah lagi dengan beberapa buah definisi lain, jika definisi itu bersesuaian dengan pengertian Islam dan sifat-sifatnya. Kalimah-kalimah yang digunakan di dalam definisi itu mestilah terang dan jelas supaya tidak menimbulkan kesamaram dan keraguan.

Islam juga boleh didefinisikan sebagai din fitrah, berdasarkan firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada din (Allah), tetaplah di atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu, tidak ada perubahan pada fitrah Allah (itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Ar-Rum: 30)

Islam juga boleh didefinisikan sebagai din tauhid daripada Allah Subhanahuwatala.

Islam mengandungi pelbagai sifat atau ciri-ciri sempurna yang lain seperti ilmu pengetahuan dan persamaan. Oleh itu Islam boleh didefinisikan dengan merujuk kepada sifat-sifatnya yang pelbagai.

DEFINISI-DEFINISI YANG TIDAK BERTENTANGAN

Jika diperhatikan kepada definisi-definisi dikemukakan di atas, akan didapati bahawa semuanya tidak bertentangan. Ini kerana pengertian dalam sesebuah definisi adalah bersesuaian dengan pengertian dalam definisi yang lain. Meskipun terdapat perbezaan-perbezaan kalimah, namun ertinya adalah sama. Perbezaan dalam gaya penulisan atau bahasa dalam mengungkapkan pengertian Islam tidak akan membawa perubahan isinya yang sebenar.

FAEDAH DENGAN ADANYA BEBERAPA DEFINISI

Tujuan dikemukakan beberapa definisi Islam ialah supaya penda’wah dapat memilih salah satu definisi yang sesuai dengan keadaan masyarakat yang menerima da’wahnya. Definisi yang diketengahkan mengambilkira mental, permasalahan dan hajat penerima da’wah.

Kepada orang yang mempelajari dan mendalami falsafah, maka boleh dikemukakan definisi kelima sebagai jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan mereka (iaitu Islam menjawab tiga persoalan – permasalahan asal kejadian manusia, tujuannya dan kesudahannya).

Kepada orang yang terlibat dalam bidang hukum atau kemasyarakatan, maka boleh dikemukakan definisi yang ketiga.

Kepada orang yang bukan Islam, maka boleh dikemukakan definisi yang pertama, iaitu Islam bermakna mengakui tiada ilah selain Allah dan Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah.

Rujukan:
Dasar-dasar Ilmu Da’wah (Terjemahan kitab Usul Da’wah) oleh: Dr Abdul Karim Zaidan

No comments:

Post a Comment