Saturday, October 17, 2009

TAUHID MENOLAK JAHILIYYAH (Siri 2)

SYARIAT DAN AQIDAH TIDAK BOLEH DIPISAHKAN

Syariat tidak boleh dipisah dan diceraikan daripada aqidah. Garis pemutusnya ialah sama ada berhukum dengan apa yang Allah Subhanahu Wa Ta'ala tanzilkan atau sebaliknya (berhukum dengan jahiliyyah).

Jika seseorang itu beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan menerima Uluhiyyah-Nya (ketuhanan), sudah tentu juga menerima Hakimiyyah-Nya (hukuman dan undang-undang-Nya). Allah Subhanahu Wa Ta'ala adalah Pencipta dan Pemilik, maka Dia-lah yang berhak ditaati. Syariat-Nya sahaja yang berhak dipatuhi dan diikuti. Jika tidak, maka lahirlah jahiliyyah.

Oleh kerana jahiliyyah itu tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala, sudah pasti jahiliyyah itu mengikut hawa nafsu.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:
"Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara kamu menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian yang diturunkan Allah kepada kamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasiq"
(Surah Al-Maidah: 49)

Sebarang peraturan atau hukum yang tidak bersumberkan syara' sebenarnya termasuk dalam ahwa'. Syariat Allah bersih daripada pengaruh ahwa'. Seseorang itu perlu membuat keputusan sama ada ingin mengikut syariat Allah Subhanahu Wa Ta'ala (lalu dia menjadi muslim) atau mengikut ahwa' (lalu dia terdiri daripada golongan jahiliyyah).

HANYA SATU YANG BENAR

1. Kedatangan Islam untuk menetapkan satu tali atau satu alat sahaja yang menghubungkan manusia dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Apabila tali itu putus maka tidak ada lagi tali dan alat penghubung yang lain.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:
"Kamu tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun mereka itu bapa-bapa atau anak-anak atau saudara-saudara atau keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah Allah tanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sunagi, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka dan mereka puas terhadap limpah (rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahawa golongan Allah itulah golongan yang beruntung".
(Al-Mujadalah: 22)

2. Terdapat satu sahaja golongan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Golongan Allah Subhanahu Wa Ta'ala tidak berbilang-bilang atau berbelah bahagi. Golongan atau puak lain adalah golongan atau puak syaitan dan thaghut.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:
"Orang-orang yang beriman berperang pada jalan Allah dan orang-orang yang kafir berperang pada jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana tipu daya syaitan itu adalah lemah."
( Surah An-Nisa': 76)

3. Hanya terdapat satu jalan yang boleh sampai kepada matlamat keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Jalan-jalan lain tidak akan sampai kepada keredhaan-Nya.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:
"Dan yang Kami perintahkan ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan lain, kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepada kamu agar kamu bertaqwa".
( Surah Al-An'am: 153)

4. Hanya satu sistem yang benar iaitu sistem Islam, manakala sistem-sistem lain adalah jahiliyyah belaka.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:
"Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik dari hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?"
( Surah Al-Maidah: 50)

5. Hanya satu undang-undang atau syariat yang benar iaitu undang-undang atau syariat Allah Subhanahu Wa Ta'ala, manakala undang-undang lain adalah berlandaskan hawa nafsu belaka.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:
"Kemudian kami jadikan kamu di atas satu syariat (peraturan) urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui."
( Surah Al-Jathiyah: 18)

6. Kebenaran hanya satu, tunggal dan tidak berbelah-bahagi. Selainnya adalah sesat belaka.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:
"Maka (Zat yang demikian) itulah Allah Tuhan kamu sebenarnya; maka tiada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan, maka bagaimanakah kamu dipalingkan daripada kebenaran?"
(Surah Yunus: 32)

7. Akhirnya, hanya satu negara atau masyarakat yang diredhai Allah Subhanahu Wa Ta'ala iaitu negara Islam atau masyarakat Islam. Masyarakat Islam ialah masyarakat yang di dalamnya tertegak Din Islam, berjalan syariat Islam dan berkuatkuasa peraturan-peraturan Allah. Semua warganya bersatu dan saling hormat menghormati.

Negara atau masyarakat yang dimaksudkan itu pernah wujud dan terbentuk pada zaman Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat baginda. Tenaga pembentuknya adalah aqidah tauhid yang dibawa oleh Rasu­lullah Sallallahu’alaihiwasallam mengikut arahan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Jalannya bermula dengan penegakan kalimah tauhid Lailahaillallah ( لا اله الا الله ) yang membawa manusia tunduk dan patuh kepada kekuasaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Rujukan:
1. Abu al-A'Ala al-Maududi, Nadzariyyah al-Islamiyyah Wa Hadyihi.
2. Asy-Syahid Sayyid Qutb, Ma'alim Fi at-Tariq.
3. Muhammad Qutb, Jahiliyyah al-Qarn al-'Isyrin.

No comments:

Post a Comment