Sunday, July 31, 2011

Keadilan Kunci Keselamatan Di Dunia dan Akhirat

Imam Al Alusi berkata, “Adil adalah meletakkan sesuatu pada tempat yang semestinya. Sedangkan lawannya adalah kezaliman, iaitu meletakkan sesuatu tidak pada tempat yang semestinya, samada mengurangi atau melebihi, adakalanya mengubah waktu dan tempatnya.”

Ibnu Taimiyah berkata: “Adil adalah merealisasikan segala sesuatu sebagaimana semestinya dan menunaikannya secara sempurna. Termasuk dalam pengertian adil adalah menyamakan antara dua hal yang sama dan membezakan antara dua hal yang berbeza.”

Sebahagian ulama berpendapat bahawa adil adalah keadaan seseorang akan mendapatkan penghargaan atas kebaikan yang dilakukannya dan mendapatkan hukuman atas keburukan yang dilakukannya. Meskipun secara umumnya ada perbezaan, namun secara dasarnya ketiga definisi di atas memiliki makna yang sama.

Dalam sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: “Tiga perkara yang akan memberi keselamatan iaitu takut kepada Allah dalam keadaan bersendirian dan dikhalayak ramai,berlaku adil dalam keadaan redha dan benci, berhemat (berjimat cermat) dalam keadaan miskin dan kaya.” (HR Thabrani dan Abu Syaikh dari Anas Bin Malik r.a.)

Berlaku adil akan mendatangkan keselamatan bagi kita di dunia dan akhirat kerana beberapa manfaat dan hasil seperti

i. Mendekatkan kita kepada ketaqwaan.

Firman Allah yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al Maidah: ayat 8)


Taqwa merupakan penyelesaian kepada pelbagai masalah hidup yang dialami dan mengundang limpahan rezeki dari Allah, dan dipermudahkan oleh Allah dalam segala urusan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” (Surah Ath- Thalaq ayat 2 – 4)

ii. Keadilan merupakan asas pembentukan masyarakat yang kuat dan beradab.

Salah satu misi para Rasul adalah menegakkan keadilan di tengah umat manusia. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul-rasul Kami dengan membawa bukti nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka al Kitab dan neraca (keadilan) agar manusia dapat melaksanakan keadilan.” (Surah Al Hadid ayat 25)

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata, “Sesungguhnya Allah akan mengokohkan pemerintah yang adil meskipun kafir, dan tidak akan mengokohkan pemerintahan yang zalim meskipun Muslim.” (Fatawa ar- Riyadh: 18/146)

iii. Orang-orang yang berlaku adil akan meraih kecintaan Allahh dan meraih kedudukan yang terhormat di sisi-Nya sehingga mereka selamat dari murka dan siksa-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al Hujurat ayat 9)

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang adil berada di atas mimbar-mimbar yang bercahaya di sisi Allah. Mereka adalah orang-orang yang berlaku adil dalam memutuskan hukuman, berlaku adil terhadap keluarga, dan berlaku adil dalam menjalankan kekuasaan mereka.” (HR Muslim)

Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

Dalam Ibadat Puasa Terdapat Bekalan

Ibadat solat, puasa, zakat dan haji dianggap sebagai sumber yang penting dan dinamik untuk menjadi bekalan di jalan da’wah.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Surah Al-Baqarah: Ayat 183)


Orang yang berpuasa mendapat pakaian taqwa. la merupakan perisai yang mempertahankan diri daripada kejahatan dan fitnah. ‘Ibadat puasa lebih istimewa daripada ‘ibadat-’ibadat yang lain kerana ia dinisbahkan secara khusus kepada Allah.


Daripada Abi Hurairah Radiyallahu ‘anhu, Bersabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam: Allah ‘Azzawajalla berkata: “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. la adalah untukku dan Akulahyang membalasnya. Puasa adalah perisai. Apabila seseorang itu berpuasa pada suatu hart maka janganlah mengungkapkan perkataan yang jelek dan janganlah menengking. Sekiranya seseorang mencelanya atau menyerangnya, maka kata-kanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa “Demi yang diri Muhammad di tanganNya, sesungguhnya berubahnya bau mulut orang berpuasa adalah lebih baik disisi Allah dari bau kasturi. Orang yang berpuasa merasai dua kegembiraan. Apabila ia berbuka, ia bergembira. Dan apabila ia bertemu dengan Tuhannya, ia bergembira denganpuasanya.” (Muttafaqun Alaih)


Fardu puasa terikat dengan bulan Ramadan. Apabila di­sebut Ramadan seolah disebut syurga yang amat luas. Seorang Muslim merentasinya, seolah-olah iaberjalan di tengah-tengah padang pasir kehidupan yang bahang panasnya tidak terperi dan terpaksa menempuhi pelbagai fitnah, maka puasalah yang menjadi bekalan dan memberikan kebaikan kepadanya. Ianya difardukan pada bulan Ramadan agar bekalan dapat digandakan dan bertambahlah seri dan kebaikan.


Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengkhususkan pada bulan Ramadan kebaikan yang banyak. Jika kita mengetahuinya nescaya kita mengimpikan agar sepanjang tahun dijadikan sebagai bulan Ramadan. Pada bulan ini Al-Qur’an diturunkan sebagaimana firman Allah yang bermaksud:


"Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antarayang benar dengan yang salah" (Surah Al-Baqarah: Ayat 185)


Padanya terdapat malam Lailatulqadar. Malam yang lebih baik dan seribubulan. Pada bulan ini, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, syaitan ditambat, ganjaran amalan digandakan, dan dilakukan i’tikaf dan qiamullail.


Demikianlah seorang Muslim yang benar menyambut bulan Ramadan dengan gembira. Orang mu’min gembira dengan kelebihan dan rahmat Allah. la melapangkan diri dari bebanan kehidupan. la menambah dan memperbaharui kecergasannya untuk menyambung semula perjalanan di jalan. Sesiapa pun tidak merasa keenakan kebaikan itu dan mendapat bekalannya melainkan mereka yang menjalani ‘ibadah puasa Ramadan seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam.


Pada bulan Al-Qur’an, pendampingan kita terhadap Al-Qur’an juga bertambah dengan membaca, mengamal, menghafal dan menggunakannya untuk qiamullail. Lalu kita memperolehi bekalan dari sumbernya yang sebenar. Ia tidak memadamkan nur, hikmah, hidayah dan pengajaran. Bahkan mengubati apa yang di dalam dada. Itulah bekalan yang amat baik.


Pada bulan Ramadan, orang yang berpuasa melakukan qiamullail pada setiap malam selama sebulan. Padanya terdapat bekalan yang padat. Dengan cara itu, ia membiasakan diri untuk ber’ibadat dan bersabar melakukan dan merasainya. Seterusnya, menjalinkan hubungan yang berterusan, mendekatkan diri, khusyu’ dan tunduk kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.


Pada bulan Ramadan, disunatkan i’tikaf yang memberikan kesan tersendiri dan membentuk jiwa. Orang yang beri’tikaf menjadi tetamu Allah di rumah Allah. Ia telah meninggalkan kesibukan urusan hidup untuk menumpukan keta’atan dan taqarrub(mendekatkan diri) kepada Allah dengan zikir, solat, do’a, munajat, membaca Al-Qur’an, istighfar, taubat, dan menangis kerana takutkan Allah.


Demikianlah Allah Subhanahu wa Ta’ala memulakan tetamunya, lalu melimpahkan nur dan hidayat ke atas mereka. Setelah itu, mereka keluar dengan berbekalkan taqwa, iman dan petunjuk.


Di tengah-tengah munajat itu kita dapati Allah berfirman yang bermaksud:

”Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdo ‘a apabila ia berdo ‘a kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 186)


Puasa menghasilkan sifat ikhlas dan mengelokkan ingatan hati terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala, kerana ia adalah rahsia antara hamba dan Tuhannya. Ikhlas kepada Allah ada­lah antara bekalan terbesar dan paling perlu bagi setiap Muslim di jalan da’wah.


Tiada kebaikan daripada ‘amalan atau usaha yang tiada keikhlasan kepada Allah. Allah Subhanahu wa Ta’ala terkaya daripada segala sekutu. Allah tidak menerima sebarang ‘amalan melainkan yang ikhlas kepadaNya.


Puasa menghasilkan mujahadah terhadap keinginan nafsu dan jasad. Ia menguatkan kemahuan Muslim. Inilah bekalan yang mesti dan daruri bagi pendakwah kepada Allah dan mujahid di jalanNya. Puasa menahan kemahuan nafsu syahwat dan suatu yang halal dalam satu jangka waktu, pada setiap hari, selama sebulan. Perbuatan sebegini membantu seseorang untuk me-negah diri daripada benda yang haram pada waktu-waktu yang lain.


Puasa menghasilkan kesabaran. Ia adalah suatu sifat yang sentiasa ada pada para pendakwah kepada Allah. Ia membantu mereka bersabar mengharungi halangan dan meneruskan perjalanan di jalan da’wah tanpa rasa hina, lemah dan ingin tunduk kepada musuh.


Firman Allah yang bermaksud: ”Maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.” (Surah Ali-’Imran: Ayat 146)


Sebarang gertakan atau janji buruk, ancaman, penyeksaan atau pengusiran tidak melewatkan mereka sedikit pun.


Puasa mendidik dan membendung anggota badan selama sebulan. la telah terbiasa dengannya. Puasanya tidak terbatas pada menahan syahwat perut dan kemaluan sahaja. Malahan puasa yang sebenar ialah puasa seluruh anggota dari segala apa yang Allah Subhanahu wa Ta’ala haramkan. Mata, telinga, lidah, tangan dan kaki juga berpuasa di samping mulut dan kemaluan. Inilah suatu bahagian tarbiyyah yang penting dalam personaliti Muslim


Puasa membentuk budi-pekerti yang lemah-lembut terhadap orang jahil. Apabila seseorang itu mencetuskan kemarahan orang yang berpuasa dengan mencela atau memarahinya, ia menahannya dan berlemah-lembut seraya berkata: “Sesungguhnya aku berpuasa.” Para pendakwah kepada Allah amat memerlukan akhlaq sebegini seperti mengawal nafsu, berlapang dada dan tidak marah semata-mata kerana keinginan nafsu.


Semua itu merupakan suatu impak yang baik pada kemaslahatan da’wah sepertimana firman Allah yang bermaksud:

”Kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.” (Surah Ali-’Imran: Ayat 159)


Ia menjimatkan waktu dan tenaga untuk kemaslahatan da’wah dan penghasilan, berbanding membuang waktu dan tenaga lantaran berlaku kemarahan di dalam perdebatan, perselisihan, menentukan sesuatu danberdamai semula. Tatkala itu, da’wah dan segala sesuatu penghasilan dan gerak-kerja akan menjadi mangsa.


Benarlah firman Allah yang Maha Besar yang bermaksud:

”Dan tidaklah soma (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah Fussilat: Ayat 34)


Puasa mendidik hati mengasihani golongan miskin dan mereka yang memerlukan bantuan. Ketika mana seseorang itu berasa lapar, ia bersegera menghulurkan tangan untuk membantu mereka. Justeru, disyari’atkan zakat fitrah untuk menguatkan dan mengingatkan pengertian yang sedemikian. Inilah suatu aspek tarbiyyah yang penting dan mesti ditegakkan di kalangan kaum Muslimin.


Semasa berpuasa, perut dikosongkan dan pemakanan dikurangkan. Kedudukan roh menjadi tinggi, hati menjadi jernih, seterusnya hijab dan tarikan duniawi terhindar. Kejernihan dan sinaran memancarkan cahaya kebenaran di dalam hati. Maka teranglah hati, dan nafsu pun bersedia untuk menjalani proses tazkiah dengan zikir, bacaan Al-Qur’an, istighfar, taubat dan do’a. Lahirlah kebahagiaan hakiki, keselesaan ruh dan perasaan mendekati Allah.


Pengertian ini menguatkan sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud

”Sesungguhnya syaitan berjalan di dalam diri anak Adam melalui saluran darah, maka sempitkanlah laluannya dengan berlapar." (Muttafaqun Alaih)


Puasa pada hari yang amat panas khususnya, dapat mempersiapkan diri Muslim dengan kesabaran dan kesanggupan mengharungi medan jihad, peperangan dan pertarungan dengan musuh atau menghadapi situasi sukar di dalam bidang da’wah. Tarikan duniawi dan tuntutan jasmani tidak menjadi penghalang atau menyukarkan untuk meneruskan perjalanan da’wah.


Puasa mengajar bagaimana seharusnya seorang mu’min bergembira dengan taufiq dan pertolongan daripada Allah untuknya melaksanakan ‘ibadat dan mengikhlaskan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengingatkan kita bahawa orang yangberpuasa mendapat dua kegembiraan: Apabila ia berbuka dan sewaktu iabertemu Allah dengan puasanya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:

”Katakanlah (wahaiMuhammad) kedatangan Al-Qur’an itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Qur’an itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan (dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)." (Surah Yunus: Ayat 58)


Perkara ini memperbetulkan gambaran yang salah pada kebanyakan orang, mereka bergembira apabila mendapat kebendaan dunia dan bersedih ketika kehilangannya.


Puasa mengukuhkan pengertian jama’ah di dalam diri. Kaum Muslimin di seluruh dunia berpuasa pada bulan yang sama. Mereka merasai kebaikan dengan sebab puasa dan bulan Ramadan disertai bersama saudara mereka di seluruh dunia yang berlainan keturunan. Perasaan kesatuan di antara kaum Muslimin adalah perkara yang penting dan perlu khususnya mereka yang menjalankan usaha da’wah.


Oleh kerana ‘ibadah puasa mengandungi kebaikan, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah “mensunatkannya” pada hari-hari yang tidak wajib kita melaksanakannya, sepanjang tahun. Baginda menggalakkan kita melakukannya lantaran kesungguhan dan kecintaannya kepada perkara yang baik.


Oleh kerana, rahmat Allah kepada kita dan Allah menyukai suatu yang baik kepada kita, dipermudahkan salat ketika kita musafir, sakit dan peperangan. Allah hanya meringankannya sedikit sehingga kita tidak meninggalkannya langsung dan tidak mendapat kebaikan dan bekalan darinya.


Berpunca daripada rahmat Allah, dan supaya tidak membcban-kan kita, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan keringanan kepada mereka yang bermusafir atau sakit. Mereka dibolehkan meninggalkan puasa Dengan menggantikannya pada hari lain atau membayar fidyah.


Puasa menghubungkan Muslim dengan alam semesta yang mengandungi bulan dan bintang. Mereka memerhatikannya untuk mengetahui awal bulan dan melihatauak bulan pada awal bulan Ramadan dan bulan Syawal. Dengan cara ini, mereka mengenali penciptaan Allah yang menunjukkan kepada kebesaran dan kekuasaanNya.


Puasa membiasakan Muslim mementingkan dan menepati masa. Setiap orang yang berpuasa meneliti waktu imsak dan waktu berbuka. Mereka menghalusinya agar puasa tidak terbatal dengan sebab pengabaian atau tidak teliti. Perbuatan sebegini berulang-ulang selama sebulan sehingga boleh melengkapkan diri seseorang dengan karektor tersebut.


Para pendakwah kepada Allah pada hari ini amat memerlukannya di dalam kehidupan dengan da’wah, perjumpaan dan pekerjaan, supaya ia tidak membantutkan perkara yang penting atau mensia-siakan masa orang lain tanpa faedah.


Di samping itu, puasa memberikan kesan kesihatan yang baik kepada jasad. Mutakhir ini, ilmu kedoktoran moden telah mendedahkan hakikat tersebut. Sebahagian rumah sakit telah menjadikan puasa sebagai cara yang berkesan untuk mengubati kebanyakan penyakit.


Semua ini adalah bekalan dan kesan tarbiyyah dari puasa. Bulan puasa senang untuk dilalui kepada sesiapa yang benar niatnya dan berpuasa sepertimana yang dikehendaki Allah dan diajar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam.


Apa yang kita lihat pada hari ini, sebahagian besar kaum Muslimin telah menukarkan bulan puasa kepada bulan menjamah dan membanyakkan makanan. Sepatutnya, kita perlu berlapar dan mengurangkan makanan.


Bulan ‘ibadat, qiamullail dan Al-Qur’an telah bertukar menjadi bulan yang melekakan dan berjaga malam dengan perbuatan yang sia-sia. Ianya telah menjadi peluang kepada seniman dan seniwati untuk menghidupkan malam-malam bulan Ramadan dengan perkara yang buruk dan membinasakannya.


Saya mengatakan bahawa perhimpunan mungkar ini telah mencemar hakikat Ramadan. Keadaan ini tidak diredai Allah dan juga RasulNya. Kita mestilah berusaha membetulkannya.


Akhir sekali, saya bermohon kepada Allah agar memanfa’atkan kita dengan Ramadan dan bekalan puasa. Apa yang telah saya sebutkan bukanlah suatu yang telah meliputi tajuk ini tetapi hanyalah sebahagian daripada aspek-aspeknya. Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala mengurniakan manfa’at kepada kita.


Rujukan:

Mustafa Masyhur, Bekalan Di Dalam Perjalanan Dakwah, terjemahan Hj Mohd Tahir Daeng Mengati, Pustaka Salam, Kuala Lumpur, 1985.

Panduan Agar Hati Hidup Dengan Al Quran

Sayyid Qutb mengatakan bahawa sesungguhnya AlQuran itu harus dibaca dam diterima oleh setiap generasi umat dengan penuh perhatian. Kita perlu tadabbur ayat-ayat al Quran sebagai arahan dan nasihat yang hidup. Seolah-olah ia turun pada abad ini untuk mengubati penyakit dan permasalah umat pada abad ini. Ia menerangi jalan menuju masa depan, tidak hanya sebagai kalimat yang dibaca atau dicetak sebagai sebuah kitab atau kenyataan yang ditinggalkan terbiar begitu sahaja.

Kita berinteraksi dengan Al Quran seolah-olah ia sedang berbicara dengan kita. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.” (Surah Qaf ayat 37)

Manfaat Al Quran tidak akan diperolehi sehinggalah kita membaca serta mengamalkan segala macam nasihat dan arahan untuk kehidupan seharian kita pada masa kini atau akan datang sebagaimana yang dilakukan oleh generasi pertama di bawah didikan Rasulullah.

Ketika kita membaca Al Quran dengan penuh perhatian dan kesedaran maka kita akan mendapat apa yang kita inginkan. Kita akan mendapat pelbagai keajaiban yang tidak pernah terlintas dan terbayang sebelumnya. Kita akan mendapati kalimat-kalimat, ungkapan dan arahannya seolah hidup dan menepati permasalahan yang kita hadapi. Ia menunjukkan arah kepada jalan yang kita inginkan. Ia sangat menyentuh perasaan kita.

Walau bagaimanapun ada halangan atau rintangan antara hati kita dengan al Quran jika kita membaca Al Quran sekadar sebagai ibadah dan tidak ada kaitan dengan realiti kehidupan manusia sehari-hari.

Sayyid Qutb menyatakan bahawa sesungguhnya Al Quran adalah hakikat yang mempunyai titik lingkaran yang terus menerus berputar seperti alam semesta. Alam semesta adalah firman Allah yang boleh dilihat manakala Al Quran merupakan firman Allah yang boleh dibaca. Kedua-duanya menjadi saksi dan bukti akan penciptanya di mana Al Quran adalah untuk diamalkan.

Alam semesta dengan segala bintang, planet, galaksi tidak berhenti-henti bergerak. Ia melaksanakan fungsi yang telah diberikan oleh Allah. Ia beredar di orbit masing-masing. Fungsinya tidak boleh dihalang oleh ruang dan batas waktu.

Demikian pula al Quran, ia melaksanakan fungsinya bagi segenap manusia, ia tetap berfungsi kepada semua generasi dan zaman kerana fitrah manusia itu tetap tidak berubah tidak kira masa, tempat, suasana atau bangsa sehinggalah ke hari kiamat.

Walau pun berlaku perubahan kepada keadaan dan alam sekitar sekelilingnya dan manusia turut dipengaruhi oleh perubahan tersebut namun hakikat fitrah manusia tetap tidak boleh diganti dan diubah.

Fitrah ertinya sifat batin semulajadi, yang dibekalkan oleh Allah ke dalam diri setiap manusia sejak azali lagi. Fitrah wujud bersama lahirnya tubuh kasar manusia ke dunia. Ia terus menjadi sifat manusia tanpa melalui proses berguru atau pengalaman. Cuma ia tidak cukup subur semasa manusia masih bayi. Ia beransur-ansur subur bersama kesuburan yang dialami oleh jasad lahir manusia.

Contoh-contoh sifat fitrah ini ialah takut, sayang, simpati, marah, dendam, benci, gembira, dengki, megah, sedih dan lain-lain lagi. Rasa-rasa fitrah ini bukannya diperolehi di mana-mana sekolah atau dari mana-mana guru. Ia sudah sedia ada. Ia menjelma dalam kalbu manusia di waktu manusia itu berhadapan dengan keadaan yang tertentu.

Al Quran berbicara kepada manusia selaras dengan fitrah manusia yang tidak berubah itu. Sesungguhnya Al Quran adalah kitab petunjuk dan manhaj hidup yang Allah turunkan kepada kita agar menunjukkan kita kepada apa yang bermanfaat bagi dunia dan akhirat kita.

Ibnul Qayyim mengatakan, bahawa membaca yang hakiki adalah membaca makna dan mengikutinya, membenarkan segala khabar yang dibawanya, mengerjakan segala yang diperintahkannya dan meninggalkan segala larangannya. Ia akan selalu siap sedia menerima apa sahaja arahan dan peraturan yang termaktub di dalam al Quran. Membaca Al Quran meliputi bacaan lafazh dan meneliti makna. Membaca makna lebih mulia dan lebih berharga dari hanya membaca secara lafazh sahaja. Mereka yang membaca dengan sebenar-benarnya iaitu lafazh dan meneliti makna adalah orang yang layak memperolehi pujian di dunia dan akhirat.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.” (Surah Shad ayat 29)

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci?” (Surah Muhammad ayat 24)

Saidina Ali Bin Abi Talib berkata; “Tidak ada kebaikan dalam membaca Al Quran yang tidak disertai dengan tadabbur (memperhatikan ayat-ayatnya dan mengambil pelajaran darinya serta mengamalkannya).

Rujukan:

Dr Majdi Al Hilali, Agar Hati Hidup Bersama Al Quran terjemahan Al Imanu Awwalan Fakaifa Nabda-u bihi, oleh Andi Subarkah, Pustaka Nuun, Semarang, 2009.

Monday, July 25, 2011

Syarat Memperolehi Manfaat Dari Al Quran

Sesungguhnya Al Quran merupakan sebuah mukjizat yang mampu menghidupkan hati kita yang mati. Tetapi bagaimana pula kalau hal itu tidak terjadi terhadap hati kita?


Al Quran tidak akan memberi kesan kepada hati kita jika kita tidak berinteraksi dengan al Quran sebagaimana yang dilakukan oleh generasi sahabat Rasulullah. Mereka bergaul dan memperlakukan Al Quran dalam keadaan hati dan perasaan yang ingin mengamalkan al Quran, bukan sekadar mempelajari dan menikmati keindahannya.


Perhatikan setiap ayat, apa yang diinginkan al Quran untuk kita amalkan misalnya tentang makrifah kita terhadap Allah, akhlak, perilaku dan segala macam aturan hidup dalam realiti kehidupan sehari-hari.


Untuk membolehkan kita bergaul dengan al Quran dengan cara seperti ini, kita perlu memenuhi syarat yang utama iaitu dengan mengisi hati kita dengan perasaan takut kepada Allah. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:-


“Maka beri peringatanlah dengan Al Quran kepada orang yang takut kepada ancaman-Ku.” (Surah Qaf ayat 45)


Allah berfirman yang bermaksud: “Kitab (al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.” (Surah Al Baqarah ayat 2)


Allah berfirman yang bermaksud: “Thaahaa. Kami tidak menurunkan al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah)”. (Surah Thaha ayat 1- 3)


Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: "Al Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang mukmin. dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedang Al Quran itu suatu kegelapan bagi mereka [tidak memberi petunjuk bagi mereka]. mereka itu adalah (seperti) yang dipanggil dari tempat yang jauh". (Surah Fussilat ayat 44)


Hanya hati yang hidup sahaja yang dapat menerima pesanan dan ajaran al Quran yang dibaca.


Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kami tidak mengajarkan syair kepadanya (Muhammad) dan bersyair itu tidaklah layak baginya. Al Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan Kitab yang memberi penerangan. Supaya dia (Muhammad) memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup (hatinya) dan supaya pastilah (ketetapan azab) terhadap orang-orang kafir. (surah Yasin ayat 69 – 70)



Al Quran Adalah Pelajaran Yang Paling Utama Dan Nasihat Yang Agung


Allah berfirman yang bermaksud: “Orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pelajaran.“ (Surah Al ‘A’la ayat 10)


Allah juga berfirman: “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat pelajaran bagi orang-orang yang takut kepada azab akhirat.” (Surah Hud ayat 103)


Jadi hanya orang yang takut kepada Allah yang mampu mengambil manfaat dari Al Quran, sehingga mereka menjadi bertambah takut kepada Allah. Allah berfirman yang bermaksud:


“Dan berilah peringatan dengan apa yang diwahyukan itu kepada orang-orang yang takut akan dihimpunkan kepada Tuhannya (pada hari kiamat), sedang bagi mereka tidak ada seorang pelindung dan pemberi syafa'atpun selain daripada Allah, agar mereka bertakwa.” (Surah al An’am ayat 51).


Oleh itu perlu kita mempersiapkan diri dengan perasaan takut kepada Allah agar kita boleh menerima firman Allah serta mengambil manfaat dari Al Quran.


Allah berfirman yang bermaksud: “(Al Quran) Ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Ali Imran ayat 138).


Al Quran menjadi penjelas ketika dibaca oleh yang mempunyai akal fikiran. Tetapi Al Quran akan menjadi petunjuk dan pelajaran jika hati pembacanya menerima segala ajarannya serta bertaqwa.


Jika kita ingin masuk dalam dunia al Quran secara hakiki, kita perlu terlebih dahulu mempersiapkan hati untuk menyambutnya dengan mempertingkatkan dan menambah tingkat ketakutan kita kepada Allah.


Orang yang merasa takut adalah orang yang perasaannya sangat sensitif, ia akan memberikan segenap aspek pendengaran dan perhatiannya terhadap nasihat, yang akhirnya akan memberikan rasa aman.


Jika kita ingin mengambil manfaat dari Al Quran, serta menjadikan arahan dan nasihatnya diamalkan dalam kehidupan seharian maka kita harus menyambut al Quran dengan hati yang penuh rasa takut kepada Allah dan takut kematian menjemput kita pada bila-bila masa.


Rujukan:


Dr Majdi Al Hilali, Agar Hati Hidup Bersama Al Quran terjemahan Al Imanu Awwalan Fakaifa Nabda-u bihi, oleh Andi Subarkah, Pustaka Nuun, Semarang, 2009.

Saturday, July 23, 2011

Meraih Manfaat dari Al Quran

Alangkah kasihan mereka yang meninggalkan al Quran. Mereka bersungguh-sungguh mencari jalan untuk menyampaikan mereka kepada Allah namun melupakan al Quran, padahal jalan menuju Allah itu sangat jelas sejelas matahari di siang hari.


Khabab Ibn al Art berkata: “Mendekatkan diri kepada Allah sesuai dengan kemampuan anda. Kerana selamanya kamu tidak akan mampu mendekat kepada Allah kecuali dengan sesuatu yang paling Dia cintai berupa firman-Nya. Tidak diragukan lagi bahawa Al Quran mempunyai kesan yang mendalam terhadap hati yang hidup. Firman Allah Ta’ala:


ãAÍit\çRur z`ÏB Èb#uäöà)ø9$# $tB uqèd Öä!$xÿÏ© ×puH÷quur tûüÏZÏB÷sßJù=Ïj9 Ÿwur ߃Ìtƒ tûüÏJÎ=»©à9$# žwÎ) #Y$¡yz ÇÑËÈ


“Dan kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Surah al Isra’ ayat 82)


Syed Qutb menyatakan bahawa dakwah boleh berdiri sepeninggalan Rasulullah sampai akhir zaman kerana sumber rujukan masih terpelihara sehingga ke hari kiamat iaitu Al Quran. Sumber utama (Al Quran) inilah juga yang membuat generasi sahabat Rasulullah mampu untuk memikul tanggungjawab dakwah.


Ketika Siti Aisyah ditanya tentang akhlak Rasulullah S.A.W. ia menjawab: “Akhlaknya adalah Al Quran.”


Ibnu Kathir mengatakan: “Bahawasanya mereka – generasi pertama tidak membaca Al Quran hanya bertujuan meluaskan budaya dan kajian, tidak juga hanya terbatas untuk kemanisan dan ketenteraman hati.


Para sahabat menerima Al Quran bukan untuk memperbanyak dan membekalkan diri dengan wawasan, bukan pula sebagai bahan ilmiah atau hanya memperkaya dan memenuhi kajian. Tetapi mereka menerima perintah Al Quran untuk diamalkan selepas mendengar ayat demi ayat Al Quran. Sepertimana seorang tentera yang menerima perintah daripada seorang komandan di medan perang. Segenap kekuatan digunakan untuk melaksanakan arahan berkenaan.


Pendekatan generasi awal adalah pendekatan untuk beramal. Mereka bukan mendekati al Quran bertujuan untuk mengkaji, menelti atau mentela’ah tetapi al Quran itu bercampur baur dengan diri, jiwa dan kehidupan mereka. Mereka mengamalkan segala ajaran Al Quran dalam segenap aspek kehidupan sehingga menjadi suatu kebiasaan.


Al Quran menjadi sebuah wawasan yang bergerak, tidak diam dalam pemikiran sahaja, atau hanya tersimpan dalam bentuk tulisan pada kitab-kitab tetapi sahabat Rasulullah menjadikan Al Quran sebagai panduan dan cara hidup.


Ketahuilah bahawa al Quran tidak akan memberi harta karun yang berharga kecuali bagi orang yang mahu menerimanya dengan ruh ini, iaitu ruh makrifah, yang menjadi sumber segala amalan.


Al Quran tidak didatangkan hanya sekadar kitab untuk mengisi akal fikiran, kitab adab, kesenian, kitab sejarah atau cerita, walau pun di dalam Al Quran mengandungi perkara berkenaan. Al Quran diturunkan untuk menjadi manhaj (sistem) hidup sebagai manhaj Tuhan (Syed Qutb – Maalim fi Thariq).


Rujukan


Dr Majdi Al Hilali, Agar Hati Hidup Bersama Al Quran terjemahan Al Imanu Awwalan Fakaifa Nabda-u bihi, oleh Andi Subarkah, Pustaka Nuun, Semarang, 2009.