Sunday, October 31, 2010

Allah memberi keuntungan 10 kali ganda

Pada zaman Khalifah Abu Bakar telah berlaku kemarau panjang. Bencana yang berpanjangan ini menyebabkan ramai kaum muslimin kelaparan. Berduyun-duyun mereka yang kelaparan menuju ke kota Madinah. Mereka mengadap Khalifah Abu Bakar untuk meminta bantuan makanan.

Kata salah seorang dari mereka, “Wahai Amirul Mukminin, langit selalu cerah sejak berbulan-bulan. Tiada awan yang menjadi hujan untuk menumbuhkan bumi dengan tanaman. Kami semua datang untuk meminta pertolonganmu, ringankanlah penderitaan kami, berilah kami makan!.”

Abu Bakar dengan mantap menjawab, “Aku berharap, sebelum matahari terbenam nanti Allah akan mengirimkan pertolongannya!”

Menjelang petang, Madinah dikejutkan dengan datangnya kafilah yang terdiri dari 1000 ekor unta. Unta ini membawa muatan penuh yang terdiri dari gandum, minyak samin dan kismis. Semuanya datang dari Syam. Kafilah tersebut berhenti di rumah Saidina Othman bin Affan. Semua muatan diturunkan di situ. Saidina Othman kelihatan menguruskan penurunan muatan barang-barang tersebut. Memang, Saidina Othmanlah pemilik semua barang-barang itu.

Tidak lama kemudian datanglah beberapa orang pedagang menuju ke rumah Othman. Kemudian mereka menawar hendak membeli barang-barang tersebut dengan keuntungan yang tinggi.

“Wah, baik benar perkataanmu. Lalu berapa keuntungan yang kau tawarkan kepadaku? Tanya Othman menguji. Mereka menjawab, “Dua kali ganda!”. Othman menyanggah pula, “Sayang, telah ada pedagang yang menawarkan lebih dari tawaran tuan-tuan.

Para pedagang itu kemudiannya menaikkan tawarannya sampai 5 kali ganda. Tetapi Saidina Othman menjawab bahawa telah ada pedagang yang menawar lebih tinggi dari tawaran itu. Maka pedagang itu menyerah kalah tidak berani menawar lebih daripada 5 kali ganda.

Mereka pun bertanya dengan penuh kehairanan, “Saya rasa tidak ada pedagang yang berani menawarkan harga melebihi tawaran saya. Berapa keuntungan yang ditawarkan pedagang yang anda maksudkan itu? Siapa mereka?”

“Pedagang itu menawar denganku sepuluh kali ganda. Apakah anda berani menawar lebih tinggi dari itu?” soal Othman kepada mereka.

“Tidak. Siapa dia?” Tanya mereka lagi.
“Allah!” jawab Othman tegas. Kemudian ia melanjutkan, “Saksikanlah wahai tuan-tuan dan kaum muslimin semuanya, bahawa seluruh barang dagangan ini telah kuserahkan kepada kaum muslimin untuk mengatasi segala kesulitan mereka di tahun kemarau ini!”

Saidina Othman bin Affan pun mengagihkan segala barangan dagangan tersebut secara percuma kepada kaum muslimin.

Subhanallah.

Rujukan:

Parman Hanif M.Pd., Teladan Tarbiyah Dalam Bingkai Arkanul Bai’ah, Auliya Press Solo, Surakarta, Januari 2006.

Saturday, October 30, 2010

Keperluan Untuk berdakwah

Dari Anas r.a. berkata, “Rasulullah bersabda, “Perintahkanlah yang makruf meskipun kamu belum mengamalkannya, dan cegahlah kemungkaran meskipun kamu belum meninggalkan seluruhnya.” (HR Thabrani)

Seringkali seorang muslim merasa berat atau enggan melakukan kerja dakwah, menyuruh kepada makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran. Ia merasa masih banyak kekurangan, banyak melakukan kesalahan dan dosa serta sering melalaikan kewajipan agama.

Untuk berdakwah kita tidak harus menunggu diri kita menjadi individu yang sempurna tanpa dosa. Kita harus menyuruh kepada kebaikan meskipun kita belum mampu melaksanakannya. Begitu juga mencegah kemungkaran meskipun kita belum boleh meninggalkan seluruhnya.

Setiap manusia tidak luput dari melakukan kesalahan dan dosa, namun kerja-kerja dakwah harus diteruskan kerana ia merupakan kewajipan yang mesti kita laksanakan sehingga ajal datang menjemput kita.

Sesungguhnya mengajak kepada kebaikan adalah suatu kebaikan dan kewajipan bagi orang yang berilmu. Mengajak kepada kebaikan dan mengerjakannya adalah suatu kewajipan. Tuntutan untuk melaksanakan kedua-duanya (mengajak kepada kebaikan dan mengerjakan kebaikan) adalah satu tuntutan yang tidak akan gugur dengan hanya mengerjakan salah satunya (Menurut pendapat yang paling sahih dari para ulama salaf dan khalaf).

Seandainya tidak boleh memberikan nasihat kepada orang lain kecuali orang yang terpelihara dari dosa, maka tidak ada seorang pun yang berhak memberikan nasihat selain Rasulullah S.A.W. Bukankah tidak ada yang bersih dari dosa kecuali para nabi dan Rasul?

Sa’id bin Jubair berkata, “seandainya seorang tidak boleh menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sehingga ia menjadi orang yang bersih dari semua dosa, maka tidak ada seorang pun yang akan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran”.

Khalifah Umar Bin Abdul Aziz semasa berceramah dan memberi nasihat telah berkata: “Sesungguhnya aku mengatakan hal ini, padahal aku tahu tidak ada seorang pun yang lebih banyak dosanya melebihi aku. Maka aku memohon ampunan kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya.”

Beliau juga pernah menulis surat kepada gabenur di mana pada baris akhir surat ditulis, “Sesungguhnya aku memberimu nasihat seperti ini, padahal aku sendiri banyak lalai atas diriku sendiri dan tidak mampu mengendalikan diri dalam banyak hal. Seandainya seseorang tidak boleh memberi nasihat kepada saudaranya sampai ia mampu mengendalikan dirinya, maka perkara kebaikan, menyeru kepada kebaikan dan mencegak kemungkaran tidak akan dipeduli. Soal halal, haram tidak diambil kisah.

Sesungguhnya syaitan dan pengikutnya menginginkan agar tidak ada seorangpun yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Hendaklah kita menyedari bahawa mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, memberi nasihat dan pelajaran kepada orang lain bererti kita memiliki peluang yang lebih baik untuk menjadi lebih baik, bahkan yang terbaik. Allah berfirman yang bermaksud:

“Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani (orang yang sempurna ilmu dan bertaqwa kepada Allah), kerana kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu selalu mempelajarinya,” (Surah Ali Imran ayat 79)

Semoga apa yang dinyatakan di atas menjadi dorongan dan motivasi kepada kita untuk melaksanakan kerja yang mulia iaitu mengajak manusia untuk beriman kepada Allah dan mencegah kemungkaran. Baikilah diri sendiri dan ajaklah orang lain... Ganjarannya adalah syurga....

Rujukan:

Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah, Bina Insani Press Solo, September 2006

Berbahagialah...

Rasulullah bersabda: “........ Berbahagialah seseorang yang dijadikan oleh Allah sebagai pemegang kunci-kunci kebaikan....” (HR Ibnu Majah dari Anas r.a.)

Kunci pembuka kebaikan termasuklah mengajar ilmu kebaikan, mempelajari ilmu, beramal dengan ilmu, menggalakkan orang belajar ilmu dan menyediakan kemudahan untuk orang menuntut ilmu serta bersahabat dengan orang yang berilmu.

Seorang yang menjadi kunci pembuka kebaikan dan penutup kejahatan akan mendapat beberapa bentuk kebahagiaan seperti:-

i. Mendapat penghormatan dan simpati dari semua manusia kerana keperluan mereka kepada ilmu dan kebaikan jauh lebih besar berbanding keperluan mereka kepada makan dan minum.

Imam Ahmad berkata:

“Keperluan manusia kepada ilmu jauh lebih besar daripada keperluan mereka kepada makan dan minum. Kerana makan dan minum diperlukan hanya sekali atau dua kali dalam sehari. Sedangkan ilmu sentiasa diperlukan sepanjang hayat (selagi ia bernafas).”

ii. Mendapat doa kebaikan dari seluruh makhluk Allah.

Ia juga akan mendapat doa dan selawat dari Allah dan seluruh makhluk-Nya. Rasul S.A.W. bersabda:

“Sesungguhnya Allah, para malaikat, para penduduk langit dan bumi, bahkan seekor semut dalam lubangnya dan ikan di lautan sentiasa berselawat untuk orang-orang yang mengajarkan kebaikan kepada umat manusia.” (HR Tarmidzi)

iii. Terhindar dari berbagai musibah di dunia dan akhirat akibat dosa.

Rasulullah bersabda, “Ubatilah orang-orang yang sakit di antara kamu dengan sedekah, sesungguhnya sedekah menolak berbagai penyakit dan gangguan-ganguan lainnya.” (HR Ad Dailami)

Sabda Rasulullah: “Sedekah akan memadamkan murka Allah dan menolak kematian yang buruk.” (HR Baihaqi)

“Bersedekahlah kerana sesungguhnya sedekah itu dapat membebaskan kamu dari api neraka.” (HR Thabrani)

Semua ulama sepakat bahawa sebaik-baik sedekah adalah dengan mengajarkan ilmu dan kebaikan kepada orang lain.

iv. Meraih pahala yang besar dari Allah dan mendapat balasan syurga.

Seseorang yang menjadi kunci pembuka kebaikan dengan sentiasa mengajar akan mendapat pahala yang besar.

Rasulullah bersabda: “Barangsiapa yang menunjukkan (sesorang) kepada kebaikan, ia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya.” (HR Muslim)

“Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga,” (HR Abu Dawud)

Jika seseorang yang mencari ilmu dimudahkan Allah untuk memperolehi syurga, apatah lagi orang yang mengajar ilmu dengan ikhlas, sudah tentulah lebih berhak mendapat balasan syurga (Miftahu Daris Sa’adah /79-80)

Rujukan:

Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah, Bina Insani Press Solo, September 2006

Kunci Pembuka Kejahatan

Rasulullah bersabda: “..... Celakalah seseorang yang dijadikan oleh Allah pemegang kunci-kunci pembuka kejahatan.” (HR Ibnu Majah dari Anas r.a.)

Penyeru kepada kejahatan dan keburukan sentiasa ada di dalam masyarakat di sepanjang zaman. Oleh itu seseorang mukmin perlu sentiasa berusaha agar jangan menjadi sebahagian daripada golongan jahat ini. Bahkan sudah semestinya ia menjadi lawan dan musuh utama yang menghalang dan menentang sebarang usaha untuk membuka pintu-pintu kejahatan di tengah masyarakat. Ada beberapa tindakan yang boleh dikategorikan sebagai kunci pembuka kejahatan:-

i. Menyebar keburukan seseorang yang sepatutnya disembunyikan

Menyebarkan keburukan yang dilakukan oleh tokoh masyarakat yang boleh menyebabkan masyarakat mengikut atau menjadi teladan untuk melakukan keburukan yang sama.

Allah berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat, dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (an Nuur ayat 19)

ii. Tidak bersegera bertaubat setelah melakukan banyak keburukan yang telah disaksikan oleh orang .

Lambat taubat akan membuka pintu keburukan dan keinginan orang lain untuk menirunya dalam melakukan maksiat. Allah berfirman:

“Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (ali Imran 135)


iii. Ridha dengan kelemahan dirinya sehingga tidak mampu untuk mengimbangi kekuatan penyeru kepada kejahatan.

Saidina Umar sentiasa berdoa, “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan orang soleh dan kekuatan orang derhaka.”

Rasulullah mengajar kita sentiasa berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dri kepada-Mu dari kesedihan dan kegelisahan, aku berlindung dri kepada-Mu dari sifat pengecut dan kedekut, aku berlindung dri kepada-Mu dari kemalasan dan ketidakmampuan.” (HR Ahmad)

iv. Tidak memanfaatkan jabatan atau kedudukannya untuk mencegah kemungkaran sehingga orang-orang jahat semakin bermahajarela, sedangkan orang yang lebih rendah kedudukan daripadanya tidak berani bertindak mendahuluinya.

Sedangkan salah satu tanda kesyukuran diberi kedudukan atau kekuasaan oleh Allah ialah melakukan kerja mencegah kemungkaran. Pemimpin yang tidak melakukan kerja mencegah kemungkaran adalah pengkhianat.

Sabda Rasulullah: “Setiap pengkhianat (pada hari kiamat) akan pacakkan bendera di punggungnya. Bendera ini ditinggikan sesuai dengan kadar pengkhianatannya. Ketahuilah bahawa tidak ada pengkhianatan yang lebih besar daripada pemimpin yang khianat

Rujukan:

Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah, Bina Insani Press Solo, September 2006

Friday, October 29, 2010

Kunci Penutup Kejahatan

Rasulullah bersabda: “.... Berbahagialah seseorang yang dijadikan oleh Allah sebagai pemegang kunci-kunci kebaikan. Celakalah seseorang yang dijadikan oleh Allah pemegang kunci-kunci pembuka kejahatan.” (HR Ibnu Majah dari Anas r.a.)

Disamping menjadi kunci pembuka kebaikan seorang muslim hendaklah menjadi kunci penutup kejahatan. Antara beberapa bentuk tindakan yang dianggap sebagai kunci penutup kejahatan ialah

i. Mencegah berlakunya kejahatan dan kemungkaran

Seseorang yang mencegah kemungkaran dianggap menutup pintu kejahatan. Rasulullah bersabda: “Barangsiapa melihat kemungkaran, hendaklah mengubah dengan tangan (kuasa yang dimiliki). Jika tidak mampu, hendaklah ia mengubah dengan lisannya. Jika tidak mampu, hendaklah ia mengubah dengan hatinya. Ini adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim)


ii. Meminta bantuan orang yang memiliki kekuatan dan kekuasaan untuk mencegah kemungkaran.

Seseorang yang tidak mampu untuk mencegah kemungkaran perlu meminta bantuan orang yang memiliki kuasa atau kekuatan. Ia lebih baik daripada sekadar membenci di dalam hati. Hikmah memiliki kekuasaan adalah untuk menegak kebenaran dan menumpas kejahatan. Othman Bin Affan berkata: “Kami akan mencabut dengan kekuasaan apa-apa yang tidak tercabut dengan al Quran.”

iii. Menutup ruang menuju kepada maksiat.

Seorang yang menutup ruang atau peluang yang membawa kepada kejahatan dan maksiat juga layak dianggap kunci penutup kejahatan. Rasulullah bersabda: “Adapun sedekahmu kepada seorang pencuri itu, semoga berkat sedekahmu ia berhenti mencuri. Adapun sedekahmu kepada seorang pelacur itu, semoga berkat sedekahmu ia berhenti melacur. Adapun sedekahmu kepada orang kaya, semoga berkat sedekahmu ia mahu mengambil pelajaran dan bersedekah sebahagian daripada harta yang diberikan kepadanya (HR Muslim)

iv. Membersihkan hati dari keinginan jahat dan kotor.

Seorang yang menjaga sikap dan perilakunya sehingga mampu memadam atau meredakan rasa iri hati, dengki, tamak dan sifat-sifat buruk pada orang lain juga dianggap sebagai kunci penutup kejahatan. Misalnya seorang yang rela berkongsi atau menyembunyikan anugerah Allah yang diterimanya agar tidak timbul rasa iri hati, dengki dan penyakit hati pada diri teman, jiran atau orang lain. Sabda Rasulullah: “Hai Abu Dzar, jika kamu memasak kuah maka perbanyakkanlah airnya dan perhatikanlah (berikanlah) kepada jiran tetanggamu.” (HR Muslim,

Jika makanan tidak cukup untuk diberikan kepada jiran maka pastikan bau masakan tidak sampai ke rumah jiran.

Rujukan:

Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah, Bina Insani Press Solo, September 2006

Tuesday, October 26, 2010

Kunci Pembuka Kebaikan

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya di antara manusia ada orang-orang yang menjadi kunci-kunci pembuka kebaikan dan penutup kejahatan. Dan diantara manusia ada orang-orang yang menjadi kunci-kunci pembuka kejahatan dan penutup kebaikan. Berbahagialah seseorang yang dijadikan oleh Allah sebagai pemegang kunci-kunci kebaikan. Celakalah seseorang yang dijadikan oleh Allah pemegang kunci-kunci pembuka kejahatan.” (HR Ibnu Majah dari Anas r.a.)

Kita perlu menjadi kunci pembuka kebaikan di tengah masyarakat sehingga mendapat kebahagiaan yang dijanjikan oleh Rasulullah. Antara perkara yang harus dilakukan oleh seseorang muslim agar termasuk dalam golongan orang-orang yang menjadi kunci pembuka kebaikan adalah seperti berikut:

i. Hendaklah kita mengajar kebaikan kepada orang lain. Dengan pengajaran yang dilakukan akan memberi kesempatan kepada ramai orang lain untuk menerima dan menimba kebaikan.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan.”

“Barang siapa yang menunjukkan (seseorang) kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya.” - (Hadis Riwayat Muslim).

ii. Senantiasa mempelajari dan mengkaji kebaikan

Seseorang yang mempelajari dan mengkaji ilmu layak disebut sebagai kunci pembuka kebaikan. Dengan belajar maka pada akhirnya ia akan terdorong untuk mengajarkan kebaikan yang dipelajarinya.

“Sebaik-baik orang dikalangan kamu adalah orang yang mempelajari al Quran dan mengajarkannya kepada orang lain” – HR Bukhari .

Dengan belajar, seseorang akan menghidupkan kembali ilmu gurunya yang mungkin hampir mati.

iii. Sentiasa mengamalkan kebaikan

Seseorang yang mengerjakan kebaikan akan dianggap kunci pembuka kebaikan kerana dengan mengamal kebaikan bererti ia memberikan contoh dan teladan kepada orang lain agar ikut mengerjakan kebaikan juga. Mengajar dengan contoh teladan lebih berkesan daripada mengajar dengan lisan.

Abu Darda’ berkata: “Tidaklah kamu dianggap sebagai orang alim sehingga kamu mengamalkan ilmumu”.

iv. Sentiasa mendukung proses belajar dan mengajar pelbagai bidang kebaikan. Sekiranya seseorang tiada kesempatan untuk belajar dan tidak mampu mengajar maka hendaklah ia menjadi orang yang memberi kemudahan kepada orang-orang yang mengajar dan belajar untuk melakukan kebaikan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan kebaikan dan ketaqwaan.” (Al Maidah ayat 2)

v. Memberikan bantuan atau kemudahan kepada sesiapapun yang hendak mengamalkan kebaikan.

“Barangsiapa yang menyiapkan perbekalan untuk orang yang berperang di jalan Allah maka ia akan mendapatkan pahala orang yang berperang.” (Muttafaqun ‘alaih).

vi. Menjadi penggembira dan memperlihatkan sikap bersahabat kepada penyeru kebaikan.

Seorang yang hadir dalam sebuah majlis kebaikan, meskipun hanya ikut-ikutan dan tidak serius melakukannya, juga layak dianggap sebagai kunci pembuka kebaikan sehingga layak mendapat keampunan dan rahmat Allah.

Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman:

“Saksikanlah olehmu bahawa Aku telah mengampuni mereka semuanya,” Malaikat berkata: “Diantara mereka ada si fulan, ia bukan sebahagian daripada mereka, kerana sebenarnya ia datang untuk suatu keperluan.” Allah berfirman:

“Sesungguhnya Aku juga telah mengampuninya. Kerana mereka adalah suatu kaum yang barangsiapa duduk bersama mereka, maka tidak akan mengalami kesengsaraan.” (HR Muslim).

Rujukan:

Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah, Bina Insani Press Solo, September 2006

Berakhirnya Sebuah Andalus

Al-Andalus sering digambarkan dengan seribu keindahan. Pancuran air, tamadun yang dimegah-megahkan, lagu dan syair digubah untuk mengungkapkan keindahannya, dan keilmuan sains dan teknologinya sering menjadi bahan paparan media. Memang Andalus hebat. Tetapi ia bukanlah seindah yang digambarkan. Andalus itu pahit dan derita, penuh kebinatangan yang terbit pada wajah manusia,

Pada tahun 1492 di daerah Valencia yang ditawan oleh El Cid Campeador telah berlaku pembunuhan Muslim besar-besaran dengan restu Pope. Semua yang dilakukan di Valencia adalah sama seperti apa yang dilakukan oleh Ataturk di Turki, dan kerajaan-kerajaan Eropah hari ini yang gementar dengan kehadiran 58 juta umat Islam di Eropah, pada statistik terkini.

Pada tahun 1516, diperkenalkan undang-undang yang melarang Muslimah menutup mukanya. Serban juga diharamkan, dan mereka yang melanggar peraturan ini akan dihukum menjadi hamba di ladang milik paderi. Pegawai polis itu juga geram dengan umat Islam yang enggan memakan babi, tidak minum arak dan khabarnya mandi setiap pagi Jumaat. Mereka telah menghancur binasakan Hamam kerana tidak mahu umat Islam mandi… biar kotor dan jijik seperti mereka. Anak-anak yang lahir diperiksa dan jika dikhatan, keluarganya akan dihukum. Orang Islam di Valencia enggan makan di meja, sebaliknya duduk di lantai!

Undang-undang diperkenalkan pada tahun 1526 yang mengharamkan orang Islam memiliki kunci rumah. Pintu rumah setiap orang Islam mesti dibiarkan terbuka dan orang Kristian boleh menjenguk masuk sesuka hati, demi memastikan orang Islam tidak bersembahyang atau menyimpan bejana air untuk berwudhu’. Orang Islam dicela kerana didapati mereka menamakan anak-anak mereka dengan dua nama. Secara rasmi, mungkin bernama Fredo tetapi di dalam rumah anak itu dipanggil Ahmad, Ali dan sebagainya. Orang Islam di Valencia juga didapati melanggar peraturan kerana memohon untuk bekerja pada hari Ahad dan Krismas!

Walaupun penghapusan etnik telah mencapai kemuncaknya pada tahun 1492, umat Islam yang berbaki masih terus mempertahankan Islam mereka. Intifadhah pertama umat Islam berlaku pada tahun 1501 dan ia berterusan hingga 1570. Namun sedikit demi sedikit, generasi anak Muslim pasca 1492, telah kehilangan Islam mereka.

Mereka masih tahu diri mereka Islam tetapi apabila mereka melarikan diri menyeberang laut ke pantai Afrika Utara di kawasan Tunisia, mereka telah dibunuh oleh umat Islam sendiri. Mereka disyaki sebagai pengintip Kristian, semata-mata kerana bahasa mereka yang rumit dan gagal membuktikan pengetahuan mereka tentang Solat!

Saya bangga dengan ketabahan umat Islam ketika itu. Ternyata, hampir semua buku tentang Sejarah Eropah yang ada di pasaran menyembunyikan sejarah Andalus kerana ia terlalu buruk, keji, jelek mengatasi binatang, pada imej kaum Kristian yang sangat hina pada masa itu.

Pope hari ini sudah memohon maaf kepada Yahudi atas perlakuan kuasa Kristian kepada Yahudi ketika itu, tetapi hingga kini, beliau masih sombong untuk memohon maaf atas kematian umat Islam yang mencecah ratusan ribu malah jutaan orang. Kalau mati di medan perang, ia cerita lain. Tetapi ini adalah pembunuhan dan penyembelihan yang diarahkan oleh Pope kepada El Cid Campeador dan pemimpin Kristian sejagat.

Mana mungkin sejarah Andalus dapat disembunyikan. Ia bukan era 8 bulan atau 8 tahun, tetapi 800 tahun. 800 tahun yang tidak mungkin Eropah hari ini boleh berdiri tanpanya.
Tiada lagi Andalus… hasil kebodohan umat Islam yang berpecah belah, bersikap nifaq berkonspirasi dengan musuh untuk membunuh saudara sendiri, lantas dihukum Allah dengan kezaliman Kristian yang tiada tolok bandingnya.

Catatan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
http://saifulislam.com

Sunday, October 24, 2010

Ath-Thufail Bin Amr Ad-Dausi Siri 1

Ath-Thufail Bin Amr Ad-Dausi merupakan ketua kabilah Daus ketika jahiliah. Beliau adalah antara pembesar Arab yang berkedudukan dan berpengaruh. Beliau seorang yang pemurah dan sangat memuliakan tetamu serta suka menolong orang yang memerlukan bantuan.

Ketika Ath Thufail datang ke Mekah, para pemuka Quraisy menyambut dan memberikan layanan teramat baik kepadanya. Mereka berpesan kepada Ath Thufail: “Wahai Thufail, kamu telah datang ke negeri kami. Lelaki yang mendakwa bahawa dia seorang nabi ini sebenarnya telah memporakperandakan kehidupan kami. Mencarik kesatuan kami dan memecahbelahkan perpaduan kami. Sesungguhnya kami bimbang apa yang berlaku pada kami akan berlaku kepadamu dan kepimpinanmu dalam kaummu. Oleh itu kamu jangan sekali-kali bercakap dengan lelaki ini. Kamu juga jangan dengar apa-apa daripadanya. Kerana kata-katanya ibarat sihir. Ia mampu memisahkan antara anak dan ayahnya, antara adik beradik dan antara isteri dengan suaminya.”, panjang lebar pemuka Quraisy menasihatkan Thufail.

Pesanan ini telah membuatkan Thufail berazam untuk tidak mendekati, mendengar atau berkata-kata dengan nabi. Beliau menyumbat telinganya dengan kapas ketika bertawaf di Kaabah dan memohon keberkatan daripada berhala yang menjadi sembahannya.

Namun pada ketika itu dilihatnya Rasulullah sedang menunaikan solat di sisi Kaabah. Dia mendapati cara Rasulullah solat berbeza dengan ibadah yang mereka lakukan. Thufail sangat terpikat dengan ibadah yang dilakukan oleh Rasulullah. Terasa jiwanya bergegar. Selangkah demi selangkah Thufail mendekati Rasulullah sehingga benar-benar hampir dengan baginda Rasul.

Sebagai seorang sasterawan beliau sangat mengkagumi bacaan dalam solat Rasulullah yang didengarinya. Thufail menunggu sehingga Rasulullah selesai solat. Kemudiannya beliau mengekori Rasulullah sehingga ke rumah baginda. Thufail masuk bertemu Rasulullah dan berkata: “Wahai Muhammad, kaummu menuduhmu dengan bermacam-macam jenis tuduhan. Demi Allah! Mereka berterusan menakut-nakutkan saya tentang kamu sehingga saya menyumbat telinga saya dengan kapas, agar saya tidak mendengar kata-katamu. Namun Allah Taala tetap menginginkan agar ia sampai ke telinga saya. Saya dapati ungkapannya sangat indah. Ceritakanlah kepada saya perihal kamu yang sebenarnya.”

Lalu Rasulullah S.A.W. menceritakan perkara sebenar yang berlaku. Baginda membaca surah Al Ikhlas dan Al Falaq. Thufail menyatakan bahawa ayat Quran yang dibacakan itu lebih indah daripada ungkapan dalam sajak yang pernah ditulisnya. Lantas beliau terus menghulurkan tangan kepada Rasulullah dan mengucapkan kalimah syahadah.

Beliau kemudiannya menetap di Mekah beberapa ketika untuk mempelajari tentang Islam dan menghafal beberapa ayat Al Quran. Sebelum pulang menemui kaumnya Thufail berkata kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, ahli keluarga saya mentaati saya. Saya pula akan pulang menemui mereka dan saya akan menyeru mereka agar memeluk Islam. Oleh itu doakanlah agar Allah menganugerahkan untuk saya petanda yang boleh membantu saya menyeru mereka kepada Islam.” Rasulullah S.A.W. pun berdoa: “Ya Allah jadikanlah untuknya petanda.”

Dalam perjalanan pulang menemui kaumnya Thufail tiba di satu tempat tinggi yang membolehkan beliau melihat rumah mereka. Thufail mendapati satu cahaya seperti pelita berada antara dua matanya. Lalu diapun berdoa: “Ya Allah, jadikanlah ia (cahaya) bukan diwajah saya. Kerana saya bimbang mereka akan menyangka ia merupakan balasan yang diturunkan kepada saya lantaran meninggalkan agama mereka.” Lalu cahaya tersebut berpindah ke hujung cemetinya. Semasa menuruni lereng bukit itu, orang ramai dapat melihat cahaya dicemeti bagaikan pelita yang tergantung.

Apabila sampai ke bawah bukit, bapa Thufail yang sudah tua datang...Lalu Thufail berkata: “Jauhkan diri ayah daripada saya. Kita tidak sehaluan lagi.”

“Kenapa pula begitu wahai anakku?!,” tanya ayahnya kehairanan.

Jawab Thufail: “Saya telah memeluk Islam dan saya merupakan pengikut agama yang dibawa oleh Muhammad S.A.W..”

“Wahai anakku, agamaku mengikut agamamu.”, jawab ayahnya.

Seterusnya isteri Thufail turut menganut Islam. Kemudiannya beliau mengajak kaumnya memeluk Islam. Namun mereka bersikap dingin dan tiada sambutan. Hanya Abu Hurairah yang segera memeluk Islam.

Pengajaran:

1. Kerja dakwah perlu dilaksanakan mengikut kemampuan masing-masing. Ianya tidak hanya menjadi tanggungjawab para guru, ustaz atau mereka yang tinggi ilmu pengetahuannya.

ii. Mereka yang tidak memahami Islam selalu beranggapan bahawa Islam itu memecahbelahkan keluarga dan masyarakat. Sedangkan Islam itu sebenarnya menjaga institusi keluarga dan masyarakat, dengan syarat mereka beriman kepada Allah.

iii. Mereka yang memandang negatif kepada Islam biasanya kurang mengenali Islam. Mereka hanya mendapat gambaran Islam daripada perspektif musuh Islam yang menguasai media massa.

iv. Dakwah perlu dimulakan kepada keluarga yang terdekat seperti ibu bapa, adik beradik, anak-anak, saudara mara, rakan taulan dan sebagainya.

v. Orang yang hebat semasa jahiliahnya, juga hebat apabila mendapat didikan Islam.

vi. Kebiasaannya dakwah Islam kurang mendapat sambutan di kalangan masyarakat, tetapi usaha dakwah perlu diteruskan. Kita tidak boleh merasa lemah dengan pengikut yang sedikit kerana Allah menilai usaha kita bukan natijah yang kita perolehi. Hanya Allah yang boleh memberi hidayah kepada manusia.

vii. Selalulah membaca dan meneliti ayat-ayat Al Quran kerana ia dapat mengubati penyakit hati dan membersihkan jiwa manusia daripada karat-karat jahiliah.

Viii. Sifat pemurah, menolong orang yang memerlukan dan melayan tetamu sangat dituntut oleh Islam.

Rujukan:

Dr Abdul Rahman Ra’fat Al- Basha, 65 Gambaran Kehidupan Sahabat, Jilid 1, terjemahan oleh Ust Abdul Hakam Bin Jaafar & Ust. Mohd Noor Bin Daud, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur, Mac 2006.

Thursday, October 21, 2010

Sa’id Bin ‘Amir Al-Jumahiy Siri 2

Khalifah Umar Al Khattab selalu memantau kakitangan kerajaan dan gabenor di bawah pemerintahannya untuk memastikan mereka melaksanakan amanah yang diberikan.

Beliau telah melawat wilayah Syam untuk melakukan tinjauan. Sehinggalah akhirnya beliau tiba di Hims. Penduduknya bertemu dan mengucapkan salam kepada beliau. Umar bertanya: “Apa pandangan kamu tentang gabenormu?”.

Lalu mereka mengadu kepada Umar dan menyebut empat perangai ‘buruk’ gabenor mereka iaitu Sa’id Bin Amir al Jumahiy seperti berikut:-

i. Sa’id tidak bertemu dengan orang ramai sehingga matahari meninggi.

ii. Beliau tidak melayan sebarang pengaduan pada waktu malam

iii. Dalam satu bulan ada satu hari Said tidak menemui orang ramai.

iv. Said sering pengsan. Ini menyebabkan beliau tidak menyedari sesiapa di dalam majlisnya.

Kata Umar: “Saya akan temukan Said dengan mereka (orang yang membuat aduan). Saya berdoa agar sangkaan saya terhadap Said tidak salah. Lantaran saya berkepercayaan penuh terhadapnya.”

Apabila menjelang pagi penduduk Hims dan gabenornya bersemuka di hadapan Khalifah Umar Al Khattab. Lalu Umar meminta mereka menyatakan aduan mereka terhadap gabenor mereka satu persatu.

Untuk aduan pertama (tidak bertemu dengan orang ramai sehingga matahari meninggi) Said berkata: “Demi Allah! Saya tidak suka memperkatakannya. Namun saya terpaksa berterus terang. Keluarga saya tidak memiliki orang gaji. Setiap pagi saya bangun menguli tepung. Setelah itu saya perap adunan tersebut sehingga naik. Kemudian barulah saya bakar untuk makanan keluarga saya. Selepas itu saya mengambil wuduk dan keluar bertemu orang ramai.”

Bagi aduan kedua (tidak melayan sebarang pengaduan pada waktu malam) Said menjawab: “Demi Allah! Saya juga tidak suka menghebahkan perkara ini...Sebenarnya saya peruntukkan siang untuk mereka. Manakala malam untuk Allah ‘Azza Wa Jalla.”

Manakala jawapan bagi aduan ketiga (ada satu hari dalam sebulan Said tidak menemui orang ramai) Said menjelaskan: “Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak memiliki orang gaji wahai Amirul Mukminin. Saya juga tidak memiliki pakaian lain selain pakaian yang saya pakai ini. Saya membasuhnya sebulan sekali dan saya tunggu sehingga ia kering. Kemudian barulah saya keluar bertemu mereka pada lewat petang.”

Mengenai aduan keempat (sering pengsan), Said menceritakan bahawa beliau telah melihat peristiwa pembunuhan Khubaib Bin ‘Adiy, dan ketika itu beliau masih lagi seorang musyrik. Khubaib ditanya oleh orang Quraisy yang memotong-motong anggota badannya (Khubaib) : “Adakah kamu suka jika Muhammad menggantikan tempatmu?” Lantas Khubaib menjawab: “Demi Allah! Saya tidak rela sekiranya saya selamat, duduk bersama isteri dan anak-anak, sedang Muhammad dicucuk duri.”

Kata Said: “Demi Allah! Saya tidak mampu mengingati tragedi ngeri tersebut. Bagaimana saya boleh membiarkannya diperlakukan sedemikian sedangkan saya tidak membantunya. Saya merasakan Allah tidak mengampunkan kesalahan saya tersebut.... sebab itulah saya jatuh pengsan.”

Dengan nafas lega Umar berkata: “Segala puji-pujian bagi Tuhan yang tidak mengecewakan sangkaan baik saya terhadapnya.”

Kemudian Khalifah Umar Al Khattab menghantar 1,000 dinar untuk membantu Sa’id mengurus kehidupan sehariannya. Apabila si isteri melihatnya, dia berkata kepada si suami: “Segala puji- pujian bagi Tuhan yang telah mengurniakan kekayaan dan kamu tidak perlu lagi bersusah payah melayani kami. Belikanlah makanan dan carilah orang gaji untuk saya.”

“Adakah kamu ingin perkara yang lebih baik daripada itu?”, tanya Sa’id. “Apa dia?”, tanya isterinya ingin tahu. Jawab Sa’id: “Kita pinjamkannya kepada Allah (menginfaqkan harta di jalan Allah) dalam bentuk pinjaman yang baik.”

“Bagaimana?”, tanya isterinya lagi. “Kita berikan dinar ini kepada orang yang datang memerlukannya, sekalipun kita lebih memerlukannya.”, jelas Sa’id. “Baiklah... mudah-mudahan kamu dianugerahkan kebaikan.”, balas isterinya.

Belum sempat beliau meninggalkan majlis tersebut, beliau mengambil wang dinar dan mengagihkannya ke dalam beberapa uncang. Sa’id berkata kepada salah seorang ahli keluarganya:

“Pergi dan berikan uncang ini kepada janda si polan, anak yatim si polan, orang miskin keluarga si polan dan orang fakir keluarga si polan.”

Mudah-mudahan Allah meredhai Sa’id Bin Amir Al Jumahiy. Beliau lebih mengutamakan orang lain berbanding diri dan keluarganya sendiri meskipun mereka sendiri hidup dalam keadaan yang amat susah dan memerlukan.

Pengajaran:

i. Seorang pemimpin yang baik selalu memantau perlaksanaan tugas kakitangan bawahannya dan melihat secara dekat permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

ii. Seorang pemimpin yang bijak tidak tertipu dengan kemewahan dunia tetapi mengharapkan balasan yang baik dan nikmat yang berkekalan di akhirat iaitu syurga Allah.

iii. Orang yang beriman sentiasa menunggu sepertiga malam untuk melakukan ibadah dan bermunajat kepada Allah. Ia merasa nikmat, tenggelam dalam kekusyukan solat, berzikir dan beristighfar kepada Allah.

iv. Seseorang yang pemurah dan menafkahkan sebahagian hartanya di jalan Allah merasai nikmat sebagaimana orang yang suka atau nikmat apabila menerima hadiah.

v. Orang beriman merasai ikatan ukhwah dan kasih sayang sesama Islam. ibarat satu tubuh badan yang akan merasai sakit (atau berjaga malam) apabila salah satu anggotanya sakit.

vii. Orang mukmin yang baik mengutamakan sahabatnya melebihi dirinya sendiri.

viii. Sahabat Rasulullah sangat mengasihi Rasulullah melebihi kasih kepada diri sendiri, anak isteri dan keluarga sendiri.

ix. Orang yang bijak akan menggunakan segala harta dan kekayaan yang ada untuk mendapat pahala dan ganjaran yang baik di sisi Allah.

x. Orang yang beriman selalu memohon ampun dan bertaubat kepada Allah serta merasa bimbang tidak mendapat keampunan Allah atas segala dosa-dosa.

xi. Sokongan daripada isteri adalah penting kepada suami untuk memberi kekuatan dalam melaksanakan kerja-kerja Islam dan amal kebajikan.

Rujukan:

Dr Abdul Rahman Ra’fat Al- Basha, 65 Gambaran Kehidupan Sahabat, Jilid 1, terjemahan oleh Ust Abdul Hakam Bin Jaafar & Ust. Mohd Noor Bin Daud, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur, Mac 2006.

Thursday, October 14, 2010

Said Bin Amir al-Jumahiy - Siri 1

Said Bin Amir Al-Jumahiy menyaksikan sendiri peristiwa sahabat Rasulullah, Khubaib Bin ‘Adiy disiksa dan dibunuh dengan kejam oleh puak kafir Quraisy. Said Bin Amir Al-Jumahiy pada ketika itu masih belum memeluk Islam. Namun nasib yang menimpa Khubaib terus terbayang-bayang di kotak fikiran Said Bin Amir al-Jumahiy yang sedang meningkat dewasa.

Khubaib mengajar Sa’id satu hakikat yang tidak pernah diketahui sebelum ini. Khubaib mengajar, kehidupan yang sebenar adalah akidah dan berjihad di jalannya hingga ke titisan darah yang terakhir.

Beliau juga mengajar, iman yang teguh mampu menghasilkan keajaiban dan mencipta kemukjizatan. Said belajar satu perkara lagi, lelaki yag dicintai sepenuhnya oleh seluruh sahabatnya adalah seorang Nabi yang mendapat dukungan langit.

Ketika itulah hati Said Bin Amir al-Jumahiy terbuka untuk memeluk Islam. Lalu beliau berdiri di khalayak ramai dan mengumumkan bahawa beliau tidak terlibat dengan dosa dan jenayah yang dilakukan oleh Quraisy. Beliau meninggalkan berhala dan sembahan Quraisy serta memeluk agama Allah.

Suatu hari ketika mengadap Khalifah Umar Al Khattab yang baru dilantik menjadi khalifah. Kata Sa’id: “Wahai Umar, saya berpesan kepadamu agar gentar dengan Allah dalam menguruskan hal ehwal rakyat. Jangan sekali-kali kamu gerun dengan manusia dalam menunaikan hak-hak Allah. Janganlah kata-katamu tidak bertepatan dengan perbuatan. Lantaran perkataan yang terbaik adalah perkataan yang sejajar dengan perbuatan."

“Wahai Umar, prihatinlah terhadap urusan rakyat yang dipertanggungjawabkan Allah kepadamu, sama ada yang dekat mahupun yang jauh. Sayangilah mereka sebagaimana kamu menyayangi diri dan keluargamu. Lindungilah mereka daripada perkara yang tidak diingini sebagaimana kamu tidak ingin ia menimpa diri dan keluargamu. Bergelumanglah dalam kebenaran dan jangan gentar dengan celaan dalam menegakkan hukum Allah.”

Lalu Umar bertanya: “Siapa yang mampu melakukan perkara tersebut wahai Sa’id?”

“Ia mampu dilakukan oleh individu sepertimu. Iaitu individu yang dilantik oleh Allah mengurus urusan umat Muhammad, sedangkan tiada perantara antaranya dengan Allah.”, jawab Sa’id.

Ketika itu juga Umar Al Khattab menawarkan Sa’id menjadi pembantunya, kata beliau: “Wahai Sa’id, saya lantik kamu menjadi gabenor di Hims.”

Jawab Sa’id: “Wahai Umar saya bersumpah dengan nama Allah, janganlah kamu menyesatkan dan menyerahkan saya kepada dunia."

“Kamu pikulkan urusan pemerintahan ini ke tengkuk saya, kemudian kamu hendak berlepas tangan. Demi Allah! Saya tidak akan membiarkan kamu bersikap begitu!!” hentak Umar.

Kemudian beliau dilantik menjadi gabenor di Hims tetapi enggan menerima imbuhan wang daripada khalifah. Ia menyatakan bahawa pemberian daripada baitulmal melebihi daripada keperluannya.

Ketika satu rombongan penduduk Hims mengunjungi Khalifah Umar . Khalifah meminta disenaraikan fakir miskin di Hims supaya dapat diberi bantuan. Selepas nama-nama fakir miskin diserahkan kepada Khalifah Umar, beliau mendapati nama Said Bin Amir al-Jumahiy turut tersenarai sebagai fakir miskin.

Umar tersentak lalu bertanya kepada rombongan penduduk Hims: “Siapa Said Bin ‘Amir?”. Jawab mereka serentak: “Gabenor kami.”

“Gabenor kamu miskin?!!, tanya Umar kehairanan.

Jawab mereka: “Benar. Demi Allah! Sehinggakan dapurnya tidak berasap beberapa hari”

Umar menangis sehingga janggutnya basah. Kemudian beliau memasukkan 1,000 dinar ke dalam uncang dan berpesan kepada rombongan tersebut: “sampaikan salam saya kepadanya dan katakan kepada gabenormu: Amirul Mukminin mengirimkan wang ini untukmu agar keperluan saraan harianmu tertunai."

Setelah tiba di Hims, rombongan tersebut terus bertemu Sa’id dan menyerahkan uncang tersebut. Said memeriksa isi uncang tersebut. Apabila Said melihat uncang tersebut berisi wqng dinar, beliau menolaknya ke tepi seraya berkata: “Innalillahiwainna ilaihiroji’un”.

Gelagatnya bagaikan berlaku bencana dan malapetaka besar. Lantas isterinya bergegas dengan penuh bimbang: “Apakah yang telah berlaku Sa’id? Apakah Amirul Mukminin meninggal dunia..?”

“Lebih dahsyat lagi...”, tegas Sa’id.

“Apa bencana yang lebih dahsyat daripada itu?”, tanya si isteri kebingungan.

“Dunia ini telah masuk ke dalam kehidupan saya bagi merosakkan akhirat saya. Dugaan dan bencana telah berlaku dalam rumah saya.”, jawab Sa’id bersedih.

“Bebaskan diri kamu daripadanya.” Nasihat isterinya. Isterinya langsung tidak tahu menahu tentang wang dinar tersebut. Lantas Sa’id bertanya:

“Adakah kamu boleh membantu saya?”
“Boleh”, jawab isterinya ringkas.
Lalu beliau mengambil wang dinar tersebut dan memasukkan ke dalam beberapa uncang. Kemudian wang tersebut diagih-agihkan kepada fakir miskin.

Pengajaran:

i. Sahabat jenerasi awal yang mendapat didikan daripada Rasulullah sangat takut kepada Allah. Sebagai pemimpin mereka khuatir tidak dapat melaksanakan amanah yang diberikan.

ii. Sahabat Rasulullah tidak gerun kepada manusia dalam melaksanakan perintah Allah.

iii. Mereka melaksanakan apa yang diucapkan (cakap serupa bikin) kerana perkataan yang terbaik adalah perkataan yang sejajar dengan perbuatan.

iv. Seorang pemimpin yang baik melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan menyayangi serta melindungi mereka tanpa membezakan samada di kalangan kaum kerabat, sahabat handai atau orang yang kasihi.

v. Sahabat Rasulullah lebih mengutamakan ganjaran Allah (berupa nikmat syurga yang berkekalan di akhirat) berbanding kemewahan hidup di dunia yang sementara.

vi. Seorang isteri yang baik adalah yang membantu suami dalam mendapatkan keredhaan Allah.

Rujukan:

Dr Abdul Rahman Ra’fat Al- Basha, 65 Gambaran Kehidupan Sahabat, Jilid 1, terjemahan oleh Ust Abdul Hakam Bin Jaafar & Ust. Mohd Noor Bin Daud, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur, Mac 2006.